Rabu, 2 Oktober 2019

TARIAN LOTAH (LOTAH) - DITELOK BAKONG.

PENGENALAN LOTAH.

Tarian Belotah (Jawi: تارين بلوته) merupakan sebuah tarian rakyat negeri Perak, Malaysia yang berkaitan dengan persawahan di mana kesenian ini seringkali dipersembahkan semasa menuai padi. Padi yang telah dituai dihimpunkan di atas “pelantar” yang mana lantainya diperbuat daripada bilah-bilah batang pinang yang diikat dengan rotan. Pelantar ini boleh memuatkan 10 – 15 orang dalam satu-satu masa. Mereka yang terlibat akan memijak padi dalam bentuk bulatan sambil berbalas-balas pantun dan diselangi dengan sebutan “Lotah… Lotah… hei lah… le!” Terdapat dua jenis pantun Belotah iaitu Lotah Panjang dan Lotah Pendek. Suasana melotah ini penuh dengan kegembiraan dan kemesraan di mana berlakunya usik mengusik terutama di antara teruna dan dara. Tidak keterlaluan jika dikatakan acara Belotah ini memberi peluang kepada anak-anak muda mencari pasangan hidup.
(Wikipedia)

BALAI LOTAH.

Kenali dulu saiz pentas atau Balai Berlotah yang di suatu ketika dulu digunakan masyarakat petani dan penanam padi untuk menghasilkan leraian padi dari gumal padi setelah dituai ketika padi sampai matang atau masak. Di Perak Tengah khususnya di Telok Bakong yang mempunyai bendang yang luas, sering menggunakan kaedah berlotah apabila musim menuai tiba, masyarakat yang begitu akrab dan berkerjasama sahaja yang mampu menjalinkan aktiviti berlotah.


Replika Balai Berlotah di Kg Pasir Salak.




Replika Balai Berlotah.


Balai Berlotah.


Saiz sebenar balai berlotah adalah dianggarkan 13kaki ke 15kaki panjang, dan 15kaki lebar, tinggi kebiasaannya ketinggian kira-kira 13kaki atau 10 kaki, ini membolehkan tiupan angin lalu dibahagian bawah untuk melarikan padi yang sambang atau tak berisi dan hanya padi yang bernas jatuh dibawah.Tapi ada juga pentas balai berlotah ni lebih besar dari itu dan ada juga lebih kecil, tiada saiz standard mengikut piawaian tertentu . Ianya mengikut keperluan sesuatu keluarga atau kumpulan masyarakat di Telok Bakong. Contohnya seperti difoto yang dilukis oleh tuan Mimi Lop Saidin dari Telok Bakong Hilir. Balai berlotah di Telok Bakong mempunyai palang penghadang disekeliling balai berlotah, ianya bertindak sebagai penghadang dan pemegang bagi penari mengeliling balai sambil mengherek gumpalan (gumal) padi. Kebiasaan pembinaan balai lotah ini tidak berjauhan dengan tepian bendang dan mempunyai tiupan angin.



Gambaran Balai Belotah yang digambarkan oleh Mimi Lop Saidin.
(Gumal padi sedang diherek menggunakan kaki diatas balai berlotah)


Rumpun Pokok Padi yang sudah masak
 dan boleh dituai serta dikumpul dijadikan gumal padi.


CATATAN DI PLAK REPLIKA BALAI BERLOTAH
(MUZIUM TAIPING).

Saiz sebenar Balai Berlotah adalah 15 kaki panjang, 15 kaki lebar dan 13kaki tinggi. Biasanya tiang Balai Berlotah diperbuat dari kayu keras seperti batang pokok merbau atau kayu cengal .Lantai Balai Berlotah pula diperbuat tiga lapis, lapis bawah dan tengah diperbuat dari batang pinang yang berfungsi sebagai penahan bebenan penari yang ramai.Manakala lapisan lantai yang paling atas diperbuat dari belahan buluh yang dianyam dengan rotan . Dibahagian bawah diletakan dua batang pokok pinang yang disilangkan bagi mengelakan lantai terus jatuh kebawah.



TARIAN LOTAH.

Peralatan Persembahan dan Pakaian Alatan-alatan yang digunakan dalam persembahan Lotah ini adalah pelantar, gemal padi, nyiru dan tikar. Dalam persembahan Tarian Lotah tiada pakaian khusus untuk pelaku iaitu penari yang juga penyanyi. Pakaian yang dipakai oleh mereka adalah pakaian harian. Walau bagaimanapun bagi tujuan persembahan acara rasmi, pelaku memakai pakaian baju Melayu lengkap. Jika perempuan menggenakan baju kurung lengkap. Persembahan Lotah Persembahan kesenian Lotah atau juga dikenali sebagai Belotah ada mirip persembahan tarian Sewang seperti yang dipersembahkan oleh orang-orang asli. Penari juga bertindak sebagai penyanyi akan mengelilingi dan ‘mengirek’ gemal padi sambil menyanyi lagu Lotah secara beramai-ramai. Persembahan tari Lotah ini diadakan di atas pelantar di mana kayu susunan kayu secara bergalang di bahagian pelantar tersebut akan bergesel apabila dihenjut oleh penari. Bunyi henyutan itulah akan menghasilkan bunyi yang mengiringi nyanyian penari-penari. Pergerakan pada gerak tari semasa lagu ini dimainkan iaitu ayunan kaki dua kali ke depan dan dua kali ke belakang dan dihenjut ke pelantar padi.

Seni kata lagu Tarian Lotah pendek.

Amboi aya ya ya ye
Lemah lembut ha hai ha ha
Kayu dan akar le….
Aya ya ya ye….
Ha Hai…
Nak mengikat batang padi
Ha ha ha ha dalam padi
Aya ya ya ye
Amboi lemah lembut le
Ha hai kayu pelanto
Ha ha ha ye
He hai
Nak menimpang le padi
Semangat padi le
Aya ya ya ye

Seni kata lagu Tarian Lotah pendek.

Ha ha hai
Ha ha hai
Ha ha hai
Lotah lotah de lang le
Lemah lembut akar kayu le
Lotah de lang le
Nak mengikat batang keladi
Lotah lotah de lang le
Lembut kayu pelanto
Nak menimang padi
Semangat padi
Lotah lotah de lang le
Lotah lotah de lang le
Gunung tunggul gunung keramat
Hai ya ya ye
Dapat dilihat dari tebing tinggi
Lotah lotah de lang le
Kami di sini mengucap selamat
Hai ya ya ye
Pada tuan
Yang datang ke mari
Lotah de lang le
Lotah de lang le


Seni kata atau lagu lotah ini, kalau di Telok Bakong jauh berbeza dengan senikata diatas tetapi oleh kerana orang-orang yang mahir dalam cerita Lotah ini telah pun tiada (Kedua-dua Allahyarhamah Teh Sariah - seorang isteri Pandak Abir dan seorang lagi isteri Tok Jelis) dan rujukan penulis tidak dapat memaparkan senikata berkenaan dan yang penulis ingat senikatanya " lotah terhiyo hiyo, lotah de lang le......." baris lainnya tak dapat dingat oleh penulis.