Isnin, 16 Disember 2019

HIMPUNAN WARIS KULOP ISMAIL - TELOK BAKONG.


Tepat pada tarikh dan masa yang dijanjikan, maka semua waris-waris dari keturunan Tok Kadok ini berhimpun di Dewan Orang Ramai Kampung Telok Bakong Hulu . Pada tarikh 30hb.November 2019 bersamaan hari Sabtu jam 11.00 hingga 5.00petang semua puak waris berhimpun untuk merapatkan saf dan silaturrahim,yang mana julung-julung kali perhimpunan diadakan. Majlis telah dirasmikan oleh Dato'Tarmizi Mohd Jam - Penyelaras Parlimen Parit. Turut memberikan sokongan kerjasama ialah Nor Azmi Halim, Tok Sidang Kg Teluk Bakong Hulu. Semoga pemerkasaan jurai-jurai keluarga ini dapat terus diperkukuhkan - Yeop Abdul Rahman Hashim.



Yeop Abdul Rahman Hashim.


Dato' Tarmizi Mohd Jam & Yeop Abdul Rahman Hashim
(di bahagian tengah - bersongkok).




Turut hadir Tuan Haji Yeop Din (Alias) bin Mat Selidin.
(Kerusi Roda)


Tahniah diucapkan kepada Encik Abdul Rahman hashim serta puak waris kerana dapat bersama meraikan silaturrahim dan menghimpunkan semua keturunan Kulop Ismail dalam satu majlis Himpunan Waris .

Isnin, 9 Disember 2019

HIMPUNAN WARIS KULOP ISMAIL BIN ALANG MAT YEN BIN KULOP MAT SHAH BIN BUSU MAMAT





Salasilah Kulop Ismail bin Alang Mat Yen




Hari ini Kampung Teluk Bakong yg berada dlm mukim Lambor, Perak akan dikunjungi oleh waris keluarga Kulop Ismail bin Alang Mat Yen. Mereka datang dari segenap pelusuk berkampung di sini utk merapatkan lagi ikatan kekeluargaan yg sedia terjalin. Saya salah seorang daripada 44 cucu Kulop Ismail yg sudah pun berada di Kg Teluk Bakong sejak semalam. 1 September lepas saya juga cucu kpd Yeop Majlis turut serta di dlm Himpunan Waris Pandak Mohid di Bota. Dato Tarmizi Mohd Jam, Penyelaras Kawasan Parlimen Parit akan merasmikan Himpunan Waris Kulop Ismail ini.

(Yeop Abdul Rahman Hashim).



* Kulop Ismail adalah merupakan jiran sekampung penulis.Selamat berkumpul kepada semua keturunan Tok Kadok dari Jurai Kulop Mat Shah.


Rabu, 2 Oktober 2019

TARIAN LOTAH (LOTAH) - DITELOK BAKONG.

PENGENALAN LOTAH.

Tarian Belotah (Jawi: تارين بلوته) merupakan sebuah tarian rakyat negeri Perak, Malaysia yang berkaitan dengan persawahan di mana kesenian ini seringkali dipersembahkan semasa menuai padi. Padi yang telah dituai dihimpunkan di atas “pelantar” yang mana lantainya diperbuat daripada bilah-bilah batang pinang yang diikat dengan rotan. Pelantar ini boleh memuatkan 10 – 15 orang dalam satu-satu masa. Mereka yang terlibat akan memijak padi dalam bentuk bulatan sambil berbalas-balas pantun dan diselangi dengan sebutan “Lotah… Lotah… hei lah… le!” Terdapat dua jenis pantun Belotah iaitu Lotah Panjang dan Lotah Pendek. Suasana melotah ini penuh dengan kegembiraan dan kemesraan di mana berlakunya usik mengusik terutama di antara teruna dan dara. Tidak keterlaluan jika dikatakan acara Belotah ini memberi peluang kepada anak-anak muda mencari pasangan hidup.
(Wikipedia)

BALAI LOTAH.

Kenali dulu saiz pentas atau Balai Berlotah yang di suatu ketika dulu digunakan masyarakat petani dan penanam padi untuk menghasilkan leraian padi dari gumal padi setelah dituai ketika padi sampai matang atau masak. Di Perak Tengah khususnya di Telok Bakong yang mempunyai bendang yang luas, sering menggunakan kaedah berlotah apabila musim menuai tiba, masyarakat yang begitu akrab dan berkerjasama sahaja yang mampu menjalinkan aktiviti berlotah.


Replika Balai Berlotah di Kg Pasir Salak.




Replika Balai Berlotah.


Balai Berlotah.


Saiz sebenar balai berlotah adalah dianggarkan 13kaki ke 15kaki panjang, dan 15kaki lebar, tinggi kebiasaannya ketinggian kira-kira 13kaki atau 10 kaki, ini membolehkan tiupan angin lalu dibahagian bawah untuk melarikan padi yang sambang atau tak berisi dan hanya padi yang bernas jatuh dibawah.Tapi ada juga pentas balai berlotah ni lebih besar dari itu dan ada juga lebih kecil, tiada saiz standard mengikut piawaian tertentu . Ianya mengikut keperluan sesuatu keluarga atau kumpulan masyarakat di Telok Bakong. Contohnya seperti difoto yang dilukis oleh tuan Mimi Lop Saidin dari Telok Bakong Hilir. Balai berlotah di Telok Bakong mempunyai palang penghadang disekeliling balai berlotah, ianya bertindak sebagai penghadang dan pemegang bagi penari mengeliling balai sambil mengherek gumpalan (gumal) padi. Kebiasaan pembinaan balai lotah ini tidak berjauhan dengan tepian bendang dan mempunyai tiupan angin.



Gambaran Balai Belotah yang digambarkan oleh Mimi Lop Saidin.
(Gumal padi sedang diherek menggunakan kaki diatas balai berlotah)


Rumpun Pokok Padi yang sudah masak
 dan boleh dituai serta dikumpul dijadikan gumal padi.


CATATAN DI PLAK REPLIKA BALAI BERLOTAH
(MUZIUM TAIPING).

Saiz sebenar Balai Berlotah adalah 15 kaki panjang, 15 kaki lebar dan 13kaki tinggi. Biasanya tiang Balai Berlotah diperbuat dari kayu keras seperti batang pokok merbau atau kayu cengal .Lantai Balai Berlotah pula diperbuat tiga lapis, lapis bawah dan tengah diperbuat dari batang pinang yang berfungsi sebagai penahan bebenan penari yang ramai.Manakala lapisan lantai yang paling atas diperbuat dari belahan buluh yang dianyam dengan rotan . Dibahagian bawah diletakan dua batang pokok pinang yang disilangkan bagi mengelakan lantai terus jatuh kebawah.



TARIAN LOTAH.

Peralatan Persembahan dan Pakaian Alatan-alatan yang digunakan dalam persembahan Lotah ini adalah pelantar, gemal padi, nyiru dan tikar. Dalam persembahan Tarian Lotah tiada pakaian khusus untuk pelaku iaitu penari yang juga penyanyi. Pakaian yang dipakai oleh mereka adalah pakaian harian. Walau bagaimanapun bagi tujuan persembahan acara rasmi, pelaku memakai pakaian baju Melayu lengkap. Jika perempuan menggenakan baju kurung lengkap. Persembahan Lotah Persembahan kesenian Lotah atau juga dikenali sebagai Belotah ada mirip persembahan tarian Sewang seperti yang dipersembahkan oleh orang-orang asli. Penari juga bertindak sebagai penyanyi akan mengelilingi dan ‘mengirek’ gemal padi sambil menyanyi lagu Lotah secara beramai-ramai. Persembahan tari Lotah ini diadakan di atas pelantar di mana kayu susunan kayu secara bergalang di bahagian pelantar tersebut akan bergesel apabila dihenjut oleh penari. Bunyi henyutan itulah akan menghasilkan bunyi yang mengiringi nyanyian penari-penari. Pergerakan pada gerak tari semasa lagu ini dimainkan iaitu ayunan kaki dua kali ke depan dan dua kali ke belakang dan dihenjut ke pelantar padi.

Seni kata lagu Tarian Lotah pendek.

Amboi aya ya ya ye
Lemah lembut ha hai ha ha
Kayu dan akar le….
Aya ya ya ye….
Ha Hai…
Nak mengikat batang padi
Ha ha ha ha dalam padi
Aya ya ya ye
Amboi lemah lembut le
Ha hai kayu pelanto
Ha ha ha ye
He hai
Nak menimpang le padi
Semangat padi le
Aya ya ya ye

Seni kata lagu Tarian Lotah pendek.

Ha ha hai
Ha ha hai
Ha ha hai
Lotah lotah de lang le
Lemah lembut akar kayu le
Lotah de lang le
Nak mengikat batang keladi
Lotah lotah de lang le
Lembut kayu pelanto
Nak menimang padi
Semangat padi
Lotah lotah de lang le
Lotah lotah de lang le
Gunung tunggul gunung keramat
Hai ya ya ye
Dapat dilihat dari tebing tinggi
Lotah lotah de lang le
Kami di sini mengucap selamat
Hai ya ya ye
Pada tuan
Yang datang ke mari
Lotah de lang le
Lotah de lang le


Seni kata atau lagu lotah ini, kalau di Telok Bakong jauh berbeza dengan senikata diatas tetapi oleh kerana orang-orang yang mahir dalam cerita Lotah ini telah pun tiada (Kedua-dua Allahyarhamah Teh Sariah - seorang isteri Pandak Abir dan seorang lagi isteri Tok Jelis) dan rujukan penulis tidak dapat memaparkan senikata berkenaan dan yang penulis ingat senikatanya " lotah terhiyo hiyo, lotah de lang le......." baris lainnya tak dapat dingat oleh penulis.

Khamis, 12 September 2019

SUASANA PERHIMPUNAN KELUARGA PANDAK MOHIT BIN DATUK GEMBIRA PADA 2/9/2019










Tahniah kepada semua keluarga keturunan Pandak Mohit serta penganjur majlis perhimpunan ini yang telah berjaya menghimpunkan sebegini ramai dan meriah sekali, beliau adalah Tuan Jalil Majlis (kiri sekali) berbaju batik.




Rabu, 28 Ogos 2019

PERHIMPUNAN KELUARGA SUSUR GALUR PANDAK MOHIT BIN DATUK GEMBIRA - AHAD 1 SEPTEMBER 2019


Insyaalah satu perhimpunan keluarga dari Susur Galur PANDAK MOHID BIN DATUK GEMBIRA KULUP LOKEH akan di adakan di dewan nama cucunya Dewan DATO AHMAD HAMBAL BIN YEOP MAJLIS, Bota Kanan pada 1 September 2019 ini.Setakat lni lebih kurang 250 orang dewasa telah mengesahkan kehadiran.Carta di gambar hanya setakat cucu dari anak2nya... padahal semue telah mempunyai cicit cucut... mmg tak muat carta... ok la tu.. ni pun jenuh aku membuatnye... cuba korang cari mana nama aku...(Encik Jalil Yeop Majlis).


Salasilah Pandak Mohit Bin Kulop Gembira.
(Susunan Encik Jalil Yeop Majlis)

Jumaat, 24 Mei 2019

MAJLIS TAHLIL DAN DOA SELAMAT SEBELUM PUASA - WARIS WARIS TOK KADOK.


Diberitakan saban tahun Majlis Tahlil dan Doa Selamat akan diadakan pada atau sebelum puasa Ramadhan oleh sesiapa saja pemegang emas kancing pusaka ini dari turun temurun. Semasa arwah moyang penulis menyimpan peralatan emas kancing ini beliau berasa rimas dengan rutin setiap kali menjelang puasa. Beliau menyarankan agar penggiliran penyimpanan antara waris emas kancing ini dilakukan, namun adik beliau Pandak Demat Bin Busu Mamat sanggup menyimpan barang kemas ini, maka kekal lah kepada satu waris sahaja kini memegangnya. 






                                         Foto - Sumbangan dari tuan Jamal Jamaluddin.
Majlis Tahlil dan Doa Selamat pada 22Syaaban/Ahad 28April 2019.

Satu lagi pihak yang menyimpan atau memegang emas kancing ini tidak boleh membawa keluar emas berkenaan dari Kampung Tua Lambor Kanan, setakat mana kebenarannya penulis pun tak tahu. Pada pandangan penulis sesiapa sahaja boleh menyimpan dan memegangnya, kecuali bawa keluar dari kampung tua, itu pun kesahihannya belum terbukti.


                                                                          Peti besi.
Menurut arwah Tuan Haji Sulaiman pernah suatu ketika emas kancing ini diletak didalam peti besi di kedai getahnya di pekan Lambor Kanan, setelah beberapa lama tersimpan disitu maka ada puak waris datang untuk melihat dan memerlukan air penawar berkenaan kerana termakan ikan tapah. Alangkah terkejutnya beliau kerana emas kancing tersebut sudah tiada didalam peti besi di kedai getah beliau. Apabila disemak dirumahnya di Kampung Tua, semua emas dan peralatannya tersimpan kemas didalam almari dirumah beliau. Siapa pula memindahkannya sedangkan kunci peti besi hanya beliau saja memegangnya ? semua barangan tersebut pindah sendiri kerumah tuan Haji Sulaiman.





Isnin, 15 April 2019

SALIRAN SUNGAI AIR MATI KEMBALI HIDUP UNTUK MEWARNAI KEMBALI TASIK AIR MATI .


Di awal tahun 80an saliran sungai air mati ini masih mengalir seperti biasa walau kekadang dimusim panas airnya tohor (cetek, kering) dan beting pasir pun timbul. Dimusim tengkujuh air sungai mati ni tetap mengalir. Tetapi perubahan cuaca, serta perubahan alam menyepikan aliran air sungai yang mengalir dari Sungai Perak dan memasuki ke dalam air mati di Padang Marhom seterusnya ke Tasik Air Mati.Kerana paras sungai Perak juga terjejas teruk,tidak seperti kedalam paras air semasa penulis berbelat disepanjang aliran air mati ini, iaitu dari Tebing Wan Lamah hingga lah Tebing Pak Cik Raga di Padang Marhom.

Kerja-kerja mengorek pasir hingga ke dasar aliran sungai air mati masih diteruskan, syabas kepada pihak yang mengembalikan aliran sungai Air Mati ini, semoga ikan "Lome" akan kembali membuak banyak didalam air mati. Terima kasih juga kepada Facebook Komuniti Telok Bakong kerana sumbangan foto-foto yang dipaparkan diblog Sumpahan Tok Kadok sebagai mana dibawah.


Tebing Wan Lamah.







Jumaat, 15 Februari 2019

MISTERI SANG KELEMBAI - GAJAH BATU DI AIR MATI TELOK BAKONG.


MISTERI SANG KELEMBAI DAN GAJAH BATU.


Bungkahan batu gajah yang dipercayai 
disumpah oleh Sang Kelembai.



Foto diambil pada Julai 2018.

WUJUD KAH GAJAH DI PERSEKITARAN AIR MATI.

Dahulu kala,didaerah ini terdapatnya gajah liar atau yang dipelihara oleh orang kampung dan ketika itu gajah sebagai kenderaan untuk mengangkut balak atau sebagai kenderaan tunggangan. Ketika Sultan Muzaffar Shah 1 (SMS 1) dahulu sampai di Kampung Gajah dari Telok Intan, beliau menggunakan tunggangan Gajah untuk dibawa ke Kampung Tua. Kemudian mengikut ceritanya tak berapa lama berada disitu beliau terus ke Padang Marhom Telok Bakong dan bersemanyamlah baginda disitu bersama kerajaannya. Beliau juga ada beberapa ekor memelihara Gajah sebagai mana cerita yang penulis tulis didalam blog ini.Oleh itu binatang yang bernama gajah ini memang wujud didaerah atau kawasan ini. Jika zaman SMS 1 pun telah diakui wujud disini apatah lagi zaman sebelumnya. 

Dari cerita orang tua dahulu, sekitar Padang Marhom dan Changkat Melintang ini terdapat tiga kerajaan sebelum SMS 1 didirikan. Penulis tak dapat mengingat nama-nama kerajaan berkenaan kerana semua catatan mengenainya telah musnah dan tak ramai yang tahu tentang cerita tersebut, lagi pun tiada catatan serta kajian mendalam tentangnya oleh pakar sejarah. Sebagaimana penulis senaraikan antara barangan atau batuan yang terdapat didaerah Gajah Batu didalam cerita Air Mati adalah antaranya Gajah Batu, Batu Dalong, Pengantin Bersanding dan Jemuran padi yang menjadi Batu, selain itu "terowong lome" juga diaerah ini. Maksudnya Bukan Gajah Batu sahaja yang berada disini tapi berbagai lagi yang dikaitkan dengan Sang Kelembai.

Kalau mengikut semakan penulis dengan orang-orang tertua di Kampung Telok Bakong, rata-rata mereka semua bercerita dengan cerita Sumpahan Sang Kelembai lah yang menyebabkan gajah liar itu menjadi batu. Apakah rupa bentuk Sang Kelembai ini ? apakah kuasanya yang menyebabkan boleh menyumpah atau menegur sesuatu mahklok menjadi batu ? apakah juga satu kampung dijadikan batu ?


Jika dilihat keberadaannya batu dalong didalam tasik ini,ianya melambangkan kewujudan sesebuah kerajaan yang memerintah disini,kerana batu dalong adalah merupakan tempat pengujian dan penyeksaan pesalah-pesalah yang didapati mengingkari undang-undang didalam kerajaan yang memerintah. Bagaimana pula pengantin yang sedang bersanding dan kenapa semua ini ditenggelamkan didaerah ini. Mungkinkah kerajaan disini ditenggelamkan oleh Allah kerana kekufuran mereka terhadap yang Maha Besar, yang menjadikan alam ini.


Batu Dalong (Meja Penyiksaan).

Tiada sebarang catatan mahupun kajian yang memberikan jawapan kepada semua pertanyaan yang cuba dirungkai mengenai sejarah Tasik Air Mati di Changkat Melintang ini. Hanya kaitan cerita dongengan saja rata-rata penduduk setempat menyatakan kepada generasi-genarasi sekarang dan mungkin yang akan datang pun.

Selasa, 15 Januari 2019

EMAS KANCIN TAPAH - TOK KADOK.



Kancing Emas Tapah.




Ikan Tapah.


Teman tertarik dengan cerita sahabat ni didalam Face book dari Saudara "Nazrin Suhaimi" tentang Tok Kadok dan beliau telah menerangkan susur galur Tok Kadok.


Mengikut cerita lisan dan catatan ahli keluarga terdahulu "Tok Kadok" atau nama sebenarnya ialah Seri Agar Diraja Maharaja Lambor Tun Malim bin Seri Agar Diraja Tun Bangsawan Seri ialah Dato Sagor ke-2 Negeri Perak pembesar yang berkuasa memerintah kawasan Daerah Perak Tengah dan Hilir Perak setelah kalah ditipu menyabung ayam kawasan jajahannya telah dirampas oleh baginda Sultan.Emas kancing ikan tapah ini telah digunakan untuk menebus kembali kawasan Mukim Lambor,ahli keluarga,anak-anak serta isteri.
Emas Kancing Ikan Tapah ini pada mula dipertanggungjawabkan dibawah jagaan keluarga Allahyarham Alang Kontin bin Uda Katab abang kepada Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek bin Uda Katab pembesar Orang Besar Enam Belas Mukim Lambor pada zaman sebelum penjajahan British.
Allahyarham Alang Kontin bin Uda Katab merupakan piat kepada Seri Agar Diraja Maharaja Lambor Tun Malim dari susurgalur ibunya iaitu Ngah Mariam binti Andak Majiwa anak perempuan hasil perkahwinan Toh Andak Majiwa bin Toh Lamit,kerabat diraja Jambi,Sumatera dengan Alang Ghayam binti Orang Kaya Besar Penghulu Bendahari Seri Nara Diraja Tun Besar Toha yang merupakan anak perempuan kepada Toh Ngah Bakal binti Seri Agar Diraja Maharaja Lambor Tun Malim dengan Orang Kaya Besar Penghulu Bendahari Seri Nara Diraja Tun Besar Toha bin Tun Abdul Samad
Hasil perkahwinan Alang Kontin dengan Halimah binti Uda Jaafar yang juga dua pupu dengannya iaitu cucu kepada Toh Paduka Raja Busu Ayan bin Orang Kaya Besar Penghulu Bendahari Seri Nara Diraja Tun Besar Toha telah dikurniakan 6 orang anak antaranya ialah Kulop Ismail,Ngah Yop,Alang Hassan,Uda Ragam,Pandak Aman dan Teh Nyawa.
Anak perempuannya iaitu Teh Nyawa binti Alang Kontin telah berkahwin dengan keluarga dari susurgalur Long Puasa anak Andak Majiwa iaitu Pandak Demat bin Busu Mamat.Hasil dari perkahwinan ini telah dikurniakan 8 orang anak iaitu Kulop Mat Jelah,Ngah Rasiah,Alang Ghasiah,Uda Tiram,Pandak Logam,Hindun,Itam Loden dan Busu Mat Baki.
Selepas Allahyarham Alang Kontin meninggal dunia tugas penjagaan emas kancing ikan tapah ini diserahkan kepada anaknya Uda Ragam bin Alang Kontin.
Apabila Allahyarham Uda Ragam meninggal dunia emas kacing ikan tapah diserahkan kepada anaknya untuk dijaga namun begitu disebabkan hal yang tidak dapat dielakkan tanggungjawab menjaga emas kancing ikan tapah ini kemudiannya diserahkan kepada keluarga disebelah sepupu mereka iaitu Pandak Logam bin Pandak Demat pada tahun 1950 sehinggalah ke masa sekarang dijaga oleh waris keluarga Pandak Logam bin Pandak Demat di Kampung Tua,Lambor Kanan.Perak.

Ulasan dari penulis blog : Saya kira tulisan ini mengambil kira cerita yang asal di pihak Lambor Kiri dan tempat Tok Kadok mula-mula singgah dari Siak adalah di Lambor Kiri.