Ahad, 16 Januari 2011

LAGENDA TASIK AIR MATI DAN SUMPAHAN SANG KELEMBAI.


GAJAH BATU. 


Foto terkini Gajah Batu Tasik Air Mati18/09/2011.
(Foto Sumbangan dari : Encik Azman Kamaruddin 
serta Ery Chu Pulau & Ein Toyol-nama samaran) 

Bukan mudah untuk mencari lokasi tempat Gajah Batu ini kerana tempat berkenaan masih berair dan ditumbuhi semak samun serta jerumun hutan yang tebal. Keselamatan pengunjung juga perlu difikirkan sebelum berkunjung ketempat ini. Penulis juga sebelum artikal ini ditulis telah berkunjung ketempat berkenaan untuk menjejak muara Parit Siam dan Gajah batu ini tapi tak sanggup menempuh jerumun tebal yang umpama karpet bergelombang diatas air, jika terjelus tak mungkin kita dapat naik keatas kembali. Mungkin spesis ular juga banyak termasuk ular sawa. Tahniah kepada orang-orang yang terlibat diatas kerana dapat mencari lokasi gajah batu berkenaan dan mengambil foto objek bahan lagenda ini. Walau pun bentuknya telah banyak berubah kerana dihakis oleh zaman tapi lagenda ini tetap berada disitu untuk dikenang dan ditatap oleh generasi baru sebagai bahan rujukan sejarah misteri Tasik Air Mati di Telok Bakong.



TASIK AIR MATI
 ( Kawasan yang di Kategorikan kawasan Lagenda ) 




TASIK AIR MATI DAN LAGENDA SUMPAHAN SANG KELEMBAI.

Untuk melihat dimana lokasi tasik ini pelayar internate bolehlah melihat didalam artikal yang sebelumnya iaitu bertajuk TASIK AIR MATI.

Terdapat banyak tempat-tempat yang dikaitkan dengan sumpahan sang kelembai atau sesetengah tempat pula memanggil sang kedembai. Siapakah Sang Kelembai ini ? sehingga boleh menyumpah orang atau haiwan menjadi batu.Kenapa terjadinya sumpah menyumpah didaerah dan kawasan tasik ini ?  Didalam Tasik Air Mati ini juga tak ketinggalan dengan cerita yang mengaitkan dengan Sumpahan Sang Kelembai ini.  Marilah kita rungkaikan kisah ini melalui cerita dan pengalaman orang-orang terdahulu yang sering menangkap ikan serta urusan harian mereka dengan hadir ke Tasik saban hari.

Menurut cerita dari beberapa orang tua dahulu seperti Tuan Haji Mohd Ali bin Kulop Ali (sering menangkap ikan dengan cara bubu), Itam Saidin bin Uda Malak menangkap ikan dengan belat, Tuan Haji Shafie bin Tuan Haji Chu Talak (menangkap ikan cara belat), Uda Malak bin Alang Sumat (menangkap ikan dengan rawai , taut (tajor) dan memancing. Hajjah Fatimah bt Haji Mohd Ali bersama Puan Alang Lihah (isteri encik Saring) menyauk ikan tetimah serta ramai lagi yang telah meninggal turut mengalami pengalaman-pengalaman yang sama. Sang Kelembai ini telah menegur orang kampong disini (Air Mati) yang kebetulan lalu didaerah ini dan dengan teguran tersebut menyebabkan terjadinya hidupan berkenaan berbentuk batu-batu dan hidupan lainnya ketika Tasik Air Mati ini bersih dan sebagaimana yang akan saya senaraikan seperti berikut :-

Saya bahagikan untuk beberapa bahagian bagi memudahkan cerita ini.

DIBAHAGIAN TANAH DARAT.

1.GAJAH BATU.(Sebagaimana di gambar hiasan)

Gajah batu ini sama sekali menyerupai bentuk gajah hidup (sebagaimana contoh yang kelihatan digambar), tidak seperti di tempat lain yang batu sungai atau batu gunung dan bukit seakan menyerupai gajah.Gajah batu ini terdiri dari seekor gajah dewasa dan dua ekor anak-anaknya (seekor besar dan seekor lagi kecil sedikit). Warga Telok Bakong dan sekitarnya yang lahir didalam tahun 50an dan 60an yang kini berumur sekitar 40an hingga 50an atau ada yang telah mencecah 60an memang tahu dan pernah melihat Gajah Batu ini. Ketika umur penulis sekitar 10 tahun, pernah melihat dari atas tebing Hospital Changkat Melintang rupa bentuk gajah batu ini dengan jelas tapi anak-anaknya tidak kelihatan.Menurut Puan Hajjah Fatimah anak-anak gajah batu ini telah tumbang kedalam air tasik. Ini berlaku ketika kemasukan tentera jepun tahun 1942 dan yang seekor lagi dua atau tiga tahun kemudian juga turut tumbang kedalam air tasik.

Kalau mengikut serpihan yang diambil dari badan gajah batu ini, batu badan gajah tersebut seperti batu kapur dan rapuh serta seroi. Waktu itu belalai dan telinga serta belakang badan gajah telah dirosakkan oleh mahklok yang mengerjakan kerja-kerja kurafat. 

2.BUAYA PUTIH.

Buaya ini amat sukar nak ditemui didalam Tasik Air Mati ini dan pada mereka yang pernah menemuinya amat bernasib baik. Encik Rahim bin Itam Saidin serta Encik Yahya dan Zakaria bin Ahmad pernah menemui buaya ini berhampiran pantai Pulau Tabuan. Buaya ini tidak pernah mengusik penduduk atau warga Telok Bakong yang sering berada didalam tasik ini serta disepanjang alirannya. Yang diketahui dan diceritakan oleh orang tua-tua terdahulu hanya seekor sahaja buaya putih berada didalam tasik.




3.BUAYA TEMBAGA

Buaya Tembaga ini pun yang pernah dijumpai oleh kami hanya seekor juga serta tidak pernah mengusik penduduk persekitaran tasik ini. Penulis dan bapa penulis pernah menemuinya ketika berbelat (menangkap ikan) ditebing Tuan Haji Alang Jais. Buaya tembaga berkenaan ketika itu sedang berjuang mempertahankan kawasannya apabila buaya dari sungai perak memasuki aliran Air Mati. Penduduk persekitaran Tasik Air Mati ini mempercayai bahawa kedua-dua buaya Putih dan Tembaga adalah buaya keramat.



4.PARIT SIAM.

Parit Siam ini muaranya dari daerah tasik ini mengunjur hingga ke Kampong Sedingka arah utara, penulis cuba menjejaki parit ini tapi keadaan hutan dan semak yang tebal serta sukar untuk memastikan keselamatan terjamin dari binatang seperti ular dan yang lain-lainnya.Gambar Parit Siam yang di Sedingka sahaja yang dapat dirakam. Ada berbagai cerita tentang Parit Siam ini dan penulis tidak berkesempatan untuk menyelidiki secara teliti dan mungkin didalam tajuk yang lain akan dibentangkan untuk pengetahuan kita bersama.



PARIT SIAM



BAHAGIAN DALAM AIR TASIK.

1.BATU HAMPAR.

Tidak banyak maklumat yang penulis perolehi mengenai batu Hampar ini dan kawasan letaknya juga tidak diketahui, tapi ianya dikatakan wujud didalam tasik ini.




2.BATU DALONG.

Batu Dalong ini jika dalam bahasa Acheh bermaksud tempat untuk makan (meja), penulis telah merujuk ke beberapa tempat dan masyarakat untuk mengetahui apakah maknanya atau rupa bentuk batu dalong ini. Tiada tafsiran atau makna yang tepat untuk menerangkan rupa bentuk dalong ini, apakah objek yang dikatakan dalong apabila diluar tajuk batu dalong .Jadi saya gambarkan mengikut cerita orang yang terdahulu sebagaimana di foto. Dari maklumat yang diberi batu dalong ini tidak berbentuk bulat sangat tetapi bujur dan melengkug tepian bibir tengah meja batu ini.



3.PENGANTIN BERSANDING MENJADI BATU.

Batu pengantin (Pengantin sedang bersanding menjadi batu) ini juga terdapat didaerah atau tak jauh dari Gajah batu,batu dalong dan batu hampar. Puan Hajjah Fatimah dan Alang Lihah kebetulan menyauk ikan tetimah di daerah tersebut dan telah terlanggar kepala-kepala batu Bersanding ini dan mereka segera kedarat kerana bimbang dengan keselamatan mereka, begitulah cerita dari pengalaman mereka. Sewaktu ketika dulu air tasik ini agak jernih dan membolehkan kehidupan didalamnya dilihat dengan lebih dekat dan nyata, jadi dari cerita orang yang terdahulu serta pengalaman orang-orang yang sebagaimana penulis sebut diatas mendorong kami menulis cerita Lagenda ini untuk tatapan kita bersama.




 Ikan Tetimah.



Gambar Hiasan - Pengantin Bersanding Menjadi Batu.


BAHAGIAN DI AIR PUN TIDAK, DI DARAT PUN TIDAK (MISTERI)

1.MERIAM RENTAKA.


Gambar Hiasan - Meriam Rentaka di Komplek Sejarah Pasir Salak.

Meriam ini berbunyi atau meletup pada tahun 1942 ketika Jepun memasuki Malaya dan sekali lagi di awal 70an. Letupan kuat berkenaan adalah dari sebuah meriam tapi tidak kelihatan dimana-mana dikawasan Tasik Air Mati atau Di Tanah Abang terdapatnya meriam tersebut.Penulis mengalami sendiri letupan meriam ini yang menggegarkan bumi Telok Bakong dengan dentuman yang kuat dari arah Tasik Air Mati dan Tanah Abang. Darimaklumat orang-orang lama didaerah dan kawasan Air Mati ini meriam berkenaan akan juga meletup apabila Bah besar (banjir besar ) akan melanda Kampong Telok Bakong. Bah berkenaan seperti tahun 1957, 1967 dan 1971. Ini kemungkinan merupakan amaran kepada penduduk kampong bahawa banjir besar akan melanda.


2.TEROWONG TASIK.

Terowong air ini mempuyai mitosnya yang tersendiri serta berkaitan pula dengan ikan Lome serta sungai Tapah di Pekan Tapah.


 Ikan Lome.



 Gambar Hiasan : Mungkin inilah rupa Terowong yang diceritakan.

Begitulah lagenda Tasik Air Mati dan Sumpahan Sang Kelembai yang diceritakan oleh orang tua-tua dahulu dan mungkin generasi muda dizaman sekarang tidak mengetahui akan terdapatnya Gajah Batu di Kampong Telok Bakong serta semua hidupan atau batu-batu yang disenaraikan diatas akibat "Sumpahan Sang Kelembai". Penulis hanya menyampaikan cerita yang menjadi Lagenda ini untuk generasi muda mendengarnya, mungkin kalau Tasik ini masih bersih agaknya boleh nampak Batu Gajah berkenaan dari tebing Kuartes Hospital Desa Changkat Melintang.Sayangnya khazanah alam ini hilang begitu sahaja dan tiada usaha-usaha dari pihak tertentu bagi memulihkan tempat ini supaya ianya dapat di tonton  dari generasi ke generasi.



Marilahlah kita renungkan ayat ini untuk kita jadikan panduan dan pedoman bagi menilai artikal Tasik Air Mati dan Lagendanya dengan Sumpahan Sang Kelembai.

Allah berfirman di dalam surah Ali ‘Imran ayat 190-191






Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orag-orang yang berakal;( Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau tidak menjadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Dalam sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas r.a., diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah didatangi oleh orang-orang Quraysh agar baginda menunjukkan bukti/mukjizat atas kenabiannya dengan menjadikan Bukit Safa’ itu emas untuk mereka. Baginda berdoa kepada Allah, lalu Allah menurunkan ayat ini untuk mengajak mereka supaya memikirkan langit dan bumi tentang kejadiannya, hal-hal yang menakjubkan di alamnya, seperti bintang-bintang, bulan dan matahari serta peredarannya laut, gunung-gunung, pohon-pohon, buah-buahan, binatang-binatang, dan sebagainya. Memikirkan pergantian siang dan malam. mengikuti terbit dan terbenamnya matahari, siang lebih lama dari malam dan sebaliknya. Kerana semua itu menunjukkan kebesaran dan Kekuasaan Penciptanya bagi orang-orang yang berakal.

11 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya berasal dari batu 16, kampung tanjung lambor kanan. tak sangka cerita pasal gajah batu ni ada di teluk bakong. sesungguhnya ada banyak sejarah di tempat saya.

aisbatu berkata...


Kg Tanjung tu sendiri ade sejarahnya.......

Tanpa Nama berkata...

Salam, apa yang saya lihat baru-baru ini, gajah batu tersebut telah rebah dari kedudukannya dan telah pecah kepada beberapa bahagian. Dari maklumat yang didapati berpunca dari kerja-kerja mengorek yang dilakukan berhampiran tempat kejadian pada bulan Jun 2016. Maklumat lanjut boleh didapti dari En. Ery Chu Pula.

aisbatu berkata...

Waalaikumusalam,

Dizaman saya kecil dulu tempat ini masih bersih dari hutan serta airnya dalam. Gajah batu tersebut masih jelas kelihatan cuma terdapat sedikit kerosakan dibelalainya dan diatas belakangnya.Nak pergi ke gajah batu ni pun kena bersampan. Tapi sekarang bentuk gajah ni pun dah tak nampak dan jika ianya dah pecah sepertimana keterangan dari tuan,amat malang sekali sejarah akan hilang lagi dari tasik air mati ini. Generasi akan datang tidak akan dapat melihat apa yang ada didalam tasik ini serta ianya akan padam ditelan zaman.

PayaPutat berkata...

Kisah gajah batu pernah masuk Utusan Malaysia pada tahun 1989. Kawasan ni berpotensi untuk jadi tarikan pelancong lagenda/mitos. Pihak berwajib patut boleh cari idea & peruntukan.

aisbatu berkata...

PayaPutat,

Saya juga dihubungi oleh ramai media cetak dan pihak tv tapi selebihnya apa yang saya tulis adalah kehidupan dan pengalaman saya dan arwah ibu yang hidup dan mencari rezeki dikawasan ini. Untuk rakaman olahan cerita serta berbagai permintaan diorang, mohon maaf la tak dapat saya tunaikan kerana kekurangan masa serta orang-orang tertua yang dah lama tiada.

Unknown berkata...

Bosan

Unknown berkata...

Bwnci

Unknown berkata...

Best la

Azman Kamaruddin berkata...

Saya (Azman) yang mengambil gambar gajah batu diatas mengucapkan terima kasih atas artikel ini. Dulu tok saya (Alang Pileh) pun rajin menangkap ikan disekitar kawasan tersebut. Untuk makluman penulis, saya ni cicit kepada Itam Seri bin Alang Sumat.

aisbatu berkata...

Alhamdulillah,

Saudara Azman, Arwah Pak Cik Alang Pilih memang selalu datang ke Telok Bakong dan kami selalu jumpa dia semasa kami kecil lagi hinggalah dah dewasa. Sama juga dengan opah kamu, kenduri kendara dia orang tetap datang memeriahkan majlis. Semoga kedua-duanya arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yg beriman...amin.