Isnin, 9 Februari 2015

GUNUNG PONDOK,KAMPUNG PONDOK DAN KAMPUNG LALANG - MUKIM KG BUAIA PADANG RENGAS.




Gunung Pondok - Gunung Puteh atau Gunung Padang.


Walau pun keturunan Tok Kadok tiada kaitan dengan cerita ini, namun keperihatinan Kolonal Zaini terhadap sesuatu sejarah di Negeri Perak dan dalam mana ketika itu beliau masih dalam tugas sebagai kakitangan kerajaan, maka kisah dan cerita ini tetap diambil peduli olehnya. Jika tidak disalin dari generasi yang mengetahui untuk diwarisi oleh generasi sekarang, maka akan hilanglah sejarah begitu sahaja. Kisah kali ini diambil dari catatan didalam salasilah dan tulisan serta jalan cerita diambil terus dari salasilah tanpa ada apa-apa perubahan.



PERKEMBANGAN ISLAM DI KAWASAN PADANG RENGAS MUKIM KAMPUNG BUAIA DAN SEJARAH GUNUNG PONDOK, KAMPUNG PONDOK DAN KAMPUNG LALANG


Alkesah pada suatu masa yang silam, pada tahun 1860 Masehi datang saorang Ulama’ bernama Pak Kiai Haji Dol Manan dari tanah Jawa datang ke tanah Semenanjung Tanah Melayu. Kononnya beliau hendak mencari saorang Penghulu yang berkuasa keatas anak buahnya di kawasan tempat lahirnya (Jawa). Di kawasan tempat lahirnya itu beliau mengajar dan banyak pondok-pondok murid-murid yang datangnya dari kawasan lain didirikan di situ.

Pada suatu masa, datang penjajah Belanda untuk hendak mengenakan cukai kepala penduduk-penduduk di kawasan itu. Apabila sampai sahaja askar-askar Belanda, murid-murid pondok dan orang-orang kampung menentang dengan penuh bersemangat hingga beberapa lama. Akhirnya pihak Belanda dapat menangkap Penghulu dan kemudiannya dimasukkan kedalam peti yang ditutup rapat dan dihanyutkan kedalam sungai. Tidaklah siapa tahu hidup atau mati. Puaslah murid-murid pondok dan orang di kawasan itu buat mencarinya hingga ke kuala sungai.

Selang tak berapa lama selepas itu, tuan guru di pondok itu, iaitu Tuan Guru Kiai Haji Abdul Manan telah mendapat mimpi bahawa penghulu tadi telah dapat keluar dari dalam peti itu dan beliau telah pun meninggalkan tanah Jawa merantau ke Semenanjung Tanah Melayu dan bertapa di Gunung Padang atau Gunung Puteh di dalam gua. Berhampiran dengan mulut gua itu ada sepokok mempelam yang subur. Begitulah yang didapati dari dalam mimpi Tuan Guru Dol Manan itu. Oleh yang demikian, tak lengah lagi beliau pun menceritakan apa yang didapati dalam mimpinya kepada isteri dan keluarganya. Timbullah dalam hatinya beliau akan mencari di mana tempat penghulu itu bertapa yang disebutkan dalam mimpinya Gunung Puteh atau Gunung Padang di Semenanjung Tanah Melayu.

Sebenarnya Tuan Guru Kiai Dol Manan ini dalam intipan penjajah, dan beliau adalah orang yang diutamakan pasti lebih dahulu ditangkap atau ditawan. Beliau dapat menghilangkan diri dengan pertolongan Tuhan yang lebih berkuasa dan sayangkan hambaNya yang takwa lagi soleh sebagai guru agama memberi pengetahuan ajaran Islam kepada murid-murid yang begitu banyak dan penduduk-penduduk kampung di sekitar pondok-pondok beliau.

Pada suatu hari, berangkatlah beliau dan meninggalkan isteri serta anak-anak di tanah Jawa menuju Semenanjung Tanah Melayu. Sampai sahaja ke tanah Melaka, dicarilah Gunung Puteh atau Gunung Padang, tapi tidak dijumpai gua yang ada sepohon mempelam yang subur. Pergi pula ka Negeri Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, ke Ipoh, Tambun tidak juga ditemukan alamat-alamat didalam mimpinya itu. Beliau beralih pedoman pula ka Gunung Puteh atau Gunung Padang tercacak tegak  di Padang Rengas. Singgahlah beliau dan mencari kawan untuk menunjukkan jalan tempat di mulakan mendadki gunung itu yang boleh sampai ka gua itu yang disisi pintu gua itu pokok mempelam yang subur.

Agak sukar menempuh hutan dan duri sebelum sampai ke kaki gunung dan mendaki di celah-celah batu licin dan curam dan juga jalan yang boleh dilalui berbelit-belit. Sampailah Tuan Guru Haji Abdul Manan kesuatu gua. Di tinjau-tinjau, dipandang kekiri dan kekanan tertumpulah mata ke sepokok pohon mempelam yang subur lagi rendang. Tak lengah lagi terus saja Pak Kiai melangkah masuk dengan memulakan membaca Al-Quran, Bismillahir Rahmanir Rahim mengamat-amati penghulu yang bertapa disitu.


Gunung Puteh atau Gunung Padang.

 Alangkah gembiranya beliau dan beliau terus sujud syukur mengucap Alhamdulillah dan mendoakan agar penghulu bahagia di dunia dan akhirat. Maka Pak Kiai Dol Manan pun menurut jejak penghulu itu bertapa pula beberapa lama di gua itu. Dalam beliau megamal pertapaan itu, penghulu telah habis tempohnya dan ghaib dari pandangan nya, sedangkan Pak Kiai dalam pertapaannya sendiri. Demikian pula sebagaimana kebiasaan ahli pertapaan, cukup masanya berhenti dan turun dari gua itu kembali bersama-sama dengan masyarakat. Begitu pula halnya dengan Pak Kiai Dol Manan, kebawah gunung di tepi laut tinggallah Pak Kiai Dol Manan mendirikan pondok di situ dan banyaklah orang-orang datang belajar ilmu pengetahuan agama Islam dengan mendirikan beberapa pondok pula hingga amanlah dan meriah pula tempat itu. Kemudian Pak Kiai Dol Manan menamakan tempat itu Kampong Pondok, dan Gunung Puteh atau Gunung Padang itu dinamakan Gunung Pondok.

Begitulah sejarah yang di dapati dari orang tua-tua sambung menyambung hingga kepada penulis membuat sedikit sejarahnya. Menurut cerita, banyaklah orang-orang dari tempat lain datang ke kawasan Kampung Pondok, tiadalah dapat mereka hendak memiliki tanah di situ. Mulalah mereka yang pendatang itu membuka kawasan lain berhampiran meneroka tanah berdekatan menjadikan tanah milik mereka, berhuma, bertanam pokok kelapa dan banyaklah pokok kelapa mereka. Dapatlah sudah mereka menikmati buahnya dan di dalam kebun-kebun kelapa ini semua hak mereka itu tumbuh pokok lalang yang sangat subur. Kerana Kampung Pondok berjauhan sedikit, mereka menamakan kampung ini Kampung Lalang. Orang tua kampung ini dapatlah sedikit sebanyak ilmu pengetahuan agama belajar dengan Tuan Guru Pak Kiai Dol Manan. Begitulah berterusan dan asyik belajar dan beramal pengetahuan yang dipelajari.

Tersebutlah alkesah anak yang di tinggalkan oleh Pak Kiai di Jawa. Anak ini belajar agama juga dan menyambungkan pelajaran yang sedia asda ke tanah suci Mekah Al Mukarramah beberapa tahun pula dan sudah menjadi ‘alim. Kembalilah anak ini ke tanah Jawa dan digelarkan Pak Kiai Tuan Guru Haji Mohd Nor. Mengajarlah beliau menggantikan tapak guru yang ditinggalkan oleh ayahnya kepada murid-murid pondok itu. Semasa Pak Kiai Mohd Nor ka Mekah, ada guru menyambung menjayakan pelajaran di pondok itu seketika Pak Kiai Abdul Manan ka Semenanjung Tanah Melayu.

Pada suatu hari terkenanglah ibu dan anak ini akan ayah mereka yang merantau ke tanah Semenanjung. Timbullah keinginan anak ini buat mencari ayahnya. Belayarlah pula anak ini ke Semenanjung Tanah Melayu untuk mencari ayahnya, Pak Kiai Dol Manan di merata tempat dalam kawasan Gunung Puteh dan Gunung Padang tidak ada khabar beritanya, hingga berjalan pula ka Perak iaitu Padang Rengas, disinilah si anak dapat bertemu dengan bapanya yang sangat dirindui dan berpeluk ciumlah mereka bertangis-tangisan oleh sangat gembiranya dan bermalam dan tinggallah anak dan ayah bersama-sama beberapa bulan.

Pada suatu hari, pada masa lapang, angin barat menghembus sayu, si anak memulakan perbualan yang kaseh mesranya mengeluarkan kata yang sangat sopan lagi lagi halus merayu si ayah dapat menyetujui cita-citanya dan hasrat cita-cita ibunya agar ayah kebali ke Jawa bersama beliau yaitu anaknya sebab bukan saja ibu bagi kaum keluarga, semuanya mengharapkan Pak Kiai pulang segera kerana semua mereka merindui nya. Tetapi Pai Kiai bersam-sama anaknya mengeluarkan air mata yang tak tertahan-tahan. Dengan lembut ayahnya menjawab akan tidak dapat kembali lagi masa ini dan mengharapkan anaknya supaya tidak kembali ke Jawa dan bersam-samanya mengajar agama di situ. Anaknya menangis lagi dan berkata ia “Hai ayah, aku di suruh ibu mencari ayah, demikian juga keluarga kita semua mengharapkan bila bertemu dengan ayah dan membawa ayah pulang, dan aku tidak pulang menambahkan susah hati mereka lagi, ya ayah ku!” Maka si anak beberapa hari sahaja berbicara dan merayu dengan penuh hormat dan takzim dengan ayah beliau pun memohonkan diri dan meminta ampun dan maaf jika ada kesilapan selama berada disamping ayah.

Pulanglah si anak ke Jawa dengan perasaan yang terharu. Gembira hatinya kerana dapat berjumpa dengan ayah dan hampa hatinya ayah tidak pulang bersama-samanya. Apakah gerangan ibu dan keluarga di Jawa ayah tak sama pulang! Beliau anak yang cukup berpengetahuan agama memohon kepada Allah saja beliau berserah, rancangan ditangan beliau, keputusan dari Allah.Didalam perjalanan, si ayah mendoakan agar anaknya selamat di dalam perjalanan dan pelayaran, selamat menemui ibu dan keluarga. Dengan kehendak Allah yang maha kuasa, doa ayah dikabulkan Tuhan. Si anak pun sampailah ke Jawa dan dapat menemui ibu dan keluarga kembali.



Disalin oleh Mohd Zaini bin Haji Hashim
dari penulisan asal Allahyarham 
Tuan Haji Daud bin Haji Ismail
Penduduk asal Kampong Pondok.


Khamis, 5 Februari 2015

MOH BELAJOR NGANYAM TIKOR - MAK CIK DERMA TAKSIAH.




Anyaman Tikor Mengkuang.


Ada beberapa permintaan dari pelayar blog tentang keinginan suatu video untuk tontonan semua bagaimana anyaman tikar mengkuang dianyam.Bukan saja melihat bagaimana anyaman dibuat tapi boleh kita juga belajor cakap/loghat Mukim Lambor (Perak). Berikut dipaparkan video berkenaan yang dirakam oleh saudara Safri Kamaruddin (pangkat cucu kepada Hajjah Derma). Rakaman dibuat di Kampong Telok Bakong, iaitu dirumah Puan Hajjah Derma yang sekarang terkenal dengan gerai "Lagos" didepan rumahnya. Ate ce moh kite nengor yek ........


Puan Hajjah Derma Taksiah - barisan depan kanan no.2).
(Kuliah Muslimah - Masjid Syukuriah Telok Bakong)


Puan Hajjah - foto dedulu.


Encik Safri Kamaruddin dan isteri - Lambor Kanan.