Kelab Melayu Pulau Tiga.
HUJUNG minggu lalu saya berkesempatan 'melancong' ke sebuah kampung,
bukan di benua Eropah, tetapi di tanah air kita sendiri. Kampung itu
sungguh unik dan perlu diketahui oleh kampung-kampung di seluruh negara.Saya sungguh bernasib baik kerana turut diiringi oleh seorang sahabat
yang juga orang kampung di situ. Beliau ialah bekas Ketua Pengarah
Muzium Negara, Datuk Dr. Kamarul Baharin Buyong.Kampung itu ialah Kampung Pulau Tiga, dalam daerah kecil Kampung
Gajah di Parlimen Pasir Salak, Perak Tengah. Ia terletak di tepi Sungai
Perak yang lebar dan mengalir laju.Yang menariknya selain Dr. Kamarul, seorang lagi bekas Ketua Pengarah
Muzium Negara yang juga berasal dari kampung itu ialah Datuk Shahrom
Yeop.
Memang layak pun mereka menerajui organisasi itu, kerana kampung itu
dan daerah Pasir Salak merupakan kawasan bersejarah ulung di negara ini.Residen British pertama di Perak James Wheller Woodfird (J.W.W)
Birch, yang menurut Wikipedia sebagai buta jiwa Melayu, tuli kepada
bahasa Melayu dan naif dengan budi bahasa, dibunuh oleh Datuk Maharaja
Lela Pandak Lam di tepi Sungai Perak, Pasir Salak pada 2 November 1875.Menurut cerita, selepas pembunuhan itu, seluruh penduduk di kawasan itu 'dipulau' oleh pihak British.Mana-mana penduduk dari kampung-kampung di situ sentiasa dicurigai
oleh British dan sukar bergerak bebas. Mereka dicap sebagai 'teroris'
atau pengganas, sama seperti profiling Amerika ke atas orang Islam
sekarang.Ini menyebabkan ramai penduduknya membawa diri keluar daerah dan
merantau ke seluruh Tanah Melayu untuk memajukan diri. Yang tinggal di
daerah itu, mereka terpaksa berdikari. Tiada bantuan daripada British.Itu pasal sehingga hari ini secara kebetulan, biologikal atau tidak,
rata-rata rakan-rakan saya dari kawasan itu garang-garang belaka, cukup
berdikari dan amat kritikal dari segi pemikiran.British hanya memajukan kawasan-kawasan penduduk Cina yang kini merupakan pekan-pekan penting di Perak.Namun, sebelum pembunuhan itu, daerah Pasir Salak merupakan kawasan
tumpuan British kerana kedudukannya yang strategik, ia mempunyai lebuh
raya sungai yang utama.Malah jika dikaji sejarah lagi, di Kampung Pulau Tiga sahaja pernah
dinaungi oleh lima orang sultan yang menjadi asas kepada Kesultanan
Perak sekarang.
Saya dibawa oleh Dr. Kamarul menziarahi beberapa makam sultan yang
berada di sekeliling kampung itu. Makam-makam itu adalah tempat
bersemadi Sultan Mahmud Shah, Sultan Muhammad Shah, Sultan Ahmad
Tajuddin, Sultan Mahmud Iskandar Shah dan Sultan Alauddin Mughayat Shah.Saya terpegun kerana makam-makam itu terletak di celah-celah lorong, kampung dan di tepi sungai.Terletak juga makam ulama, termasuk ulama berasal dari rantau Arab yang pernah menghuni di situ.Namun, jika kita sering melancong ke luar negara dan melihat
tempat-tempat bersejarah dijaga rapi, makam-makam di situ tidak terurus
dan terbiar. Semak-samun memenuhi kawasan sekeliling.Kampung Pulau Tiga yang dipisahkan oleh Sungai Perak terletak di
sebelah kiri dan kanan. Kedua-dua kampung ini cukup menarik dan
bersejarah.Saya yang juga berasal dari kampung belum pernah melihat kampung yang
cukup 'hidup' seperti Kampung Pulau Tiga. Saya bertemu dengan seorang
penggerak kepada aktiviti-aktiviti kampung di situ iaitu Nordin Abdul
Malek untuk menyelami fikirannya.Ternyata beliau ialah anak muda dan usahawan yang cukup agresif. Saya
dibawa dengan kereta Mercedes tuanya ke merata pelosok desa itu untuk
melihat apa yang ada.
Cukup terpegun. Kampung itu memenangi beberapa anugerah yang
dijalankan oleh kerajaan. Kampung itu juga pernah menang hadiah geran
RM2 juta daripada kerajaan.Memang layak ia menang. Saya dibawa melihat aktiviti pertanian.
Jarang-jarang kita boleh melihat ladang pokok asam gelugur. Asam
gelugur, selain dibuat asam keping, ia dijadikan perusahaan jus yang
sungguh segar diminum dingin di kala panas.Di satu lorong lain kampung itu, saya menyaksikan ladang ternakan
ikan. Ia bukan ikan biasa. Ladang itu dikawal dengan sistem keselamatan
canggih. Ia menternak ikan-ikan untuk eksport. Antara ikan yang diternak
ialah ikan pari air tawar berasal dari Amazon yang cukup cantik.
Difahamkan harganya ialah sekitar RM3,000 seekor. Selain itu ia juga
menjalankan aktiviti penternakan ikan arowana.Di celah lain kampung itu, kita melihat aktiviti membuat dodol, kraftangan dan seramik labu yang cukup menarik.
Di kampung sebelah pula ialah aktiviti pelancongan-agro. Saya melihat
bagaimana projek tanaman cili merah yang dijalankan secara fertigasi
menghasilkan cili-cili yang cukup subur dan panjang. Harga di pasar
boleh menjangkau sehingga RM20 sekilogram.Semua aktiviti itu dijalankan di bawah program My Kampung My Future
(MKMF), satu program yang dijalankan ke atas beberapa buah kampung
terpilih di negara ini oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani.Menurut Nordin, di kampung itu juga terletak pusat latihan pertanian
yang dikendalikan oleh beliau. Ia mungkin pusat latihan yang
satu-satunya dijalankan oleh anak kampung di negara ini.Kebetulan saya di situ, saya sempat menyaksikan program hands-on
untuk belia-belia mengenai pendedahan sebenar perniagaan tani (ABRE) di
Kompleks Desa Warisan iGROW. Kursus itu diikuti oleh para pelajar jurusan perniagaan UiTM Seri
Iskandar, terletak berdekatan kampung itu serta pelajar Politeknik Jeli,
Kelantan.Melihatkan kejayaan kampung itu, saya merasakan ia patut dicontohi
oleh semua kampung di negara ini. Pertama kali saya di situ, saya cukup
kagum. Ia patut dijadikan destinasi lawatan sambil belajar oleh penduduk
kampung lain seluruh negara.
Saya kemudian dibawa oleh Dr. Kamarul ke Pasir Salak. Di tepi-tepi
jalan kelihatan jualan buah-buahan, terutamanya durian cukup rancak.
Kawasan itu adalah dusun durian yang terkenal di Perak.Sebagai orang muzium, tidak sah jika Dr. Kamarul tidak membawa
rakan-rakannya melawat ke Kompleks Sejarah Pasir Salak. Dari luar ia
kelihatan satu kompleks yang indah. Tapi di pagarnya yang sepatut
terpacak replika lembing, semuanya sudah hilang dicabut.Idea pembinaannya dicetuskan oleh bekas MB Perak, Tan Sri Ramli Ngah
Talib yang juga berasal dari situ. Namun sayang seribu kali sayang, di
musim cuti sekolah ini tidak ramai lagi yang berkunjung."Macam mana mereka nak datang, keadaannya sudah tidak terjaga. Aircon
pun sekejab elok dan tidak. Cuba pergi tengok Rumah Dato' Maharaja
Lela, mungkin ular sawa pun ada di situ, rumah itu sudah berada dalam
semak-samun dan hampir menyembah bumi," kata seorang wanita yang menjaja
warung minuman di luar kompleks itu dengan raut muka sedih dan marah.
Ironinya, rumah kuaratornya pun kini sudah terbiar dan menjadi 'rumah
hantu'.Termenung saya, jika peniaga warung pun boleh berfikir, ke mana pula perginya pegawai-pegawai besar kita? Memang sedih. Suasananya sudah tidak terurus. Tiada siapa lagi peduli
dengan kompleks yang dirasmikan oleh Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990.
Jika Tuanku Raja Nazrin membaca tulisan ini, patik berharap Tuanku
buatlah kunjungan mengejut ke situ. Jika kerajaan negeri tidak peduli
mungkin Jabatan Muzium Negara boleh mengambil alihnya secara langsung?
Amat memalukan jika pelancong dari Britain misalnya, datang untuk
melawat sejarah nenekandanya Birch di kompleks yang gah, tetapi daif
itu.
Dr. Kamarul melihat saya berkerut. Dan beliau faham apa yang saya fikirkan.
"Saya juga amat sedih...," katanya perlahan.
Kami kemudian meninggalkan kompleks itu dengan pelbagai persoalan.
Beberapa hari lagi ialah 2014 iaitu Tahun Melawat Malaysia? Alahai...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan