Isnin, 31 Januari 2011

ASAL USUL NAMA PULAU TABUAN DI AIR MATI (CERITA LAGENDA RAKYAT)



PULAU TABUAN.
(Pemandangan Berhadapan dengan Tanah Abang)



PULAU TABUAN 
(Menghala ke hilir atau bahagian kaki pulau) 




       SARANG TABUAN.


PULAU TABUAN (TEBUAN)

Hatta tersebut di dalam kisah kesultanan di Tanah Abang, sewaktu pemerintahan Sultan Muzaffar Shah I, di pertengahan kurun ke 15, negeri-negeri Melayu menghadapi ancaman kuat daripada Raja Siam. Selepas jatuhnya Negeri Melaka, sudah tiada lagi kuasa pesaing kepada kekuatan Negeri Si Gajah Putih itu.

Setelah tertubuhnya Kerajaan Perak di bawah perintah Yang Dipertuan Duli Tuanku Sultan Muzaffar Shah, maka rakyat hidup lah dalam keadaan yang aman makmor, bersukacita dan limpah berkat dari ilahi atas kebijaksanaan Sultan mentadir negeri dan rakyat jelata.Dikhabarkan Tanah Abang makmur dengan hasil mahsul dan kekayaan negeri yang dikurniakan dengan melimpah ruah.Berita kemakmuran negeri ini telah sampai ke pengetahuan Raja Siam dan mereka ingin meluaskan jajah takluk kuasa siam untuk mengutip hasil mahsul negeri. Maka kerajaan siam telah menghantar utusan ke Tanah Abang bagi mengugut sultan bernaung dibawah kerajaan siam tersebut dan menghantar emas ufti setiap tahun ke negeri mereka. Jika sultan enggan maka pelanggaran negeri oleh tentera siam akan dilaksanakan bagi menghapuskan sultan.

"Apa kah pandangan dan budibicara datuk-datuk sekelian atas ugutan dan permintaan Raja Siam tersebut? Sapa sultan kepada barisan menteri-menterinya yang diketui oleh Datuk Bendahara.”Ampun tuanku jika kita berkeras juga mempertahankan Tanah Abang dengan ketumbukan tentera kita yang jauh lebih kecil bilangannya jika dibandingkan dengan mereka dan patik bimbang akan jadi padang jarak padang terkukur negeri kita, tuanku” luah Datuk Bendahara dengan kebimbangan. Datuk-datuk tahu kah natijahnya jika kita menyerah ? Agama dan maruah kita, seharusnya kitalah yang mempertahankannya. Ini tanah dan negeri kita tak siapa yang boleh mengugut kita, beta mohon sekelian rakyat menyertai kita bagi mempertahan Tanah Abang ini, seru baginda kepada sekelian datuk-datuk menteri.


Binaan Kubu yang masih terdapat sehingga ke hari ini.
(Kubu Menghala KeDarat)

Perbincangan datuk-datuk menteri dan sultan telah memutuskan bahawa startegi membina kubu serta parit-parit yang dalam disekeliling Tanah Abang adalah idea terbaik. Maka berbarislah sekelian rakyat membantu membina kubu-kubu yang tinggi diseliling Tanah Abang serta digali parit yang dalam.melalui huluran tanah dari tangan ke tangan dari sebelah utara Air Mati hingga ke kubu Tanah Abang dan parit yang dikorek serta tanahnya diguna untuk membina kubu, maka parit berkenaan dinamakan Parit Siam (nama yang kekal sehingga hari ini). Kini Kota Tanah Abang sedia menerima ketumbukan tentera Siam dari arah Darat dan Baroh (sungai).  Dalam beberapa purnama lagi sampailah tentera Siam ke Tanah Abang.

Datuk Bendahara makin sibuk menyusun bala tentera yang dipecahkan kepada dua bahagian iaitu diarah darat dan sungai “Tuanku musuh dah hampir tunku,” laungan yang terdengar di seluruh kubu. Tak mengapa biarkan mereka benar-benar hampir jawap sultan.Dentuman meriam dari arah sungai telah mula kedengaran dan peluru meriam silang menyilang diruang udara kubu Tanah Abang untuk tujuan member amaran supaya Tanah Abang menyerah sebagaimana dipinta oleh raja Siam. “Tuanku !!!,musuh makin hampir, tuanku!!!” ya biarkan jawap sultan, datuk Bendahara menunggu perintah saja dari sultan bagi mengarahkan semua tentera bersiap sedia melawan tentera siam yang telah hampir menyusuri sungai. “Tuanku !!!! musuh dah melabuhkan kapal berhampiran kita” !!!! laungan sekali lagi memecah suasana keheningan kubu Tanah Abang. 



Bertih Padi.

“Datuk Bendara !!!” laung tuanku, mohon cepat digorengkan berteh padi ,dan datuk Bendahara pun menyuruh orang menyediakan bertih kira-kira segegam muat. Oleh itu tuanku sultan pun segera membawa bertih tersebut kearah atas kubu bahagian yang menghadap kebaroh iaitu kesungai Perak, dengan menyapa nama Allah dan menyeru Rasulullah beliau mencampakkan bertih tersebut kearah sungai, maka dengan tak semena-mena dilangit menjadi gelap gulita angin ribut segera menerpa, kilat sabung menyabung seolah-olah dunia akan kiamat. Apabila segala bala tentera siam melihat keadaan sedemikian amatlah takut dan bimbangnya mereka, ada yang lari dan terus terjun kedalam sungai lalu mati dan dengan kebesaran Allah jua, terlihat kilatan petir yang amat kuat serta menyambar kapal tentera siam tersebut. Dengan tak semena-mena ribut dan petir pun berhenti alangkah teperanjatnya segala datuk-datuk dan rakyat jelata,kapal siam berkenaan telah menjadi pulau serta segala askar siam tersebut telah menjadi tabuan yang berterbangan bagai ngauman singa diatas pulau berkenaan. Oleh yang demikian terselamatlah bumi Tanah Abang dari serangan musuh dari negeri Gajah Putih (Siam) tersebut dengan kuasa daulat Sultan Muzafar Shah 1 bersama bertih segengam muat.



SARANG TABUAN.

Oleh itu sempena kejadian tersebut pulau berkenaan dinamakan “Pulau Tabuan” dan waktu penulis kecil dulu seringlah melastik sarang-sarang tabuan ini yang terdapat sangatlah banyak sarang-sarangnya di dahan-dahan pokok getah diatas pulau berkenaan. Wallahualam.


*Cerita ini adalah cerita rakyat dari orang-orang tua warga Telok Bakong yang telah pergi meninggalkan kita (al-fatihah untuk mereka).


Tiada ulasan: