Anyaman Tikar Mengkuang -
Kelarai Kepala Lalat bersulam kelarai bunga.
Menganyam ialah proses menjalin helaian atau jaluran daun mengkuang atau daun pandan yang telah diproses mengikut tatacara tertentu. Seni anyaman ini telah terkenal sejak zaman dahulu lagi dalam masyarakat melayu terutamanya di Terengganu, Kedah, Perak dan Melaka.
Corak anyaman umumnya disebut kelarai. Bagaimanapun, khususnya untuk tikar mengkuang, kelarainya dirujuk sebagai ragi. Kelarai dibuat dalam pelbagai motif dan peranannya sama seperti corak bunga dalam tenunan, iaitu sebagai suatu ciri perhiasan. Anyaman kelarai disusun secara tunggal dan lepas (menyeluruh) atau disusun di dalam ruang tertentu. Susunan menegak disebut kelarai berdiri dan susunan sendeng, kelarai serong. Untuk hiasan pinggir atau birai tepi pula terdapat satu kelarai khusus iaitu kelarai pucuk rebung atau nama yang berunsurkan tumbuh-tumbuhan lain seperti kangkung dan sebagainya.
Semua jenis kelarai berunsurkan alam semula jadi. Di kalangan masyarakat Melayu, motif tumbuhan menjadi pilihan utama. Daripada bentuk bunga, terdapat kelarai bunga atur, berembang, cengkih dan cengkih beranak, bunga cina, bunga durian, bunga kundur, bunga pecah lapan, bunga tanjung, bunga telur, dan bunga rumput. Unsur-unsur tumbuhan yang lain termasuk akar, pucuk (rebung) dan tampuk (jantung pisang, manggis, pinang). Daripada unsur fauna pula, ada motif anggota haiwan, seperti siput, kepala gajah, mata berkait, tapak anjing dan tapak harimau. Juga kelarai dengan bentuk-bentuk bahagian tertentu ikan, serangga dan unggas. Antaranya ialah anak ikan, belalang cucuk, jari kedidi, mata ketitir, pusat belanak, siku keluang, sisik kelah dan tulang ikan. Di sini unsur ini amat jarang diterapkan kerana agak sukar untuk membentuknya dan memerlukan kemahiran yang tinggi bagi penganyamnya,
Di Telok Bakong lebih popular dengan jenis ragi atau kelarai bentuk bebas, seperti kelarai belah ketupat, kelarai kisar mengiri, kelarai beras patah dan kelarai madu manis. Dalam membuat kelarai, perkara utama yang diperhatikan ialah jumlah mata atau langkah daripada bilah daun yang digunakan. Jumlah mata menentukan saiz satu-satu corak. Untuk menyerlahkan kelarai, bilah-bilah dicelupkan dua warna yang bertentangan antaranya. Misalnya, kuning dan hijau, merah dan ungu, atau putih dan perang. Kadangkala warna ketiga digunakan sebagai tanah atau latar belakang corak. Bilah-bilah daun mengkuang berwarna yang dianyam tindih-menindih dan berselang-seli ini akan menyerikan hasil anyaman mengkuang dan pandan.
Peringkat Anyaman
Terdapat lima peringkat proses menganyam iaitu :
A) Lagang
Kerja-kerja lagang adalah asas atau tulang kepada rekabentuk anyaman tikar mengkuang serta juga menentukan panjang dan bentuk anyaman.Susunan warna sesuatu anyaman biasanya dinamakan ‘corak’.
B) Anyaman
Anyaman pula terbahagi kepada tiga jenis, iaitu Anyaman kelarai, Anyaman biasa atau anyaman sulam.Anyaman dimulakan dari bahagian tengah (lagang) seterusnya dianyam ke bahagian tepi.Anyaman kelarai biasanya terancang dan dilakukan serentak semasa proses anyaman. Dua jenis warna kontra digunakan bagi menunjukkan kesan bentuk anyaman bagi menyerlahkan bentuk kelarai.
C) Pepeh atau Lepih
Anyaman Mati iaitu mengakhiri anyaman
D) Sisip
Hujung daun dipotong serong dan masukkan ke dalam bilah anyaman atau disisip supaya nampak kemas dan tidak terurai dari anyaman.
E) Kerat
Pepeh,sisip dan kerat adalah kerja-kerja berkaitan diantaranya.
Setelah siap menganyam marilah kita lihat hasil anyaman kelarai tersebut yang antaranya disimpan begitu lama oleh pemiliknya. Ada sebahagian dari tikar yang disimpan sudah berusia 30tahun. Tikar-tikar mengkuang ini adalah hasil usaha oleh Puan Hajjah Fatimah bt Haji Mohd Ali sendiri kecuali tikar rubai yang dibeli dari Alang Payang (perempuan) dari Lambor Kiri/Kuchai. Beliau juga dizaman 70an menganyam tikar untuk dijual diMukim Lambor, Padang Changkat, Sedingka, Bota Kanan dan hingga ke Pulau Tiga Kampong Gajah. Harga sekeping tikar ketika itu adalah serendah 0.70sen sehelai dan paling tinggi pun RM3.50 dengan saiz tikar panjang sembilan, tujuh dan enam serta lebar sekitar 3.5kaki,4kaki, 4.5 atau 5kaki.
Puan Hajjah Fatimah Mohd Ali.
Tikar-tikar mengkuang yang dihasilkannya sendiri melalui anyaman dari mengkuang ditebing Chu Talak dan tebing Lamah :-
Kelarai(ragi) Kepala Lalat
Ragi Corak Pelikat
Ragi Beras Patah.
Ini juga dalam bentuk kelarai bercorak/beras patah.
Kelarai(Ragi) Temose.
Kelarai jenis bercorak Temose.
Tikar Beralas (ada unsur tambahan kain
merah dijahit dibahagian tepi).
merah dijahit dibahagian tepi).
Anyaman Halus untuk tikar jenis ini.
Gaya dan Corak anyaman Tikar Beralas.
Kelarai berbentuk empat segi
diatas anyaman biasa Tikar Beralas.
Tikar Mengkuang Rubai.
(Kelihatan bilah-bilah daun mengkuang
yang sedikit tebal dan kasar)
Tikar Rubai.
Rubai.(Anyaman Kelarai cara biasa)
Tikar Mengkuang pandan.
Kelarai Biasa bagi Tikar Mengkuang Pandan.
Tikar Beralas.
Kegunaan tikar beralas di Mukim Lambor ini adalah untuk majlis-majlis kenduri kahwin bagi melapik tempat khas Juru Nikah dan Pengantin Lelaki sahaja. Ia merupakan jenis-jenis tikar berada dimajlis khas sahaja. Ada juga tikar beralas ini digunakan untuk lapik tempat sembahyang di rumah-rumah mukim Lambor.Tak ketinggalan juga tikar jenis ini dikhaskan juga untuk melapik jenazah bagi pengiringan ke liang lahat dan turut di hadiahkan kepada imam yang membaca talkin si mati.
Tikar Bercorak dengan Kelarainya (raginya).
Tikar jenis ini dibentangkan dimajlis-majlis kenduri kendara seperti dianjung dan ruang ibu rumah untuk tetamu duduk dibahagian ini. Suasana rumah berwarna warni dengan corak kelarainya dan memeriahkan lagi majlis majlis yang diadakan.
Tikar Rubai.
Kebiasannya saiz tikar jenis ini adalah besar dan memanjang, ia juga digunakan untuk dibentangkan diruang tamu dan ibu rumah bagi keselesaan tetamu yang hadir. Tikar rubai juga sesuai untuk dibentangkan juga di laman rumah atau diluar rumah ketika persandingan pengantin diadakan didepan rumah. Dengan ketahanan tikar ini kebanyakan orang dahulu menggunakannya untuk menjemur padi sebelum di tumbuk dengan menggunakan lesung padi.
Tikar Pandan.
Tikar pandan banyak digunakan untuk lapik tempat sembahyang dan tempat tidur orang dulu-dulu, ianya lembut dan mudah rosak untuk kegunaan berlasak ditempat lain.
Mengkuang Laut.
Daun mengkuang laut pula dianyam terus untuk membuat simpanan penganan (dodol dan wajid) kerana daun berkenaan berbau wangi serta tahan untuk menyimpan kueh traditional tersebut disamping digantung ditepi dapur kayu. Begitulah orang dulu-dulu menyimpan kueh berkenaan sehingga tahan setahun atau lebih.
Ulasan Penulis.
Kini sudah tiada lagi kawasan tanaman mengkuang di susur tebing-tebing air mati dan generasi sekarang juga tak berminat untuk mempelajari bidang anyaman ini. Sejajar dengan pekembangan zaman yang serba cepat serta mudah didapati pula generasi kita telah beralih kepada tigar getah yang berbagai warna dan bentuk serta jenisnya. Agak sukar menemui tikar-tikar mengkuang dirumah-rumah kita dikala ini kerana perubahan cara hidup dan pelbagaian jenis lantai serta jenis rumah telah menghakis penggunaan tikar mengkuang itu sendiri dikalangan masyarakat kita. Penulis melihat pokok mengkuang tumbuh subur di sekitar tepi tebing sungai di Kampong Paloh serta di tebing Kampong Air Mati Bota. Masih adakah lagi yang berminat menganyam tikar ? atau perkara tersebut untuk generasi tua sahaja.
Mengkuang Laut.
Daun mengkuang laut pula dianyam terus untuk membuat simpanan penganan (dodol dan wajid) kerana daun berkenaan berbau wangi serta tahan untuk menyimpan kueh traditional tersebut disamping digantung ditepi dapur kayu. Begitulah orang dulu-dulu menyimpan kueh berkenaan sehingga tahan setahun atau lebih.
Ulasan Penulis.
Kini sudah tiada lagi kawasan tanaman mengkuang di susur tebing-tebing air mati dan generasi sekarang juga tak berminat untuk mempelajari bidang anyaman ini. Sejajar dengan pekembangan zaman yang serba cepat serta mudah didapati pula generasi kita telah beralih kepada tigar getah yang berbagai warna dan bentuk serta jenisnya. Agak sukar menemui tikar-tikar mengkuang dirumah-rumah kita dikala ini kerana perubahan cara hidup dan pelbagaian jenis lantai serta jenis rumah telah menghakis penggunaan tikar mengkuang itu sendiri dikalangan masyarakat kita. Penulis melihat pokok mengkuang tumbuh subur di sekitar tepi tebing sungai di Kampong Paloh serta di tebing Kampong Air Mati Bota. Masih adakah lagi yang berminat menganyam tikar ? atau perkara tersebut untuk generasi tua sahaja.
1 ulasan:
Hi can you contact me a.s.a.p at sitisalwa6126@gmail.com
Catat Ulasan