Jumaat, 25 Mac 2011

SENI ANYAMAN TIKAR MENGKUANG-KELARAI



Anyaman Tikar Mengkuang - 
Kelarai Kepala Lalat bersulam kelarai bunga.


Foto hiasan - Menganyam Tikar Mengkuang

Menganyam ialah proses menjalin helaian atau jaluran daun mengkuang atau daun pandan yang telah diproses mengikut tatacara tertentu. Seni anyaman ini telah terkenal sejak zaman dahulu lagi dalam masyarakat melayu terutamanya di Terengganu, Kedah, Perak dan Melaka.

Corak anyaman umumnya disebut kelarai. Bagaimanapun, khususnya untuk tikar mengkuang, kelarainya dirujuk sebagai ragi. Kelarai dibuat dalam pelbagai motif dan peranannya sama seperti corak bunga dalam tenunan, iaitu sebagai suatu ciri perhiasan. Anyaman kelarai disusun secara tunggal dan lepas (menyeluruh) atau disusun di dalam ruang tertentu. Susunan menegak disebut kelarai berdiri dan susunan sendeng, kelarai serong. Untuk hiasan pinggir atau birai tepi pula terdapat satu kelarai khusus iaitu kelarai pucuk rebung atau nama yang berunsurkan tumbuh-tumbuhan lain seperti kangkung dan sebagainya.


Semua jenis kelarai berunsurkan alam semula jadi. Di kalangan masyarakat Melayu, motif tumbuhan menjadi pilihan utama. Daripada bentuk bunga, terdapat kelarai bunga atur, berembang, cengkih dan cengkih beranak, bunga cina, bunga durian, bunga kundur, bunga pecah lapan, bunga tanjung, bunga telur, dan bunga rumput. Unsur-unsur tumbuhan yang lain termasuk akar, pucuk (rebung) dan tampuk (jantung pisang, manggis, pinang). Daripada unsur fauna pula, ada motif anggota haiwan, seperti siput, kepala gajah, mata berkait, tapak anjing dan tapak harimau. Juga kelarai dengan bentuk-bentuk bahagian tertentu ikan, serangga dan unggas. Antaranya ialah anak ikan, belalang cucuk, jari kedidi, mata ketitir, pusat belanak, siku keluang, sisik kelah dan tulang ikan. Di sini unsur ini amat jarang diterapkan kerana agak sukar untuk membentuknya dan memerlukan kemahiran yang tinggi bagi penganyamnya,  


Di Telok Bakong lebih popular dengan jenis ragi atau kelarai bentuk bebas, seperti kelarai belah ketupat, kelarai kisar mengiri, kelarai beras patah dan kelarai madu manis. Dalam membuat kelarai, perkara utama yang diperhatikan ialah jumlah mata atau langkah daripada bilah daun yang digunakan. Jumlah mata menentukan saiz satu-satu corak. Untuk menyerlahkan kelarai, bilah-bilah dicelupkan dua warna yang bertentangan antaranya. Misalnya, kuning dan hijau, merah dan ungu, atau putih dan perang. Kadangkala warna ketiga digunakan sebagai tanah atau latar belakang corak. Bilah-bilah daun mengkuang berwarna yang dianyam tindih-menindih dan berselang-seli ini akan menyerikan hasil anyaman mengkuang dan pandan. 

Peringkat Anyaman
     
Terdapat lima peringkat proses menganyam iaitu :

A) Lagang

Kerja-kerja lagang adalah asas atau tulang kepada rekabentuk anyaman tikar mengkuang       serta juga menentukan panjang dan bentuk anyaman.Susunan warna sesuatu anyaman biasanya dinamakan ‘corak’.

       B) Anyaman

       Anyaman pula terbahagi kepada tiga jenis, iaitu Anyaman kelarai, Anyaman biasa atau      anyaman sulam.Anyaman dimulakan dari bahagian tengah (lagang) seterusnya dianyam ke bahagian tepi.Anyaman kelarai biasanya terancang dan dilakukan serentak semasa proses anyaman. Dua jenis warna kontra digunakan bagi menunjukkan kesan bentuk anyaman bagi menyerlahkan bentuk kelarai.

C) Pepeh atau Lepih

Anyaman Mati iaitu mengakhiri anyaman

D) Sisip

Hujung daun dipotong serong dan masukkan ke dalam bilah anyaman atau disisip supaya nampak kemas dan tidak terurai dari anyaman.

E) Kerat

Pepeh,sisip dan kerat adalah kerja-kerja berkaitan diantaranya. 

Setelah siap menganyam marilah kita lihat hasil anyaman kelarai tersebut yang antaranya disimpan begitu lama oleh pemiliknya. Ada sebahagian dari tikar yang disimpan sudah berusia 30tahun. Tikar-tikar mengkuang ini adalah hasil usaha oleh Puan Hajjah Fatimah bt Haji Mohd Ali sendiri kecuali tikar rubai yang dibeli dari Alang Payang (perempuan) dari Lambor Kiri/Kuchai. Beliau juga dizaman 70an menganyam tikar untuk dijual diMukim Lambor, Padang Changkat, Sedingka, Bota Kanan dan hingga ke Pulau Tiga Kampong Gajah. Harga sekeping tikar ketika itu adalah serendah 0.70sen sehelai dan paling tinggi pun RM3.50 dengan saiz tikar panjang sembilan, tujuh dan enam  serta lebar sekitar 3.5kaki,4kaki, 4.5 atau 5kaki.


  Puan Hajjah Fatimah Mohd Ali.

Tikar-tikar mengkuang yang dihasilkannya sendiri melalui anyaman dari mengkuang ditebing Chu Talak dan tebing Lamah :-


            Kelarai(ragi) Kepala Lalat


Ragi Corak Pelikat


Ragi Beras Patah.


Ini juga dalam bentuk kelarai bercorak/beras patah.



Kelarai(Ragi) Temose.



Kelarai jenis bercorak Temose.



Tikar Beralas (ada unsur tambahan kain 
merah dijahit dibahagian tepi).


Anyaman Halus untuk tikar jenis ini.


Gaya dan Corak anyaman Tikar Beralas.



Kelarai berbentuk empat segi 
diatas anyaman biasa Tikar Beralas.


Tikar Mengkuang Rubai.
(Kelihatan bilah-bilah daun mengkuang 
yang sedikit tebal dan kasar)


Tikar Rubai.




Rubai.(Anyaman Kelarai cara biasa)


Tikar Mengkuang pandan.


Kelarai Biasa bagi Tikar Mengkuang Pandan.


Tikar Beralas.

Kegunaan tikar beralas di Mukim Lambor ini adalah untuk majlis-majlis kenduri kahwin bagi melapik tempat khas Juru Nikah dan Pengantin Lelaki sahaja. Ia merupakan jenis-jenis tikar berada dimajlis khas sahaja. Ada juga tikar beralas ini digunakan untuk lapik tempat sembahyang di rumah-rumah mukim Lambor.Tak ketinggalan juga tikar jenis ini dikhaskan juga untuk melapik jenazah bagi pengiringan ke liang lahat dan turut di hadiahkan kepada imam yang membaca talkin si mati.

Tikar Bercorak dengan Kelarainya (raginya).

Tikar jenis ini dibentangkan dimajlis-majlis kenduri kendara seperti dianjung dan ruang ibu rumah untuk tetamu duduk dibahagian ini. Suasana rumah berwarna warni dengan corak kelarainya dan memeriahkan lagi majlis majlis yang diadakan.

Tikar Rubai.

Kebiasannya saiz tikar jenis ini adalah besar dan memanjang, ia juga digunakan untuk dibentangkan diruang tamu dan ibu rumah bagi keselesaan tetamu yang hadir. Tikar rubai juga sesuai untuk dibentangkan juga di laman rumah atau diluar rumah ketika persandingan pengantin diadakan didepan rumah. Dengan ketahanan tikar ini kebanyakan orang dahulu menggunakannya untuk menjemur padi sebelum di tumbuk dengan menggunakan lesung padi.

Tikar Pandan.

Tikar pandan banyak digunakan untuk lapik tempat sembahyang dan tempat tidur orang dulu-dulu, ianya lembut dan mudah rosak untuk kegunaan berlasak ditempat lain.

Mengkuang Laut.

Daun mengkuang laut pula dianyam terus untuk membuat simpanan penganan (dodol dan wajid) kerana daun berkenaan berbau wangi serta tahan untuk menyimpan kueh traditional tersebut disamping digantung ditepi dapur kayu. Begitulah orang dulu-dulu menyimpan kueh berkenaan sehingga tahan setahun atau lebih.


Ulasan Penulis.


Kini sudah tiada lagi kawasan tanaman mengkuang di susur tebing-tebing air mati dan generasi sekarang juga tak berminat untuk mempelajari bidang anyaman ini. Sejajar dengan pekembangan zaman yang serba cepat serta mudah didapati pula generasi kita telah beralih kepada tigar getah yang berbagai warna dan bentuk serta jenisnya. Agak sukar menemui tikar-tikar mengkuang dirumah-rumah kita dikala ini kerana perubahan cara hidup dan pelbagaian jenis lantai serta jenis rumah telah menghakis penggunaan tikar mengkuang itu sendiri dikalangan masyarakat kita. Penulis melihat pokok mengkuang tumbuh subur di sekitar tepi tebing sungai di Kampong Paloh serta di tebing Kampong Air Mati Bota. Masih adakah lagi yang berminat menganyam tikar ? atau perkara tersebut untuk generasi tua sahaja.

SENI ANYAMAN TIKAR MENGKUANG (PROSES PENYEDIAAN DAUN MENGKUANG)




POKOK MENGKUANG AIR.

Seni anyaman tikar dari mengkuang adalah seni yang diturun dari orang-orang tua dahulu, dan diwarisi oleh keturunan Tok Kadok hingga lah sekarang.Kami imbaukan kembali sewaktu ketika dahulu bahawa kampong kita mempunyai puak waris yang pandai menganyam tikar mengkuang setanding di negeri-negeri lain. Pokok mengkuang terdiri dari beberapa jenis seperti mengkuang pandan, mengkuang air, mengkuang kerling dan mengkuang laut serta rubai. Mengkuang yang ditanam disekitar tebing dan hujung hilir pulau tabuan di Telok Bakong adalah dari jenis mengkuang air dan mengkuang Kerling. Dizaman popularnya anyaman mengkuang ini banyaklah pokok mengkuang ditanam disekitar hujung pulau berhampiran tebing Cu Talak dan Tebing Lamah. Warga Telok Bakong yang menanam mengkuang tersebut adalah seperti Puan Siah (isteri Pak Yop Peting), Wan Lebor (Kamariah bt Kulop Keria), Puan Hajjah Khadijah, Puan Simah bt Alang Nawi, Puan Saerah Ngah Mat Taib dan Itam Rakayah serta beberapa nama lagi yang sukar dijejaki kerana sejarah tersebut tidak dibukukan. Mereka semua ini pandai menganyam tikar dengan berbagai corak dan gaya anyaman.

Tak banyak beza bagi proses penyediaan asas untuk menyiapkan daun-daun mengkuang dari memotong di pokoknya hinggalah merendam,melurut dan mewarnakan daun-daun.


Proses penyediaan daun mengkuang biasa atau pun mengkuang pandan :

1. MEMILIH DAUN – kerat pada waktu pagi atau petang untuk mengelakan daun mengkuang  akan layu, daun yang berusia 2 tahun atau lebih dipotong dan dikerat sama panjang mengikut sukatan yang diperlukan serta disusun mengikut rangkap sepertimana kelihatan difoto..

.


2. MELAYUR – Daun mengkuang dilayur atas bara api sehingga warna daun kekuningan supaya lembut dan tahan lama serta tak mudah patah dan juga memudahkan proses melurut daun mengkuang setelah kerja-kerja melayur selesai.






3.Mengjangka : Daun yang telah dilayur hendaklah dibuang duri empulor ditengah, manakala duri dikiri dan kanan daun juga hendaklah dibuang.




 Alat Jangka


4. MERENDAM – Dengan menggunakan belantan dedaun mengkuang ini setelah diikat-ikat diketuk dan dipukul dari pangkal hingga kehujung helaian daun, bertujuan untuk melembutkan dedaun helaian mengkuang setelah menjalani proses rendaman. Setelah selesai kerja-kerja berkenaan daun mengkuang yang telah siap diikat dan direndam 3 hari 3 mlm dgn air. Air perlu ditukar 2 kali sehari untuk mengelak bau masam. Proses rendaman ini bertujuan untuk lunturkan warna hijau menjadi putih pada daun apabila ianya menjalani proses pengeringan daun setelah dijangka. Proses rendaman daun mengkuang juga boleh dijalankan didalam air sungai dan di tali air bendang atau anak-anak sungai yang boleh menghapus dan menenggelamkan paras daun mengkuang bila direndam. Kebiasaannya rendaman daun mengkuang dibuat didalam tempayan yang diisi dengan air serta ditukar pada hari kedua rendaman.




5. MENJEMUR – Daun yang telah cukup rendamannya dibuka ikatan dan dijemur secara menghurai antara daun hingga kering. Kebiasaannya cuaca panas diperlukan untuk memutihkan daun-daun mengkuang ini. Jika ianya tak cukup panas warna tikar akan kekuningan dan tidak begitu putih, jika ianya tidak diwarnakan dan hanya menganyam secara biasa.



6. MELURUT/LARIK – Setelah daun-daun dijemur kering, kerja-kerja melurut daun tersebut dijalankan ini bertujuan untuk meluruskan daun dan bagi elak ianya bergulung-gulung apabila kerja-kerja menganyam dijalankan.












7. MEWARNA – Daun mengkuang yang telah dikeringkan bolehlah diwarnakan mengikut kehendak orang yang hendak menganyam. Terdapat dua iaitu cara tradisional atau moden. Cara Tradisional : menggunakan air kunyit kunyit bagi warna atau untuk warna kuning, kesumba india untuk warna jingga, buah mengkudu bagi warna biru dan arang untuk warna hitam. Dizaman sekarang kaedah ini sudah pupus dan tiada orang yang mengerti untuk menggunakannya lagi.
.
Cara Moden : dengan mengguna Dylon - jenis tepung pelbagai warna (celup mengkuang - kalau dulu boleh didapati di pekan Parit sahaja) dibancuh dan yang boleh didapati dengan mudah dikedai-kedai dan dididihkan dengan air panas. Daun diikat dan dicelup selama 15-20 minit. Ikatan daun diangkat dibiarkan sejuk dan dibasuh kemudian dijemur. Kaedah menjemur biasanya memerlukan cuaca yang cukup panas bagi mengeringkan daun mengkuang yang telah dicelup.


Mari kita kenali beberapa spesis Mengkuang 

:



Mengkuang Air yang terdapat di tebing Kampong Air Mati Bota.




Mengkuang Kerling yang terdapat di Punggai Hulu.



Mengkuang Pandan.

Ditepi Rumah Hajjah Alang Arpah.



Mengkuang Laut. (Umbai - Melaka)


Terdapat satu lagi jenis mengkuang yang tumbuh diair masin dan payau iaitu Mengkuang Rubai, pokoknya yang tinggi lagi berdaun lebar. Urat-uratnya kasar serta satu atau dua kali ganda saiz daunnya lebih besar dari mengkuang biasa. Didaerah Bakong menghala kelaut adalah terdapatnya hutan mengkuang Rubai ini. Dulu penduduk di Bakong dan Kuchai sering mengambil rubai didalam hutan tebal yang menghala ke laut. Nama-nama seperti Alang Payang, Puan Beah dan Alang Mani adalah merupakan tokoh popular dengan mengkuang Rubai didaerah Lambor Kiri sehingga menjual mengkuang tersebut diseluroh mukim Lambor. Penulis tak dapat mengesan pihak waris untuk mendapatkan kelarai kelarai yang dianyam waktu itu, terutamanya mengkuang rubai. 






* Sila ikuti pula jenis anyaman tikar mengkuang atau dikenali Kelarai dikeluaran seterusnya. 

Khamis, 24 Mac 2011

LAGENDA KOLAM BUAYA EMAS.


BAHAGIAN KOLAM ARAH DARAT.
(menghala jalan masuk ke makam)




BAHAGIAN KOLAM ARAH BARUH
(menghala Tebing Sungai Air Mati)




Gambar Hiasan - Spesis Buaya Tembaga (Buaya Emas) 


Lagenda Kolam Buaya Emas.

Kolam ini terletak berhampiran dengan makam Sultan Muzaffar Shah 1 di Padang Marhom Telok Bakong, keluasan kolam ini sudah nampak mengecil dan cetek. Tidak sebagaimana waktu penulis kecil-kecil dahulu, kolam ini sering berair sewaktu musim hujan dan lambat kering dimusim panas. Berbagai cerita juga dengan kolam ini yang diceritakan oleh penduduk setempat serta warga Kampong telok Bakong tentang mistiknya.

Penulis mengambil satu cerita yang di ceritakan oleh orang-orang tua dahulu mengenai kisah kolam buaya emas ini. Mengikut lagendanya kolam tersebut mempuyai harta karun yang tersimpan didasarnya, pelbagai usaha pihak tertentu untuk mencari dan menyelidiki harta tersebut namun sehingga kini tiada siapa pun yang berhasil malah kolam berkenaan masih seperti kelihatan di foto, semak dan makin mengecil keluasannya. Sewaktu ketika dahulu kononnya penduduk kampong boleh meminjam pinggan mangkuk dari kolam ini, khususnya untuk majlis kenduri nikah kahwin.




Mungkinkah semua peralatan seperti ini yang boleh dipinjam ?

atau

sebegini




Peminjaman peralatan pinggan mangkuk hendaklah di buat dengan petua syarat yang telah ditetapkan sebagaimana lazimnya. Tidak diketahui pula apakah syarat dan tatacara peminjaman dibuat antara si peminjam dan yang meminjam. Dari petua syarat sebagai peminjam, selesai sahaja majlis maka hendaklah dipulangkan kembali semua pinggan mangkuk tersebut tanpa sebarang cacat dan celanya. Jika yang pecah dan cacat (retak) perlu diganti dengan yang baru. Setelah sekian lama kemudahan ini dinikmati oleh penduduk kampong, pada suatu ketika peminjam tidak menggantikan pinggan mangkuk yang pecah dan memulangkannya dalam kecacatan serta tidak cukup bilangan sebagaimana masa meminjam barangan tersebut. Mengikut ceritanya selepas peristiwa tersebut Kolam Buaya Emas ini tidak lagi sudi memberi perkhidmatan meminjamkan pinggan mangkuk kepada penduduk kampong kerana segala petua syarat tidak dipatuhi dan berakhirlah perkhidmatan tersebut.

Mungkin cerita rakyat ini boleh kita berkongsi bersama dengan cerita-cerita yang diceritakan oleh orang tua-tua dahulu dan kita ikuti pula cerita dari sahabat kita :-


Kolam Buaya Emas

Kisah Kolam Buaya Emas ini adalah lagenda yang terjadi di Tanah Abang lewat kurun ke-16. Walau bagaimanapun, cerita ini kurang popular di daerah kami mungkin lantaran pengajaran dari kisah ini terlalu ringan.

Di akhir kurun ke 16, Pusat Pemerintahan Perak Tua iaitu Tanah Abang diperintah oleh seorang sultan iaitu Sultan Mansor Shah ke-2. Sultan ini dikatakan sudah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga namun masih belum berputera walau seorang pun. Memikirkan bahawa tahta kerajaan negeri memerlukan seorang waris, persoalan ini amat menggusarkan benak Ke Bawah Duli Baginda. Baginda semakin hari semakin bermurung durja sehinggakan rakyat dan pembesar turut merasa gundah gulana.

Melihatkan keadaan sultan semakin hari semakin membimbangkan, Memanda Bendahara sepakat dengan Datuk Bentara untuk mencari jalan penyelesaian buat baginda. Memanda Bendahara mengarahkan Datuk Bentara mudik ke hulu sungai hingga ke sempadan Kelantan untuk bertemu dengan Tok Malim Buana yang arif dalam ilmu dunia dan juga akhirat. Kedatangan Datuk Bentara itu disambut mesra oleh Tok Malim Buana dan dari ilmu laduninya, Tok Malim Buana memahami akan maksud kedatangan Datuk Bentara itu.
"Sampaikan salam hamba kepada Ke Bawah Duli Tuanku laki-bini. Katakan kepada baginda bahawa baginda laki-bini haruslah berdayung ke Air Mati, tempat berhampiran dengan Gajah Batu Tiga Beranak berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wataa'la agar dikurniakan putera atau puteri yang ramai.. Insya-Allah niat suci baginda akan diperkenankan oleh Allah".

Berita itu kemudiannya diperkhabarkan kepada sultan dan sultan bersetuju untuk berusaha seperti yang disarankan oleh Tok Malim Buana. Sampai sahaja di kawasan Air Mati berhampiran dengan Gajah Batu Tiga Beranak itu, baginda laki-bini berdoa dan bernazar ke hadrat ilahi. "Ya Allah ya Tuhanku, kurniakanlah aku dengan anak yang ramai dan aku bernazar jika aku beroleh anak yang ramai ini, aku akan menjaga mereka di setiap masa dan ketika tanpa sesaat pun aku teralpa. Jika aku teralpa, aku rela menerima hukumannya".

Setelah itu baginda berdua laki-bini pulang ke istana. Malam itu sewaktu baginda sedang beradu, baginda bermimpi bertemu dengan seorang tua berjanggut panjang hingga ke pusat. Orang tua itu berpesan, "Esok malam bulan purnama, sewaktu embun pertama menitis, Tuanku pergilah ke Taman Diraja. Tuanku carilah rumpun kunyit yang tumbuh bersebelahan dengan Bunga Gul Bakawali yang kembang berdentam di tengah malam. Tuanku ambillah bunga kunyit berkelopak tujuh dan jadikan santapan Tuanku dan Tuanku Permaisuri".

Keesokan malamnya sebaik sahaja embun pertama menitis, Sultan berangkat ke Taman Diraja dengan ditemani oleh Datuk Bendahara. Sampai sahaja di hadapan Bunga Gul Bakawali yang kembang berdentam di tengah malam, di situ terdapat serumpun kunyit. Bunga Kunyit itu sama seperti yang dinyatakan oleh orang tua di dalam mimpi Sultan iaitu berkelopak tujuh. Bunga itu keesokannya dijadikan santapan baginda laki-bini.

Setelah beberapa bulan, tibalah perkhabaran gembira, Tuanku Permaisuri hamil. Cukup sahaja tempoh, Tuanku Permaisuri berputerakan seorang puteri. Sehinggalah tujuh tahun berturut-turut baginda melahirkan puteri dan istana diserikan dengan 7 orang puteri yang comel.

Apakala puteri yang bongsu genap berusia 10 tahun, terjadi satu peristiwa aneh. Ketujuh-tujuh puteri baginda gering sehingga jatuh pengsan. Hal ini amat mendukacitakan hati baginda. Baginda berdoa ke hadrat Allah minta ditunjukkan jalan. Suatu malam, orang tua itu muncul kembali.
"Tuanku hendaklah membuat sebuah kolam dengan sebuah pulau di tengah-tengahnya. Bina sebuah alur dari kolam itu sehingga ke tebing Sungai Perak (Tanah Abang ini di tepi sungai). Setelah kolam itu siap, siramkan air kolam itu di kaki puteri-puteri Tuanku. Setelah itu setiap kali puteri Tuanku bersiram di kolam, haruslah diawasi oleh Tuanku Permaisuri sendiri. Jika tidak diawasi, padah yang bakal menimpa. Barang apa jua yang mendatang sewaktu puteri-puteri Tuanku bersiram usahlah diperdulikan. Ingat, puteri Tuanku tidak boleh menyebut dudududu di kolam itu.."

Setelah terjaga dari beradu itu, baginda melaksanakan seperti alamat mimpi itu. Sebuah kolam berbentuk bulatan dibina dengan sebuah pulau di tengah-tengahnya. Puteri-puteri baginda diusung ke kolam dan kaki mereka disiramkan dengan air kolam itu.

Sebaik sahaja disiramkan, puteri-puteri itu membuka mata dan tersedar. Di waktu itu juga mereka turun bersiram di dalam kolam. Sebaik sahaja puteri yang sulung mencecahkan kakinya di permukaan air kolam itu, turunlah gerimis dengan pelangi berkilau merentang di langit tinggi. Dari arah sungai, seekor buaya berwarna hijau datang masuk melalui alur dan terus ke kolam. Sebaik sahaja buaya itu masuk ke dalam kolam, buaya itu bertukar sisik keemasan. Kegemarannya beristirehat di atas pulau di dalam kolam itu.





Pelangi yang menuju ke muka kolam.

Begitulah saban hari, bulan dan tahun sehingga ke tahun yang ke tujuh. Di tahun itu, Sultan dikurniakan rezeki oleh Allah dengan seorang putera - waris mutlak kerajaan negeri. Sultan amat sukacita sehingga mengabaikan ketujuh-tujuh orang puterinya. Sewaktu putera baginda sudah berjalan jatuh, puteri-puteri ini mohon keizinan untuk turun bersiram dan minta agar ditemankan. Namun, oleh kerana asyik berulit dengan putera, baginda laki-bini tidak mengendahkan permintaan puteri-puteri itu. Baginda terlupa akan janji dan amaran mimpi baginda.





Sang Puteri-puteri mandi dikolam.

Akhirnya, puteri-puteri itu turun juga bersiram sesama mereka 7 beradik. Sewaktu puteri sulung menjejakkan kakinya di permukaan kolam itu, gerimis turun dengan dentuman guruh menandakan alamat buruk akan tiba. Buaya Emas ghaib entah ke mana. Dari jauh, seekor Bota sedang memerhatikan puteri-puteri ini. Dia mengeluarkan serulingnya dan meniupkan satu irama. Puteri-puteri ini terpesona lantas menyanyi-nyanyi di kolam ini sehingga salah seorang puteri ini menyanyikan lagu dududu.. . Dengan tidak semena-mena kilat menyambar di kolam dan ketujuh-tujuh puteri itu mangkat di situ juga.

Baginda merasa amat dukacita dan menyesal dengan kealpaan baginda. Namun apakan dayanya, nasi sudah menjadi bubur. Puteri-puteri itu dimakamkan dengan penuh istiadat diraja. Kolam Buaya Emas kemudiannya ditinggalkan.

Indera : Kolam Buaya Emas masih wujud sehingga kini. Ada pihak mendakwa, di waktu hujan gerimis dengan pelangi berkilau merentang di langit, mereka melihat ketujuh-tujuh puteri itu asyik bermandian bersama seekor buaya emas.
Sesiapa yang ingin menghampiri kolam ini dilarang berkata, "dududu..." kerana itu akan memikat Bota. Wallahua'lam. Hanya sebuah lagenda semata-mata. Segala baik dan buruk itu adalah Qada' dan Qadar Allah S.W.T.

Ditinta emas oleh INDERA KENCANA


Catatan : Untuk makluman nyanyian du...du...du adalah nyanyian yang dilarang oleh orang tua-tua dahulu kerana itu adalah nyanyian Langsuir (jin). Kedua-dua cerita rakyat diatas adalah sebagai cerita penglipur lara yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu kepada kita. Jika bukan kita mengketengahkan cerita-cerita tersebut, maka akan pupuslah hasil seni orang kita yang diturunkan dari generasi ke generasi sehinggalah masa kini. Wallahualam.




Ahad, 13 Mac 2011

SALASILAH TOK KADOK (ANDAK MUNDAM 8)




IKAN TAPAH YANG DITANGKAP
DI PULAU TIGA KIRI (SUNGAI PERAK).

Foto diatas adalah sumbangan dari Cikgu Fazilah Ani dari Sekolah Kebangsaan Pulau Tiga Kiri, Kampong Gajah.
"sedare tu (foto diatas) namanye En. Ali bin Len bin Moin........salah seorang dari keluarga tempat saya mengajar ni..........kojenye memang nangkap ikan kat sungai perak.......kebetulan aritu sekolah saya mengadakan perarakan MaulidurRasul.........lalu depan rumah dia, masa dia nak pergi juai ikan tu kat Tanjung Tualang.....kat area pulo tiga- pasir garam tak laku........semue takut......" Cikgu Fazilah Ani.

Jika melihat dari kata-kata Cikgu Fazilah Ani ini bahawa Pulau Tiga Kiri juga ramai yang dari keturunan  Tok Kadok serta terbabit dengan "pantang larang memakan ikan tapah".


Cikgu Fazilah Ani bersama cahaya matanya.


Kebiasaannya di Nageri Perak bahagian sungainya mempunyai penduduk di kiri dan kanan sungai serta sering ada hubungan persaudaraan diantara kedua tebing sungai ini. Jika mengikut gambar tangkapan ikan Tapah ini (Pulau Tiga Kiri) kemungkinan orang berkenaan bukan berketurunan Tok Kadok, kerana keterunan Tok Kadok mungkin hanya berada di kanan sungai iaitu biasa disebut Pulau Tiga sahaja dan tidak disebut Pulau Tiga Kanan.





SALASILAH ANDAK MUNDAM 8.


Mengikut catatan di dokumen salasilah, jurai dari keturunan Andak Mundam 8 ini berada di Kampong Toh Paduka Raja di Pulau Tiga (Pulau Tiga Kanan). Jika dilihat jurai ini ada yang berkahwin dengan jurai Alang Sumat dan Pandak Demat serta dari keturunan Ngah Pidup atau Kulup Langkat dan Andak Bayu. Sehingga ini tiada maklumat yang penulis perolehi dari sana dan seingat penulis melalui bapa saudara penulis dahulu hubungan antara jurai ini sangat rapat serta sering kunjung mengunjung antara mereka terutama pada musim buah-buahan serta kenduri kendara dan majlis perkahwinan. Kini peringkat yang tua-tua sudah tiada lagi dan peringkat yang muda telah berhijrah awal-awal lagi kebandar dan merantau keluar dari kampong. 

Marilah kita lihat senarai dari jurai ini untuk sama-sama kita sambung kembali silaturahim antara keturunan ini, jika tuan-tuan ada maklumat silakanlah berhubung terus dengan penulis.

Marilah kita lihat juga rumah-rumah kediaman yang terdapat di Kampong Toh Paduka Raja, Pulau Tiga yang sempat dirakamkan ketika kunjungan penulis ke kampong ini pada penghujung tahun 2010 yang lalu.



Papan Tanda kampong TOH PADUKA RAJA.



Rumah kediaman yang tak jauh bezanya dengan rumah-rumah di Mukim Lambor.



Bunga Kertas Putih - Hiasan Laman



Bunga Jarum - Hiasan Laman



Rumah kayu dengan tangga batu.



Bunga Hiasan Laman



Bunga Jarum Kuning - Hiasan Laman



Rumah di Negeri Perak kebanyakannya tinggi kerana 
mungkin dulu negeri ini sering dilanda banjir terutama 
dihujung tahun dan awal tahun.


Bunga Hiasan Laman


Bunga Kertas .



Dizaman 60an dulu kebanyakan rumah dimukim Lambor adalah berbentuk seperti rumah ini, cuma ibu sahaja dan bahagian dapur tanpa bahagian Anjung, seperti tiga buah rumah diatas mempunyai bahagian anjung.





Bunga Jarum.



Rumah kayu dan batu dibahagian bawah (dua tingkat).


Bunga Hiasan Laman.



Senduduk putih.



Tak ketinggalan juga rumah tanpa penghuni (dah tinggal) kerana peringkat yang tua-tua dah tiada dan generasi muda mencari kehidupan yang lebih selesa dan sesuai dengan keadaan kehidupan dizaman ini. Sayang sekali rumah besar dan mungkin keluarga rumah ini dahulu juga ramai dan bayangkalah hiruk pikuknya zaman kanak-kanak mereka dahulu......hanya tinggal kenangan.


Bunga Bakong- Hiasan Laman dulu kala.