Isnin, 19 Mei 2014

KUNJUNGAN KE TASIK CHINI - PAHANG.

Tasik Chini terdiri dari 12 laut, iaitu Gumum, Balai,Chenahan,Jerangkin,Tengkok, Mempitih,Kenawar, Geraham Buaya, Serodong, Batu Busuk, Labuh, Jemberai. Sementara itu terdapat juga pulau-pulau didalam tasik ini iaitu pulau Kura-kura, Pulau Balai, Pulau Bangau, Pulau Besar dan Permatang Badak. Tidak semua laut dapat kita layari dengan bot kerana tasik ini mengalami perubahan kedalaman kerana lumpur dan paras air sudah tidak lagi sepertimana awal 60an dulu. Melihat kepada ketenangan air Tasik Chini ini penulis terkenang akan keindahan "Tasik Air Mati di Telok Bakong" dengan kenangan kehidupan ikan air tawar yang begitu banyak dan pelbagai yang hampir sama dengan tasik ini, namun tasik Air Mati telah hilang sebagai mana namanya iaitu Tasik Air Mati.



Pada cuti sekolah yang lalu pihak kami telah mengunjungi Tasik Lagenda ini iaitu Tasik Chini. Bagi saya kunjungan yang terakhir kesini adalah pada 22 tahun yang lalu. Waktu itu bonda saya masih ada bersama berziarah ke daerah Tasik ini dan kenderaan yang dinaiki adalah sampan batang kayu balak yang dikemudikan oleh enjin sangkut dengan 40 berkuasa kuda. Semua laut yang dapat dilalui mempunyai pandangan yang cantik diiringi kelopak bunga teratai yang mengembang. Dulu perahu penambang banyak ditempatkan diperkampungan persisiran sungai Pahang, seperti jeti bot Mat Seh kampung Sepinang dan Kampung Belimbing, Kampong Melayu dan beberapa lagi disekitar kampong berdekatan. Susur masuk ke tasik melalui sungai chini iaitu point yang dinamakan Lubang Ular dan Empangan. Air sungai chini ini jika musim tengkujuh hujung tahun sangat deras meluncur masuk ketasik dari sungai Pahang. Tidak digalakan para pelancung memasuki muara sungai chini melalui sungai Pahang untuk dilalui menggunakan bot atau perahu.

Kini keadaan sudah berubah dan nak ke Tasik Chini dah boleh melalui jalan darat serta mudah dikunjungi serta mempunyai rumah penginapan. Para pelancung dari luar negara masih berminat untuk melalui bot untuk memasuki jalan masuk ke tasik chini namun pengusaha bot tempatan sudah kian pupus. Terdapat pelbagai kemudahan disediakan di Tasik Chini seperti Resort, bagi yang ingin menginap dan menikmati keindahan alam dengan menaiki bot dan pelbagai lagi kemudahan yang pastinya dapat menggamit pelancong. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini ialah memancing, juggle trekking, berkelah, kanoe, dan berkhemah, menyewa chalet, mengunjungi perkampungan masyarakat asli dan sewa bot untuk meneroka kawasan tasik.



Reception.


Ruang tamu depan kauter pendaftaran masuk.


Kauter penempahan bot.


Pemandangan dari arah dalam tasik.


Siar kaki ke Pelantar Bot.


Agak jauh juga untuk ke pelantar.


Pemandangan dari arah kauter penambang.


Jeti Penambang boleh laras turun dan naik mengikut paras air.


Encik Rahim dan Encik Mat diatas pelantar jeti bot penambang.


Jeti Bot Pandangan dari dalam Tasik.


Mulalah perjalanan menaiki bot bersiar disekitar laut (tasik).



Kami menempah dua bot.




Lorong-lorong disekitar tasik.


Setiap laut ditanda seperti didalam foto.
(Yang ini Laut Tengkok)


Tasik Chini juga telah terhakis dengan penerokaan
 pembangunan disekelilingnya.


Penternakan Ikan Air Tawar.


Rumah Rakit didalam Tasik.


Jerumun mengkuang liar saja yang kelihatan, 
teratai dah tak kelihatan lagi.




Gunung Chini.
(Panduan bagi orang ke laut).





Hanya tinggal sebahagian kecil teratai didalam tasik.


Pulau kecil jerumun mengkuang liar.


Jeti ke Kampong Cendahan.


Salah satu dari tiga kampung Orang Asli yang ada di tasik Chini - 
Kampung Cendahan.


Berbagai hasil keluaran orang asli dijual disini, 
termasuklah tongkat istimewa.


Rumah-rumah orang asli di Kampung Cendahan.


Yang ini lebih mahal dari rumah-rumah yang terdapat disini.

Masihkah terdapat cerita-cerita lagenda sepertimana kita ketahui mengenai tasik ini, yang sinonim dengan cerita naga yang telah difilimkan seketika dulu ?. Penulis pernah tinggal didaerah sekitar tasik ini dan mendengar serba sedikit cerita-cerita lagenda dari penduduk setempat, ianya berlainan sedikit dengan cerita yang difilimkan. Untuk mengetahui kisahnya penulis akan terbitkan dalam siri cerita Lagenda Tasik Chini dikeluaran seterusnya.

Khamis, 6 Februari 2014

BUKIT TUNGGAL (GUNUNG TUNGGAI) KAMPONG GAJAH.



Bukit Tunggal 
Pemandangan dari Jalan Telok Sareh ke Tanjung Tualang.


Simpang dari Tanjung Tualang 
(Kiri ke Kg Gajah dan Kanan ke Bota Kanan)

Baru baru ini dibawah peruntukan kerajaan negeri.,Pejabat Daerah Kampong Gajah telah membersihkan semula laluan ke Bukit Tunggal tersebut dan berhasrat menjadikan Bukit Tunggal sebagai kawasan pelancongan. Trek 4x4 dan scram.

Bukit Tunggal juga merupakan laluan perjalanan sejarah Sultan Pertama Perak dari Kampong gajah ke Tanah Abang dengan menunggang gajah. Ia juga selalu dikunjungi oleh persilat-persilat traditional ke kemuncaknya untuk mendalami ilmu-ilmu persilatan di zaman dulu. Jadi jika ia kembali menyusuri sejarahnya Bukit tunggal maka ianya telah berulang kembali tapi dengan aktiviti perlancungan dan riadah yang sihat bagi zaman kita hari ini. Moh kita pulak mula mendaki Bukit tunggal ini sebagai menyambut saranan kerajaan negeri untuk menjadikan Bukit tunggal kawasan perlancungan.



Peserta rombongan yang berkunjung yang sampai 
di puncak Bukit Tunggal.





Bangunan yang telah dibina bagi pendaki dan pengunjung Bukit Tunggal.


Pacuan 4 roda yang turut mendaki.


Laluan atau Trek yang dibina  untuk ke Bukit Tunggal.

* Foto-foto Bukit Tunggal adalah sumbangan dari Encik Mohd Nizam bin Rasli, Kampong Gajah.

Rabu, 22 Januari 2014

MASJID BUMBUNG LIMA BANDAR TUA KG GAJAH.




Masjid Bumbung Lima ini terletak di Hilir Pasir Salak, berdekatan dengan kampung Biak iaitu Masjid Kampung Bandar Tua Kampong Gajah. Kini masjid binaan baru telah siap dan tak jauh dengan masjid lama ini.Jika dilihat masjid ini bahagian atas telah ditinggalkan dan hanya bahagian bawah masih digunakan untuk Sekolah Rendah Agama. Bagi penulis rekabentuk masjid sungguh unik dengan berbumbung lima yang diperbuat dari kayu dan kelihatan masih utuh. Bangunan seperti ini eloklah diperlihara sebaik mungkin untuk kesenian dan perlancungan. Kami kesini untuk mencari dan merisik khabar yang salasilah keturunan Maharaja Lela (Pandak Lam) berada disini.



Bentuk Masjid Bumbung Lima masih utuh.


Bahagian atas telah ditutup dengan jaring/dawai 
melalui tangga yang kelihatan difoto.




Papan Tanda Sekolah.



Bahagian Belakang Masjid.


Terdapat juga Kolah dibahagian belakang 
serta tangga untuk naik keatas.

Bangunan lama seni yang ditinggalkan oleh orang-orang terdahulu amat bernilai dan sungguh bermakna untuk generasi akan datang. Apatah lagi bangunan Masjid, rumah Allah tidak harus kita pinggirkan dan bagi pihak yang bertanggungjawab keatasnya mohon peliharalah ia sebaik mungkin.

Sabtu, 18 Januari 2014

KANCING EMAS PENAWAR (TOK KADUK) - UTUSAN MALAYSIA.




KANCING dari emas ikan tapah yang dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit.




Kancing emas penawar


18hb.Januari 2014/16Ribiul Awal 1435.

NAMA Tok Kaduk atau Pak Kaduk mungkin lebih dikenali melalui pepatah berbunyi 'menang sorak, kampung tergadai' namun ramai yang tidak mengetahui pengakhiran kisah hidupnya.Selepas kalah dalam pertarungan ayam sabung, kisah Tok Kaduk sebenarnya tidak berakhir di situ dan pengajaran daripada kisahnya bukan sekadar untuk dijadikan bahan seloka.Jika benar seperti yang diceritakan oleh warisnya, kancing atau kerongsang emas ikan tapah Tok Kaduk adalah peninggalan yang amat bernilai dan berguna kepada masyarakat.Bukan sekadar barang kemas tetapi kancing itu dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit dan gatal akibat alahan kerana memakan ikan tapah.

Bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai kelebihan kancing emas itu, penulis berkunjung ke Kampung Tua Batu 16 yang terletak di Mukim Lambor, Perak.Usaha menjejak waris sebenar Tok Kaduk iaitu Allahyarhamah Hasmah Pandak Logam tidak kesampaian apabila diberitahu beliau telah meninggal dunia pada tahun lalu.Semasa hidupnya, Hasmah merupakan pemegang kancing emas ikan tapah yang mewarisi barang kemas itu daripada arwah bapanya Pandak Logam Pandak Demat.Bagaimanapun, penulis dipertemukan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tua, Zenal Ngah Haleb yang juga pernah menjadi pemegang kancing itu selama hampir lapan tahun.Zenal yang pada mulanya agak keberatan untuk bercerita akhirnya memberitahu bahawa 'penawar' itu tidak lagi berada di dalam simpanannya."Memang saya pernah sediakan air kancing emas, tetapi itu atas kepercayaan yang diberikan oleh Tok Hasmah dulu.

"Selepas kematiannya, saya serahkan semula kancing itu kepada warisnya di Selangor."Sebenarnya masih ramai yang datang untuk minta air penawar di sini, tapi saya hanya mampu cakap ia tiada di sini,'' katanya kepada S2. Menurut Zenal, penyediaan air penawar kancing emas biasanya dilakukan sekali setahun di dalam majlis 'kenduri kancing'.Beliau berkata, pada majlis yang turut dihadiri oleh penduduk kampung itu, waris Tok Kaduk akan mengeluarkan kancing emas dari peti besi untuk direndam selama sehari semalam."Air di dalam bekas takungan itu turut dibahagikan kepada orang kampung untuk disimpan."Bila air di dalam takungan semakin berkurangan, saya akan tambah semula air,'' katanya.

Pada pertemuan itu, Zenal mengingatkan orang ramai supaya tidak lagi mencari beliau untuk mendapatkan air penawar kerana tidak lagi menjadi pemegang kancing emas."Kadang-kadang saya kasihan sebab ada yang datang nak berubat dari jauh tapi balik dengan hampa,'' ujarnya.




© Utusan Melayu (M) Bhd 




Air Penawar Emas Kancing.



Encik Zenal Ngah Haleb. 

Kebiasaannya pengambil alihan waris pemegang Kancing Emas Tapah diwarisi dari generasi yang diamanahkan, mungkin telah diwariskan dikalangan waris yang di Selangor. Mungkinkah boleh emas Kancing ini dibawa keluar dari Kampong Tua ? menurut pesan Tuan Haji Sulaiman dulu ianya tidak boleh dibawa keluar dari Kampong Tua. Maka sama-samalah kita tunggu siapakah pemegang amanah yang seterusnya..............

Selasa, 14 Januari 2014

TEMPAYAN BEDENE (HARTA KARUN).




Foto Hiasan (gambaran penulis) - Tempayan Bedene.


Kita telah banyak mendengar cerita penemuan harta karun, samaada dimedia eletronik atau media cetak serta cerita-cerita dongenan orang-orang tua dahulu kala. Kisah harta karun atau ingin cepat kaya sering kita temui dan berbagai petua,cara serta taktik untuk mendapatkannya. Antaranya perlu berpuasa, membaca yasin 40hari berturut-turut, mendapatkan duit siling lama,duit kertas lama, kura-kura menyeberang jalan (ambil kura-kura dan gantikan duit siling 50sen), senjata lama keris , lembing dan sebagainya. Pendek kata berbagai petua dan cara bagi mendapatkan harta karun ini.

Pada kali ini penulis ingin membawa cerita kisah Takor Bedene (Tempayan Bedene) atau kisah harta karun yang diperolehi didaerah ini iaitu Kampong Punggai Hulu di Telok Bakong. Penulis kerap ditanya mengenai tarik duit, carian harta karun (emas jongkong atau yang dah siap seperti gelang, rantai, sunting-anting anting dan sebagainya). Sebenarnya penulis sendiri tidak tahu bagaimanakah untuk mencari harta karun dan menarik duit sebagaimana banyak pihak yang mengajukan pertanyaan itu di blog ini. Penulis hanya mempunyai sedikit kisah benar tentang carian dan penemuan harta karun yang diperolehi oleh keturunan Tok Kadok ini dan marilah kita sama-sama menghayati cerita berkenaan serta tuan-tuan fikir lah sendiri tentang kewujudanya harta tersebut.


“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga),” (ali Imran, 3: 14)


Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Sekiranya anak cucu Adam memiliki dua lembah emas nescaya dia tetap masih menginginkan lembah emas yang ketiga, dan sekali-kali tidak akan penuh mulut anak cucu Adam kecuali tanah, dan Allah menerima taubat bagi orang yang bertaubat”. (Hadis Riwayat: .Bukhari-Muslim)




Kawasan bendang Punggai Hulu
yang wujudnya bedene didalam cerita ini.



Dangau Bendang (Pondok) ketika itu.
Foto Sumbangan Honey Temoleh.


Sepasang suami isteri telah berkahwin beberapa tahun dan mempunyai cahaya mata seramai lima orang serta mempunyai bendang pusaka satu ekar (Punggai hulu) serta sedikit kebun getah di Pulau Tabak (berhampiran Punggai Hulu). Waktu itu kerja bendang dan menoreh getah adalah punca pendapatan utama mereka untuk menanggung anak-anak yang seramai lima orang itu. Lepas waktu subuh Anjang Lit pergi menoreh dan Itam Bemban (isterinya) mengerjakan sawah serta anak-anak mereka di dangau. Sebelah petang kerja-kerja sawah turut dibantu oleh Anjang Lit. Bak kata orang-orang tua dulu, keras tepi kain dengan kerja-kerja bendang.



Pelangi (Langit minum Bahasa Telok Bakong).


Suatu ketika, sedang Itam Bemban mengerjakan sawah iaitu merumput dikala padi baru berisi, terdengar ia suatu bunyi dari kubang (lopak air yang dalam tidak ditanam padi dan ditumbuhi dengan rumput menerong) bendangnya. Kuak...kuak...kuak, nak dikatakan bunyi kerbau, kerbau dipadang benak hatinya berkata, nak dikatakan katak lain benar bunyinya. Itam kemudian meneruskan kerja-kerja merumputnya tanpa menghiraukan bunyi berkenaan. Selang beberapa hari kemudian, sedang Itam mengerjakan sawah turun pula hujan panas dan pelangi.Kelang kabutlah Itam belari anak ke dangaunya, .."eh bila pulak mendungnya hari ini tiba-tiba hujan je dan cuaca panas, bisik hati Itam". Yang merasa ia lagi pelik seolah-olah muncung pelangi yang timbul dek kerana hujan renyai-renyai itu bermula dari kubang didalam bendangnya, semua fikirannya tertumpu kearah kawasan kubang itu,yang dilihatnya dari pintu dangau tempat ia berteduh dari renyai-renyai hujan yang adakalanya kasar. Berhenti sahaja hujan tanpa menghiraukan kejadian berkenaan ibu anak lima ini meneruskan kerja-kerja membersihkan kawasan bendangnya dari rumput-rumput yang menganggu kesuburan pokok padi yang mula berisi. 




Parang Puting.

Begitulah rutin hari-hari Itam Bemban jika kebendang atau kesawah yang diwarisinya dari ayah beliau. Nampaknya matahari sudah tergelincir yang menandakan waktu Zohor telah masuk dan sebentar lagi suaminya akan balik serta anak-anak sudah kelaparan, maka naiklah Itam ke dangau. Pada petangnya Anjang Lit turut membantu dan ianya mengerjakan bendang disebelah hujung sana manakala Itam Bemban tidak boleh jauh dari dangau kerana jika anak-anak menangis atau ingin menyusu mudah untuk ia ke dangau. Sedang ia leka mengerjakan  sawahnya tiba-tiba terdengar lagi bunyi seperti anak kerbau...kuak..kuak..kuak dan kali ini tambah kuat, Anjang juga berdiri jauh memandang kearah bunyi tersebut. Bunyi itu berbunyi lagi dan Itam Bemban naik ke atas batas padi kerana ingin melihat apakah ia !!! dalam terpinga-pinga Itam melihat golekan tempayan menuju kearahnya,anehnya pula tempayan berkenaan ada lidah yang terjelir menjilat-jilat. Tanpa berfikir panjang Itam Bemban terus mengangkat tempayan berkenaan untuk dibawa ke dangau.


Beginilah Itam Bemban memikul 
Tempayan Bedene semasa mula ditemui.


Buangkan tempayan tu Itam, buangkan........buangkan......buangkan.......laungan suaminya yang berlari anak diatas batas padi menuju ke arah Itam Bemban, bergema suara berkenaan di hujung bendang dengan nada sungguh cemas, kerana melihat lidah tempayan menjelir serta menjilat bahagian belakang isterinya. Tanpa menghiraukan laungan suaminya Itam Bemban tetap memikul tempayan berkenaan hingga ke dangau dan mengambil parang puting. Setelah mendapat parang puting, tempayan berkenaan diletakkan diatas lantai dangau tanpa melepaskannya dari tangan dan lalu puan Itam menakek sedikit bibir tempayan untuk tujuan mencacatkan rupa bentuk tempayan. Dengan kuasa Allah jua lidah yang terjelir keluar dari mulut tempayan hilang dan dengan tak semena-mena isi tempayan telah bertukar menjadi emas (emas yang telah siap seperti rantai,gelang dan sebagainya) memenuhi tempayan.

Alangkah gembiranya pasangan ini mendapat emas dari "tempayan berdene", semenjak dari itu pasangan ini telah menjadi kaya dan telah berpindah dari Telok Bakong dan menetap di kelahiran Kampong Anjang Lit yang juga tidak jauh dari Pekan Parit.

Penulis cuba mencari kembali bekas tempayan bedene ini melalui waris-waris terdekatnya tetapi mereka juga tidak mengetahui yang Puan Itam Bemban dan Anjang Lit menemui tempayan emas berkenaan. Malah tempayan berkenaan kelihatan biasa sahaja dan ianya mungkin tidak disimpan lagi atau hilang dengan sendirinya. Mungkin pasangan ini sengaja merahsiakan penemuan Tempayan Bedene dari orang ramai kerana bimbang kepada keselamatan mereka.Semasa penulis berada di sekitar sawah berkenaan untuk mengambil foto, kawasan kubang ini yang dulu tak pernah kering walau pun musim kemarau sudah tidak kelihatan lagi, malah dah diratakan dengan alat atau mesin pembajak. dan penulis selalu bertaut (tajo) disekeliling kubang ini untuk mendapatkan ikan haruan,keli dan puyu pada ketika itu.Nama-nama yang dipaparkan didalam kisah ini adalah bukan nama asal mereka, namun mereka adalah dari keturunan Tok Kadok serta tidak boleh menjamah ikan tapah.

Golekan Tempayan Bedene ini juga telah dilihat atau berlaku di Kampong Jenalik, Pahang tetapi orang berkenaan hanya melihat sahaja kerana tak tahu berbuat apa-apa. Mungkin ada diantara tuan-puan mengalami perkara berkenaan ? maka cari lah parang puting !!!! masih adakah zaman ini parang puting tersimpan dirumah kita ?





Emas dari Tempayan Bedene.
(Foto Hiasan)



Keras tepi kain - Ini bermaksud kerja-kerja keras yang dijalankan untuk mendapatkan sedikit imbuhan demi kelangsungan hidup sebagai hamba Allah. Berusaha demi masa depan anak-anak mereka.

Dangau - rumah sementara tepi bendang (sawah) tempat berehat setelah penat mengerjakan sawah.



Mungkin papan tanda tunjuk arah di Lambor Kanan ini berguna pada kita :-



Jalan Lubuk Emas - Banyak emas agaknya.
(Foto sumbangan dari FB Lambor Kanan Pekan)





Isnin, 23 Disember 2013

SALASILAH KETURUNAN MUNTAH LEMBU - BLOG AL-LAMBORRI.


KETURUNAN "MUNTAH LEMBU"



Di zaman itu diriwayatkan negeri ini belum ada nama lagi sungguhpun Bruas sudah termasyahur sebagai sebuah negeri yang makmur.  Jika telah ada nama pun tidaklah diketahui dengan jelasnya.  Oleh yang demikian, kedua adik Tun Khamis iaitu Tun Kelawang dan Tun Jelan memanggil negeri itu “Tanah Abang”.  Ada satu riwayat yang lain menceritakan bagaimana negeri ini pada asalnya dipanggil Negeri Perak.  Daripada keturunan atau zuriat Tun Khamis di Perak, maka terjadilah salasilah sebagaimana berikut:-

Salasilah keturunan keluarga "Muntah Lembu"





Tuan-tuan boleh mengikuti lanjutan tulisan dan cerita mengenai keturunan Muntah Lembu yang berkaitan dengan beberapa keturunan di Negeri Perak melalui blog Al-Lamborri.
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
 

Dalam kenangan Allahyarham Haji Mohd Yaakob B. Haji Abas Al-Lamborri

Terima kasih kepada penulis blog Al-lamborri kerana memberi artikal ini untuk turut diterbitkan didalam blog Sumpahan Tok Kadok.

* Kalau di Telok Bakong (Padang Marhom @ Mohom)cerita Tanah Abang ni adalah mengenai dua beradik, seorang merajuk atau beralah (Mahkota Alam)lari kedarat (sekarang - Felcra Nasarudin)dan adik tinggal di baruh iaitu Tanah Abang untuk memerintah.....Wallahualam..

Rabu, 18 Disember 2013

KELAB MELAYU KG PULAU TIGA (Utusan Malaysia 18/12/2013).



 


 Kelab Melayu Pulau Tiga.

Siapa kata orang Melayu tiada rumah kelab? Gambar yang diambil sekitar tahun 1920 ini menunjukkan ahli-ahli kelab di hadapan Rumah Kelab Kampung Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak. - Gambar Ihsan Datuk Dr. Kamarul Baharin Buyong.

HUJUNG minggu lalu saya berkesempatan 'melancong' ke sebuah kampung, bukan di benua Eropah, tetapi di tanah air kita sendiri. Kampung itu sungguh unik dan perlu diketahui oleh kampung-kampung di seluruh negara.Saya sungguh bernasib baik kerana turut diiringi oleh seorang sahabat yang juga orang kampung di situ. Beliau ialah bekas Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Dr. Kamarul Baharin Buyong.Kampung itu ialah Kampung Pulau Tiga, dalam daerah kecil Kampung Gajah di Parlimen Pasir Salak, Perak Tengah. Ia terletak di tepi Sungai Perak yang lebar dan mengalir laju.Yang menariknya selain Dr. Kamarul, seorang lagi bekas Ketua Pengarah Muzium Negara yang juga berasal dari kampung itu ialah Datuk Shahrom Yeop.

Memang layak pun mereka menerajui organisasi itu, kerana kampung itu dan daerah Pasir Salak merupakan kawasan bersejarah ulung di negara ini.Residen British pertama di Perak James Wheller Woodfird (J.W.W) Birch, yang menurut Wikipedia sebagai buta jiwa Melayu, tuli kepada bahasa Melayu dan naif dengan budi bahasa, dibunuh oleh Datuk Maharaja Lela Pandak Lam di tepi Sungai Perak, Pasir Salak pada 2 November 1875.Menurut cerita, selepas pembunuhan itu, seluruh penduduk di kawasan itu 'dipulau' oleh pihak British.Mana-mana penduduk dari kampung-kampung di situ sentiasa dicurigai oleh British dan sukar bergerak bebas. Mereka dicap sebagai 'teroris' atau pengganas, sama seperti profiling Amerika ke atas orang Islam sekarang.Ini menyebabkan ramai penduduknya membawa diri keluar daerah dan merantau ke seluruh Tanah Melayu untuk memajukan diri. Yang tinggal di daerah itu, mereka terpaksa berdikari. Tiada bantuan daripada British.Itu pasal sehingga hari ini secara kebetulan, biologikal atau tidak, rata-rata rakan-rakan saya dari kawasan itu garang-garang belaka, cukup berdikari dan amat kritikal dari segi pemikiran.British hanya memajukan kawasan-kawasan penduduk Cina yang kini merupakan pekan-pekan penting di Perak.Namun, sebelum pembunuhan itu, daerah Pasir Salak merupakan kawasan tumpuan British kerana kedudukannya yang strategik, ia mempunyai lebuh raya sungai yang utama.Malah jika dikaji sejarah lagi, di Kampung Pulau Tiga sahaja pernah dinaungi oleh lima orang sultan yang menjadi asas kepada Kesultanan Perak sekarang.

Saya dibawa oleh Dr. Kamarul menziarahi beberapa makam sultan yang berada di sekeliling kampung itu. Makam-makam itu adalah tempat bersemadi Sultan Mahmud Shah, Sultan Muhammad Shah, Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Mahmud Iskandar Shah dan Sultan Alauddin Mughayat Shah.Saya terpegun kerana makam-makam itu terletak di celah-celah lorong, kampung dan di tepi sungai.Terletak juga makam ulama, termasuk ulama berasal dari rantau Arab yang pernah menghuni di situ.Namun, jika kita sering melancong ke luar negara dan melihat tempat-tempat bersejarah dijaga rapi, makam-makam di situ tidak terurus dan terbiar. Semak-samun memenuhi kawasan sekeliling.Kampung Pulau Tiga yang dipisahkan oleh Sungai Perak terletak di sebelah kiri dan kanan. Kedua-dua kampung ini cukup menarik dan bersejarah.Saya yang juga berasal dari kampung belum pernah melihat kampung yang cukup 'hidup' seperti Kampung Pulau Tiga. Saya bertemu dengan seorang penggerak kepada aktiviti-aktiviti kampung di situ iaitu Nordin Abdul Malek untuk menyelami fikirannya.Ternyata beliau ialah anak muda dan usahawan yang cukup agresif. Saya dibawa dengan kereta Mercedes tuanya ke merata pelosok desa itu untuk melihat apa yang ada.

Cukup terpegun. Kampung itu memenangi beberapa anugerah yang dijalankan oleh kerajaan. Kampung itu juga pernah menang hadiah geran RM2 juta daripada kerajaan.Memang layak ia menang. Saya dibawa melihat aktiviti pertanian. Jarang-jarang kita boleh melihat ladang pokok asam gelugur. Asam gelugur, selain dibuat asam keping, ia dijadikan perusahaan jus yang sungguh segar diminum dingin di kala panas.Di satu lorong lain kampung itu, saya menyaksikan ladang ternakan ikan. Ia bukan ikan biasa. Ladang itu dikawal dengan sistem keselamatan canggih. Ia menternak ikan-ikan untuk eksport. Antara ikan yang diternak ialah ikan pari air tawar berasal dari Amazon yang cukup cantik. Difahamkan harganya ialah sekitar RM3,000 seekor. Selain itu ia juga menjalankan aktiviti penternakan ikan arowana.Di celah lain kampung itu, kita melihat aktiviti membuat dodol, kraftangan dan seramik labu yang cukup menarik.

Di kampung sebelah pula ialah aktiviti pelancongan-agro. Saya melihat bagaimana projek tanaman cili merah yang dijalankan secara fertigasi menghasilkan cili-cili yang cukup subur dan panjang. Harga di pasar boleh menjangkau sehingga RM20 sekilogram.Semua aktiviti itu dijalankan di bawah program My Kampung My Future (MKMF), satu program yang dijalankan ke atas beberapa buah kampung terpilih di negara ini oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.Menurut Nordin, di kampung itu juga terletak pusat latihan pertanian yang dikendalikan oleh beliau. Ia mungkin pusat latihan yang satu-satunya dijalankan oleh anak kampung di negara ini.Kebetulan saya di situ, saya sempat menyaksikan program hands-on untuk belia-belia mengenai pendedahan sebenar perniagaan tani (ABRE) di Kompleks Desa Warisan iGROW. Kursus itu diikuti oleh para pelajar jurusan perniagaan UiTM Seri Iskandar, terletak berdekatan kampung itu serta pelajar Politeknik Jeli, Kelantan.Melihatkan kejayaan kampung itu, saya merasakan ia patut dicontohi oleh semua kampung di negara ini. Pertama kali saya di situ, saya cukup kagum. Ia patut dijadikan destinasi lawatan sambil belajar oleh penduduk kampung lain seluruh negara.

Saya kemudian dibawa oleh Dr. Kamarul ke Pasir Salak. Di tepi-tepi jalan kelihatan jualan buah-buahan, terutamanya durian cukup rancak. Kawasan itu adalah dusun durian yang terkenal di Perak.Sebagai orang muzium, tidak sah jika Dr. Kamarul tidak membawa rakan-rakannya melawat ke Kompleks Sejarah Pasir Salak. Dari luar ia kelihatan satu kompleks yang indah. Tapi di pagarnya yang sepatut terpacak replika lembing, semuanya sudah hilang dicabut.Idea pembinaannya dicetuskan oleh bekas MB Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang juga berasal dari situ. Namun sayang seribu kali sayang, di musim cuti sekolah ini tidak ramai lagi yang berkunjung."Macam mana mereka nak datang, keadaannya sudah tidak terjaga. Aircon pun sekejab elok dan tidak. Cuba pergi tengok Rumah Dato' Maharaja Lela, mungkin ular sawa pun ada di situ, rumah itu sudah berada dalam semak-samun dan hampir menyembah bumi," kata seorang wanita yang menjaja warung minuman di luar kompleks itu dengan raut muka sedih dan marah. Ironinya, rumah kuaratornya pun kini sudah terbiar dan menjadi 'rumah hantu'.Termenung saya, jika peniaga warung pun boleh berfikir, ke mana pula perginya pegawai-pegawai besar kita? Memang sedih. Suasananya sudah tidak terurus. Tiada siapa lagi peduli dengan kompleks yang dirasmikan oleh Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990.
Jika Tuanku Raja Nazrin membaca tulisan ini, patik berharap Tuanku buatlah kunjungan mengejut ke situ. Jika kerajaan negeri tidak peduli mungkin Jabatan Muzium Negara boleh mengambil alihnya secara langsung?

Amat memalukan jika pelancong dari Britain misalnya, datang untuk melawat sejarah nenekandanya Birch di kompleks yang gah, tetapi daif itu.
Dr. Kamarul melihat saya berkerut. Dan beliau faham apa yang saya fikirkan.
"Saya juga amat sedih...," katanya perlahan.
Kami kemudian meninggalkan kompleks itu dengan pelbagai persoalan. Beberapa hari lagi ialah 2014 iaitu Tahun Melawat Malaysia? Alahai...