Memaparkan catatan dengan label MATI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MATI. Papar semua catatan

Ahad, 20 Februari 2011

MASJID AIR MATI, BOTA.





MASJID BARU KAMPONG AIR MATI.




Jalan Masuk Ke Kampong Air Mati dan 
Makam Sultan Muzaffar Shah 2.


MASJID AIR MATI

.
Masjid ini pada asalnya dibina dari kayu yang dipindahkan dari Masjid Bota Kiri ke Kampong Air Mati, masjid ini mempunyai empat batang tiang utama yang dibuat dari teras kayu nangka. Teras ini dibuat semasa Masjid berkenaan mula dibina di Bota Kiri, orang yang membina tiang teras kayu nangka ini menebang dan memotongnya sendiri serta menyiapkannya khas untuk masjid ini. Tidak diketahui bila masjid ini dibina atau dipindahkan ke Kampong Air Mati, kemungkinan semasa kerajaan Perak di perintah oleh Sultan Perak yang ke 10 iaitu dibawah Sultan Muzaffar Shah 2. Jaraknya Masjid ini dengan makam Sultan Muzaffar Shah 2 adalah kira-kira 250 meter dari masjid ini.



Makam Sultan Muzaffar Shah 2.


Papan Tanda Makam ..

Masjid lama ini terkenal dengan karomahnya serta “Tempayan Bedene”dikalangan penduduk mukim Bota dan Mukim Lambor pada era sebelum merdeka dan pemerintahan Sultan Muzaffar Shah 2 sebagai Sultan perak ke 10.



Tuan Haji Shuib - Setiausaha Masjid Air Mati menunjukkan 
Empat Tiang Teras Nangka yang dikekalkan 
binaannya didalam masjid baru.


Marilah kita selami dulu ayat suci ini dan doa menuju ke Masjid.

Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang.
(QS. An Nuur, 24 : 36)

Doa Menuju ke Masjid

اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا وَفِي بَصَرِي نُورًا وَفِي سَمْعِي نُورًا وَعَنْ يَمِينِي نُورًا وَعَنْ يَسَارِي نُورًا وَفَوْقِي نُورًا وَتَحْتِي نُورًا وَأَمَامِي نُورًا وَخَلْفِي نُورًا وَعَظِّمْ لِي نُورًا

“Ya Allah! Jadikanlah dalam hatiku suatu cahaya, dalam pandanganku suatu cahaya, dalam pendengaranku suatu cahaya, dari arah kananku suatu cahaya, dari arah kiriku suatu cahaya, di atasku suatu cahaya, di bawahku suatu cahaya, di depanku suatu cahaya, di belakangku suatu cahaya dan limpahkanlah kepadaku dengan cahaya.   (H.R.Bukhari- Muslim)


SEJARAH PEMBINAAN MASJID AIR MATI.


Masjid asal di Bota Kiri terletak ditepi sungai dan pemunggahan kayu-kayu masjid telah dilaksanakan secara bergotong royong oleh orang-orang kampong serta kariah masjid Bota Kiri dan pihak Kampong Air Mati. Setelah disiapkan rakit yang besar maka di isilah semua ramu kayu-kayan masjid ke atas rakit untuk dibawa menghilir sungai perak. Setelah semuanya siap berlaku kejadian yang aneh iaitu rakit yang dipenuhi dengan kayu kayan tadi tidak mahu menghilir, bahkan berpusing-pusing sahaja dan didapati rakit berkenaan yang tadi kelihatan elok sahaja telah tenggelam paras lantai rakit. Keadaan ini mencemaskan anak-anak kariah dikedua-dua kampong. Sepatutnya tiada masalah kerana air sungai ketika itu amat deras dan laju serta keadaan rakit yang amat selesa, “tiadakah barang-barang masjid yang utama ditinggalkan disini soal imam” anak kariah menjawab hanya tinggal tempayan “Bedene” sahaja imam, rasanya perlu ke kita bawa bersama tempayan ini !!! marilahlah kita sama-sama berdoa kehadrat Allah supaya kerja-kerja kita pada hari ini dimudahkanNya. Oleh itu bawalah apa sahaja semua barang-barang masjid ini kedalam rakit termasuklah tempayan bedene tadi, sahut imam dengan nada suara yang lembut.



Foto gambaran penulis - 
Raket, kayu-kayan Masjid dan Tempayan Bedene.

Setelah tempayan “Bedene” tadi dinaikan diatas rakit dengan tak semena-mena rakit yang tenggelam paras lantai terus ternaik sebagaimana keadaan asal serta meluncur laju menghilir sebagaimana yang dirancang oleh semua anak-anak kariah.

Setelah pemunggahan kayu kayan kedaratan di Kampong Air Mati selesai bermulalah kerja-kerja gotong royong memasang kembali Masjid di tempat baru. Dan setelah siap sepenuhnya kelihatan Tersergam indahlah Masjid ditempat baru iaitu di Kampong Air Mati.


TEMPAYAN BEDENE.



Disudut inilah Tempayan Bedene diletakan. 



Tin Biskut atau Tin Minyak Tanah = 16 x. 
Sukatan muatan air didalam Bedene. 



Buah Remenia yang muda.

Pengertian Tempayan “Bedene” ini adalah bermaksud bekas atau tempat yang berisi emas karun yang didapati atau yang berasal dari alam ghaib. Masa dulu tempayan inilah digunakan untuk meyimpan air bagi semua jemaah mengambil wuduk. Mengikut ceritanya tempayan tersebut diletakan disudut kanan masjid dibawah pokok remenia (semenia – bahasa tempatan) atau pun bahasa yang mudah pokok kundang. Muatan air didalam tempayan ini bersamaan dengan 16 tin minyak gas/tanah atau kira-kira  256 liter air atau 64 gelen air. Tempayan berkenaan telah pecah disebabkan ditimpa oleh dahan remenia yang patah lalu jatuh diatas tempayan berkenaan, kejadian ini berlaku kira-kira diakhir tahun 1890an. Bagi mengekalkan tempayan bedene ini dimasjid tersebut semua pecehan-pecahan tempayan berkenaan diletakan dibawah kolah air tempat mengambil air sembahyang (wuduk) semasa pembinaan kolah tersebut.



Buah Remenia atau menia.


Menurut cerita Tuan Haji Shuib pernah suatu ketika dahulu sepasang suami isteri mengalami masalah kerumitan rumah tangga dengan perhubungan suami isteri yang tidak bertegur sapa serta selalu bermusuhan. Setelah puas berubat hingga ke Johor serta sampai ke utara iaitu Perlis penyakit atau masalah suami isteri ini tetap juga begitu tanpa ada jalan penyelesaian. Maka setelah dinasihatkan supaya mengambil wuduk dengan air tempayan “Bedene” ini serta bersembahyang sunat bermohon didalam masjid ini supaya segala masalah rumahtangga mereka akan menemui hidayah dari Allah, si isteri telah bersembahyang sunat didalam masjid dengan ditemani oleh suami dan anak-anaknya dan ketika dalam sembahyang sunat tersebut isteri telah jatuh pengsan dan sempat di pangku oleh si suami diribaannya. Apabila si isteri tersedar maka berpelukanlah anak-anak serta suami isteri tersebut sesama mereka dan dari situlah masalah rumah tangga pasangan tersebut terus selesai dan tidak lagi bergaduh dan aman damai hingga ke akhir hayat. Begitulah karomah masjid kampong Air mati ini yang begitu sinonim dengan cerita tersebut dari generasi ke generasi sehinggalah sekarang. Cerita ini merupakan salah satu cerita yang berlaku didalam masjid ini dan banyak lagi cerita berkenaan masjid ini, hanya generasi yang lahir sebelum merdeka yang banyak menyimpan cerita tentang masjid ini.


PEMBINAAN MASJID BARU.


Masjid baru dibina pada tahun 2008 dan kini masjid lama telah menjadi sejarah dan kenangan sahaja pada generasi baru. Penulis tak dapat merakam gambar masjid lama kerana tiada foto yang disimpan didalam masjid. Walaubagaimana pun tiang teras nangka didalam masjid lama masih dikekalkan dengan menanamnya didalam kerangka batu dikeempat-empat tiang didalam masjid baru. Dengan RM50,000 sumbangan dari kerajaan serta selebihnya dari 200 penderma maka terbinalah masjid baru di Kampong Air Mati ini dengan kerja kuat yang diketuai oleh Setiausahanya Tuan Haji Shuib bin Ahmad serta barisan Ahli Jawatankuasanya yang dipimpin oleh Pengerusi Masjid iaitu Tuan Haji Abdul Shukur bin Haji Khalid dan hanya Allah sahaja akan membalas segala amal jariah yang dilaksanakan oleh kesemua Ajk-ajk yang mendirikan rumah Allah ini.



Laluan pintu masuk utama untuk kedalam masjid.



Senarai AhliJawatanKuasa Masjid.



Mimbar.



Ruang Pejabat Masjid.



Bilik Mesyuarat Masjid.



Dewan masjid.


Kerantong-Beduk (Nakuih)


Pihak Jawatankuasa Masjid Air Mati ini masih mengekalkan kehadiran Tempayan di sekitar kawasan tangga masjid dan kaki limanya. Walau pun tiada lagi kehadiran Bedene tapi kehadiran tempayan-tempayan berkenaan adalah bagi mewujudkan ingatan kepada suatu masa dahulu bahawa Masjid Air Mati ini pernah mempunyai Tempayan Bedene yang cantik serta besar untuk menampung semua jemaah  mengambil wuduk bagi menunaikan sembahyang waktu di Masjid Air Mati ini.



Kelihatan tempayan biasa di letakan dikaki lima masjid.



Takungan air masih diwujudkan didalam tempayan.




Tempayan yang muatannya mungkin 3 tin minyak 
tanah sahaja berbanding "Bedene" 16 tin.


Kediaman Setiausaha Masjid Air Mati ini tidak jauh dari kawasan masjid, rumah kediaman Tuan Haji Shuib  hanya berhadapan atau seberang jalan masjid ini sahaja dan beliau merupakan menantu kepada Hajjah Nobah dan isterinya Allahyarhamah Hajjah Che'Ah merupakan piut Ngah Pidup (rujuk salasilah Ngah Pidup).




 Tuan Haji Shuib bin Ahmad didepan rumahnya.




Kereta Datsun kesayangan beliau yang masih beroperasi dengan baik untuk meluncur kemana-mana destinasi yang diarahkan oleh Tuan Haji Shuib.Kelihatan juga bangunan masjid dibelakang gambar ini.




Rumah kediaman Tuan Haji Shuib berhadapan dengan masjid.


Marilah kita lihat dan dalami doa untuk ke rumah ibadat ini serta mengamalkannya .


DOA UNTUK KE MASJID.


Ahad, 16 Januari 2011

LAGENDA TASIK AIR MATI DAN SUMPAHAN SANG KELEMBAI.


GAJAH BATU. 


Foto terkini Gajah Batu Tasik Air Mati18/09/2011.
(Foto Sumbangan dari : Encik Azman Kamaruddin 
serta Ery Chu Pulau & Ein Toyol-nama samaran) 

Bukan mudah untuk mencari lokasi tempat Gajah Batu ini kerana tempat berkenaan masih berair dan ditumbuhi semak samun serta jerumun hutan yang tebal. Keselamatan pengunjung juga perlu difikirkan sebelum berkunjung ketempat ini. Penulis juga sebelum artikal ini ditulis telah berkunjung ketempat berkenaan untuk menjejak muara Parit Siam dan Gajah batu ini tapi tak sanggup menempuh jerumun tebal yang umpama karpet bergelombang diatas air, jika terjelus tak mungkin kita dapat naik keatas kembali. Mungkin spesis ular juga banyak termasuk ular sawa. Tahniah kepada orang-orang yang terlibat diatas kerana dapat mencari lokasi gajah batu berkenaan dan mengambil foto objek bahan lagenda ini. Walau pun bentuknya telah banyak berubah kerana dihakis oleh zaman tapi lagenda ini tetap berada disitu untuk dikenang dan ditatap oleh generasi baru sebagai bahan rujukan sejarah misteri Tasik Air Mati di Telok Bakong.



TASIK AIR MATI
 ( Kawasan yang di Kategorikan kawasan Lagenda ) 




TASIK AIR MATI DAN LAGENDA SUMPAHAN SANG KELEMBAI.

Untuk melihat dimana lokasi tasik ini pelayar internate bolehlah melihat didalam artikal yang sebelumnya iaitu bertajuk TASIK AIR MATI.

Terdapat banyak tempat-tempat yang dikaitkan dengan sumpahan sang kelembai atau sesetengah tempat pula memanggil sang kedembai. Siapakah Sang Kelembai ini ? sehingga boleh menyumpah orang atau haiwan menjadi batu.Kenapa terjadinya sumpah menyumpah didaerah dan kawasan tasik ini ?  Didalam Tasik Air Mati ini juga tak ketinggalan dengan cerita yang mengaitkan dengan Sumpahan Sang Kelembai ini.  Marilah kita rungkaikan kisah ini melalui cerita dan pengalaman orang-orang terdahulu yang sering menangkap ikan serta urusan harian mereka dengan hadir ke Tasik saban hari.

Menurut cerita dari beberapa orang tua dahulu seperti Tuan Haji Mohd Ali bin Kulop Ali (sering menangkap ikan dengan cara bubu), Itam Saidin bin Uda Malak menangkap ikan dengan belat, Tuan Haji Shafie bin Tuan Haji Chu Talak (menangkap ikan cara belat), Uda Malak bin Alang Sumat (menangkap ikan dengan rawai , taut (tajor) dan memancing. Hajjah Fatimah bt Haji Mohd Ali bersama Puan Alang Lihah (isteri encik Saring) menyauk ikan tetimah serta ramai lagi yang telah meninggal turut mengalami pengalaman-pengalaman yang sama. Sang Kelembai ini telah menegur orang kampong disini (Air Mati) yang kebetulan lalu didaerah ini dan dengan teguran tersebut menyebabkan terjadinya hidupan berkenaan berbentuk batu-batu dan hidupan lainnya ketika Tasik Air Mati ini bersih dan sebagaimana yang akan saya senaraikan seperti berikut :-

Saya bahagikan untuk beberapa bahagian bagi memudahkan cerita ini.

DIBAHAGIAN TANAH DARAT.

1.GAJAH BATU.(Sebagaimana di gambar hiasan)

Gajah batu ini sama sekali menyerupai bentuk gajah hidup (sebagaimana contoh yang kelihatan digambar), tidak seperti di tempat lain yang batu sungai atau batu gunung dan bukit seakan menyerupai gajah.Gajah batu ini terdiri dari seekor gajah dewasa dan dua ekor anak-anaknya (seekor besar dan seekor lagi kecil sedikit). Warga Telok Bakong dan sekitarnya yang lahir didalam tahun 50an dan 60an yang kini berumur sekitar 40an hingga 50an atau ada yang telah mencecah 60an memang tahu dan pernah melihat Gajah Batu ini. Ketika umur penulis sekitar 10 tahun, pernah melihat dari atas tebing Hospital Changkat Melintang rupa bentuk gajah batu ini dengan jelas tapi anak-anaknya tidak kelihatan.Menurut Puan Hajjah Fatimah anak-anak gajah batu ini telah tumbang kedalam air tasik. Ini berlaku ketika kemasukan tentera jepun tahun 1942 dan yang seekor lagi dua atau tiga tahun kemudian juga turut tumbang kedalam air tasik.

Kalau mengikut serpihan yang diambil dari badan gajah batu ini, batu badan gajah tersebut seperti batu kapur dan rapuh serta seroi. Waktu itu belalai dan telinga serta belakang badan gajah telah dirosakkan oleh mahklok yang mengerjakan kerja-kerja kurafat. 

2.BUAYA PUTIH.

Buaya ini amat sukar nak ditemui didalam Tasik Air Mati ini dan pada mereka yang pernah menemuinya amat bernasib baik. Encik Rahim bin Itam Saidin serta Encik Yahya dan Zakaria bin Ahmad pernah menemui buaya ini berhampiran pantai Pulau Tabuan. Buaya ini tidak pernah mengusik penduduk atau warga Telok Bakong yang sering berada didalam tasik ini serta disepanjang alirannya. Yang diketahui dan diceritakan oleh orang tua-tua terdahulu hanya seekor sahaja buaya putih berada didalam tasik.




3.BUAYA TEMBAGA

Buaya Tembaga ini pun yang pernah dijumpai oleh kami hanya seekor juga serta tidak pernah mengusik penduduk persekitaran tasik ini. Penulis dan bapa penulis pernah menemuinya ketika berbelat (menangkap ikan) ditebing Tuan Haji Alang Jais. Buaya tembaga berkenaan ketika itu sedang berjuang mempertahankan kawasannya apabila buaya dari sungai perak memasuki aliran Air Mati. Penduduk persekitaran Tasik Air Mati ini mempercayai bahawa kedua-dua buaya Putih dan Tembaga adalah buaya keramat.



4.PARIT SIAM.

Parit Siam ini muaranya dari daerah tasik ini mengunjur hingga ke Kampong Sedingka arah utara, penulis cuba menjejaki parit ini tapi keadaan hutan dan semak yang tebal serta sukar untuk memastikan keselamatan terjamin dari binatang seperti ular dan yang lain-lainnya.Gambar Parit Siam yang di Sedingka sahaja yang dapat dirakam. Ada berbagai cerita tentang Parit Siam ini dan penulis tidak berkesempatan untuk menyelidiki secara teliti dan mungkin didalam tajuk yang lain akan dibentangkan untuk pengetahuan kita bersama.



PARIT SIAM



BAHAGIAN DALAM AIR TASIK.

1.BATU HAMPAR.

Tidak banyak maklumat yang penulis perolehi mengenai batu Hampar ini dan kawasan letaknya juga tidak diketahui, tapi ianya dikatakan wujud didalam tasik ini.




2.BATU DALONG.

Batu Dalong ini jika dalam bahasa Acheh bermaksud tempat untuk makan (meja), penulis telah merujuk ke beberapa tempat dan masyarakat untuk mengetahui apakah maknanya atau rupa bentuk batu dalong ini. Tiada tafsiran atau makna yang tepat untuk menerangkan rupa bentuk dalong ini, apakah objek yang dikatakan dalong apabila diluar tajuk batu dalong .Jadi saya gambarkan mengikut cerita orang yang terdahulu sebagaimana di foto. Dari maklumat yang diberi batu dalong ini tidak berbentuk bulat sangat tetapi bujur dan melengkug tepian bibir tengah meja batu ini.



3.PENGANTIN BERSANDING MENJADI BATU.

Batu pengantin (Pengantin sedang bersanding menjadi batu) ini juga terdapat didaerah atau tak jauh dari Gajah batu,batu dalong dan batu hampar. Puan Hajjah Fatimah dan Alang Lihah kebetulan menyauk ikan tetimah di daerah tersebut dan telah terlanggar kepala-kepala batu Bersanding ini dan mereka segera kedarat kerana bimbang dengan keselamatan mereka, begitulah cerita dari pengalaman mereka. Sewaktu ketika dulu air tasik ini agak jernih dan membolehkan kehidupan didalamnya dilihat dengan lebih dekat dan nyata, jadi dari cerita orang yang terdahulu serta pengalaman orang-orang yang sebagaimana penulis sebut diatas mendorong kami menulis cerita Lagenda ini untuk tatapan kita bersama.




 Ikan Tetimah.



Gambar Hiasan - Pengantin Bersanding Menjadi Batu.


BAHAGIAN DI AIR PUN TIDAK, DI DARAT PUN TIDAK (MISTERI)

1.MERIAM RENTAKA.


Gambar Hiasan - Meriam Rentaka di Komplek Sejarah Pasir Salak.

Meriam ini berbunyi atau meletup pada tahun 1942 ketika Jepun memasuki Malaya dan sekali lagi di awal 70an. Letupan kuat berkenaan adalah dari sebuah meriam tapi tidak kelihatan dimana-mana dikawasan Tasik Air Mati atau Di Tanah Abang terdapatnya meriam tersebut.Penulis mengalami sendiri letupan meriam ini yang menggegarkan bumi Telok Bakong dengan dentuman yang kuat dari arah Tasik Air Mati dan Tanah Abang. Darimaklumat orang-orang lama didaerah dan kawasan Air Mati ini meriam berkenaan akan juga meletup apabila Bah besar (banjir besar ) akan melanda Kampong Telok Bakong. Bah berkenaan seperti tahun 1957, 1967 dan 1971. Ini kemungkinan merupakan amaran kepada penduduk kampong bahawa banjir besar akan melanda.


2.TEROWONG TASIK.

Terowong air ini mempuyai mitosnya yang tersendiri serta berkaitan pula dengan ikan Lome serta sungai Tapah di Pekan Tapah.


 Ikan Lome.



 Gambar Hiasan : Mungkin inilah rupa Terowong yang diceritakan.

Begitulah lagenda Tasik Air Mati dan Sumpahan Sang Kelembai yang diceritakan oleh orang tua-tua dahulu dan mungkin generasi muda dizaman sekarang tidak mengetahui akan terdapatnya Gajah Batu di Kampong Telok Bakong serta semua hidupan atau batu-batu yang disenaraikan diatas akibat "Sumpahan Sang Kelembai". Penulis hanya menyampaikan cerita yang menjadi Lagenda ini untuk generasi muda mendengarnya, mungkin kalau Tasik ini masih bersih agaknya boleh nampak Batu Gajah berkenaan dari tebing Kuartes Hospital Desa Changkat Melintang.Sayangnya khazanah alam ini hilang begitu sahaja dan tiada usaha-usaha dari pihak tertentu bagi memulihkan tempat ini supaya ianya dapat di tonton  dari generasi ke generasi.



Marilahlah kita renungkan ayat ini untuk kita jadikan panduan dan pedoman bagi menilai artikal Tasik Air Mati dan Lagendanya dengan Sumpahan Sang Kelembai.

Allah berfirman di dalam surah Ali ‘Imran ayat 190-191






Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orag-orang yang berakal;( Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau tidak menjadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Dalam sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas r.a., diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah didatangi oleh orang-orang Quraysh agar baginda menunjukkan bukti/mukjizat atas kenabiannya dengan menjadikan Bukit Safa’ itu emas untuk mereka. Baginda berdoa kepada Allah, lalu Allah menurunkan ayat ini untuk mengajak mereka supaya memikirkan langit dan bumi tentang kejadiannya, hal-hal yang menakjubkan di alamnya, seperti bintang-bintang, bulan dan matahari serta peredarannya laut, gunung-gunung, pohon-pohon, buah-buahan, binatang-binatang, dan sebagainya. Memikirkan pergantian siang dan malam. mengikuti terbit dan terbenamnya matahari, siang lebih lama dari malam dan sebaliknya. Kerana semua itu menunjukkan kebesaran dan Kekuasaan Penciptanya bagi orang-orang yang berakal.

Jumaat, 7 Januari 2011

TASIK AIR MATI.


 LOKASI TASIK AIR MATI



Pemandangan Tasik Air Mati dari sudut tepi bangunan
Kuartes Hospital Changkat Melintang.


Kuartes Hospital Changkat Melintang.


Dibelakang kuartes ini lah Tasik Air Mati.


TASIK AIR MATI.

Telok Bakong dahulu mempunyai tasik yang setanding dengan Tasik Banding di Ulu Perak,Tasik Chini dan Bera di Pahang yang mempunyai lagenda tersendiri disamping merupakan ibu negeri Perak dizaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah 1 di Tanah Abang. Kedudukan Tasik Air Mati ini adalah mengunjur masuk dari pintu masuk (muara) melalui Tebing Lamah dan berakhir dibekang Hospital Desa Changkat Melintang dan disitulah kawasan yang di ketegorikan kawasan utama Tasik Air Mati ini dan sehingga ke tebing Makam Sultan Muzaffar Shah 1 serta tebing Mat Raga. Disini juga adalah kawasan tasik paling dalam disepanjang aliran tasik yang sepanjang kira-kira 1.5 KM, ianya bermula dari tebing Lamah dan seterusnya Tebing Itam Miah,Tebing Chu Talak, Tebing Alang Bakar, Tebing Pandak Mohit, Tebing Dawi, Tebing Tuan Haji Alang Jais, Tebing Alang Resah,Tebing Mat Tonggek dan Tebing Mat Raga. Suasana dan keadaan Tasik adalah sebagaimana foto dilampirkan :-


Beginilah contohnya keadaan Air Mati ini diawal 60an.


Suasana tenang dan damai ketika sebelum kawasan
Tasik ini ditumbuhi hutan dan jerumun tebal..


PULAU TABUAN.

Berhadapan atau diseberang tebing-tebing berkenaan terdapat sebuah pulau yang dinamakan pulau Tabuan dan pada asalnya berbentuk sebuah kapal besar serta mengunjur dari Tasik Air Mati hingga ke Padang Kerbau beserta pasir tuntung di Sungai Perak (cerita misteri - Pulau ini merupakan kisah mistik dengan daulat Sultan Muzaffar Shah 1). Jadi pulau ini merupakan pemisah diantara aliran sungai Perak yang utama dan Air mati yang bertebing sebagaimana tebing-tebing yang dinyatakan. Hanya ada dua orang sahaja yang  pernah mendiami pulau ini iaitu Encik.Chu Pulau (Chu Mat Ali)) dengan seramai 9 orang anaknya. Chu Pulau ini memelihara Kambing ternakan serta kerja-kerja menangkap ikan disekitar pulau dan sungai Perak. Rumah beliau diatas pulau selari dengan Tebing Mat Raga diseberangnya dan seorang lagi Encik Shaari Kudong yang berumah di sebelah hilir rumah Encik Chu Pulau. Dihujung pulau ini iaitu kira-kira setentang dengan Tebing Alang Bakar dihilir, terdapat makam-makam lama yang tidak diketahui asal usulnya. 

PENJAGA AIR MATI.

Dimasa itu terdapat seorang penjaga yang bernama Jaafar (bukan orang tempatan) dan pondok kawalannya dihujung pulau yang bersetentang dengan Parit Siam didalam Air Mati. Mungkin tugas-tugas nya adalah menjaga hal-ehwal kawasan Air Mati dan Pasir Tuntung yang dihantar oleh pihak Istana Negeri Perak atau pihak Kerajaan. Penjaga atau pengawas kawasan ini yang seterusnya adalah yang bernama Uda Tahir, tugas dan perananya juga sama sebagaimana orang yang terdahulu, Cuma beliau adalah anak tempatan. Kawalan kawasan tasik ini berjalan sehingga awal tahun 60an selepas dari tarikh itu Tasik Air mati ini tiada lagi diletakan pengawasan bagi memantau keadaan Tasik serta hidupan didalamnya. Di masa itu pihak kerajaan memelihara tasik ini dengan melepaskan benih anak-anak ikan dengan kerjasama Jabatan yang terbabit.

IKAN LOME.





Hidupan di Tasik ini terdiri dari ikan-ikan seperti Lampam Jawa, Temoleh, Sebara, Belida, Baung , Lome, Temakang, Prek, Ngingior, Seluang,Tapah, Udang galah dan berbagai jenis lagi termasuk la buaya. Tasik Air Mati terkenal dengan Ikan Lomenya, apabila musim ikan-ikan ini keluar terutama hampir dengan musim banjir dan tengkujuh kerana ikan-ikan ini akan bertelur dan membiak. Terdapat beberapa orang nelayan sungai di Air Mati ini iaitu Itam Saidin bin Uda Malak, Tuan Haji Shafie bin Chu Talak, Encik Hassan dan Hussin Enchan, Mat Rashid serta dua tiga orang lagi yang bergantung hidup sebagai nelayan sungai atau Air Mati. Mereka ini menangkap ikan menggunakan Belat. Belat hanya boleh digunakan dari Tebing Mat Raga hingga ke Tebing Itam Miah sahaja kerana kawasan yang tidak begitu dalam, di hilir Tebing Mat Raga ketinggian Belat berkenaan adalah pangjang 9 hingga 11kaki baru boleh membelat disitu. Jika tidak, tak berapa boleh menangkap ikan disitu, dan dari hulu Tebing Mat Raga pula hingga ke kawasan utama Air Mati tidak boleh langsung membelat disitu kecuali dengan cara lain seperti taut, bubu, rawai dan sebagainya.

IKAN TETIMAH


Selain dari ikan Lome yang popular disini, ikan tetimah memang banyak terdapat di Tasik Air Mati ini, ramai warga Telok Bakong menangguk (menyauk) ikan tetimah ini. Ikan Tetimah merupakan ikan bilis sungai kerana ikan ini halus dan lemak serta ia hidup dalam satu kumpulan besar sebagaimana Ikan Bilis dilaut.
.

PASIR TUNTUNG 

.
Dihilir Tasik Air mati atau dihujung Pulau Tabuan terdapatnya pasir tuntung yang memutih terdampar untuk Tuntung bertelor mulai dari bulan Oktober hingga Januari setiap tahun. Diatas pulau ini juga terletaknya padang ragut (Padang Kerbau).


Inilah muara Air Mati dan Tebing Lamah untuk air sungai Perak 
masuk ketika air sebak dan keluar ketika air surut..

Jalan ke Padang Kerbau tersebut.


Inilah kawasan pasir memutih dulu untuk Tuntung bertelor.
Kawasan ini disebelah hilir Pulau Tabuan.Kelihatan Sungai Perak disebelah.


Kawasan muara Air Mati (Sungai Perak).

Kini Tasik Air Mati hanya tinggal namanya sahaja iaitu Air Mati, sepanjang kawasan berair dialiran tebing ini telah ditumbuhi hutan-hutan atau jerumun yang tebal akibat kekeringan aliran sungai Perak yang seolah-olah telah berhenti mengalirkan aliran airnya kedalam kawasan Air Mati. Tidak seperti tasik-tasik lain yang mempunyai aliran anak-anak sungainya sendiri untuk masuk memenuhkan tasik berkenaan, cuma hanya satu aliran sahaja yang munyumbangkan air kedalam kawasan Tasik Air Mati iaitu longkang dari Hospital Changkat Melintang. Lihatlah keadaan Air Mati terkini sebagaimana foto dibawah.





 Unjuran pulau kearah hulu.


Unjuran Pulau Tabuan ke arah hilir.



Air paya ditepi tebing Tanah Abang.



Kelihatan bangunan kuartes Hospital dari
tebing Makam Sultan Muzaffar Shah 1.



Kelihatan juga Pulau Tabuan dari tebing Makam.


PROJEK IKAN AIR TAWAR.

Kini terdapat juga projek ikan air tawar didalam aliran air mati dari hilir tebing Makam hingga ke hilir Tebing Chu Talak.


Papan tanda projek Ternakan Ikan Air Tawar
dan Makam Sultan Muzaffar Shah 1.


Kolam-Kolam Ternakan Ikan Air Tawar.





Perubahan cuaca dunia dan proses alam menjadi tua, sungai Perak makin mengalir lesu dan tak berupaya menghidupkan kembali kawasan Tasik Air Mati ini dan tinggallah aliran air mati ini yang sebenar-benarnya sudah mati dari aliran air Sungai Perak.Kini saya cuba hidupkan kembali nostalgia tuan-tuan mengenai Tasik Air Mati ini dengan topik seterusnya LAGENDA AIR MATI mengikut cerita dan pengalaman kami sekeluarga.Ikuti cerita seterusnya akan datang mengenai Lagenda Tasik Air Mati dan "Sumpahan Sang Kelembai".