Rabu, 25 September 2013

ASAL USUL NAMA KAMPONG TELOK BAKONG.



Masjid Al-Syukuriah Telok Bakong.


Bangunan Sekolah Melayu.
(Banyak meyimpan sejarah Warga Telok Bakong)



Sungai Perak yang berteluk 
(Tebing Teluk Bakong).

Diawal tahun 1979 penulis telah menyertai sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Sultan Muzafar Shah 1 Lambor Kanan untuk mencari usul asal nama Kampong Telok Bakong (bagi persediaan ujian lisan Bahasa Malaysia SPM). Kami telah menemuramah ramai warga tua waktu itu, antaranya yang masih diingat oleh penulis adalah Teh Sariah (isteri Pandak Abir), Hj Shafie Chu Talak, Yahya Chu Talak, Hj Sufian Gamat (masa di gedai getahnya-Kg Padang Marhom), Ayah We Kulop Jilin (Kg Paloh- beliau pakar salasilah dan sejarah di kampong Telok Bakong), dan beberapa nama lagi yang dah tak dapat diingat oleh penulis.



Ahmad Gamat bin Alang Sumat.




Pak Cu Kudu bin Kulop Maamor



Ayah We Kulop Jilin.


Shafie bin Chu Talak.


 
Tn Hj Yeop - tengah sedang mengasah pisau.



Alang Abdul Rahman (Alang Chong)
& isteri Alang Arpah.



Nama-nama seperti Tn Hj Yeop (Naib Khadi), Imam Tahrim, Pak Cu Kudu, Alang Abdul Rahman (Alang Chong), Teh Sariah (isteri Jelih),Wan Milah, Wan Ham dan Alang Arpah serta beberapa nama lagi telah ditemuramah oleh penulis sebelum menyertai kumpulan pelajar SMSMS1 lagi. 

Dari cerita-cerita yang diperolehi oleh warga tua yang ditemuramah, semua menyatakan tiada satu pun dokumen bertulis yang menceritakan bagaimana Kampong Telok Bakong memperolehi namanya, dan mereka mempunyai cerita masing-masing tentang asal usul nama kampong Telok Bakong ini diperolehi.



Ini pemandangan diwaktu awal pagi di tebing antara dua Telok.
Yang dihujung Teluk Kepayang dan yang dibelah sini Teluk Bakong.


Cerita Asal usul 1.

Pada masa dulu kampong kita ini banyak ditumbuhi dengan pokok Bunga Bakong dan hampir setiap rumah di Telok Bakong menanam pokok bunga ini. Ini kemungkinan besar penduduk kampong menggunakannya bagi tujuan perubatan,kerana dari akar/ubi pokok bunga ini mempunyai khasiat tersendiri. Pokok Bunga Bakong ini boleh merawat beberapa penyakit seperti luka kecil,sakit pinggang dan tersalah urat serta khasiat yang lainnya.

Di Tebing Tasik Air Mati di Changkat Melintang pula terdapatnya teluk yang dilindungi oleh pulau Tabuan, jadi dengan melihat kedamaian tasik serta terlindung serta berteluk maka dari sini digabungkan Teluk dengan Bunga Bakong yang menjadikan ianya nama Teluk Bakong yang bermaksud tempat atau kampong yang selamat dan damai dengan penduduknya bersatu padu umpama perdu bunga bakong dengan bunga putih diatas perdu mewar-warkan kewangaian ketika berbunga dan lambang kesucian warna putih bunga tersebut.

Tebing Bakong.
(Tebing sungai yang belah Kiri)


Bunga Bakong (Lili).


Cerita Asal Usul 2.

Disepanjang tebing Air Mati hingga ke muara sungai Perak terdapat banyak pokok kangkung yang tumbuh liar yang mudah diperolehi untuk kegunaan harian bagi ubat sakit mulut dan sayuran masakan (menyayor). Bagaimana pula pokok kangkung boleh mengubat sakit mulut (bibir pecah-pecah) adalah dengan mematahkan batang kangkung dan mencecahkan getah kangkung ke bibir mulut yang sakit dan pecah. Iaitu menggunakan getah kankung liar untuk merawat sakit mulut/bibir orang-orang dulu, apabila penulis mencuba rawatan seperti yang dinyatakan adalah amat pedihnya dan sakit bibir penulis.

Kawasan sungai di disebelah tebing padang kerbau (atau waktu itu dipanggil pucuk - ara licin) mempunyai teluk dan airnya berpusar kerana kedalaman paras airnya waktu itu, dengan adanya teluk dan kangkung liar berkenaan maka ketua-ketua puak waktu itu menyebut teluk dan kankung berselang seli. Ada yang sebut bankung, bakung dan kangkung dan sampai suatu masa menjadi sebutan Teluk Bakong dan lahirlah nama Kampong Teluk Bakong. Oleh kerana kedua-dua tebing sungai adalah keturunan atau waris yang sama, nama Teluk dah diambil oleh puak waris Teluk Bakong dan tebing kiri pula dinamakan Bakong sahaja. Disini perlu dinyatakan bahawa penduduk di Kampong Bakong adalah juga puak waris orang Teluk Bakong atau satu keturunan yang sama.





Cerita Asal Usul 3.

Yang paling ramai menceritakan asal-usul Kampong Teluk Bakong adalah dengan cerita begini :-

Semua orang (penduduk) ketika itu tinggal ditepi tebing dan untuk mudah kesana sini dengan mengayuh sampan atau perahu serta keperluan kegiatan harian seperti mandi, basuh pakaian serta sisa buangan yang berat dari perut manusia juga kedalam sungai. Jika dilihat ditebing sungai terdapatnya teluk, samaada di Air Mati atau di tebing Wan Lamah dan orang tua-tua dulu menjalankan perubatan banyak menggunakan pokok bunga bakong yang tumbuh meliar disekitar kampong serta khasiatnya yang mujarab menyembuhkan penyakit orang-orang kampong waktu itu. Oleh yang demikian dua perkara ini disatukan untuk menjadi nama kampong oleh ketua waktu itu (tak dinyatakan pulak namanya) untuk menjadi nama Kampong Teluk Bakong.


Pemegang Salasilah Tok Bakong.

Tuan Haji Shaudin Sidek adalah pemegang salasilah Panjang Tuah dan Tok Bakong. Adakah nama Teluk Bakong sempena nama moyang kita Tok Bakong ?penulis belum lagi berkesempatan untuk bertemu beliau bagi bertanya mengenai Tok Bakong ini. Mungkin ada cerita disebalik nama-nama berkenaan.



Tn Hj Shaudin Sidek.

Ulasan dan komen penulis.

Kesimpulannya tiada satu pun pengesahan data-data cerita dan dokumen yang mengesahkan asal usul nama kampong Teluk Bakong mendapat namanya. Semua cerita dari mulut kemulut sahaja dan penulis mempelawa semua waris dan pelayar blog ini mengemukakan cerita asal usul nama kampong Telok Bakong jika ada untuk dipaparkan diblog ini bagi kita sama-sama mengetahui tentang asal nya nama kampong kita.