Isnin, 31 Januari 2011

ASAL USUL NAMA PULAU TABUAN DI AIR MATI (CERITA LAGENDA RAKYAT)



PULAU TABUAN.
(Pemandangan Berhadapan dengan Tanah Abang)



PULAU TABUAN 
(Menghala ke hilir atau bahagian kaki pulau) 




       SARANG TABUAN.


PULAU TABUAN (TEBUAN)

Hatta tersebut di dalam kisah kesultanan di Tanah Abang, sewaktu pemerintahan Sultan Muzaffar Shah I, di pertengahan kurun ke 15, negeri-negeri Melayu menghadapi ancaman kuat daripada Raja Siam. Selepas jatuhnya Negeri Melaka, sudah tiada lagi kuasa pesaing kepada kekuatan Negeri Si Gajah Putih itu.

Setelah tertubuhnya Kerajaan Perak di bawah perintah Yang Dipertuan Duli Tuanku Sultan Muzaffar Shah, maka rakyat hidup lah dalam keadaan yang aman makmor, bersukacita dan limpah berkat dari ilahi atas kebijaksanaan Sultan mentadir negeri dan rakyat jelata.Dikhabarkan Tanah Abang makmur dengan hasil mahsul dan kekayaan negeri yang dikurniakan dengan melimpah ruah.Berita kemakmuran negeri ini telah sampai ke pengetahuan Raja Siam dan mereka ingin meluaskan jajah takluk kuasa siam untuk mengutip hasil mahsul negeri. Maka kerajaan siam telah menghantar utusan ke Tanah Abang bagi mengugut sultan bernaung dibawah kerajaan siam tersebut dan menghantar emas ufti setiap tahun ke negeri mereka. Jika sultan enggan maka pelanggaran negeri oleh tentera siam akan dilaksanakan bagi menghapuskan sultan.

"Apa kah pandangan dan budibicara datuk-datuk sekelian atas ugutan dan permintaan Raja Siam tersebut? Sapa sultan kepada barisan menteri-menterinya yang diketui oleh Datuk Bendahara.”Ampun tuanku jika kita berkeras juga mempertahankan Tanah Abang dengan ketumbukan tentera kita yang jauh lebih kecil bilangannya jika dibandingkan dengan mereka dan patik bimbang akan jadi padang jarak padang terkukur negeri kita, tuanku” luah Datuk Bendahara dengan kebimbangan. Datuk-datuk tahu kah natijahnya jika kita menyerah ? Agama dan maruah kita, seharusnya kitalah yang mempertahankannya. Ini tanah dan negeri kita tak siapa yang boleh mengugut kita, beta mohon sekelian rakyat menyertai kita bagi mempertahan Tanah Abang ini, seru baginda kepada sekelian datuk-datuk menteri.


Binaan Kubu yang masih terdapat sehingga ke hari ini.
(Kubu Menghala KeDarat)

Perbincangan datuk-datuk menteri dan sultan telah memutuskan bahawa startegi membina kubu serta parit-parit yang dalam disekeliling Tanah Abang adalah idea terbaik. Maka berbarislah sekelian rakyat membantu membina kubu-kubu yang tinggi diseliling Tanah Abang serta digali parit yang dalam.melalui huluran tanah dari tangan ke tangan dari sebelah utara Air Mati hingga ke kubu Tanah Abang dan parit yang dikorek serta tanahnya diguna untuk membina kubu, maka parit berkenaan dinamakan Parit Siam (nama yang kekal sehingga hari ini). Kini Kota Tanah Abang sedia menerima ketumbukan tentera Siam dari arah Darat dan Baroh (sungai).  Dalam beberapa purnama lagi sampailah tentera Siam ke Tanah Abang.

Datuk Bendahara makin sibuk menyusun bala tentera yang dipecahkan kepada dua bahagian iaitu diarah darat dan sungai “Tuanku musuh dah hampir tunku,” laungan yang terdengar di seluruh kubu. Tak mengapa biarkan mereka benar-benar hampir jawap sultan.Dentuman meriam dari arah sungai telah mula kedengaran dan peluru meriam silang menyilang diruang udara kubu Tanah Abang untuk tujuan member amaran supaya Tanah Abang menyerah sebagaimana dipinta oleh raja Siam. “Tuanku !!!,musuh makin hampir, tuanku!!!” ya biarkan jawap sultan, datuk Bendahara menunggu perintah saja dari sultan bagi mengarahkan semua tentera bersiap sedia melawan tentera siam yang telah hampir menyusuri sungai. “Tuanku !!!! musuh dah melabuhkan kapal berhampiran kita” !!!! laungan sekali lagi memecah suasana keheningan kubu Tanah Abang. 



Bertih Padi.

“Datuk Bendara !!!” laung tuanku, mohon cepat digorengkan berteh padi ,dan datuk Bendahara pun menyuruh orang menyediakan bertih kira-kira segegam muat. Oleh itu tuanku sultan pun segera membawa bertih tersebut kearah atas kubu bahagian yang menghadap kebaroh iaitu kesungai Perak, dengan menyapa nama Allah dan menyeru Rasulullah beliau mencampakkan bertih tersebut kearah sungai, maka dengan tak semena-mena dilangit menjadi gelap gulita angin ribut segera menerpa, kilat sabung menyabung seolah-olah dunia akan kiamat. Apabila segala bala tentera siam melihat keadaan sedemikian amatlah takut dan bimbangnya mereka, ada yang lari dan terus terjun kedalam sungai lalu mati dan dengan kebesaran Allah jua, terlihat kilatan petir yang amat kuat serta menyambar kapal tentera siam tersebut. Dengan tak semena-mena ribut dan petir pun berhenti alangkah teperanjatnya segala datuk-datuk dan rakyat jelata,kapal siam berkenaan telah menjadi pulau serta segala askar siam tersebut telah menjadi tabuan yang berterbangan bagai ngauman singa diatas pulau berkenaan. Oleh yang demikian terselamatlah bumi Tanah Abang dari serangan musuh dari negeri Gajah Putih (Siam) tersebut dengan kuasa daulat Sultan Muzafar Shah 1 bersama bertih segengam muat.



SARANG TABUAN.

Oleh itu sempena kejadian tersebut pulau berkenaan dinamakan “Pulau Tabuan” dan waktu penulis kecil dulu seringlah melastik sarang-sarang tabuan ini yang terdapat sangatlah banyak sarang-sarangnya di dahan-dahan pokok getah diatas pulau berkenaan. Wallahualam.


*Cerita ini adalah cerita rakyat dari orang-orang tua warga Telok Bakong yang telah pergi meninggalkan kita (al-fatihah untuk mereka).


Ahad, 30 Januari 2011

BULUH APA (CERITA LAGENDA RAKYAT)


Gambar hiasan "Pohon Buluh"

Setelah kita diperlihatkan dengan beberapa salasilah keturunan Tok Kadok dan marilah kita melihat pula cerita lagenda rakyat yang diwarisi dari turun temurun oleh penduduk setempat serta kawasan sekitarnya yang diceritakan oleh orang-orang terdahulu.

BULUH APA.

Pelbagai cerita tentang “buluh apa” (buloh ape) yang berdekatan dengan Makam Sultan Perak yang pertama ini yang terletak di Padang Marhom Telok Bakong . Dizaman penulis masih kecil lagi telah dihidangkan dengan cerita-cerita rakyat tentang keagungan persekitaran kawasan Makam berkenaan, seperti Kolam Naga Emas , Kolam Itek, Buloh ape, pohon Langsat yang dibahagian pangkalnya ditumbuhi mirip kelamin lelaki, Parit Siam, kubu dan parit yang dalam, buaya emas dan terowong lome.  Penulis juga telah menemui beberapa orang lama di kampong Telok bakong untuk bertanya cerita “buluh apa” dan sebenarnya tak banyak berubah dari apa yang nak saya ceritakan dengan yang sudah sedia dikarang oleh beberapa penulis di internate. Marilah kita lihat cerita-cerita berkenaan yang telah diceritakan kepada kita dan bukan niat penulis untuk membandingkan antaranya tapi kita sama-sama menilai betapa popularnya cerita tersebut dengan beberapa versi yang diceritakan dari mulut kemulut dan pihak Inggeris dulu pun telah mencatatkan cerita berkenaan didalam buku mereka. Untuk pengetahuan semua pohon buluh berkenaan sudah lama pupus serta tebing tempat pohon buluh itu tumbuh pun telah rebak kesungai dan tiada pula pohon buluh baru tumbuh. Sewaktu penulis masih kecil dan sering bertaut (menajor) buluh berkenaan masih ada tapi pohonnya pun hidup meragan sahaja.


Berhadapan makam ini lah terletaknya buloh apa
dan makam anak Bentara, ditepi tebing sungai Air Mati Tanah Abang.

As the founder of Perak travelled up-river he said to have met a youth mourning over the body of his dead brother. The boy had been asking the name of a bamboo, the buloh apa or "which bamboo"
"What, brother, is the name of this bamboo?"
"Which bamboo."
"This bamboo."
"Which bamboo."
And the younger slew the elder in a rage before he discovered that "which" was the name of the bamboo.
(Petikan dari Papers on Malay Subjects, By Richard James Wilkinson)

Perangkatan itu mudik ke hulu seberapa yang boleh hingga sampai ke satu tempat di atas tebing sungai di mana didapati atau dijumpai mayat seorang pemuda dengan pemuda yang lain sedang menangis disisinya dan di tempat itu tidak ada orang duduk di situ.
Setelah melihat keadaan itu, maka Raja Muzaffar serta pengiring-pengiringnya dan orang-orang yang bersama langsung singgah di situ dan Raja Mudzaffar Shah lalu bertanya kepada pemuda yang menagis bagaimana kejadian itu berlaku dan orang muda itu menceritakan lebih kurang seperti berikut:-
Mereka berdua adalah adik-beradik. Mereka mudik dengan sampan pada hari itu dan singgah di situ di mana mereka berjumpa dengan serumpun buluh yang adiknya tidak tahu nama buluh itu. Adiknya bertanya Abang:-
Adik – “Apa nama buluh itu Abang?”
Abang Menjawab – “Buluh apa Adik.”
Adik bertanya lagi – “Buluh apa ini abang.”
Abang menjawab – “Buluh apalah adik.”
Tidak juga mengerti adiknya, lalu ia bertanya lagi.
Adik bertanya - “ Buluh ini apa namanya abang.”
Abang menjawab – “Buluh apa adik,”
Demikianlah mereka kedua adik-beradik bersoal-jawab dan diakhirnya adik memikirkan yang abangnya itu mengolok-olokkan adiknya lalu ia meradang atau marah yamg amat sangat serta ditikamnya abangnya terus mati. Kebetulan pula Raja Mudzaffar Shah serta pengiring dan orang-orang ramai yang bersamanya sampai ke situ. Setelah itu Raja Mudzaffar lalu menerangkan yang pemuda itu telah membunuh abangnya dengan teraniaya dan dengan tidak cukup usul-periksa. Tambahnya lagi maksud abangnya ialah nama buluh itu ialah “Buluh Apa”. Dengan itu pemuda itu terus pengsan dengan tidak sedarkan diri lagi oleh memikirkan perbuatannya yang kejam dan kehilangan saudara tuanya sendiri yang ia amat kasih dan tempat berharap. Mayat pemuda itupun terus dikuburkan di situ jua

http://malayarchipelago.fotopages.com/?entry=356662



Makam Sultan Muzaffar Shah 1, Tanah Abang.

Setelah kita melihat cerita berkenaan marilah kita juga menilai cerita dari sahabat kita ini yang saya percaya beliau juga berasal dari daerah Perak Tengah dan tidak boleh menyentuh ikan tapah. Cerita beliau ini lebih mirip kepada cerita yang saya salin dan dengar melalui orang tua-tua di Telok Bakong .



Aha.....ini pun boleh di klaskan juga "Buluh Ape???" "Which bamboo"



Buluh Apa
Kisah Buluh Apa...

Zaman dahulu di Tanah Abang (pusat pemerintah Perak Tua) terdapat dua orang putera raja yang sama bentuk fizikalnya. Sama cantik, sama gagah, sama dari segi kesantunannya. Cuma sifat mereka berdua ini sahaja yang membezakan mereka berdua. Si Abang lebih lembut, lebih penyayang dan manakala Si Adik agak sedikit kasar, pemanas dan juga agak gopoh di dalam tindakannya.

Seperti kebanyakannya permainan anak raja dulu-dulu, masa lapang mereka akan diisi dengan pemburuan di hutan, persilatan dan permainan senjata sebagai lambang dan status kegagahan seorang anak raja.

Pada suatu hari, kedua anak raja ini bermain senjata seolah-olah seperti pertempuran yang sebenar. Oleh kerana masing-masing terlalu gagah, tiada pihak yang menang atau kalah. Di akhir sayembara itu mereka menggunakan buluh sebagai medium pertarungan. Buluh tersebut tersangat keras dan membahayakan sehinggakan si adik merasa amat berpuas hati dengan penggunaan buluh itu. Lantas ditanyakan kepada abangnya.
Adik : Cukup keras buluh ini ya Kanda. Apakah namanya buluh ini..??
Abang : Buluh Apa, Dinda.
Adik : (Ketawa) Kanda memang suka bergurau. Adinda bertanya buluh apakah ini Kanda?
Abang : Buluh Apa, Dinda.
Adik : Kanda, Dinda bertanya ini. Kanda sebagai seorang bijak laksana tentu tahu akan nama buluh ini.
Abang : Buluh Apa, Dinda.

Akibat rasa seolah dipermainkan, sewaktu berangkat pulang ke istana, si adik menikam belakang abangnya sehingga mangkat. Puas sudah hati si adik kerana berjaya menghapuskan seorang abang yang suka mempermainkan adiknya.

Kepada ayahanda dan bonda serta menteri pembesar dikhabar, kematian abang disebabkan kemalangan sewaktu bersilat dan tiada niat tersembunyi di sebaliknya. Memikirkan sudah suratan takdir bahawa kematian itu tidak mungkin dapat mengembalikan mereka yang telah pergi, kesemua pihak pasrah dan redha kepada ketetapan ilahi.

Istiadat permakaman pun dilaksanakan dengan penuh kebesaran selayaknya seperti mana kemangkatan seorang raja yang berdaulat. Si Abang dimakamkan di Tanah Abang tidak jauh dari rumpun Buluh Apa yang bersejarah. Selesai sahaja, istiadat permakaman itu, sewaktu perjalanan pulang, si adik merapati Datuk Bendahara yang budiman. Datuk Bendahara berjalan tunduk kesedihan berkabung atas kemangkatan putera yang sangat rapat dengan beliau.
Adik : Ayahanda Bendahara.
Bendahara : Patik, Tuanku.
Adik : Bolehlah beta bertanya suatu perkara??
Bendahara : Tanyalah Tuanku. Mana yang patik tahu, akan patik jawab. Mana yang patik tidak tahu, akan patik tanyakan kepada mana-mana jauhari yang mengetahui..
Adik : Tahukah Ayahanda Bendahara, apakah nama rumpun buluh yang tumbuh berhampiran dengan gelanggang persilatan milik beta dan juga kekanda itu. Rumpun yang sama yang tumbuh dekat dengan makam kekanda?
Bendahara : Oh, itu.. nama buluh itu BULUH APA, Tuanku..

Apakala mendengar nama buluh itu, mengeletarlah seluruh badan putera itu. Rasa roh melayang meninggalkan jasad rasanya. Wajah putera itu pucat laksana kertas kertas yang putih. Melihatkan perubahan sikap putera itu, Datuk Bendahara seperti dapat menangkap maksud kejadian. Lantas Datuk Bendahara bermadah..

Bayu berpuput di Tanjung Jati
Orang belayar ke Inderagiri
Jangan diturut rasa di hati
Kelak jadi binasa diri

Kekabu diisi di dalam tilam
Untuk hiasi majlis kenduri
Usah ditangisi perkara silam
Tuan yang pergi tidakkan kembali
Sejak dari hari itu si adik menangisi pemergian abangnya di bawah rumpun Buluh Apa. Tidak lama sesudah itu si adik menghilangkan diri dari istana dan tidak diketahui di manakah jejaknya. Putera yang masih berusia 6 tahun terpaksa diisytiharkan seagai Putera Mahkota kerajaan negeri.

Indera :
Sejak kehilangan kedua-dua putera raja itu rumpun Buluh Apa semakin mengecil dan akhirnya kini menjadi rumpun buluh yang bantut. Ada pendapat mengatakan si adik membawa dirinya ke hutan rimba di belakang kampung kami dan meninggal dunia dalam kerajaan bunian (bunian??). Ini kerana terdapat beberapa orang penduduk kampung saya yang mendakwa bertemu dengan makam si adik di dalam hutan yang dikelilingi dengan rumpun Buluh Apa. Mereka kemudian menandakan lokasi makam itu dengan apa sahaja tanda seperti kayu atau kain. Tetapi keesokan harinya mereka ke lokasi berkenaan, makam tersebut tiada lagi. Yang tinggal cuma tanda yang mereka tinggalkan.


Wallahua'lam. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Sesekali mengunjungi Tanah Abang, terasa bayu yang berpuput amat segar. Sewaktu saya kecil-kecil dahulu, tempat kegemaran saya bermain adalah Kolam Buaya Emas walaupun dilarang keras oleh ayah saya bermain di dalamnya.

Ditinta emas oleh INDERA KENCANA  (indera-kencana.blogspot.com)


Sedikit ulasan dari Penulis blog (aisbatu)..............................

Cerita tuan Indera ini mengenai orang kampong telah menemui makam si adik ini, salah seorang yang dimaksudkan beliau adalah Tuan Haji Mohd Ali bin Kulop Ali atau pun lebih dikenali di Telok Bakong sebagai Tuan Haji Selangor. Tuan Haji Selangaor ini telah menemui Makam Tersebut disempadan dengan tanah rancangan Nasirruddin di Changkat Piatu. Nama yang dinyatakan oleh Tuan Haji Selangor adalah makam Mahkota Alam dan nama sebenarnya penulis tak berapa ingat. Beliau telah menandakan makam berkenaan dan sempat mengambil buah-buah rambutan disekeliling makam berkenaan. Perkhabaran makam berkenaan telah dipanjangkan ke pihak atasan dan mereka cuba menjejaki makam berkenaan tetapi bila sampai ditempat berkenaan,kelihatan makamnya diatas bukit dan bila sampai diatas kelihatan pula makam berkenaan dibawah bukit. Oleh yang demikian rombongan berkenaan pun fahamlah duduk perkara , Mahkota Alam ini tidak mahu dirinya atau pun makamnya diperlihatkan sebagaimana makam-makam yang lain.

Cerita Mahkota Alam ini juga ada beberapa versi dan saling kait mengait dengan Sultan Muzafar Shah 1.Soal Bunian dan Alam Ghaib tuan-tuan boleh tafsir sendiri dan mahklok berkenaan memang wujud dan ada dunia mereka sendiri.


Ahad, 23 Januari 2011

SALASILAH PANJANG LICIN.


SURAU KG TUA BATU 16 LAMBOR KANAN.




SALASILAH PANJANG LICIN.


Dari jurai Panjang Licin ini kebanyakannya tinggal di Lambor Kanan serta di Kampong Talang, Batu 16  dan di Telok Bakong. Untuk memenuhkan salasilah ini kita perlukan kerjasama antara waris kerana kebanyakan keturunan ini telah merantau di luar kawasan kampong serta menetap ditempat baru. Dari keturunan Pah Wan ada diantaranya di Kampong Senin dan disebelah Parit, untuk makluman jika boleh anak-anaknya memberi sedikit info kepada penulis blog untuk menyatakan dua nama yang masih dicari. Di Kuala Lumpur sendiri terdapat ramai anak-anak dan cucu cicit keturunan ini yang masih belum mengetahui salasilah Panjang Licin ini. Marilah kita lihat sebahagian foto-foto waris salasilah berkenaan.


Puan Jameah bt Sa'in - isteri kepada Ngah Mat Jadi
bersama anak-anak saudara serta cucunya di Bt !6.


Encik Alang Ahmah (Norlela) dihari perkahwinannya di Telok bakong.
.

Puan Asiah(Duyah) bt Mat Jali - berdiri dibarisan belakang dua dari kanan.



 Encik Mayid bin Kulop Simpul dua dari kanan
(salah seorang anak kepada Puan Zainab ) 
dan encik Aziz (Ismail) kiri sekali (anak kepada  Puan Habibah)


Puan Hajjah Habibah dan Puan Sadiah.




Bagi waris dari jurai ini yang sememangnya tidak boleh menyentuh ikan Tapah,bolehlah bersoreh kembali apabila menyalin salasilah di blog ini. Kita merapatkan saf-saf yang dah renggang dan jauh disebabkan kita sama-sama merantau dan bekeluarga mencari tempat selesa untuk menjalanai kehidupan yang diredhoi oleh Allah yang Maha Besar.

* Bagi Teratak Agro tolong beri komen kepada jurai Mat Jali kerana nama-nama yang ada tak begitu tepat dan sempurna.








Ahad, 16 Januari 2011

LAGENDA TASIK AIR MATI DAN SUMPAHAN SANG KELEMBAI.


GAJAH BATU. 


Foto terkini Gajah Batu Tasik Air Mati18/09/2011.
(Foto Sumbangan dari : Encik Azman Kamaruddin 
serta Ery Chu Pulau & Ein Toyol-nama samaran) 

Bukan mudah untuk mencari lokasi tempat Gajah Batu ini kerana tempat berkenaan masih berair dan ditumbuhi semak samun serta jerumun hutan yang tebal. Keselamatan pengunjung juga perlu difikirkan sebelum berkunjung ketempat ini. Penulis juga sebelum artikal ini ditulis telah berkunjung ketempat berkenaan untuk menjejak muara Parit Siam dan Gajah batu ini tapi tak sanggup menempuh jerumun tebal yang umpama karpet bergelombang diatas air, jika terjelus tak mungkin kita dapat naik keatas kembali. Mungkin spesis ular juga banyak termasuk ular sawa. Tahniah kepada orang-orang yang terlibat diatas kerana dapat mencari lokasi gajah batu berkenaan dan mengambil foto objek bahan lagenda ini. Walau pun bentuknya telah banyak berubah kerana dihakis oleh zaman tapi lagenda ini tetap berada disitu untuk dikenang dan ditatap oleh generasi baru sebagai bahan rujukan sejarah misteri Tasik Air Mati di Telok Bakong.



TASIK AIR MATI
 ( Kawasan yang di Kategorikan kawasan Lagenda ) 




TASIK AIR MATI DAN LAGENDA SUMPAHAN SANG KELEMBAI.

Untuk melihat dimana lokasi tasik ini pelayar internate bolehlah melihat didalam artikal yang sebelumnya iaitu bertajuk TASIK AIR MATI.

Terdapat banyak tempat-tempat yang dikaitkan dengan sumpahan sang kelembai atau sesetengah tempat pula memanggil sang kedembai. Siapakah Sang Kelembai ini ? sehingga boleh menyumpah orang atau haiwan menjadi batu.Kenapa terjadinya sumpah menyumpah didaerah dan kawasan tasik ini ?  Didalam Tasik Air Mati ini juga tak ketinggalan dengan cerita yang mengaitkan dengan Sumpahan Sang Kelembai ini.  Marilah kita rungkaikan kisah ini melalui cerita dan pengalaman orang-orang terdahulu yang sering menangkap ikan serta urusan harian mereka dengan hadir ke Tasik saban hari.

Menurut cerita dari beberapa orang tua dahulu seperti Tuan Haji Mohd Ali bin Kulop Ali (sering menangkap ikan dengan cara bubu), Itam Saidin bin Uda Malak menangkap ikan dengan belat, Tuan Haji Shafie bin Tuan Haji Chu Talak (menangkap ikan cara belat), Uda Malak bin Alang Sumat (menangkap ikan dengan rawai , taut (tajor) dan memancing. Hajjah Fatimah bt Haji Mohd Ali bersama Puan Alang Lihah (isteri encik Saring) menyauk ikan tetimah serta ramai lagi yang telah meninggal turut mengalami pengalaman-pengalaman yang sama. Sang Kelembai ini telah menegur orang kampong disini (Air Mati) yang kebetulan lalu didaerah ini dan dengan teguran tersebut menyebabkan terjadinya hidupan berkenaan berbentuk batu-batu dan hidupan lainnya ketika Tasik Air Mati ini bersih dan sebagaimana yang akan saya senaraikan seperti berikut :-

Saya bahagikan untuk beberapa bahagian bagi memudahkan cerita ini.

DIBAHAGIAN TANAH DARAT.

1.GAJAH BATU.(Sebagaimana di gambar hiasan)

Gajah batu ini sama sekali menyerupai bentuk gajah hidup (sebagaimana contoh yang kelihatan digambar), tidak seperti di tempat lain yang batu sungai atau batu gunung dan bukit seakan menyerupai gajah.Gajah batu ini terdiri dari seekor gajah dewasa dan dua ekor anak-anaknya (seekor besar dan seekor lagi kecil sedikit). Warga Telok Bakong dan sekitarnya yang lahir didalam tahun 50an dan 60an yang kini berumur sekitar 40an hingga 50an atau ada yang telah mencecah 60an memang tahu dan pernah melihat Gajah Batu ini. Ketika umur penulis sekitar 10 tahun, pernah melihat dari atas tebing Hospital Changkat Melintang rupa bentuk gajah batu ini dengan jelas tapi anak-anaknya tidak kelihatan.Menurut Puan Hajjah Fatimah anak-anak gajah batu ini telah tumbang kedalam air tasik. Ini berlaku ketika kemasukan tentera jepun tahun 1942 dan yang seekor lagi dua atau tiga tahun kemudian juga turut tumbang kedalam air tasik.

Kalau mengikut serpihan yang diambil dari badan gajah batu ini, batu badan gajah tersebut seperti batu kapur dan rapuh serta seroi. Waktu itu belalai dan telinga serta belakang badan gajah telah dirosakkan oleh mahklok yang mengerjakan kerja-kerja kurafat. 

2.BUAYA PUTIH.

Buaya ini amat sukar nak ditemui didalam Tasik Air Mati ini dan pada mereka yang pernah menemuinya amat bernasib baik. Encik Rahim bin Itam Saidin serta Encik Yahya dan Zakaria bin Ahmad pernah menemui buaya ini berhampiran pantai Pulau Tabuan. Buaya ini tidak pernah mengusik penduduk atau warga Telok Bakong yang sering berada didalam tasik ini serta disepanjang alirannya. Yang diketahui dan diceritakan oleh orang tua-tua terdahulu hanya seekor sahaja buaya putih berada didalam tasik.




3.BUAYA TEMBAGA

Buaya Tembaga ini pun yang pernah dijumpai oleh kami hanya seekor juga serta tidak pernah mengusik penduduk persekitaran tasik ini. Penulis dan bapa penulis pernah menemuinya ketika berbelat (menangkap ikan) ditebing Tuan Haji Alang Jais. Buaya tembaga berkenaan ketika itu sedang berjuang mempertahankan kawasannya apabila buaya dari sungai perak memasuki aliran Air Mati. Penduduk persekitaran Tasik Air Mati ini mempercayai bahawa kedua-dua buaya Putih dan Tembaga adalah buaya keramat.



4.PARIT SIAM.

Parit Siam ini muaranya dari daerah tasik ini mengunjur hingga ke Kampong Sedingka arah utara, penulis cuba menjejaki parit ini tapi keadaan hutan dan semak yang tebal serta sukar untuk memastikan keselamatan terjamin dari binatang seperti ular dan yang lain-lainnya.Gambar Parit Siam yang di Sedingka sahaja yang dapat dirakam. Ada berbagai cerita tentang Parit Siam ini dan penulis tidak berkesempatan untuk menyelidiki secara teliti dan mungkin didalam tajuk yang lain akan dibentangkan untuk pengetahuan kita bersama.



PARIT SIAM



BAHAGIAN DALAM AIR TASIK.

1.BATU HAMPAR.

Tidak banyak maklumat yang penulis perolehi mengenai batu Hampar ini dan kawasan letaknya juga tidak diketahui, tapi ianya dikatakan wujud didalam tasik ini.




2.BATU DALONG.

Batu Dalong ini jika dalam bahasa Acheh bermaksud tempat untuk makan (meja), penulis telah merujuk ke beberapa tempat dan masyarakat untuk mengetahui apakah maknanya atau rupa bentuk batu dalong ini. Tiada tafsiran atau makna yang tepat untuk menerangkan rupa bentuk dalong ini, apakah objek yang dikatakan dalong apabila diluar tajuk batu dalong .Jadi saya gambarkan mengikut cerita orang yang terdahulu sebagaimana di foto. Dari maklumat yang diberi batu dalong ini tidak berbentuk bulat sangat tetapi bujur dan melengkug tepian bibir tengah meja batu ini.



3.PENGANTIN BERSANDING MENJADI BATU.

Batu pengantin (Pengantin sedang bersanding menjadi batu) ini juga terdapat didaerah atau tak jauh dari Gajah batu,batu dalong dan batu hampar. Puan Hajjah Fatimah dan Alang Lihah kebetulan menyauk ikan tetimah di daerah tersebut dan telah terlanggar kepala-kepala batu Bersanding ini dan mereka segera kedarat kerana bimbang dengan keselamatan mereka, begitulah cerita dari pengalaman mereka. Sewaktu ketika dulu air tasik ini agak jernih dan membolehkan kehidupan didalamnya dilihat dengan lebih dekat dan nyata, jadi dari cerita orang yang terdahulu serta pengalaman orang-orang yang sebagaimana penulis sebut diatas mendorong kami menulis cerita Lagenda ini untuk tatapan kita bersama.




 Ikan Tetimah.



Gambar Hiasan - Pengantin Bersanding Menjadi Batu.


BAHAGIAN DI AIR PUN TIDAK, DI DARAT PUN TIDAK (MISTERI)

1.MERIAM RENTAKA.


Gambar Hiasan - Meriam Rentaka di Komplek Sejarah Pasir Salak.

Meriam ini berbunyi atau meletup pada tahun 1942 ketika Jepun memasuki Malaya dan sekali lagi di awal 70an. Letupan kuat berkenaan adalah dari sebuah meriam tapi tidak kelihatan dimana-mana dikawasan Tasik Air Mati atau Di Tanah Abang terdapatnya meriam tersebut.Penulis mengalami sendiri letupan meriam ini yang menggegarkan bumi Telok Bakong dengan dentuman yang kuat dari arah Tasik Air Mati dan Tanah Abang. Darimaklumat orang-orang lama didaerah dan kawasan Air Mati ini meriam berkenaan akan juga meletup apabila Bah besar (banjir besar ) akan melanda Kampong Telok Bakong. Bah berkenaan seperti tahun 1957, 1967 dan 1971. Ini kemungkinan merupakan amaran kepada penduduk kampong bahawa banjir besar akan melanda.


2.TEROWONG TASIK.

Terowong air ini mempuyai mitosnya yang tersendiri serta berkaitan pula dengan ikan Lome serta sungai Tapah di Pekan Tapah.


 Ikan Lome.



 Gambar Hiasan : Mungkin inilah rupa Terowong yang diceritakan.

Begitulah lagenda Tasik Air Mati dan Sumpahan Sang Kelembai yang diceritakan oleh orang tua-tua dahulu dan mungkin generasi muda dizaman sekarang tidak mengetahui akan terdapatnya Gajah Batu di Kampong Telok Bakong serta semua hidupan atau batu-batu yang disenaraikan diatas akibat "Sumpahan Sang Kelembai". Penulis hanya menyampaikan cerita yang menjadi Lagenda ini untuk generasi muda mendengarnya, mungkin kalau Tasik ini masih bersih agaknya boleh nampak Batu Gajah berkenaan dari tebing Kuartes Hospital Desa Changkat Melintang.Sayangnya khazanah alam ini hilang begitu sahaja dan tiada usaha-usaha dari pihak tertentu bagi memulihkan tempat ini supaya ianya dapat di tonton  dari generasi ke generasi.



Marilahlah kita renungkan ayat ini untuk kita jadikan panduan dan pedoman bagi menilai artikal Tasik Air Mati dan Lagendanya dengan Sumpahan Sang Kelembai.

Allah berfirman di dalam surah Ali ‘Imran ayat 190-191






Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orag-orang yang berakal;( Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau tidak menjadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Dalam sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas r.a., diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah didatangi oleh orang-orang Quraysh agar baginda menunjukkan bukti/mukjizat atas kenabiannya dengan menjadikan Bukit Safa’ itu emas untuk mereka. Baginda berdoa kepada Allah, lalu Allah menurunkan ayat ini untuk mengajak mereka supaya memikirkan langit dan bumi tentang kejadiannya, hal-hal yang menakjubkan di alamnya, seperti bintang-bintang, bulan dan matahari serta peredarannya laut, gunung-gunung, pohon-pohon, buah-buahan, binatang-binatang, dan sebagainya. Memikirkan pergantian siang dan malam. mengikuti terbit dan terbenamnya matahari, siang lebih lama dari malam dan sebaliknya. Kerana semua itu menunjukkan kebesaran dan Kekuasaan Penciptanya bagi orang-orang yang berakal.

Jumaat, 14 Januari 2011

JEJAK SALASILAH LONG GENDUT.



Rumah peninggalan Tuan Haji Ngah Lebor ( Hj Jabbar )
 Kampong Telok Bakong.


SALASILAH LONG GENDUT.


Puan Hajjah Halijah bt Pandak Amat




 Tuan Haji Khalid bin Ngah Lebar.



Tn.Hj Khaled dan isteri.

Salasilah Long Gendut ini adalah berketurunan dari Sultan Abdul Samad iaitu dari salah seorang Puteri baginda yang lari dari Selangor setelah berlakunya peperangan saudara disana. Long Gendut ini adalah seorang pengasuh anak raja di Kuala Kangsar, tiada data yang sahih dizaman Sultan mana beliau menjadi pengasuh kepada anak-anak Raja di Kuala Kangsar.Kumpulan ini juga adalah berbangsa Bugis dan mereka memasuki Bagan Datuk melalui kapal laut serta singgah di Sungai Sumun dan sekitarnya. Dari sini pula kumpulan ini bergerak ke Teluk Intan serta ke Kampong Gajah dan seterusnya bermastautin di Pasir Salak. Setiap tempat yang disinggahi mereka meninggalkan waris dari jurai keturunan ini dengan bekerluarga samaada berkahwin dengan orang tempatan atau diantara keluarga bekernaan Melalui perkahwinan pula dengan waris Tok Kadok maka dari jurai keturunan ini juga tidak boleh dan dilarang memakan ikan Tapah sehingga lah ke anak cucunya. 

Kaitan dengan perkahwinan juga Hajjah Halijah telah menetap di Telok Bakong serta meninggalkan adik beradiknya di Pasir Salak Tidak diketahui pula berapa ramai adik beradik Hajjah tersebut dan mereka menyembunyikan identiti untuk tidak diketahui oleh mana-mana pihak. Penulis membuka rahsia keluarga ini bukanlah untuk apa-apa tapi untuk memudahkan atau memberi klu kepada pihak waris dari jurai ini untuk menjejaki salasilah keturunan keluarga mereka yang telah lama kehilangan jejak.Keadaan pencarian salasilah waris bertambah sukar apabila orang yang lebih tua tidak meninggalkan pesan atau amanat untuk memberi petunjuk susur galur waris. Jadi dengan daya usaha dari peringkat yang muda-muda sekarang diharap dapat menemukan susunan jalur salasilah Long Gendut ini.

Oleh itu jika tuan-tuan dari jurai ini yang berada di Pasir Salak atau bagan Datuk dan persekitarannya bolehlah bersoreh kembali dengan para waris berkenaan untuk menyambung silaturrahim.

Waktu ini rumah Kutai dan persekitarannya masih ada penghuni mendiami rumah-rumah berkenaan dan kubu Dato' Maharaja Lela seperti gambar dibawah masih terpelihara. Tiada sebarang pagar dan tiket bayaran dikenakan kerana semuanya masih sebagaimana dahulu lagi.

Gambar Tugu Peringatan dimasa sekarang.



Kubu Dato' Maharaja Lela.



Tempat Residen Inggeris di bunuh.

Mengikut maklumat dari salah seorang keturunan ini,mereka juga bersangkutan dengan keturunan Dato, Maharaja Lela. Usaha-usaha sedang dilakukan oleh keturunan ini untuk mencari susur galur keturunan mereka dan semua maklumat akan di-up-date oleh penulis dilaman blog.


 

Jumaat, 7 Januari 2011

TASIK AIR MATI.


 LOKASI TASIK AIR MATI



Pemandangan Tasik Air Mati dari sudut tepi bangunan
Kuartes Hospital Changkat Melintang.


Kuartes Hospital Changkat Melintang.


Dibelakang kuartes ini lah Tasik Air Mati.


TASIK AIR MATI.

Telok Bakong dahulu mempunyai tasik yang setanding dengan Tasik Banding di Ulu Perak,Tasik Chini dan Bera di Pahang yang mempunyai lagenda tersendiri disamping merupakan ibu negeri Perak dizaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah 1 di Tanah Abang. Kedudukan Tasik Air Mati ini adalah mengunjur masuk dari pintu masuk (muara) melalui Tebing Lamah dan berakhir dibekang Hospital Desa Changkat Melintang dan disitulah kawasan yang di ketegorikan kawasan utama Tasik Air Mati ini dan sehingga ke tebing Makam Sultan Muzaffar Shah 1 serta tebing Mat Raga. Disini juga adalah kawasan tasik paling dalam disepanjang aliran tasik yang sepanjang kira-kira 1.5 KM, ianya bermula dari tebing Lamah dan seterusnya Tebing Itam Miah,Tebing Chu Talak, Tebing Alang Bakar, Tebing Pandak Mohit, Tebing Dawi, Tebing Tuan Haji Alang Jais, Tebing Alang Resah,Tebing Mat Tonggek dan Tebing Mat Raga. Suasana dan keadaan Tasik adalah sebagaimana foto dilampirkan :-


Beginilah contohnya keadaan Air Mati ini diawal 60an.


Suasana tenang dan damai ketika sebelum kawasan
Tasik ini ditumbuhi hutan dan jerumun tebal..


PULAU TABUAN.

Berhadapan atau diseberang tebing-tebing berkenaan terdapat sebuah pulau yang dinamakan pulau Tabuan dan pada asalnya berbentuk sebuah kapal besar serta mengunjur dari Tasik Air Mati hingga ke Padang Kerbau beserta pasir tuntung di Sungai Perak (cerita misteri - Pulau ini merupakan kisah mistik dengan daulat Sultan Muzaffar Shah 1). Jadi pulau ini merupakan pemisah diantara aliran sungai Perak yang utama dan Air mati yang bertebing sebagaimana tebing-tebing yang dinyatakan. Hanya ada dua orang sahaja yang  pernah mendiami pulau ini iaitu Encik.Chu Pulau (Chu Mat Ali)) dengan seramai 9 orang anaknya. Chu Pulau ini memelihara Kambing ternakan serta kerja-kerja menangkap ikan disekitar pulau dan sungai Perak. Rumah beliau diatas pulau selari dengan Tebing Mat Raga diseberangnya dan seorang lagi Encik Shaari Kudong yang berumah di sebelah hilir rumah Encik Chu Pulau. Dihujung pulau ini iaitu kira-kira setentang dengan Tebing Alang Bakar dihilir, terdapat makam-makam lama yang tidak diketahui asal usulnya. 

PENJAGA AIR MATI.

Dimasa itu terdapat seorang penjaga yang bernama Jaafar (bukan orang tempatan) dan pondok kawalannya dihujung pulau yang bersetentang dengan Parit Siam didalam Air Mati. Mungkin tugas-tugas nya adalah menjaga hal-ehwal kawasan Air Mati dan Pasir Tuntung yang dihantar oleh pihak Istana Negeri Perak atau pihak Kerajaan. Penjaga atau pengawas kawasan ini yang seterusnya adalah yang bernama Uda Tahir, tugas dan perananya juga sama sebagaimana orang yang terdahulu, Cuma beliau adalah anak tempatan. Kawalan kawasan tasik ini berjalan sehingga awal tahun 60an selepas dari tarikh itu Tasik Air mati ini tiada lagi diletakan pengawasan bagi memantau keadaan Tasik serta hidupan didalamnya. Di masa itu pihak kerajaan memelihara tasik ini dengan melepaskan benih anak-anak ikan dengan kerjasama Jabatan yang terbabit.

IKAN LOME.





Hidupan di Tasik ini terdiri dari ikan-ikan seperti Lampam Jawa, Temoleh, Sebara, Belida, Baung , Lome, Temakang, Prek, Ngingior, Seluang,Tapah, Udang galah dan berbagai jenis lagi termasuk la buaya. Tasik Air Mati terkenal dengan Ikan Lomenya, apabila musim ikan-ikan ini keluar terutama hampir dengan musim banjir dan tengkujuh kerana ikan-ikan ini akan bertelur dan membiak. Terdapat beberapa orang nelayan sungai di Air Mati ini iaitu Itam Saidin bin Uda Malak, Tuan Haji Shafie bin Chu Talak, Encik Hassan dan Hussin Enchan, Mat Rashid serta dua tiga orang lagi yang bergantung hidup sebagai nelayan sungai atau Air Mati. Mereka ini menangkap ikan menggunakan Belat. Belat hanya boleh digunakan dari Tebing Mat Raga hingga ke Tebing Itam Miah sahaja kerana kawasan yang tidak begitu dalam, di hilir Tebing Mat Raga ketinggian Belat berkenaan adalah pangjang 9 hingga 11kaki baru boleh membelat disitu. Jika tidak, tak berapa boleh menangkap ikan disitu, dan dari hulu Tebing Mat Raga pula hingga ke kawasan utama Air Mati tidak boleh langsung membelat disitu kecuali dengan cara lain seperti taut, bubu, rawai dan sebagainya.

IKAN TETIMAH


Selain dari ikan Lome yang popular disini, ikan tetimah memang banyak terdapat di Tasik Air Mati ini, ramai warga Telok Bakong menangguk (menyauk) ikan tetimah ini. Ikan Tetimah merupakan ikan bilis sungai kerana ikan ini halus dan lemak serta ia hidup dalam satu kumpulan besar sebagaimana Ikan Bilis dilaut.
.

PASIR TUNTUNG 

.
Dihilir Tasik Air mati atau dihujung Pulau Tabuan terdapatnya pasir tuntung yang memutih terdampar untuk Tuntung bertelor mulai dari bulan Oktober hingga Januari setiap tahun. Diatas pulau ini juga terletaknya padang ragut (Padang Kerbau).


Inilah muara Air Mati dan Tebing Lamah untuk air sungai Perak 
masuk ketika air sebak dan keluar ketika air surut..

Jalan ke Padang Kerbau tersebut.


Inilah kawasan pasir memutih dulu untuk Tuntung bertelor.
Kawasan ini disebelah hilir Pulau Tabuan.Kelihatan Sungai Perak disebelah.


Kawasan muara Air Mati (Sungai Perak).

Kini Tasik Air Mati hanya tinggal namanya sahaja iaitu Air Mati, sepanjang kawasan berair dialiran tebing ini telah ditumbuhi hutan-hutan atau jerumun yang tebal akibat kekeringan aliran sungai Perak yang seolah-olah telah berhenti mengalirkan aliran airnya kedalam kawasan Air Mati. Tidak seperti tasik-tasik lain yang mempunyai aliran anak-anak sungainya sendiri untuk masuk memenuhkan tasik berkenaan, cuma hanya satu aliran sahaja yang munyumbangkan air kedalam kawasan Tasik Air Mati iaitu longkang dari Hospital Changkat Melintang. Lihatlah keadaan Air Mati terkini sebagaimana foto dibawah.





 Unjuran pulau kearah hulu.


Unjuran Pulau Tabuan ke arah hilir.



Air paya ditepi tebing Tanah Abang.



Kelihatan bangunan kuartes Hospital dari
tebing Makam Sultan Muzaffar Shah 1.



Kelihatan juga Pulau Tabuan dari tebing Makam.


PROJEK IKAN AIR TAWAR.

Kini terdapat juga projek ikan air tawar didalam aliran air mati dari hilir tebing Makam hingga ke hilir Tebing Chu Talak.


Papan tanda projek Ternakan Ikan Air Tawar
dan Makam Sultan Muzaffar Shah 1.


Kolam-Kolam Ternakan Ikan Air Tawar.





Perubahan cuaca dunia dan proses alam menjadi tua, sungai Perak makin mengalir lesu dan tak berupaya menghidupkan kembali kawasan Tasik Air Mati ini dan tinggallah aliran air mati ini yang sebenar-benarnya sudah mati dari aliran air Sungai Perak.Kini saya cuba hidupkan kembali nostalgia tuan-tuan mengenai Tasik Air Mati ini dengan topik seterusnya LAGENDA AIR MATI mengikut cerita dan pengalaman kami sekeluarga.Ikuti cerita seterusnya akan datang mengenai Lagenda Tasik Air Mati dan "Sumpahan Sang Kelembai".