Isnin, 26 September 2011

SALASILAH IMAM JAESAH 4.


Mercu Tanda Pekan Kampong Gajah Perak.




SALASILAH IMAM JAESAH 4.


Catatan disalasilah tidak menyatakan anak Uda Masir dan Ngah Suasa iaitu Long Raesah mempunyai anak atau tidak ianya tiada data diperolehi. Cuma dari jurai Pandak Adam sahaja yang tercatit. Begitu juga catatan A1/3/2/1 samaada terdapat anak beliau yang tua atau tidak ianya kabur. 



Tudung Saji (Sangai - bahasa tempatan).

Sabtu, 10 September 2011

TOK TAJUK DAN TOK SUNTING.



PULAU MENTAGAN.

Penulis membawa kisah Tok Tajuk dan dimuatkan didalam laman ini (lanjutan kepada entry Makam Tok Tajuk) kerana penerokaan kisah ini melalui pengalaman kami bersama sekumpulan keturunan dari Alang Sumat atau lebih tepat keturunan anak cucu cicit Tok Kadok mencari dan menyelidiki akan sebuah makam lama di daerah Pekan Pahang. Kumpulan penyelidik ini diketuai oleh Allahyarham Kiyai Arshad bin Ahmad Gamat pada awal 1980an.

LOKASI MENTAGAN.



SEJARAH DAN LAGENDA MENTAGAN.

Marilah kita mengikuti cerita dari Tuan Haji Mat (Allahyarham tokoh tertua di Kampong Sungai Duri, Penyor Pekan Pahang dimasa awal 1980an), Kampong Sungai Duri adalah diseberang sungai Pahang menghadap kepulau Mentagan dan sebuah kampong lagi bersebelahan dengan Mentagan ialah Kampong Sepinang.Kini tiada sesiapa menghuni Kampong Mentagan dan hanya tinggal sejarah lagendanya sahaja.

Tok Tajuk (lelaki) dan Tok Sunting (perempuan) atau ghodong-ghodongnya (bahasa tempatan-bahasa dulu-dulu di daerah ini yang bermaksud kawan dan rakan partner atau pun sisuami dan siisteri) adalah merupakan orang kampong biasa sahaja yang menetap ditepi sungai Pahang dan mempunyai seorang anak lelaki (namanya Mentagan) berjaya dalam urusan berdagang dan berniaga serta kaya raya.Tidak diketahui pada tahun bila legenda ini bermula, hanya diceritakan dari mulut kemulut oleh orang tempatan dan kini legenda ini dah terbiar tanpa dipanjangkan ke generasi baru. Ramai generasi baru tidak mengetahui cerita Tok Tajuk di Kampong mentagan serta Pulau Mentagan ini.

Suatu ketika dua kapal perdangan Mentagan telah singgah berlabuh ditepi sungai Pahang berhampiran rumah kedua orang tuanya. Alangkah gembiranya siibu-Tok Sunting melihat anaknya balik, tapi kegembiraan si ibu hanya sementara lantaran menantunya anak orang kaya serta ianya membuatkan anaknya si Mentagan malu mengaku yang ibunya itu Tok Sunting yang miskin dan hina. Dengan perasaan sedih dan hampa Tok Sunting  belari kearah daratan iaitu kegunung untuk menjauhkan dirinya dari anak yang durhaka. Dengan linangan airmatanya sambil menangis membawa dirinya kedaratan-gunung dan dengan takdir Allah jua titisan air mata Tok Sunting ini telah membentuk atau menjadikan aliran anak sungai Mentagan hingga ke kaki gunung dan beliau lalu ghaib entah kemana.Sementara kapal-kapal dagangan anaknya dua buah tiba-tiba menjadi batu, masih terdapat bentuk lipatan kain diatas kedua pulau-pulau berkenaan masih jelas kelihatan sementara makam si ayah masih ada ditepian sungai Mentagan bersama dua atau tiga makam lama orang kampong yang berdekatan. Tiada khabar berita juga apakah nasib si Mentagan dan isteri turut menjadi batu juga sebagaimana kapa-kapal dagangannya.



Makam Tok Tajuk yang berada di tepian tebing Kampong Mentagan.
(gambaran penulis makam Tok Tajuk ketika menziarahi kawasan tersebut pada 1981),

Terdapat buaya besar (buaya Putih) dimuara anak sungai Mentagan ni dan arus air sungai dikedua-dua pulau batu tu sungguh deras dan ditepian tebing sungai Pahang yang berdekatan pulau ini sering kelihatan buaya-buaya tersidai ditepi batu dihujung pulau. Kaki Pancing dihujung minggu ramai kesini untuk bermalam dan aktiviti memancing. Sehingga kini tiada lagi sesipa tinggal di sekitar kampong sungai Mentagan ini dan mengikut cerita orang yg menyusuri anak sungai Mentagan ni hingga ke tepian gunung, terdapat beberapa tingkat air terjun yang cantik disitu.

AIR TERJUN LATA MENTAGAN.



Papan Tanda Lata Mentagan.



Pintu gerbang jalan masuk ke Lata Mentagan.



Bersebelahan Lata Mentagan telah dibina Loji Air 
untuk Kg Belimbing dan Seri Makmur (Lengkor).



Kelihatan air sungai Mentagan yang telah cetek.



Kemudahan riadah dan wakaf disediakan disini untuk pengunjung.



Kemudahan tandas dan bilik persalinan disediakan.


MENTAGAN SUATU KETIKA DAHULU.



Aliran air terjunnya (sungai Mentagan).
http://www.flickr.com/photos/2121studio/3482907302/lightbox/



Kawasan seberang jalan menghala ke Sungai Pahang antara dua Pulau.
http://www.flickr.com/photos/2121studio/3482907302/lightbox/



Encik Zainuddin dan Norizen.



Encik Rahim dan encik Zainuddin.
(Cicit-cicit Alang Sumat )

Dua foto diatas adalah encik Zainuddin bersama anaknya dan encik Rahim bersama encik Zainuddin berehat sebentar untuk menjejak air terjun tujuh tingkat di hulu sungai Mentagan. Expedisi ini dilakukan dalam tahun 1993, lawatan yang pertama telah dilakukan oleh encik Zainuddin dalam tahun awal 1970an dimana bersama orang-orang kampong Sg Duri sendiri. Mereka mengaku telah menemui air terjun tersebut yang terletak di dinding gunung hulu Mentagan. Masih adakah lagi ianya diwaktu ini !!!!


Dari cerita lagenda yang diceritakan oleh Tuan Haji Mat ini, adalah berlainan dengan visi cerita Tok Kadok yang mempunyai lagenda tersendiri di Perak. Oleh itu dari rumusannya Makam Tok Tajuk adalah bukan makam Tok Kadok, hanya nama hampir sama sahaja tapi hakikatnya orang yang berlainan.


SALASILAH IMAM JAESAH 3.


Foto lama sumbangan Kolonel Zaini (Goverment Boy Hostel Telok Anson) mungkin foto ini dirakamkan diawal 1920an dan keterangan secara terperinci tak dapat penulis terangkan kerana kekurangan sumber dan info, maklum la foto ni dah lama. Walaubagaimana pun ribuan terima kasih kepada pemilik foto ini kerana menyumbang bahan bersejarah untuk dipaparkan di blog ini.





SALASILAH IMAM JAESAH 3.

Dicatatkan keturunan didalam kelompok dan jurai Imam Jaesah 3 ini berada di Kampong Empai dan Kampong Baru Pulau Tiga. Mungkin merangkumi juga diseberang sungai Perak atau disebelah kiri tebing sungai. 


Rumah Kutai di Pasir Salak, Kg Gajah Perak.


Rumah Kutai.


Bunga-bungaan hiasan laman rumah di Pulau Tiga.


Selasa, 6 September 2011

MAKAM TOK TAJUK.


Allahyarham Ki'ai Arshad bin Ahmad Gamat 
( bersongkok disebelah kiri )

Negeri Pahang adalah antara negeri yang sering dikaitkan juga dengan cerita Sumpahan Tok Kadok selain Mukim Lambor di Negeri Perak Darul Ridzuan. Saya tak pasti kenapa negeri Pahang sering dikaitkan atau ada kena mengena dengan kisah Tok Kadok, mungkin penghijrahan sejak dulu lagi atau ada kaitan dengan salasilah keturunan akibat peperangan serta peneroka penempatan baru seperti perlombongan dan Tanah Rancangan. Dari pengalaman penulis daerah Pekan dan daerah Temerloh adalah berkaitan dengan kisah tersebut selain di daerah Bentong dan Kuala Lipis. Dalam mencari salasilah keturunan Tok Kadok mungkinkah makamnya berada di sekitar semenanjung Tanah Melayu ? pihak kami cuba menyingkap kisah lampau. Setelah merujuk kepada orang tertua di Kampong Sungai Duri daerah Penyor Pekan Pahang iaitu Allahyarham Tuan Haji Mat mengenai wujudnya satu makam di daratan sungai Mentagan yang dikesahkan bernama Tok Tajuk ketika itu. Adakah ianya Tok Kadok, apakah orang-orang didaerah ini tersalah sebut dengan lohgat kedaerahan mereka iaitu Tok Kadok disebut Tok Tajuk.

Bersama Kiai Arshad kami cuba meleraikan persoalan makam Tok Tajuk tersebut, kisah ini berlaku disekitar tahun 1980an, lokasi tempat yang dinamakan Pulau Mentagan ini terletak kira-kira 20km dari Pekan kecil Sri Jaya, Maran Pahang atau 4km dari Kampong Belimbing (jeti bot penambang untuk ke Tasik Chini) dan kira-kira 3km dari Sri Makmur. Dengan kebolehan beliau sebagai Tok Kiai maka beliau pun berkunjung ke Makam tersebut dengan tatacara bertafakur serta berwirid dan menurutnya makam ini bukan milik moyang kita "Tok Kadok". Memang nama hampir sama tetapi bukan milik Tok Kadok. Beliau pernah bertanya kepada bapanya iaitu Ahmad Gamat bin Alang Sumat, adakah makam Tok Kadok berada di Semenanjung Tanah Melayu atau di daerah Kampar, Siak Sumatera Indonesia ? kalau mengikut cerita Alang Sumat memang makam Tok Kadok berada disana. Pihak kami mencari kepastian sahaja lantaran kebolehan Tok Ki'ai yang sememangnya diakui diwaktu itu.




Gambaran penulis Makam Tok Tajuk pada 1980an.

Kedudukan makam Tok Tajuk ini adalah kira-kira 150meter ke hulu dua pulau yang menjadi batu didaratan tepian sungai Pahang. Panjang makam ini dianggarkan 40kaki antara batu nisan dikepala dan kaki, pada penghujung 1980an jentolak pekerja-pekerja kayu balak telah terlanggar batu dikepalanya dan orang-orang kampong telah membetulkannya kembali tapi dengan kedudukan yang lebih pendek diantara batu nisan tersebut. Penulis cuba masuk semasa lawatan ke kawasan Mentagan ini tapi makam ini dah 20 tahun lebih tidak diselenggara dan amat sukar untuk kesana. Oleh kerana dibimbangi keselamatan rombongan maka kami terpaksa mengambil keputusan untuk tidak melawat kekawasan makam. Pihak kami terasa terkilan tak dapat mengunjungi makam berkenaan tetapi demi mementingkan keselamatan yang lebih utama terpaksalah kami mengalah. Insyaalah jika berkesempatan kami akan mengambil foto-foto makam tersebut dilain masa.

Pada zaman 80an dulu, batu-batu diatas pulau ini berupa sebagaimana kain-kain bersusun (sekayu) dan dikala air sungai Pahang kering kelihatan pula batu-batu seperti "Le'che" bahasa tempatan iaitu bermaksud "Tilam" atau alas tempat tidur. Semasa kunjungan kami kesini baru-baru ini, kami tidak dapat menghampiri atau mendarat diatas pulau ini kerana tidak terdapatnya bot atau perahu untuk disewa.



Pulau Mentagan arah selatan hilir sungai.



Pulau Mentagan arah hulu sungai.


Dihujung Pulau kelihatan batu-batu 
mengunjur ke hulu sungai pahang.


Foto ini diambil dalam tahun 1970an
diatas pulau utama (hulu) Mentagan.



Foto encik Rahim ini juga diatas pulau utama  (hulu)
Mentagan di awal tahun 1970an.

Antara kedua buah pulau ini terdapat satu aliran anak sungai yang mengalir kedalam sungai Pahang, ianya dipanggil Sungai Mentagan dan aliran anak sungai ini terus dikaki gunung di hulu sungai tersebut. Dibawah adalah foto anak sungai Mentagan yang mengalir diantara dua buah pulau.


Aliran anak sungai Mentagan.

Mungkin zaman telah berubah sealiran dengan cuaca dunia dan aliran sungai Mentagan juga telah berubah jadi kering tidak seperti 20 tahun dahulu yang banyak dihuni oleh kehidupan ikan-ikan sungai. 

Sila ikuti kisah Pulau Mentagan ini dan cerita Tok Tajuk dan Tok Sunting isterinya di entry selanjutnya.