Rabu, 22 Januari 2014

MASJID BUMBUNG LIMA BANDAR TUA KG GAJAH.




Masjid Bumbung Lima ini terletak di Hilir Pasir Salak, berdekatan dengan kampung Biak iaitu Masjid Kampung Bandar Tua Kampong Gajah. Kini masjid binaan baru telah siap dan tak jauh dengan masjid lama ini.Jika dilihat masjid ini bahagian atas telah ditinggalkan dan hanya bahagian bawah masih digunakan untuk Sekolah Rendah Agama. Bagi penulis rekabentuk masjid sungguh unik dengan berbumbung lima yang diperbuat dari kayu dan kelihatan masih utuh. Bangunan seperti ini eloklah diperlihara sebaik mungkin untuk kesenian dan perlancungan. Kami kesini untuk mencari dan merisik khabar yang salasilah keturunan Maharaja Lela (Pandak Lam) berada disini.



Bentuk Masjid Bumbung Lima masih utuh.


Bahagian atas telah ditutup dengan jaring/dawai 
melalui tangga yang kelihatan difoto.




Papan Tanda Sekolah.



Bahagian Belakang Masjid.


Terdapat juga Kolah dibahagian belakang 
serta tangga untuk naik keatas.

Bangunan lama seni yang ditinggalkan oleh orang-orang terdahulu amat bernilai dan sungguh bermakna untuk generasi akan datang. Apatah lagi bangunan Masjid, rumah Allah tidak harus kita pinggirkan dan bagi pihak yang bertanggungjawab keatasnya mohon peliharalah ia sebaik mungkin.

Sabtu, 18 Januari 2014

KANCING EMAS PENAWAR (TOK KADUK) - UTUSAN MALAYSIA.




KANCING dari emas ikan tapah yang dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit.




Kancing emas penawar


18hb.Januari 2014/16Ribiul Awal 1435.

NAMA Tok Kaduk atau Pak Kaduk mungkin lebih dikenali melalui pepatah berbunyi 'menang sorak, kampung tergadai' namun ramai yang tidak mengetahui pengakhiran kisah hidupnya.Selepas kalah dalam pertarungan ayam sabung, kisah Tok Kaduk sebenarnya tidak berakhir di situ dan pengajaran daripada kisahnya bukan sekadar untuk dijadikan bahan seloka.Jika benar seperti yang diceritakan oleh warisnya, kancing atau kerongsang emas ikan tapah Tok Kaduk adalah peninggalan yang amat bernilai dan berguna kepada masyarakat.Bukan sekadar barang kemas tetapi kancing itu dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit dan gatal akibat alahan kerana memakan ikan tapah.

Bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai kelebihan kancing emas itu, penulis berkunjung ke Kampung Tua Batu 16 yang terletak di Mukim Lambor, Perak.Usaha menjejak waris sebenar Tok Kaduk iaitu Allahyarhamah Hasmah Pandak Logam tidak kesampaian apabila diberitahu beliau telah meninggal dunia pada tahun lalu.Semasa hidupnya, Hasmah merupakan pemegang kancing emas ikan tapah yang mewarisi barang kemas itu daripada arwah bapanya Pandak Logam Pandak Demat.Bagaimanapun, penulis dipertemukan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tua, Zenal Ngah Haleb yang juga pernah menjadi pemegang kancing itu selama hampir lapan tahun.Zenal yang pada mulanya agak keberatan untuk bercerita akhirnya memberitahu bahawa 'penawar' itu tidak lagi berada di dalam simpanannya."Memang saya pernah sediakan air kancing emas, tetapi itu atas kepercayaan yang diberikan oleh Tok Hasmah dulu.

"Selepas kematiannya, saya serahkan semula kancing itu kepada warisnya di Selangor."Sebenarnya masih ramai yang datang untuk minta air penawar di sini, tapi saya hanya mampu cakap ia tiada di sini,'' katanya kepada S2. Menurut Zenal, penyediaan air penawar kancing emas biasanya dilakukan sekali setahun di dalam majlis 'kenduri kancing'.Beliau berkata, pada majlis yang turut dihadiri oleh penduduk kampung itu, waris Tok Kaduk akan mengeluarkan kancing emas dari peti besi untuk direndam selama sehari semalam."Air di dalam bekas takungan itu turut dibahagikan kepada orang kampung untuk disimpan."Bila air di dalam takungan semakin berkurangan, saya akan tambah semula air,'' katanya.

Pada pertemuan itu, Zenal mengingatkan orang ramai supaya tidak lagi mencari beliau untuk mendapatkan air penawar kerana tidak lagi menjadi pemegang kancing emas."Kadang-kadang saya kasihan sebab ada yang datang nak berubat dari jauh tapi balik dengan hampa,'' ujarnya.




© Utusan Melayu (M) Bhd 




Air Penawar Emas Kancing.



Encik Zenal Ngah Haleb. 

Kebiasaannya pengambil alihan waris pemegang Kancing Emas Tapah diwarisi dari generasi yang diamanahkan, mungkin telah diwariskan dikalangan waris yang di Selangor. Mungkinkah boleh emas Kancing ini dibawa keluar dari Kampong Tua ? menurut pesan Tuan Haji Sulaiman dulu ianya tidak boleh dibawa keluar dari Kampong Tua. Maka sama-samalah kita tunggu siapakah pemegang amanah yang seterusnya..............

Selasa, 14 Januari 2014

TEMPAYAN BEDENE (HARTA KARUN).




Foto Hiasan (gambaran penulis) - Tempayan Bedene.


Kita telah banyak mendengar cerita penemuan harta karun, samaada dimedia eletronik atau media cetak serta cerita-cerita dongenan orang-orang tua dahulu kala. Kisah harta karun atau ingin cepat kaya sering kita temui dan berbagai petua,cara serta taktik untuk mendapatkannya. Antaranya perlu berpuasa, membaca yasin 40hari berturut-turut, mendapatkan duit siling lama,duit kertas lama, kura-kura menyeberang jalan (ambil kura-kura dan gantikan duit siling 50sen), senjata lama keris , lembing dan sebagainya. Pendek kata berbagai petua dan cara bagi mendapatkan harta karun ini.

Pada kali ini penulis ingin membawa cerita kisah Takor Bedene (Tempayan Bedene) atau kisah harta karun yang diperolehi didaerah ini iaitu Kampong Punggai Hulu di Telok Bakong. Penulis kerap ditanya mengenai tarik duit, carian harta karun (emas jongkong atau yang dah siap seperti gelang, rantai, sunting-anting anting dan sebagainya). Sebenarnya penulis sendiri tidak tahu bagaimanakah untuk mencari harta karun dan menarik duit sebagaimana banyak pihak yang mengajukan pertanyaan itu di blog ini. Penulis hanya mempunyai sedikit kisah benar tentang carian dan penemuan harta karun yang diperolehi oleh keturunan Tok Kadok ini dan marilah kita sama-sama menghayati cerita berkenaan serta tuan-tuan fikir lah sendiri tentang kewujudanya harta tersebut.


“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga),” (ali Imran, 3: 14)


Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Sekiranya anak cucu Adam memiliki dua lembah emas nescaya dia tetap masih menginginkan lembah emas yang ketiga, dan sekali-kali tidak akan penuh mulut anak cucu Adam kecuali tanah, dan Allah menerima taubat bagi orang yang bertaubat”. (Hadis Riwayat: .Bukhari-Muslim)




Kawasan bendang Punggai Hulu
yang wujudnya bedene didalam cerita ini.



Dangau Bendang (Pondok) ketika itu.
Foto Sumbangan Honey Temoleh.


Sepasang suami isteri telah berkahwin beberapa tahun dan mempunyai cahaya mata seramai lima orang serta mempunyai bendang pusaka satu ekar (Punggai hulu) serta sedikit kebun getah di Pulau Tabak (berhampiran Punggai Hulu). Waktu itu kerja bendang dan menoreh getah adalah punca pendapatan utama mereka untuk menanggung anak-anak yang seramai lima orang itu. Lepas waktu subuh Anjang Lit pergi menoreh dan Itam Bemban (isterinya) mengerjakan sawah serta anak-anak mereka di dangau. Sebelah petang kerja-kerja sawah turut dibantu oleh Anjang Lit. Bak kata orang-orang tua dulu, keras tepi kain dengan kerja-kerja bendang.



Pelangi (Langit minum Bahasa Telok Bakong).


Suatu ketika, sedang Itam Bemban mengerjakan sawah iaitu merumput dikala padi baru berisi, terdengar ia suatu bunyi dari kubang (lopak air yang dalam tidak ditanam padi dan ditumbuhi dengan rumput menerong) bendangnya. Kuak...kuak...kuak, nak dikatakan bunyi kerbau, kerbau dipadang benak hatinya berkata, nak dikatakan katak lain benar bunyinya. Itam kemudian meneruskan kerja-kerja merumputnya tanpa menghiraukan bunyi berkenaan. Selang beberapa hari kemudian, sedang Itam mengerjakan sawah turun pula hujan panas dan pelangi.Kelang kabutlah Itam belari anak ke dangaunya, .."eh bila pulak mendungnya hari ini tiba-tiba hujan je dan cuaca panas, bisik hati Itam". Yang merasa ia lagi pelik seolah-olah muncung pelangi yang timbul dek kerana hujan renyai-renyai itu bermula dari kubang didalam bendangnya, semua fikirannya tertumpu kearah kawasan kubang itu,yang dilihatnya dari pintu dangau tempat ia berteduh dari renyai-renyai hujan yang adakalanya kasar. Berhenti sahaja hujan tanpa menghiraukan kejadian berkenaan ibu anak lima ini meneruskan kerja-kerja membersihkan kawasan bendangnya dari rumput-rumput yang menganggu kesuburan pokok padi yang mula berisi. 




Parang Puting.

Begitulah rutin hari-hari Itam Bemban jika kebendang atau kesawah yang diwarisinya dari ayah beliau. Nampaknya matahari sudah tergelincir yang menandakan waktu Zohor telah masuk dan sebentar lagi suaminya akan balik serta anak-anak sudah kelaparan, maka naiklah Itam ke dangau. Pada petangnya Anjang Lit turut membantu dan ianya mengerjakan bendang disebelah hujung sana manakala Itam Bemban tidak boleh jauh dari dangau kerana jika anak-anak menangis atau ingin menyusu mudah untuk ia ke dangau. Sedang ia leka mengerjakan  sawahnya tiba-tiba terdengar lagi bunyi seperti anak kerbau...kuak..kuak..kuak dan kali ini tambah kuat, Anjang juga berdiri jauh memandang kearah bunyi tersebut. Bunyi itu berbunyi lagi dan Itam Bemban naik ke atas batas padi kerana ingin melihat apakah ia !!! dalam terpinga-pinga Itam melihat golekan tempayan menuju kearahnya,anehnya pula tempayan berkenaan ada lidah yang terjelir menjilat-jilat. Tanpa berfikir panjang Itam Bemban terus mengangkat tempayan berkenaan untuk dibawa ke dangau.


Beginilah Itam Bemban memikul 
Tempayan Bedene semasa mula ditemui.


Buangkan tempayan tu Itam, buangkan........buangkan......buangkan.......laungan suaminya yang berlari anak diatas batas padi menuju ke arah Itam Bemban, bergema suara berkenaan di hujung bendang dengan nada sungguh cemas, kerana melihat lidah tempayan menjelir serta menjilat bahagian belakang isterinya. Tanpa menghiraukan laungan suaminya Itam Bemban tetap memikul tempayan berkenaan hingga ke dangau dan mengambil parang puting. Setelah mendapat parang puting, tempayan berkenaan diletakkan diatas lantai dangau tanpa melepaskannya dari tangan dan lalu puan Itam menakek sedikit bibir tempayan untuk tujuan mencacatkan rupa bentuk tempayan. Dengan kuasa Allah jua lidah yang terjelir keluar dari mulut tempayan hilang dan dengan tak semena-mena isi tempayan telah bertukar menjadi emas (emas yang telah siap seperti rantai,gelang dan sebagainya) memenuhi tempayan.

Alangkah gembiranya pasangan ini mendapat emas dari "tempayan berdene", semenjak dari itu pasangan ini telah menjadi kaya dan telah berpindah dari Telok Bakong dan menetap di kelahiran Kampong Anjang Lit yang juga tidak jauh dari Pekan Parit.

Penulis cuba mencari kembali bekas tempayan bedene ini melalui waris-waris terdekatnya tetapi mereka juga tidak mengetahui yang Puan Itam Bemban dan Anjang Lit menemui tempayan emas berkenaan. Malah tempayan berkenaan kelihatan biasa sahaja dan ianya mungkin tidak disimpan lagi atau hilang dengan sendirinya. Mungkin pasangan ini sengaja merahsiakan penemuan Tempayan Bedene dari orang ramai kerana bimbang kepada keselamatan mereka.Semasa penulis berada di sekitar sawah berkenaan untuk mengambil foto, kawasan kubang ini yang dulu tak pernah kering walau pun musim kemarau sudah tidak kelihatan lagi, malah dah diratakan dengan alat atau mesin pembajak. dan penulis selalu bertaut (tajo) disekeliling kubang ini untuk mendapatkan ikan haruan,keli dan puyu pada ketika itu.Nama-nama yang dipaparkan didalam kisah ini adalah bukan nama asal mereka, namun mereka adalah dari keturunan Tok Kadok serta tidak boleh menjamah ikan tapah.

Golekan Tempayan Bedene ini juga telah dilihat atau berlaku di Kampong Jenalik, Pahang tetapi orang berkenaan hanya melihat sahaja kerana tak tahu berbuat apa-apa. Mungkin ada diantara tuan-puan mengalami perkara berkenaan ? maka cari lah parang puting !!!! masih adakah zaman ini parang puting tersimpan dirumah kita ?





Emas dari Tempayan Bedene.
(Foto Hiasan)



Keras tepi kain - Ini bermaksud kerja-kerja keras yang dijalankan untuk mendapatkan sedikit imbuhan demi kelangsungan hidup sebagai hamba Allah. Berusaha demi masa depan anak-anak mereka.

Dangau - rumah sementara tepi bendang (sawah) tempat berehat setelah penat mengerjakan sawah.



Mungkin papan tanda tunjuk arah di Lambor Kanan ini berguna pada kita :-



Jalan Lubuk Emas - Banyak emas agaknya.
(Foto sumbangan dari FB Lambor Kanan Pekan)