Khamis, 24 Mac 2011

LAGENDA KOLAM BUAYA EMAS.


BAHAGIAN KOLAM ARAH DARAT.
(menghala jalan masuk ke makam)




BAHAGIAN KOLAM ARAH BARUH
(menghala Tebing Sungai Air Mati)




Gambar Hiasan - Spesis Buaya Tembaga (Buaya Emas) 


Lagenda Kolam Buaya Emas.

Kolam ini terletak berhampiran dengan makam Sultan Muzaffar Shah 1 di Padang Marhom Telok Bakong, keluasan kolam ini sudah nampak mengecil dan cetek. Tidak sebagaimana waktu penulis kecil-kecil dahulu, kolam ini sering berair sewaktu musim hujan dan lambat kering dimusim panas. Berbagai cerita juga dengan kolam ini yang diceritakan oleh penduduk setempat serta warga Kampong telok Bakong tentang mistiknya.

Penulis mengambil satu cerita yang di ceritakan oleh orang-orang tua dahulu mengenai kisah kolam buaya emas ini. Mengikut lagendanya kolam tersebut mempuyai harta karun yang tersimpan didasarnya, pelbagai usaha pihak tertentu untuk mencari dan menyelidiki harta tersebut namun sehingga kini tiada siapa pun yang berhasil malah kolam berkenaan masih seperti kelihatan di foto, semak dan makin mengecil keluasannya. Sewaktu ketika dahulu kononnya penduduk kampong boleh meminjam pinggan mangkuk dari kolam ini, khususnya untuk majlis kenduri nikah kahwin.




Mungkinkah semua peralatan seperti ini yang boleh dipinjam ?

atau

sebegini




Peminjaman peralatan pinggan mangkuk hendaklah di buat dengan petua syarat yang telah ditetapkan sebagaimana lazimnya. Tidak diketahui pula apakah syarat dan tatacara peminjaman dibuat antara si peminjam dan yang meminjam. Dari petua syarat sebagai peminjam, selesai sahaja majlis maka hendaklah dipulangkan kembali semua pinggan mangkuk tersebut tanpa sebarang cacat dan celanya. Jika yang pecah dan cacat (retak) perlu diganti dengan yang baru. Setelah sekian lama kemudahan ini dinikmati oleh penduduk kampong, pada suatu ketika peminjam tidak menggantikan pinggan mangkuk yang pecah dan memulangkannya dalam kecacatan serta tidak cukup bilangan sebagaimana masa meminjam barangan tersebut. Mengikut ceritanya selepas peristiwa tersebut Kolam Buaya Emas ini tidak lagi sudi memberi perkhidmatan meminjamkan pinggan mangkuk kepada penduduk kampong kerana segala petua syarat tidak dipatuhi dan berakhirlah perkhidmatan tersebut.

Mungkin cerita rakyat ini boleh kita berkongsi bersama dengan cerita-cerita yang diceritakan oleh orang tua-tua dahulu dan kita ikuti pula cerita dari sahabat kita :-


Kolam Buaya Emas

Kisah Kolam Buaya Emas ini adalah lagenda yang terjadi di Tanah Abang lewat kurun ke-16. Walau bagaimanapun, cerita ini kurang popular di daerah kami mungkin lantaran pengajaran dari kisah ini terlalu ringan.

Di akhir kurun ke 16, Pusat Pemerintahan Perak Tua iaitu Tanah Abang diperintah oleh seorang sultan iaitu Sultan Mansor Shah ke-2. Sultan ini dikatakan sudah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga namun masih belum berputera walau seorang pun. Memikirkan bahawa tahta kerajaan negeri memerlukan seorang waris, persoalan ini amat menggusarkan benak Ke Bawah Duli Baginda. Baginda semakin hari semakin bermurung durja sehinggakan rakyat dan pembesar turut merasa gundah gulana.

Melihatkan keadaan sultan semakin hari semakin membimbangkan, Memanda Bendahara sepakat dengan Datuk Bentara untuk mencari jalan penyelesaian buat baginda. Memanda Bendahara mengarahkan Datuk Bentara mudik ke hulu sungai hingga ke sempadan Kelantan untuk bertemu dengan Tok Malim Buana yang arif dalam ilmu dunia dan juga akhirat. Kedatangan Datuk Bentara itu disambut mesra oleh Tok Malim Buana dan dari ilmu laduninya, Tok Malim Buana memahami akan maksud kedatangan Datuk Bentara itu.
"Sampaikan salam hamba kepada Ke Bawah Duli Tuanku laki-bini. Katakan kepada baginda bahawa baginda laki-bini haruslah berdayung ke Air Mati, tempat berhampiran dengan Gajah Batu Tiga Beranak berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wataa'la agar dikurniakan putera atau puteri yang ramai.. Insya-Allah niat suci baginda akan diperkenankan oleh Allah".

Berita itu kemudiannya diperkhabarkan kepada sultan dan sultan bersetuju untuk berusaha seperti yang disarankan oleh Tok Malim Buana. Sampai sahaja di kawasan Air Mati berhampiran dengan Gajah Batu Tiga Beranak itu, baginda laki-bini berdoa dan bernazar ke hadrat ilahi. "Ya Allah ya Tuhanku, kurniakanlah aku dengan anak yang ramai dan aku bernazar jika aku beroleh anak yang ramai ini, aku akan menjaga mereka di setiap masa dan ketika tanpa sesaat pun aku teralpa. Jika aku teralpa, aku rela menerima hukumannya".

Setelah itu baginda berdua laki-bini pulang ke istana. Malam itu sewaktu baginda sedang beradu, baginda bermimpi bertemu dengan seorang tua berjanggut panjang hingga ke pusat. Orang tua itu berpesan, "Esok malam bulan purnama, sewaktu embun pertama menitis, Tuanku pergilah ke Taman Diraja. Tuanku carilah rumpun kunyit yang tumbuh bersebelahan dengan Bunga Gul Bakawali yang kembang berdentam di tengah malam. Tuanku ambillah bunga kunyit berkelopak tujuh dan jadikan santapan Tuanku dan Tuanku Permaisuri".

Keesokan malamnya sebaik sahaja embun pertama menitis, Sultan berangkat ke Taman Diraja dengan ditemani oleh Datuk Bendahara. Sampai sahaja di hadapan Bunga Gul Bakawali yang kembang berdentam di tengah malam, di situ terdapat serumpun kunyit. Bunga Kunyit itu sama seperti yang dinyatakan oleh orang tua di dalam mimpi Sultan iaitu berkelopak tujuh. Bunga itu keesokannya dijadikan santapan baginda laki-bini.

Setelah beberapa bulan, tibalah perkhabaran gembira, Tuanku Permaisuri hamil. Cukup sahaja tempoh, Tuanku Permaisuri berputerakan seorang puteri. Sehinggalah tujuh tahun berturut-turut baginda melahirkan puteri dan istana diserikan dengan 7 orang puteri yang comel.

Apakala puteri yang bongsu genap berusia 10 tahun, terjadi satu peristiwa aneh. Ketujuh-tujuh puteri baginda gering sehingga jatuh pengsan. Hal ini amat mendukacitakan hati baginda. Baginda berdoa ke hadrat Allah minta ditunjukkan jalan. Suatu malam, orang tua itu muncul kembali.
"Tuanku hendaklah membuat sebuah kolam dengan sebuah pulau di tengah-tengahnya. Bina sebuah alur dari kolam itu sehingga ke tebing Sungai Perak (Tanah Abang ini di tepi sungai). Setelah kolam itu siap, siramkan air kolam itu di kaki puteri-puteri Tuanku. Setelah itu setiap kali puteri Tuanku bersiram di kolam, haruslah diawasi oleh Tuanku Permaisuri sendiri. Jika tidak diawasi, padah yang bakal menimpa. Barang apa jua yang mendatang sewaktu puteri-puteri Tuanku bersiram usahlah diperdulikan. Ingat, puteri Tuanku tidak boleh menyebut dudududu di kolam itu.."

Setelah terjaga dari beradu itu, baginda melaksanakan seperti alamat mimpi itu. Sebuah kolam berbentuk bulatan dibina dengan sebuah pulau di tengah-tengahnya. Puteri-puteri baginda diusung ke kolam dan kaki mereka disiramkan dengan air kolam itu.

Sebaik sahaja disiramkan, puteri-puteri itu membuka mata dan tersedar. Di waktu itu juga mereka turun bersiram di dalam kolam. Sebaik sahaja puteri yang sulung mencecahkan kakinya di permukaan air kolam itu, turunlah gerimis dengan pelangi berkilau merentang di langit tinggi. Dari arah sungai, seekor buaya berwarna hijau datang masuk melalui alur dan terus ke kolam. Sebaik sahaja buaya itu masuk ke dalam kolam, buaya itu bertukar sisik keemasan. Kegemarannya beristirehat di atas pulau di dalam kolam itu.





Pelangi yang menuju ke muka kolam.

Begitulah saban hari, bulan dan tahun sehingga ke tahun yang ke tujuh. Di tahun itu, Sultan dikurniakan rezeki oleh Allah dengan seorang putera - waris mutlak kerajaan negeri. Sultan amat sukacita sehingga mengabaikan ketujuh-tujuh orang puterinya. Sewaktu putera baginda sudah berjalan jatuh, puteri-puteri ini mohon keizinan untuk turun bersiram dan minta agar ditemankan. Namun, oleh kerana asyik berulit dengan putera, baginda laki-bini tidak mengendahkan permintaan puteri-puteri itu. Baginda terlupa akan janji dan amaran mimpi baginda.





Sang Puteri-puteri mandi dikolam.

Akhirnya, puteri-puteri itu turun juga bersiram sesama mereka 7 beradik. Sewaktu puteri sulung menjejakkan kakinya di permukaan kolam itu, gerimis turun dengan dentuman guruh menandakan alamat buruk akan tiba. Buaya Emas ghaib entah ke mana. Dari jauh, seekor Bota sedang memerhatikan puteri-puteri ini. Dia mengeluarkan serulingnya dan meniupkan satu irama. Puteri-puteri ini terpesona lantas menyanyi-nyanyi di kolam ini sehingga salah seorang puteri ini menyanyikan lagu dududu.. . Dengan tidak semena-mena kilat menyambar di kolam dan ketujuh-tujuh puteri itu mangkat di situ juga.

Baginda merasa amat dukacita dan menyesal dengan kealpaan baginda. Namun apakan dayanya, nasi sudah menjadi bubur. Puteri-puteri itu dimakamkan dengan penuh istiadat diraja. Kolam Buaya Emas kemudiannya ditinggalkan.

Indera : Kolam Buaya Emas masih wujud sehingga kini. Ada pihak mendakwa, di waktu hujan gerimis dengan pelangi berkilau merentang di langit, mereka melihat ketujuh-tujuh puteri itu asyik bermandian bersama seekor buaya emas.
Sesiapa yang ingin menghampiri kolam ini dilarang berkata, "dududu..." kerana itu akan memikat Bota. Wallahua'lam. Hanya sebuah lagenda semata-mata. Segala baik dan buruk itu adalah Qada' dan Qadar Allah S.W.T.

Ditinta emas oleh INDERA KENCANA


Catatan : Untuk makluman nyanyian du...du...du adalah nyanyian yang dilarang oleh orang tua-tua dahulu kerana itu adalah nyanyian Langsuir (jin). Kedua-dua cerita rakyat diatas adalah sebagai cerita penglipur lara yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu kepada kita. Jika bukan kita mengketengahkan cerita-cerita tersebut, maka akan pupuslah hasil seni orang kita yang diturunkan dari generasi ke generasi sehinggalah masa kini. Wallahualam.




Tiada ulasan: