Isnin, 4 Januari 2016

MAWAS DIHUTAN LAMBOR.

Blog Sumpahan Tok Kadok pada kali ini ingin berkongsi cerita dengan semua pelayar blog tentang kewujudannya binatang bernama "Mawas" di hutan Mukim Lambor di suatu ketika dahulu. Mungkin generasi sekarang tidak pernah mendengar cerita ini dikampong kita kerana kebanyakan hutan sudah ditanami oleh kelapa sawit atau bendang (Sawah Padi). Marilah kita ikuti cerita ini.



Foto bendang dan dibelakangnya kelapa sawit
 beribu ekar di Seberang Perak (dulu hutan Mengkuang rubai).


MAWAS.

Di daerah Lambor suatu ketika dulu dilaporkan wujudnya suatu kehidupan binatang bernama "Mawas". Mungkin sekarang dipanggil "Big Foot", ada perbezaan dari segi fizikal dan cara kehidupan kedua-dua binatang ini. Mawas di daerah Kampong Lambor Kiri ini, iaitu disebelah darat menghala ke laut, terdapatnya tanah berpaya dan pamah atau rata. Mawas yang wujud suatu ketika dulu disini adalah menyerupai bentuk fizikal manusia yang tinggi sekitar 5 kaki 3inci atau lebih rendah sedikit,badan berbulu dan tidak begitu tebal, dikepalanya terdapat damar atau lilin dan warna kulit agak kehitaman. Tapak kakinya terbalik,iaitu berjalan menggunakan tumit kedepan,oleh itu pergerakannya agak perlahan kalau dibandingkan dengan kita manusia. 

Cara binatang ini berjalan sebagaimana manusia, cuma nampak terbalik kerana tumit disebelah depan dan seolah-olah seperti manusia berjalan kebelakang.Dia tidak berjalan sepertimana orang hutan atau beruk,kera apabila berjalan diatas tanah tapi menyerupai berjalannya seperti kita.Dia tidak ada ekor sebagaimana kera atau beruk. Aktiviti memanjat pokok terutama pokok bayas agak kurang kerana dia sering menggunakan lengan yang bertulangkan besi untuk menebang pokok-pokok kegemarannya. Mungkin binatang ini Allah jadikan tulang lengan dan kirinya dari besi dan kepupusan binatang ini juga hasil dari pemburuan manusia kepada besi tulang lengan mawas ini, lihat foto lembing yang dibuat dari besi tulang mawas dibawah.

Umbut pokok adalah makanan utamanya, umbut pokok bayas,pucuk daun kayu serta beberapa pokok hutan yang berada dihutan paya. Dilengan kiri dan kanannya bertulangkan besi.Bersuara seperti suara manusia (cuma tidak boleh bertutur atau bercakap seperti manusia). Kehidupan dihutan paya bakau atau dikelilingi dengan pokok bayas,mengkuang rubai serta hutan belukar yang agak sederhana dan sering bersendirian menerokai hutan-hutan berkenaan adalah kegemarannya serta hidup dengan selesa.


Pokok Bayas.

Terdapat tabiat buruk pada kehidupan binatang mawas ini,iaitu kehidupan mereka tidak membiak kerana mawas betina seringkali memakan anaknya sendiri.Mungkin disebabkan sedemikian binatang ini telah pupus dan disamping kitaran kehidupannya telah berubah dan punca makananya sudah tidak ada lagi. Kehidupan sering bersendirian terutama mawas betina, jadi diwaktu itu amatlah susahnya untuk menemui ianya sepasang atau tidak langsung berkumpulan, mungkin masa mengawan boleh ditemui sepasang jantan dan betina. tapi pula siapakah yang berani menemui mawas ini kerana khabarnya binatang ini buas dan ganas.


Gambaran penulis rupa mawas sepertimana yang digambarkan orang yang pernah menemuinya dihutan Lambor Kiri.Damar atau lilin yang diatas kepala mawas ini menurut mereka sepertimana sangai (tudung saji) terbalik.Manakala gigi taringnya tidak begitu menonjol keluar dari mulutnya tapi ianya kelihatan apabila ia melihat manusia dan menyeringai. Faktor damar atau lilin inilah yang mawas ini takut jika terdapatnya api atau unggun api berdekatan dengannya dan dah pastinya binatang ini lari dari unggun api tersebut kerana takutkan damar diatas kepalanya mencair.



Besi Mata Lembing yang dibuat dari Tulang Mawas.


Cerita Mawas - dari Pengalaman orang yang menemuinya.

Nama           -  Allahyarhamah Ngah Meah dan Allahyarhamah Alang Mani & suaminya.
Pekerjaan             -  Pencari Mengkuang Rubai dan kerja-kerja kampong.
Tempat Tinggal     -  Kampong Kuchai Lambor Kiri.
Hubungan             -  Kedua-duanya Emak Saudara sebelah bapa kepada penulis.
Menemui Mawas   -  Hutan sebelah darat Lambor Kiri.
Tahun Kejadian     -  Awal 1960an.

Sebagaimana kebiasaan kedua-dua beradik ini, puan Ngah dan Alang mengemaskan peralatan untuk mencari mengkuang rubai yang banyak terdapat berhampiran hutan menghampiri tanah lembah dan berpaya.Pisau parang,golok,mencapi,suluh,raga,bujam makanan dan air minuman. Seawal pagi kedua-keduanya telah siap untuk mencari mengkuang rubai.Mengkuang rubai kebanyakannya banyak terdapat berhampiran dengan laut atau lembah dan adakalanya mereka kena bermalam didalam hutan tersebut kerana tempat pencarian agak jauh.

Setelah sampai ketempat yang dituju,masing-masing melakukan kerja-kerja mencantas daun rubai dan disusun mengikut pelepahnya sebagai mana menyusun mengkuang air juga untuk disisip bagi memudahkan membawanya balik. Hari dah makin petang,sedang puan Alang aksyik dengan kerjanya terdengar ditelinganya bunyi orang memanggil...Ooooi....Ooooi...Ooooi dengan nada sayup dikejauhan. Dalam benak fikirannya mungkin kakaknya memanggil dia agar tidak terlalu jauh dengannya sambil membuat kerja. Tak pa lah disahut je lah, maka beliau pun berteriak...Ooooi..Ooooi dekat sinilah. Puan Meah berada tidak jauh dari Puan Alang dan berasa pelik pulak siapa yang disahut oleh Alang tu, dalam hatinya berkata, setahu dia tadi mereka bertiga sahaja yang datang mencari rubai ni.Puan Meah kembali membuat kerjanya dan tidak begitu menghiraukan panggilan berkenaan.

Ooooi....Ooooi.........Ooooiii... terdengar lagi teriakan atau laungan. Tanpa rasa ada apa-apa yang mencurigakan pada laungan itu, puan Alang tetap juga melaungkan Ooooiii....disini. Ooooii...Oooii sekali lagi laungan itu terdengar oleh puan Alang. Kali ini laungan itu sudah hampir bunyinya dengan tempat beliau mengambil mengkuang rubai.Perasaan hatinya dah tak berapa sedap dan memerhatikan suasana disekelilingnya. Oooi...Oooiii terdengar laungan itu dan kali ini tubuh yang memanggil terlihat dan terdengar dengan suaranya sekali dan jarak antara kedua kini kira-kira serantai saja. Dengan mencampakkan pisau ditangan serta mengkuang rubai puan Alang seperti hilang akal melompat belari memanggil kakanya Ngah Meah. Meah...meah...tolong..tolong..tolong dengan pekekan yang kuat serta cemas, dan binatang mawas tadi menampakan wajahnya dengan menyeringai serta menjuehkan bibirnya sambil tangan kiri mawas ini memegang kemaluan menunjukan kepada puan Alang (dalam bahasa badannya yang bermaksud mawas jantan berkenaan nak mengawan).

Oleh kerana suara pekekan dari puan Alang begitu kuat dan cemas maka suaminya juga turut berlari mendapatkannya dan terkejut apabila milihat mawas yang kini tidak pernah dilihatnya menuju kearah mereka. Cepat Meah ambil mencapi, hintu dan perunkan api, teriak suami puan Alang.Dalam kekecohan itu dengan segera puan Meah mengambil mencapi dan mencucuh suluh (daun kelapa kering diikat & anyam) yang memang ada dibawa apabila mereka keluar mengambil rubai dan mengumpulkan kayu-kayu kecil yang kering untuk menjadikan perun api yang besar menyala. Dengan berbuat demikian mawas akan lari kerana takut akan damar atau lilin diatas kepalanya terbakar. Sementara ketiga-tiga mereka berlindung mendekati perun api berkenaan sambil memerhatikan tindakan mawas dari unggun api tersebut.

Mawas berkenaan amat marah apabila melihat api dan cuba mengacah-ngacah dari jauh dengan gaya menerkam serta menghampiri unggun api. Ketiga-tiga mereka naik cemas dan panik apabila melihat mawas menghampiri mereka bertiga ditepi unggun api. Cubalah kita bertahan disini,suara puan Meah menyeru adik dan adik iparnya dan mengikut orang tua-tua dahulu dengan api sahaja yang boleh menakutkan binatang mawas ini dan kita jangan berpecah atau lari, saranan dan kata-kata yang keluar dari mulutnya. Unggun api berjaya di hidupkan dengan turut membakar kayu-kayu kecil disekitar yang mampu dicapai oleh puan Meah yang dicampakan kedalam unggun api, nampaknya mawas semakin panas dan mula berundur sedikit demi sedikit kebelakang, ini kerana bahang unggun api telah terasa dikulit badannya. Tak lama kemudian dilihat mawas berkenaan mula menghilangkan diri kedalam hutan dan tak dapat dilihat lagi oleh mereka. Marilah kita balik kata puan Meah sambil mengarahkan adiknya menyusun daun-daun rubai yang telah dipotong untuk dibawa balik.

1.Mencapi - bermaksud Mancis api.
2.Hintu - menghidupkan api.
3.Suluh - daun-daun kelapa kering dianyam untuk menjadi penyuluh apabila dibakar.
4.Bujam - menyerupai beg yang dianyam dari mengkuang rubai atau mengkuang air.
5.Golok - pisau bersarung dan diikat dipinggang.
6.Parang - Pisau parang.
7.Perun api - unggun api.
8.Menyeringai - menyengih.


Komen Penulis.

Dengan jarak yang begitu dekat ketiga-tiga mereka yang melihat "mawas" ini dapat melihat fizikal dan bentuk badan binatang ini dengan jelas. Dalam penceritaan ini sebanyak dua kali mereka bertemu dengan "mawas" berkenaan dan yang pasti kali kedua mereka boleh bertenang kerana melihat pergerakan yang lambat dari binatang ini dengan tumit kedepan dan mereka segera menghidupkan unggun api.Walaupun kekerapan mereka ini mencari mengkuang rubai didaerah yang berpenghuni dengan binatang mawas ini tapi hanya dua kali sahaja mereka bertemu. Kedua-dua pertemuan ini adalah dengan mawas jantan sahaja. Generasi kita dizaman ini tidak dapat melihat lagi binatang seperti manusia ini lantaran kepupusan kehidupannya,namun penulis mengajak tuan-tuan menyelami peristiwa penemuan mawas ini pada zaman yang ia pernah ditemui.