Sabtu, 4 Disember 2010

TEBING DISEPANJANG ALIRAN AIR MATI..


Hasil tangkapan melalui Tebing di Sungai Perak suatu ketika dahulu.

Kelihatan digambar adalah Encik Rahim bin Itam Saidin anak keenam dari 8 adik beradik.dari keluarga Pak Itam Saidin dan Hajjah Fatimah bt Haji Mohd Ali. Pak Itam Saidin ini adalah salah seorang nelayan sungai yang popular sebagai penangkap ikan sungai di tebing Ayo Mati. Beliau menangkap ikan dengan cara Belat. Saya akan terangkan apakah Belat di keluaran akan datang.


 TEBING ATAU SUNGAI.

Selain sebutan atau panggilan kata nama sungai bagi orang Lambor dan Telok Bakong adalah Tebing. Sebutan tebing ini amat popular dizaman semua penduduk bergantung kepada air sungai. Setiap tebing ada disediakan rakit dan ada sesetengahnya disedikan rumah rakit. Kebiasaannya penyediaan rakit adalah diusahakan secara bergotong royong menggunakan kayu balak atau kayu yang ditebang berhampiran kampong dan tebing sungai.Penyediaan rakit berkenaan disediakan secara bergotong royong oleh penduduk sekitar tebing-tebing berkenaan dan juga sedara mara yang membantu untuk kegiatan dan kegunaan membasuh kain baju, mandi manda serta urusan urusan harian seperti menangkap ikan menggunakan perahu (sampan) serta pengangkutan disesebuah tebing dengan secara guna sama rakit berkenaan. Oleh itu terdapat nama-nama disetiap tebing yang disediakan oleh penduduk kampong disepanjang aliran air sungai mati, iaitu dari Tebing Lamah hingga lah penghujung sekali berhampiran Tanah Abang. Berikut adalah nama-nama Tebing tersebut :-


1.Tebing Lamah.
2.Tebing Itam Miah
3.Tebing Tuan Haji Chu Talak.
4.Tebing Alang Bakar dan selepas itu dipanggil pula Tebing Mat Jepun.
5.Tebing Pandak Mohit
6.Tebing Dawi
7.Tebing Tuan Haji Alang Jais (ada juga disebut tebing Wan Kinah)
8.Tebing Alang Resah
9.Tebing Mat Tonggek (nama gelaran)
10.Tebing Mat Raga.

Kini tebing-tebing tersebut telah tidak terpakai lagi kerana arus pembangunan tidak lagi memerlukan pengankutan air, penggunaan paip air, kekurangannya jenerasi yang berminat mengambil alih penangkapan ikan di sungai serta pelbagai sebab lagi yang sukar diungkaikan dengan kata-kata.

Tebing Tuan Haji Chu Talak digunakan penduduk dari Lambor Kiri,Bakong, Kuchai dan Lambor Kanan untuk membaiki (nyepoh) peralatan kegunaan harian seperti pisau penoreh getah,tajak,cangkul sabit, golok parang dan berbagai lagi. Disini terdiri sebuah bengkel pertukangan besi yang dipanggil APO



Tapak APO- Bengkel Tukang Titet (besi) yang sewaktu ketika dulu begitu meriah dan herok pikuk dengan bunyi pertukangan besi yang diusahakan oleh anak cucu Tok kadok ni. Pak Cik Yahya, Shafie,Yaman, Osman, Hasan dan Basir.Manakala pembekal arang (sebagai pembakar atau dapur pemanas - nyepoh ) untuk APO ini adalah Pak Cik Mat Din dan Pak Cik Anjang Asin.


.
Tapak APO adalah bersebelahan dengan Rumah Tn Haji Shafie bin Chu Talak.


Begini lah keadaan Tebing Tn haji Chu Talak sekarang iaitu pemandangan dari atas tebing menghala ke aliran sungai Air Mati. (Tiada lagi aliran air yang dipanggil ayo sebak dan ayo surut) Kelihatan juga tumbuhan rumput atau semak samun menutup aliran sungai mati yang telah jadi kubang dan lopak sahaja.Disebelah Apo ini pula ada sebatang pokok Bachang atau nama panggilan disini pokok macang. Pokoknya amat besar dan berusia hampir seratus tahun, bila berbuah dan musim gugur atau luroh masa mengutip buahnya kena pakai payung kerana risau ditimpa oleh buah macang ni, buahnya terlalu lebat. Semua anak cucu Tuan Haji Chu Talak boleh mengutipnya.

Tiada lagi bengkel pertukangan  dan Pak Cik Yahya pun dah duduk dirumahnya sahaja kerana usia beliau telah menghampiri 90 tahun, beliau saja lah  yang tinggal dikalangan saudara tua tukang titet, selain Basir dan Pak Cik Hasan yang jauh muda darinya.

Tiada ulasan: