Ahad, 11 November 2012

SERANGAN BURUNG HELANG DI TELOK BAKONG.




Suatu ketika dahulu sebelah darat Telok Bakong terdapat hutan tebal yang ditumbuhi oleh pokok-pokok kayu balak dan didiami banyak binatang-binatang liar seperti pelandok, kijang, rusa, napuh serta binatang liar yang lain termasuk la binatang buas seperti harimau, ular sawa , mawas dan sebagainya. Pada hari ini tidak terdapatnya binatang-binatang seperti itu lagi malah yang banyak hanya kera dan babi hutan. Dulu babi hutan ni tak akan berani nak menghampiri kawasan kampong pun, kini apabila suasana makin berubah yang berusia telah pun tersimpan di Changkat Melintang serta generasi muda merantau meninggalkan kampong (seperti penulis) maka kesunyian kampong makin terserlah dan kerbau pendek ni pun bebas merayau di waktu malam dikawasan kampong kerana banyak rumah-rumah dipersekitaran telah tiadanya berpenghuni.  Ada peristiwa atok balik dari surau dan masjid terlanggar babi dengan motor dan meninggal dunia kerananya, penulis juga pernah terserempak dengan kenderaan melanggar mahluk ini dan penulis sempat mengelak dari melanggarnya.Kalau dulu peristiwa begitu tidak kedengaran,kalau ada pun melanggar kerbau dan kambing saja tidak pula binatang tersebut dan ianya perkara biasa ketika itu lantaran binatang ternakan orang-orang kampong tidak dikandangkan atau terlepas dari pagar padang “Koba”(Padang Kerbau). Penulis ingin membawa tuan-tuan kesuatu peristiwa dizaman tuan bad (zaman J.W.W Birch) tapi bukan soal kepahlawan Maharaja Lela atau Tok Sagor tapi kehebatan seorang Opah atau nenek dengan peranannya pada ketika itu.



Teh Linggam binti Uda Nahu.

Teh Linggam bt Uda Nahu adalah isteri kepada Uda Malak dan mempunyai enam cahaya mata, lima lelaki dan seorang perempuan. Uda Malak merupakan seorang pandai besi dan membuka sebuah “Apo” (bengkel besi)yang tapaknya disebelah belakang rumah penulis atau didaerah Telok Bakong Tengah. Ramai orang kampong-kampong berdekatan seperti dari Pulau Tiga ,Kampong Gajah serta dari luar negeri Perak sendiri iaitu dari Kampar Indonesia dan sempadan Siam menempah peralatan seperti keris,lembing dan pedang, disamping peralatan kegunaan harian. Suasana Kampong Telok Bakong waktu itu begitu tenang dan damai walau pun ada ancaman peperangan dan kekecohan suasana, tiba-tiba riuh rendah penghuni desa ini dengan serangan seekor Helang yang besar terhadap binatang ternakan khususnya ayam belaan dirumah masing-masing. Helang ini cukup bijak, menyerang binatang ternakan orang-orang kampong tanpa disedari oleh pemiliknya, berbagai ikhtiar dilakukan untuk menangkap helang berkenaan dengan menahan jerat serta perangkap berumpan ayam tapi tidak juga berhasil.Umpan habis disambarnya tapi jerat tak mengena juga.



Foto hiasan - Bengkel "Apo"


Peralatan yang ditempah didalam "Apo".


Inilah bekas tapak "Apo" 
ditepi tali air (dah jadi jalan tar sekarang)

Dengan kerjasama orang-orang kampong yang mempunyai senapang, mereka telah mengumpulkan pasukan penembak yang mahir menunggu helang ini bagi memusnahkannya dan banyak helang gugur ditembak, tapi helang yang mengganas tidak juga berjaya ditembak.Seolah olah peluru yang ditembak tidak lut dibadan helang berkenaan kerana tembakan tepat pun ianya tidak mencederakan binatang berkenaan. Saiz helang ini cukup besar dan selera makannya juga cukup banyak. Berbulan lamanya pasukan penembak ini mengintai laluan dan sarangnya tapi tidak juga menemui tempat persembunyiannya, mungkin diatas gunung atau bukan didaerah sini. Maka makin hari makin pupusnya ayam ternakan orang kampong kerana habis dibedal oleh helang tersebut, “teh ….ape pikior nye dengan helang yang mengganas ni ” kata Tok Uda Malak kepada isterinya pada suatu petang didalam aponya, “aye pikior bior le aye pulak mencobe nembak helang tu” sapa  isteri kepadanya. Ala…munkalu helang tu nengok Teh dengan senapang,guling pering ianye ketawa…..sahut Tok Uda Malak melawak dengan isterinya. Ate kalau puak (lelaki)mike pun tak dapat menembaknye, ce tengok teman nanti…luroh ke idak helang tu…..Teh Linggam menyahut cabaran suaminya. Suke mike le…….teman nak nengok …..kata Tok Uda Malak.



Foto hiasan - Anjang Bee & Puan Hjh Rahmah.
(mungkin beginilah senapang waktu itu).

Setelah keesokan harinya kira-kira selepas waktu Asar Opah Teh Linggam pun bersiap dengan kain batik kelubung menutup badan menghindari panas matahari dan mencapai senapang “oncoi” dua laras yang tersimpan dirumah beliau dan mengisi peluru serta turun menuju rumah “Apo”. Tok Uda Malak tak terkata apa apabila melihat isterinya dalam keadaan memegang senapang berkenaan dan dari gerak hatinya waktu begini lah helang berkenaan mencari mangsa dipesekitaran kampong. Kebetulan orang kampong ramai lagi didalam apo dan masing-masing memandang sinis sahaja terhadap kemampuan opah Teh Linggam,apakah mampu helang berkenaan ditawan atau terpelantingkah opah dihentak laras senapang berkenaan bila melepaskan tembakan nanti dan bermacam lagi sangkaan didalam benak fikiran masing-masing terhadap perempuan kecil molek dan berusia ini.

Dengan memikul senapang berkenaan beliau melangkah keluar dari apo milik suaminya dan kira-kira beberapa ela sahaja dari sudut apo itu, Teh Linggam telah pun melepaskan satu das tembakan keudara setelah melihat seekor helang besar merayap rendah, lalu berdebab bunyi benda jatuh dan semua orang didalam apo berkenaan keluar melihat Opah Teh Linggam telah berjaya menembak helang yang banyak menyusahkan binatang ternakan orang-orang kampong. Mereka bersorak kegembiraan kerana seorang perempuan yang berusia mampu menembak dengan tepat memusnahkan seekor helang yang amat sukar ditewaskan.


*Cerita ini memberi pengajaran kepada kita bahawa seorang perempuan telah dipandang rendah,bukan sahaja dikalangan manusia tapi oleh seekor binatang buas seperti helang berkenaan. Jadi oleh kerana sifat memandang rendah inilah helang berkenaan telah jatuh ketanah dibaham oleh peluru senapang “Oncoi”.Bila seorang lelaki memikul senapang atau kayu panjang dipikul dibahu, maka kebanyakan binatang menyangka ianya adalah senapang tapi apabila seorang perempuan memikul senapang sekali pun (bukan kayu panjang) binatang berkenaan tidak menyangka ianya adalah sepucuk senapang. Faktor kedua, orang melayu dulu terkenal dengan pandai menembak walau pun tidak selalu melakukannya kerana ilmu yang mereka miliki iaitu “ilmu penunang” . mungkin ramai dikalangan tuan-tuan yang mengetahui ilmu-ilmu berkenaan.

  • ·       Senapang “Oncoi” – senapang buatan sendiri dan apa sebab dinamakan oncoi tidak diketahui oleh penulis.
  • ·         Apo – merupakan sebuah bengkel tukang besi atau pandai besi, perkataan apo ni pula tidak diketahui berasal dari mana kerana dizaman ini perkataan berkenaan tidak digunakan lagi malah bengkel berkenaan pun sudah tak wujud.

·      *   “teh ….ape pikior nye dengan helang yang mengganas ni ” – bermaksud “ apa fikiran isterinya iaitu teh terhadap helang yang mengganas”.
·       * “aye pikior bior le aye pulak mencobe nembak helang tu” – Pada padangan saya biarlah saya yang mencuba menembak helang tersebut.
·   * Ala…munkalu helang tu nengok Teh dengan senapang,guling pering ianye ketawa – bermaksud jika helang berkenaan melihat Teh Linggam (perempuan)dengan senapang, helang berkenaan akan ketawa sahaja atau mamandang rendah keupayaan seorang wanita.(ketawa bergulingan)
·     Ate kalau puak (lelaki)mike pun tak dapat menembaknye, ce tengok teman nanti…luroh ke idak helang tu  (Jika lelaki pun gagal menembaknya,cuba lihat saya menembaknya nanti jatuh ketanah ke tidak)
·     * Suke mike le…….teman nak nengok …..( Suka awaklah saya nak lihat).