Khamis, 11 Disember 2014

SALASILAH MOHD GAMAT BIN ALANG SUMAT - JURAI PUAN ARPAH.



Ikan Tapah Sg Perak- Foto hiasan
(Ehsan Telok Bakong On-line).

Dengan kerjasama encik Othman atau nama di FB Tok Ma'in, maka terpaparlah keturunan Tok Kadok yang berada diperantauan dengan jurai Puan Arpah & Mohd Gamat. Hasil perkahwinan mereka lahir seramai 6 cahaya mata dan yang bongsu adalah encik Othman. Tahniah kerana bekerjasama memperkenalkan diri dan senarai adik beradik untuk dikenali oleh semua puak waris.



Salasilah Alang Sumat.


Foto zaman kanak-kanak Encik Othman
( rumah Tuan Haji Sufian Gamat, Telok Bakong)


Jurai Puan Arpah bt Chu Saaid (En.Othman).


Mohamad Gamat bin Alang Sumat
( Berdiri - sebelah kanan).


Encik Othman bin Mohd Gamat
(Zaman Remaja)


Encik Othman dan Kakak beliau.


Bersama sanak saudaranya.


Keluarga Encik Othman.

Terima kasih yang tak terhingga kepada encik Othman yang berasal dari Kampong Padang Changkat, Bota Kanan Perak.

Sabtu, 15 November 2014

SALASILAH TOK NOJEH - JURAI TOK TEH ASMARA.


Berikut teman paparkan salasilah Tok Nojeh yang disusun oleh Kolonal Zaini dan yang turut juga dipaparkan oleh beliau diruang tamu didepan rumahnya. Atas permintaan dari Tengku Putera Puteri maka teman tunaikan permintaan tuan untuk sama-sama kita tengok dan sambung jurai-jurai yang berkenaan sehingga ke jurai hari ini. Kepada Tuan Haji Nasron di Sungai Manik Telok Intan,turut juga boleh menyemak salasilah ini bagi melihat keseragamannya antara salasilah ini dengan yang disimpan beliau. Asal keturunan Tok Nojeh ini,ade yang kata Bugis dan ada yang kate Minang dan juga teman serahkan pada mike me semua le untuk menentukannya.Bak kata Tuan Haji Nasron, teman pun tak tau yang mane satu.


Salasilah Tok Nojeh - Kolonal Zaini.


Tok Nojeh.


Tok Teh Asmara.


Tok Teh Asmara - dari Tengku Putera Puteri.




Setinggi tinggi tahniah kepada penyambung dan penyimpan salasilah Tok Nojeh ini, iaitu Kolonal Zaini yang telah mengusahakannya dari jurai keturunannya lagi hinggalah pada beliau hari ini.

Rabu, 5 November 2014

PELAN LAKARAN ISTANA DAN KUBU TANAH ABANG DIPADANG MARHUM, TELOK BAKONG.



Makam Sultan Muzaffar Shah 1 - Suatu ketika dulu.


Makam Sultan Muzaffar Shah 1 - Kini 2014.


Data salasilah Sultan Melaka dari blog Orang Dua Belas.



Penulis blog Sumpahan Tok Kadok merupakan anak jati Kampong Telok Bakong dan kawasan Sungai Air Mati (Sungai ayo Mati - Padang Marhom - Tasik Ayo Mati - Pulau Tabuan - Ara Licin - Pucuk hinggalah Padang Koba dengan Tebing Lamah ) adalah tempat semua keluarga penulis dari generasi ke genarasi, baik dari Moyang,datuk dan bapa (disebelah emak atau ayah) serta penulis sendiri membesar di persekitaran sungai air mati dengan tangkapan ikan menggunakan belat atau pancing,taut, rawai ,bubu, serkap, sauk dan jala. Jadi setiap inci kawasan ini merupakan catatan kehidupan peribadi keluarga penulis. 

Tebing Padang Marhom mempunyai kedalaman paras airnya, dengan menggunakan belat panjang 12' pun tak berapa nak jejak kelantai sungai (itu ketika paras air surut). Kawasan yang boleh melabuhkan belat kira-kira 100 meter ke hilir dari tebing Padang Marhom,iaitu tebing Tok Raga. Penulis cukup terkejut dengan kekeringan tebing Padang Marhom ini, dengan masa 30 ke 40 tahun keadaannya jauh berubah dan rupanya turut menjadi sejarah sebagaimana terukirnya sejarah Tanah Abang. Dimana generasi muda dizaman ini tidak lagi dapat mengenal ikan lome dan ikan tetimah di sungai air mati, kijen,tuntung yang terdapat dihujung pasir pulau tabuan, sarang-sarang tabuan diatas pulau serta hidupan liar didaerah pucuk dan Ara Licin dengan umbut kabong - (Enau)  manakala di persisiran pulau ditanam dengan tanaman mengkuang air hingga ke tebing Mat Jepun.Semua landskap di Pulau Tabuan dan Tasik Ayo Mati mahu pun Sungai Air Mati telah berubah. Keadaan semua ini turut mengubah suasana Kampong Padang Marhom dan Tanah Abang yang dulu damai dengan hembusan angin petang serta riuh rendah dengan kegiatan penangkapan ikan air tawar beserta kejernihan air sungainya. Kini sunyi dan kering dengan peninggalan sejarahnya sungai air mati ditepian tebing Tanah Abang.

Setelah keluaran yang lalu penulis paparkan foto kubu dimasa ini dan dengan keluaran sejarah pembinaan kubu, yang mana telah menerangkan pada pembaca dan pelayar blog bagaimana kubu dibina dan orang-orang yang terlibat.Disini penulis ingin memaparkan cerita dari orang-orang tua Kampong Telok Bakong dan Kampong Padang Marhom serta digabongkan dengan cerita dari arwah datuk penulis melalui arwah ibu penulis tentang rupa bentuk (lakaran) istana serta kelengkapan didalam kubu. Semua cerita melalui mulut ke mulut dan penulis bukan untuk mengarang sejarah atau membina sejarah untuk diiktiraf tapi memanjangkan kepada generasi sekarang serta generasi sebaya penulis mengenai kehebatan seorang Sultan yang mengukir sejarah di kampong kelahiran kami dan seharusnya kami berbangga dengan sejarah di tanah kelahiran kami. Semua cerita atau kelengkapan didalam kubu atau diluar kubu, mahu pun bentuk istana adalah tercetus dari hamburan luahan kata-kata mulut moyang-moyang yang terdahulu dari generasi kami dan terlakarlah apa yang penulis tulis serta paparkan didalam kisah Pelan Lakaran Istana Dan Kubu Di Padang Marhom, Tanah Abang Telok Bakong.

Berikut teman paparkan semua yang ada didalam kubu berkenaan sebagaimana foto terpapar dibawah beserta dengan ulasan atau penerangannya sekali, semoga tuan puan pelayar blog serta penduduk Kampong Padang Marhom dan Telok Bakong meneliti cerita yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu untuk tatapan kita sekalian :-



Pemandangan istana dan kubu dari atas
serta lakaran kelengkapan didalam kubu.



Pemandangan lakaran istana dari hadapan
serta nama setiap Menara.



1. Istana.



Pemandangan dari atas.


Maaf lah penulis tak berapa pandai melukis tapi setakat gambaran rupa bentuk istana berkenaan adalah sepertimana di kedua-dua foto diatas.Ciri-ciri rupa bentuk,nama dan jenis ukiran tidak terdapatnya maklumat yang boleh diketengahkan disini, penulis percaya dengan kehalusan pertukangan dari para pandai tangan mestilah ada pekara-pekara yang unik lagi cantik terukir di istana ini, malangnya ianya telah terukir melalui sejarah sahaja untuk dikenang oleh generasi sekarang itu pun setelah hampir 500 tahun berlalu. Istana ini menghadap ke baruh (Sungai Air Mati).




Istana Tanah Abang dilakar diatas kulit binatang-
gambaran dan lakaran melalui cerita
(Tn Hj Selangor atau nama sebenar
Tuan Hj Mohd Ali bin Kulop Ali bin Ngah Pidup).

"Setelah mendengar kata-kata Datuk Tua, Baginda Sultan pun mengarahkan orang untuk mengambil kulit kering (kulit binatang) lalu Datuk Tua melakar dan melukis bentuk istana sepertimana yang dititahkan oleh Baginda Sultan"(.mungkin lakaran tersebut sebagaimana lakarkan difoto).

Dari maklumat yang diperolehi semasa baginda mangkat pun pelan istana masih ada dan tidak diketahui siapa yang menyimpannya atau masih adakah lagi pelan istana berkenaan yang dilukis diatas kulit binatang dimasa kini.

Penulis menganggarkan jarak diantara kubu arah utara ke selatan adalah kira-kira 120 meter dan panjang istana diantara Menara Tanjung Harapan ke Menara Tanjung Puteri adalah 80 meter. Ini berdasarkan jarak ruang antara kubu dengan menara dikatakan 10 depa (18.75 meter) ke kubu selatan dan 10 depa(18.75m) ke arah kubu utara.Sementara jarak diantara Puncak Mahligai ke Menara Junjung Kasih tidak pula dinyatakan berapa depa. Ukiran dan kerawang memenuhi seni bina diluar dan didalam istana yang diukir khas dari pengukir seberang yang mahir,turut dibawa oleh baginda semasa datang dari Kampar. Ciri bentuk Menara adalah bulat bersegi lapan dan ruang tanjung yang luas .

Istana ini dibina dan dibuat dua tingkat, aras pertama aras bawah yang dipenuhi dengan tiang-tiang sahaja, jarak ketinggian dari aras lantai tanah hingga ke papan lantai istana diberitakan 12 kaki, tingkat satu dan dua mungkin bilek-bilek dan ruang kebiasaan didalam istana (tiada maklumat untuk menjelaskan). Hanya menara Puncak Mahligai yang begitu tinggi mungkin mencecah macam bangunan sekarang ke 3 1/2 tingkat . Menara di bahagian dapur istana pula agak kecil sedikit dari menara lain tapi sesuai letaknya ditengah diantara menara-menara tersebut.Istana ini dibina hingga siap adalah selama 5 tahun 6 bulan, ia juga tidak ada sebatang pun menggunakan paku. Atap istana menggunakan kayu berlian dengan kepingan bujur (mungkin seperti atap istana di Kuala Pilah) atau seperti dibawah.



Pada pandangan datuk penulis tempat baginda beradu mungkin di Menara Tanjung Harapan, ini memandangkan makam baginda didaerah tersebut dan laluan rahsia berada berhampiran Menara Tanjung Harapan. Ianya tidak pernah rosak oleh peluru meriam musuh kerana diberitakan daulat baginda cukup tinggi. Tapak istana adalah sebahagian dari makam Baginda yang ada sekarang, begitulah serba sedikit ciri-ciri binaannya.



Mungkin bentuk bulat bersegi lapan seperti 
Bangunan Terowong Sejarah 
Komplek Sejarah Pasir Salak.(Hanya bayangan penulis).

2.Kubu/Parit.



Kubu.


Parit DiSekeliling Kubu.

Dulu semasa penulis kecil lagi, sebahagian parit menghala ke darat dan selatan masih dalam dan apabila ternakan kambing dan biri-biri orang kampong Padang Marhom termasuk kedalam parit berkenaan, amatlah susahnya untuk menaikan kambing tersebut. Apabila penerokaan tanah serta tanaman pokok getah dan sekarang kelapa sawit diusahakan hanya "parit" sebahagian kecil disebelah utara sahaja yang tinggal dan itu pun telah hampir terkimbus oleh alam dengan saiz yang mengecil. Pada musim banjir terutama pada hujung tahun, bapa penulis menurunkan belat dimuncung parit ini yang menghadap ke sungai ayo mati dan begitu banyak tangkapan ikan tembakang dengan telur memboyot diperutnya.



Pelan Kubu.

3.Perahu DiRaja.


Perahu Berhias - Foto hiasan.

Setiap perahu cantik dan berhiasan ( P2 hingga P5) diberi nama seperti Seri Dewi Malam, Seri Dewi Permata Hati, Seri Dewi Nilam dan beberapa nama lagi. Perahu berkenaan digunakan oleh Baginda untuk melawat kawasan jajahan pemerintahannya atau bersiar-siar. Tidak pula diketahui adakah kapal besar diletakan di Sungai Air Mati ,Padang Marhum ini. Ada sebuah catatan yang mengatakan Baginda pada awalnya datang ke Perak telah singgah di Kampong Tua Batu 16 dan hanya duduk bersemayam selama dua tahun didalam perahu sahaja. Baginda berangkat ke Padang Marhum setelah Kampong Tua waktu itu dilanda penyakit taun serta penasihat Agama nya turut terkorban akibat penyakit tersebut dan dikebumikan di Kampong berkenaan dan makamnya terdapat disana.

4.Meriam Rentaka.

Sebenarnya banyak meriam diletakan disetiap penjuru Kubu tapi penulis tidak tahu lokasi tepat dimana ianya diletakan, tiada pula sumber maklumat dari cerita orang tua-tua dulu. Terutama Meriam Rentaka, meletup menggegarkan seluruh Kampong Telok Bakong jika ada kecemasan atau musibah akan melanda Negeri Perak. Gegaran meriam Rentaka (Rentas Malapetaka) meletus dengan bunyi yang kuat bukan melawan takdir tapi amaran akan berlakunya sesuatu musibah kepada istana dan rakyat jelata. Penulis turut merasai pengalaman mengalami gegaran dan letupan meriam rentaka ini sebanyak dua kali. Antara siri gegaran meriam ini pula yang dirasai oleh generasi lama seperti dinyatakan pengalaman ibu penulis pula yang beliau ingat ialah pada zaman Jepun, tarak tenteranya nak masuk ke Malaya, anak gajah batu di Air Mati tumbang (salah seekor) dengan sendirinya dan meriam rentaka ini berbunyi pada petang berkenaan. Satu peristiwa lagi letupan meriam ini berbunyi pada tarak bah besor 1926. Begitulah antara tarikh-tarikh meriam Pesaka Ini pernah meletup dan tidak pula diketahui berapa kalikah meriam ini meletup dizaman Baginda Sultan memerintah diwaktu itu. Bagaimana dengan zaman ini masih meletuskah lagi Rentaka ini setelah berlalunya hampir 500 tahun sejarah Tanah Abang ?

Info pada 24/12/2014 di FB Telok Bakong.
Meriam Rentaka dua kali berbunyi atau meletup untuk amaran akan berlakunya bah besar di Negeri Perak khususnya Padang Marhom dan Kampong Telok Bakong.

5. Surau/Madrasah.

Surau ini boleh memuatkan jemaah sehingga 80 orang, tapak surau berkenaan kini di tapak satu lagi makam yang tidak bernama berhampiran kubu arah utara. Sejarah benaannya juga tidak dinyatakan,mungkin serupa dengan ukiran bentuk istana.



6.Taman / Pondok Istirehat / Bunga Kembang Pagi (BKP).


Bunga Kembang Pagi.


Pondok Istirehat dan Taman.

Baginda gemar akan pokok-pokok bunga dan kehijauan taman, sepanjang dari pintu kubu hingga ke Pintu Istana ditanam bunga kembang pagi yang senantiasa berbunga. Pondok istirehat dengan ukiran seni kayu menghias diruang taman dibina persekitaran taman termasuk berhampiran Kolam Buaya Emas.

7.Kolam Buaya Emas.

Kolam Buaya Emas.



Kolam Buaya Emas atau Kolam Itek Emas atau Kolam Puteri Tujuh 
dan berbagai nama lagi yang mistik.

Mungkin Kolam ini lebih luas dan dalam dimasa itu,tidak seperti sekarang cetek dan mengecil kerana aktiviti sekeliling serta panjangnya zaman yang telah berlalu untuk sejarah silam nan kita kenang. Berbagai cerita yang diceritakan oleh orang tua-tua dahulu mengenai kolam didalam kubu dan berhampiran istana ini, antara cerita berkenaan telah penulis blog paparkan dikeluaran yang lepas. Ada juga yang mengatakan baginda membela itek emas, dan cerita termasyur adalah Buaya Emas. Agak banyak cerita mengenai kolam ini dan beberapa cerita dongeng juga timbul semasa penulis menyelidiki kisah Padang Marhum, antaranya meminjam pinggan mangkuk bila kenduri kendara serta kisah puteri kayangan turun di kolam ini. Jika berkesempatan penulis akan cuba memaparkan cerita puteri kayangan yang turun disini di keluaran akan datang.

8.Perahu/Sampan.



Sampan batang balak - foto hiasan.

Perahu kecil ini memang digunakan baginda, adakalanya dilihat disebelah petang dengan ditemani oleh pendayung sahaja. Tidak diketahui juga mengapa perahu kecil sebegini turut digunakan baginda, sedangkan perahu yang besar sedia menanti untuk digunakan dengan hulu balang ternanti menunggu diperintah.


9.Menara Kawalan Dan Menara Tinjau.

Menara kawalan dibina di setiap bahagian sudut serta perantaraan kubu dan menara tinjau hanya berada di tingkat tiga ditengah puncak istana (Menara Puncak Mahligai), mungkin sepertimana diistana lama Kuala Pilah Negeri Sembilan yang mempunyai tempat meninjau dipuncak istana.


Menara Tinjau - Puncak Mahligai.

Diberitakan orang yang diletakan didalam ruang menara mempunyai kepakaran mengesan musuh walau dari arah mana diempat penjuru kubu berkenaan. Walau siang atau malam kepakaran beliau tidak dapat dinafikan oleh musuh, dalam cerita Pulau Tabuan didalam keluaran yang lepas, penulis ada menulis tentang seruan " Tuanku musuh dah dekat" ini adalah ayat dari peninjau tersebut. Adakah kemudahan infrared camera berteknologi tinggi serta cctv telah wujud waktu itu ? Kemahiran ilmu persilatan dizaman berkenaan yang digunakan mungkin menyamai sistem infrared,satelit atau cctv dimasa kini. Bayangkan Baginda telah mengetahui Siam akan menyerang ke Tanah Abang 3 bulan sebelum kedatangan sebenar pihak siam. Beberapa senarai lagi kehebatan juru tinjau ini yang tidak difahami oleh kita.

10.Laluan Rahsia.


Laluan Rahsia berada di dua sudut iaitu sebelah istana dikawasan kubu bahagian utara dan darat serta kawasan kubu sudut selatan dan baruh yang boleh terus ke arah sungai,tidak diketahui bagaimana lorong laluan berkenaan dibina dan untuk laluan apa. Mungkin baginda meronda memeriksa jajahan disebelah malam serta keluar melalui laluan rahsia supaya tidak diketahui oleh rakyat jelata dan hulu balang serta pembesar istana. Sayang sekali lansung tiada kesan laluan rahsia ini untuk kita lihat bagaimana dan teknologi apa yang dimereka cipta, adakah pengalaman Datuk Tua menggali terowong di Melaka dulu di praktikan disini.


Foto hiasan - Lubang Jepang di Bukit Tinggi Indonesia.

Mungkin beginilah rupa terowong rahsia yang dibina laksana lubang tikus yang boleh memuatkan beberapa orang untuk melaluinya kearah darat dan sungai.Jika di Bukit Tinggi lampu nya menggunakan minyak (obor) pokok jarak dan mungkin juga tuanku sultan turut menjadikannya lampu penerang melalui terowong ini.

11.Pintu Kubu.


Pintu Kubu - Pandangan dari arah dalam kubu,
hanya gambaran penulis.




Pandangan dari Atas -Pintu Kubu.




Keratan sisi Pengancing Pintu Kubu. 

Generasi sekarang mungkin tak pernah tengok Pengancing Pintu dan penulis paparkan keratan lukisan pengancing pintu kubu sepertimana diatas.


Pintu kubu diperbuat dari kayu yang tebal dan berukiran, bewarna sama mengikut warna kubu, penulis tak dapat nak memperhalusi bentuk ukiran,cuma mengikut yang digambarkan sahaja. Pintu kubu disiapkan dengan pengancing pintu yang berat dan hanya pengawal yang kuat serta bilangan ramai orang untuk mengangkatnya. Pintu kecil (laluan harian) sering diguna untuk keluar dan masuk, dan ianya juga diperbuat dari kayu yang teguh serta ada lubang tinjau bagi pengawal penjaga pintu kubu.

12. Buloh Ape.


Foto hiasan - Buloh apa.
(memang besar inilah pohon buloh ape,
serta bulohnya boleh dibuat batang taut)

Buloh apa terletak diluar kubu,iaitu disebelah kanan pintu kubu dan ianya tidak besar,sehingga boleh hidup beratus tahun. Kini buluh ini sudah tak ada kerana suatu ketika tebingnya telah jatuh ke sungai dihakis oleh air banjir yang terlalu deras. Turut hilang makam anak Bentara di tepi pohon buloh ape ini. Banyak cerita mengenai buluh ape ini,salah satunya telah dikeluarkan didalam keluaran yang lalu. Cerita dizaman 60an dulu juga banyak seperti terkena kaligate,demam, sakit payah dan kematian kerana mengambil buluh ape ini. Jadi orang-orang Kampong Telok Bakong dan Padang Marhom cukup takut untuk mendekati pohon buluh ini.

13. Gajah.(G1,G2.G3 & G4)


Gajah ada empat ekor, ia itu dua pasang.

Maklumat tentang gajah ini tidak diperolehi, samaada ianya diletakan didalam kawasan kubu atau diluar kubu,ia berjumlah empat ekor. Nama-nama gajah ini juga menarik dan tiada maklumat nama-nama gajah berkenaan kerana penulis puas bertanya kepada generasi tua di kampong tapi mereka semua menggelengkan kepala tidak mengetahuinya. Jadi tidaklah dapat dipaparkan nama-nama gajah berkenaan walau pun dikhabarkan nama-nama kenderaan tungangan baginda ini cukup ternama.


Demikianlah serba sedikit cerita dan penerangan tentang Istana Tanah Abang serta kelengkapan didalam kubu berkenaan, yang telah menjadi sejarah ratusan tahun lamanya di sini,dikampong halaman penduduk Kampong Telok Bakong dan Kampong Padang Marhom.


Catatan Penulis.

Kemana perginya istana berkenaan yang dibina dengan kayu yang bermutu serta ukiran yang cantik lagi berseni ?. Mengikut ceritanya istana berkenaan dibakar atau terbakar sesudah kemangkatan Baginda Sultan dan kebiasaannya dimana istana dibina disitu jugalah baginda dimakamkan. Siapakah Datuk Tua, adakah ianya bendahara ? dan menjadi arkitek untuk membina istana. Pandai tangan juga diberitakan mengetui pertukangan bagi pembinaan istana. Pada awal 60an, ada beberapa penyelidik cuba menyelidik bagaimana binaan kubu serta rupa bentuk istana yang dibina tapi hasil kajian tidak diumumkan atau mungkin juga mereka tidak menemui apa-apa tentang cerita istana dan kubu berkenaan kerana "rahsia" pada orang kampong dipegang dari generasi ke genarasi, ini berikutan jika bercerita atau membuka rahsia pembinaan kubu, orang berkenaan akan dihukum atau berhadapan dengan daulat baginda. Jadi semua yang mengetahui ciri-ciri binaan takut nak becerita. Dek kerana penulis orang tempatan dan anak jati disini dan kebetulan pula datuk penulis mempunyai cerita berkenaan maka dapatlah menyelidiki serba sedikit ciri-ciri istana dan kubu yang dibina oleh Baginda Sultan.Istana Tanah Abang juga mempunyai gurindam,syair dan senda loka yang tersendiri, tiada secebis pun diperolehi penulis kerana mereka-mereka yang mahir dan mengetahui tentang gurindam tersebut tiada dizaman penulis ketika remaja dulu atau telah pergi terlebih dulu untuk direkodkan data-datanya.

Terima kasih yang tak terhingga juga kepada semua para pengkaji sejarah, terutama dari pihak Muzium Negara melalui pengkaji sejarahnya Allahyarham N.A Halim serta kumpulannya.Mereka juga cuba mencari data tentang istana dan kubu di Tanah Abang ini,namun mereka lebih menumpukan pemuliharaan barang atau tempat bersejarah. Jika mereka ini memaparkan cerita kubu dan istana di Tanah Abang,mungkin pelbagai pihak memandang serius tentangnya tapi penulis ingin berkongsi bersama cerita-cerita generasi tua dahulu yang mungkin akan hilang begitu sahaja jika tidak dipaparkan melalui blog Sumpahan Tok Kadok. Al-Fatihah kepada penyumbang cerita dan data-data tentang binaan istana serta kubu, iaitu Tuan Haji Mohd Ali (Tn Hj Selangor) serta beberapa nama yang memberi maklumat secara lansung atau tak lansung kepada penulis.


N.A Halim semasa di Makam Tanah Abang.


Encik Aziz Mohd pembantu merangkap pemandu.


Beginilah bersusah payah rombongan dari Muzium menuju lokasi bersejarah di Perak untuk mengkaji sesuatu tempat bersejarah seperti Tanah Abang di Padang Marhom Telok Bakong.


*Tarak - bermaksud masa yang hampir dengan kejadian.
*Batang taut - batang tajor.
*Puas - Kerap kali.
*Bah besor - Banjir Besar
*Nama  Istana Tanah Abang hanya gambaran penulis sahaja, nama sebenarnya istana tersebut tak siapa yang tahu, walau pun orang-orang tua di Kampong Telok Bakong dan Padang Marhom ramai yang mengetahui tentang istana tapi tak seorang pun yang tahu nama sebenar istana tersebut.

Isnin, 13 Oktober 2014

SEJARAH PEMBINAAN KUBU ISTANA PADANG MARHUM.




Marilah kita menyorot kembali dengan kisah sejarah di Padang Marhum, Tanah Abang Telok Bakong dengan cerita pembinaan kubu peninggalan Sultan Perak yang pertama ini. Dengan bukti binaan kubu yang masih terlihat di Tanah Abang. Menurut orang tua-tua dahulu kawasan Air Mati merupakan tempat sejarah beberapa kerajaan melayu dahulu sebelumnya kedatangan Sultan Perak yang pertama ke daerah ini,mungkin ada yang mengatakan ianya dongenan saja, penulis tak dapat nak membuktikan tiga kerajaan sebelum kedatangan Sultan Perak yang pertama ini kerana tiada cukup maklumat untuk kita kongsikan bersama. Namun pada hakikatnya ada yang mengetahui perkara berkenaan, biarlah ianya berlalu kerana tiada sebarang tinggalan sejarah untuk kita buktikan perkara berkenaan. Moh le kita dengor cerita sejarah yang mempunyai bukti tinggalan binaan kubu di Padang Mohom ini yang maklumatnya serta cerita dari datuk dan moyang penulis turun temurun dan kini dikarang oleh penulis dengan lakaran pelan kubu berkenaan.



Kauters Hospital Changkat Melintang - dibelakang kauters ini lah bermulanya pembinaan parit siam yang mengunjur terus ke Sedingka dan Padang Changkat bagi mengairi sawah padi untuk bekalan makanan dan longgokan tanahnya pula digunakan untuk membina kubu disekeliling istana Padang Marhum disamping tanah korekan parit disekeliling kubu turut digunakan.


Parit Siam.
(hanya selebar kira-kira 3 kaki dan cetek)


Parit Siam diSedingka.




Tinggalan binaan kubu dimasa kini.


Binaan kubu yang masih jelas kelihatan 
walaupun telah terhakis dek zaman.




"Sebagai langkah persiapan menghadapi bala tentera Siam itu, sekelian rakyat membina sebuah parit yang dalam bermula dari Tanah Air Mati ke Sedingka lalu membawa sampai mengelilingi istana di Tanah Abang. Panjang parit itu sejauh 5 hari perjalanan dan dipanggil sebagai Parit Siam. Rakyat jelata diminta berkubu di Tanah Abang dan di Tanah Abang itu sendiri dibina dengan kubu tanah setinggi 10 hasta ".

"Petikan dari blog Indera Kencana".



Parit masih lagi kelihatan tapi telah terhakis 
kerana panajangnya zaman berlalu serta 
peladangan disekeliling Tanah Abang.

Baginda Sultan mungkin mendapat ilham dari cerita Peperangan Khandaq (Parit) dizaman Rasulullah S.a.w di Madinah, kerana membina parit disekeliling Istana baginda dengan dikuatkan lagi bersama pembinaan kubu yang tinggi merupakan contoh kepada baginda bagi mempertahankan Tanah Abang serta kerajaannya. Baginda telah mengatur dan membariskan sekalian rakyat bersusun dari Tanah Air Mati hinggalah ke Padang Marhom,Tanah Abang dan sudah tentu lah bilangan rakyat yang diaturkan begitu ramai. Yang sebahagian mengorek parit dan sebahagian lagi menyambut tanah serta menghulurkan dari tangan ketangan dengan menggunakan bekas atau raga rotan sehinggalah sambut menyambut berpanjangan ke kawasan binaan kubu untuk melonggokkan tanah. Sementara dibahagian kubu juga telah dipancang anak-anak kayu bagi membarisi kawasan yang nak dibina atau longgokan tanah untuk binaan kubu. Sejurus selepas tanah-tanah tiba dikawasan berkenaan,maka tukang gelek mula menjalankan peranannya untuk menggelek tanah-tanah mengikut baris pancang bagi memampatkan tanah binaan kubu dengan menggunakan peralatan seperti di foto.



Mungkin peringkat permulaan binaan 
parit adalah seperti foto ini.


Penggelek - bersaiz sedepa orang dewasa.
(Mungkin inilah streamroll dulu)


Tidak diketahui pula berapa bilangan alat penggelek ini digunakan semasa pembinaan kubu ini dijalankan, diameter pengelek ini adalah sedepa orang dewasa. Ketebalan penggelek ada kemungkinan 4 kaki, ini kerana kemuncak kubu berukuran lebih kurang 4 kaki. Sepertimana dikatakan tugas penggelek adalah untuk memampat binaan kubu. Penggelek perlu di tolak dengan dua orang penggerak, kiri dan kanan ditolak serentak dengan memegang pemegangnya. Bila binaan telah mencapai tahap yang tinggi,penggelek akan diubahsuai dengan menarik atau menolaknya. Binaan kubu ini juga menggunakan lukisan pelan diatas kulit binatang, mungkin sepertimana foto dibawah. Tidak ada pula maklumat yang menyatakan berapa lama masa yang diambil untuk menyiapkan binaan kubu tersebut.



Pelan binaan kubu.


Pelan lakaran - Pandangan dari keratan sisi kubu.

Sukatan yang diceritakan oleh mereka yang bercerita.

Satu Sok = 1 1/2 kaki (dari siku ke hujung jari)
Satu Depa = 6 kaki (dari hujung jari kiri ke hujung jari kanan dengan mendepakan tangan)
Seperonjong = Mungkin 8 kaki (dari tapak kaki ke hujung jari ditegakkan ke atas)

Penulis menganggarkan sukatan seperti diatas kerana orang tua-tua dahulu menggunakan sukatan sedemikian dan sukar untuk menganggarkan sukatan kubu sebenar. Ini kerana saiz manusia dizaman itu mungkin tinggi atau mungkin juga lebih rendah. Jadi penulis anggarkan saiz orang melayu pada hari atau zaman ini. Oleh itu tinggi binaan kubu jika dicampukan dengan kedalaman parit adalah 25 kaki (4 1/2 depa). Manakala saiz ukuran parit adalah 12 kaki x 10 kaki ( 2 depa Lebar x 1 3/4 depa dalam atau seperonjong lebih). Diatas kemuncak kubu saiznya dua sok setengah (lebih kurang 4 kaki atau lebih sikit).

Sukatan lama orang kita.
1 hasta = 0.5 ela = 0.4587 meter
1 depa = 4 hasta
1 depa = 2 ela = 6 kaki = 1.8348 meter
1 jumba = 2 depa = 4 ela = 12 kaki = 3.6696 meter
1 jemba = 4 depa = 8 ela = 24 kaki = 7.3392 meter

Parit siam begitu panjang dan dalam, pada serangan siam ke kubu Tanah Abang diberitakan tentera siam kebanyakannya tak berapa reti berenang dan ramai yang mati lemas dan nama parit yang dibina begitu panjang mendapat nama dari peristiwa ramainya tentera siam mati didalam parit berkenaan. Jadi sampai hari ini parit berkenaan dipanggil Parit Siam dan sepatutnya dipanggil dengan nama panggilan nama-nama melayu, parit melayu ke,parit Aceh, parit Minang atau pun parit Kampar. Namun begitulah sejarah terukir dengan nama parit siam walau pun bukan siam yang membina bertungkus lumus dizaman itu. Begitulah ceritan bagaimana Kubu Padang Marhum, Tanah Abang ini dibina dengan teliti beserta pelan yang dilukis diatas kulit binatang dan dizahirkan dengan perbuatan oleh rakyat jelata.

Setelah siap pembinaan kubu,maka baginda Sultan menginginkan pula sebuah istana dibina didalam kubu tersebut. Jadi dua kerja dalam satu masa, Parit Siam pun siap dan Kubu diPadang Marhum pun siap.

Oleh itu nantikan juga rupa lakaran istana dan kelengkapan didalam kawasan kubu di Padang Marhum Tanah Abang pada keluarkan seterusnya.Mungkinkah semua tukang kayu dan binaan masa membuat istana Sultan Melaka dibawa ke Tanah Abang melalui Kampar oleh Baginda Sultan untuk menyiapkan istana di Padang Marhum ini ?