Selasa, 15 Februari 2011

ADAT " NIKAH PANJAT RUMAH".DI MUKIM LAMBOR.


GAMBAR HIASAN BAGI ADAT MEMANJAT.


"ADAT NIKAH PANJAT RUMAH"


Masyarakat di Lembah Sungai Yalong didaerah Yajiang di Negara China sememangnya mengamalkan “Adat nikah panjat rumah” sehingga kehari ini dan yang dimaksudkan dengan adat panjat Rumah tu ialah lelaki atau pemuda dan perempuan yang telah dewasa (gadis atau anak dara) boleh mencari jodoh dengan pilihan sendiri. Pada hari yang telah dijanjikan pihak gadis akan menemu janji jejaka idamannya dan pada sebelah malamnya pula  jejaka atau pemuda tersebut akan menemui gadis berkenaan. Pemuda tersebut hendaklah masuk dengan melalui tingkap yang dipanjat melalui dinding rumah sigadis yang telah sedia membuka tingkap. Setelah bermalam di bilik sigadis sebagai suami isteri,sang jejaka haruslah keluar dari rumah itu melalui tingkap tadi sebelum hari siang. Maka sahlah perkahwinan antara pemuda dan gadis tersebut,mungkin selepas itu diadakan majlis rasmi perkahwinan tersebut mengikut tradisi kedaerahan. Terdapat juga pantang larang adat-adat ini disana.


 Kelihatan seorang pemuda di China sedang
menjalankan adat "Nikah Panjat Rumah"




Rumah Adat di Kampar Indonesia
(Lancang - Pencalang)


Di daerah Kampar Indonesia juga ada adat dipanggil “panjat adat” dan “Panjat Angkara” (Adat-adat Perkahwinan didaerah tersebut) selain dari adat perkahwinan yang lazim dijalankan oleh orang-orang melayu disana..


Rumah kediaman di Kampar.


Panjat adat adalah dengan si pemuda ini yang berasa kecewa peminangannya ditolak oleh orang tua atau keluarga gadis berkenaan dan si pemuda  mengirim sebilah keris melalui wakilnya kepada keluarga gadis serta sanggup membayar dua kaliganda emas kahwinan mengikut kadar adat yang ditetapkan. Jika keluarga gadis menolak maka keluarga gadis berkenaan kena bayar dua kali ganda mas kahwinnya pula kepada pemuda tersebut.Ini merupakan adat lama yang hanya tinggal sebagai catatan warisan budaya masyarakat dahulu didaerah ini.



Ini panjat Angkara yang merbahaya.

Panjat Angkara pula bermaksud seorang pemuda yang sangat kecewa kerana peminangannya ditolak oleh keluarga sigadis dan membawa keris ke rumah gadis dengan maksud ingin mengambil gadis berkenaan secara paksa bagi memperisterikannya. Tidak diketahui adakah adat ini dimasa dahulu dipakai atau hanya dicatat sebagai peninggalan adat sahaja dan tidak dipakai.

Sumber : http://www.butang-emas.net/search?q=panjat+angkara


CARA ADAT "NIKAH PANJAT RUMAH" DI MUKIM LAMBOR.


Keris dihunus cara beradat dan bersopan.

Selain dari adat biasa amalan perkahwinan didalam masyarakat Lambor ini seperti merisik,meminang dan seterusnya majlis perkahwinan, sebegitu adalah adat yang lumrah yang kita ketahui didaerah Lambor ini. Tahukah anda bahawa di daerah Lambor atau Mukim Lambor juga suatu ketika dahulu terdapatnya “Adat perkahwinan atau menikah dengan memanjat rumah” caranya agak berbeza dengan adat-adat nikah panjat rumah yang penulis terangkan diatas.

Setelah proses biasa merisik dan seterusnya meminang dilakukan dan keputusan peminangan ditolak atau terus saja seorang pemuda inginkan pada sigadis untuk menjadi calon isterinya tanpa risikan atau meminang lantaran kekurangan kewangan dan berbagai sebab lagi,maka kebiasaannya dengan diketuai oleh seseorang yang berpengaruh didalam masyarakat akan mengetuai adat memanjat ini. Ketua tersebut akan mengetuai risikan keadaan dirumah bakal bapa mertua si pemuda, samaada dari segi keselamatan, persekitaran dan selok belok rumah berkenaan. Setelah semuanya difikirkan bersedia dan lengkap oleh seseorang ketua berkenaan, hasrat memanjat rumah berkenaan pun dilaksanakan dengan didahului memberi salam oleh rombongan (hanya ketua sahaja muncul dahulu dan ahli rombongan menyorok dibawah rumah seketika, terutama bakal pengantin) tersebut maka terbuka luaslah pintu rumah berkenaan untuk ketua rombongan masuk. Dan dengan kesempatan pintu terbuka luas si pemuda pun meluru masuk dengan menaiki tangga (memanjat ) dan proses “Adat Nikah Panjat Rumah” pun bermula.



Dengan menghunus keris dan menyerahkannya kepada bakal pak mertua secara sopan dan dengan ayat sebagaimana berikut , “Ayah mentua, saya serahkan keris ini kepada ayah dan saya umpama kain nan putih, buatlah corak mana yang ayah inginkan dan saya serahkan diri saya kepada ayah” keadaan ini lebih kepada penyerahan diri untuk dijadikan menantu kepada anak gadis tuan rumah atau bakal pak mertua. Adat memanjat ini biasanya diterima begitu sahaja dan diikuti pula dengan rundingan antara ketua rombongan dengan bapa atau ayah si gadis. Ini termasuk rundingan kadar emas kahwin,hantaran dan tarikh majlis perkahwinan untuk ditentukan pada masa itu juga. Kadar emas kahwin yang ditetapkan oleh bapa si perempuan biasanya tinggi kerana cara memanjat ini lebih kepada memaksa persetujuan dari keluarga disebelah perempuan dan peluang meletakan kadar emas kahwin yang tinggi adalah biasa. Tarikh perkahwinan yang ditetapkan adalah dalam lingkungan seminggu atau dua minggu sahaja dari tarikh memanjat tadi dan tiada beza dari adat merisik, meminang dan hari berlangsungnya perkahwinan tersebut yang lumrah sebagai tradisi perkahwinan melayu dizaman itu dan dizaman ini. Ramai juga bilangan masyarakat waktu itu memakai adat “Nikah Panjat Rumah” ini dan mereka kekal sehingga ke akhir hayat. Waktu atau masanya adat ini berbagai waktu, ada yang lepas Isyak, Maghrib dan tak ketinggalan selepas atau sewaktu Subuh. Kelazimannya adat ini dilakukan sebelah malam kerana majlis adat ini macam serangan hendap (ambush) jika didalam askar.



 Gambar Hiasan - Sebuah Majlis Rundingan Pertunangan
di Kampong Telok bakong sewaktu masa dahulu.




 Gambar Hiasan - Majlis Perkahwinan Anak Puan Embang Ngah Man 
dan Kamaruddin (Munai) di Kampong Telok Bakong.


Kini adat tersebut telah pun pupus ditelan di zaman dengan perubahan zaman serta minda masyarakat yang lebih terbuka untuk generasi sekarang memilih calon suami atau pun isteri dan tiada lagi adat tersebut di lakukan ketika zaman kemerdekaan Negara. Di Mukim Lambor ini adat “Nikah Panjat Rumah” mungkin dibawa dari tanah seberang dengan disesuaikan mengikut perpindahan serta resam kehidupan dizaman Tok Kadok dan Maharaja Lambor dahulu.

Wallahualam.

Tiada ulasan: