Selasa, 6 Mei 2025

SALASILAH TUKANG KALONG.



Tahniah saya ucapkan kepada saudara Azmil Syahrizam Hassan (foto dibawah) dari Tanjung Tualang, Batu Gajah Perak. Beliau merupakan penyusun salasilah keluarga yang berminat berkongsi catatan di blog Sumpahan Tok kadok. Bagi mereka yang mempunyai data salasilah Tukang Kalong yang berasal dari Kampung Gajah, Pulau Tiga dan Telok Sareh sila lah semak data tuan tuan untuk kita susun bersama. Bukan mudah untuk mencari salasilah keluarga, sekali lagi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada saudara Azmil Syahrizam kerana berjaya mengembangkan susunan salasilah keluarganya.

Salasilah Tukang Kalong.
(Salasilah dari Kolonal Zaini - Tok Nojeh 3)

Salasilah Tukang Kalong (Catatan Azmil).


Azmil Syahrizam Hassan


Sebenarnya banyak helaian yang saudara Azmil kirimkan kat blog ini, ada 37 muka semuanya, tak dapatlah saya kemukakan semua diblog ini. Penulis juga cuba mencari salasilah Tukang Kalong ini di Kampung Telok Bakong tapi oleh kerana orang tua-tua di Telok Bakong ramai yang telah tiada dan yang tinggal pulak dah lanjut usia. Sukar mereka untuk mengingati walau pun disertakan tulisan salasilah.

Isnin, 10 Februari 2025

RUTIN TAHUNAN MAJLIS TAHLIL SEBELUM PUASA - KETURUNAN TOK KADOK.

Emas Kancin Ikan Tapah (Foto terbaru Ahad 9/02/2025).

Saban tahun majlis ini dilakukan oleh setiap sesiapa yang di wariskan memegang kancin emas tapah ini khususnya keturunan Tok Kadok. Kini Puan Hajjah Asmah telah lama tiada dan kini penulis tak berkesempatan merisik untuk mengetahui waris yang terbaru yang diwariskan  menjaga emas tapah ini.

                                                                                    

                                   Al-Marhumah Hajjah Asmah - didalam bulatan.
                                                           
Mengikut cerita moyang penulis dulu Alang Sumat bin Busu Mamat emas tapah ini tidak mahu keluar dari Mukim Lambor Kanan. Pernah seketika dulu cuba dibawa keluar dari rumah Tok Pandak Logam tapi dengan sendirinya ia kembali ke rumah berkenaan dan tersimpan dalam peti besi dimana tempat biasa ia tersimpan. Pelbagai Misteri cerita emas kancin tapah ini semasa moyang saya dulu memegangnya.
                                               


Semoga semua para keturunan Tok Kadok meingati dan sentiasa mengawasi supaya tidak termakan ikan yang dipantang oleh keturunannya. Jika terlanggar juga kembalilah ke Kampung Tua Lambor Kanan untuk mencari dan mendapatkan penawarnya.

Terima kasih kepada saudara Shariffudin Itam Saidin (Isa) dari Telok Bakong yang telah mengirimkan foto dan hadir di Majlis Tahlil di Kampung Tua Lambor Kanan.

Khamis, 9 Januari 2025

SALASILAH KETURUNAN BAHAUDDIN (CIK PULI) SERTA SALASILAH TOK BAKONG.

Salam sejahtera, dipenghujung tahun 2024 penulis telah berkesempatan menemui Tuan Haji Shaudin bin Mohd Sidek di rumahnya di Kampung Padang Marhum Telok Bakong. Setelah 6 atau 7 tahun yang lalu ingin menemuinya tapi tak berkesempatan, lantaran kesibukan bekerja dan kedudukan yang jauh di perantauan. Beliau merupakan pesara Telikom Setiawan dan telah menetap di Padang Marhum setelah bersara. Salinan Salasilah yang beliau pegang telah diubah dari naskah asal yang ditulis dalam tulisan jawi.


Salinan Salasilah Bahudin.


Tuan Haji Shaudin (kiri) dan En.Sharifuddin

Penulis akan cuba mengemaskinikan salasilah tersebut untuk tatapan dan rujukan generasi Kampung Telok Bakong seterusnya. Terima kasih Tn Haji Shaudin kerana sudi berkongsi maklumat Salasilah Keturunan yang mendiami Telok Bakong sebelum kisah Tok Kadok dimulai disini.

Khamis, 28 Januari 2021

TULISAN TERBITAN DARI SURAT KHABAR "KOSMO" WARIS PAK KADUK - 17 JANUARI 2021.

 

GAMBAR tanpa tarikh ini dikatakan diambil pada satu majlis perhimpunan waris keturunan Pak Kaduk di negeri Perak.

Waris Pak Kaduk terkena sumpahan ikan tapah.  Oleh MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR17 Januari 2021, 10:12 am - KOSMO

RAMAI orang mengetahui kisah Pak Kaduk yang lurus bendul kalah menyabung ayam ekoran bersetuju menukarkan ayam jaguh kepunyaannya dengan ayam milik Sultan.

Ayam sabung miliknya yang ditukarkan itu telah menang, menyebabkan Pak Kaduk kalah. Lebih parah kampung halamannya turut tergadai ekoran kekalahan tersebut.

Pak Kaduk sememangnya terkenal dengan pepatah ‘ayam menang sabung, tapi kampung tergadai. Ia sememangnya ada kaitan dengan sikap Pak Kaduk yang dikatakan gemar menyabung ayam dan berjudi.

Tetapi ramai yang tidak mengetahui kisah sumpahan Pak Kaduk dan ikan tapah yang sangat popular di negeri Perak sejak zaman berzaman, hinggakan ada yang beranggapan cerita tersebut adalah mitos semata-mata.

Bagaimanapun, dipercayai keturunan Pak Kaduk masih memegang kisah tersebut sebagai sesuatu yang benar.

Kisah sumpahan dikatakan terjadi rentetan daripada Pak Kaduk yang dalam keadaan sugul dan sedih ekoran kalah menyabung ayam.

Dipendekkan cerita, selepas kejadian tersebut, Pak Kaduk ternampak seekor ikan tapah yang besar di tebing sungai dan membelah perut ikan tersebut lalu keluarlah emas yang banyak.

Menurut orang-orang tua, Pak Kaduk kemudian mengambil emas tersebut dan menjahit perut ikan tersebut menggunakan benang batang pisang dan dilepaskan semula ke dalam sungai dengan lafaz sumpah yang kekal sehingga sekarang.

Pak Kaduk dikatakan telah bersumpah: “Mulai hari ini dan ke hadapannya, aku tidak akan menyabung lagi. Aku, anak isteri, cucu-cicit, piyat-piyut, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh makan, menganiaya atau mengkhianati anak ikan tapah.


INILAH tiga butir kerongsang emas yang dikatakan masih disimpan oleh waris Pak Kaduk hingga kini.

“Barang siapa yang melanggar sumpah aku akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak. Kiranya tahan badan, tidak selamat hidupnya.”

Begitulah ungkapan kisah sumpahan Pak Kaduk yang diketahui ada kaitan dengan legenda ikan tapah sehingga hari ini.

Sejak itu, semua keturunan Pak Kaduk tidak memakan ikan tapah dan pantang larang tersebut dibuat selepas mendapat pertolongan melalui emas yang keluar daripada perut ikan itu.

Dikhabarkan khazanah Pak Kaduk yang merupakan tiga butir kerongsang emas yang dipercayai daripada perut ikan tapah itu masih disimpan rapi oleh keturunannya dan akan digunakan sebagai penawar penyakit yang terjadi selepas memakan ikan tapah.

Orang ramai yang mempunyai penyakit gatal-gatal dan alahan selepas makan ikan tapah akan berkunjung ke rumah waris Pak Kaduk untuk mendapatkan penawar.

Biasanya waris Pak Kaduk akan memberikan air penawar yang sudah dibotolkan kepada mereka yang dikatakan terkena sumpahan tersebut.

 Ikan Tapah - Gambar hiasan.

Waris Pak Kaduk menyediakan air penawar tersebut dengan merendam emas ke dalam air yang akan diminum, disapu tempat yang gatal atau sebagai air mandian.

Meskipun sumpahan ini dikatakan hanya berlaku kepada keturunan Pak Kaduk yang berasal dari Perak, namun ia juga dipercayai boleh terkena kepada anak-anak mereka menerusi perkahwinan yang melibatkan keturunan ini.

Berbeza dengan sumpahan Mahsuri di Pulau Langkawi yang berlanjutan hanya sehingga keturunan ketujuhnya sahaja, sumpahan Pak Kaduk pula tiada had tempoh dan tidak akan berakhir sampai bila-bila.

Kebanyakan waris Pak Kaduk kini dikatakan tinggal di Lambor Kiri, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Bota di daerah Perak Tengah.

 



Isnin, 17 Februari 2020

SUMPAHAN IKAN TAPAH - ML STUDIO (NUR SHAMIRA)


Saya tertarik mengenai penerangan serta sejarah yang diterangkan oleh waris keturunan Tok Kadok ini, kerana berbagai versi terdapat di internet dan laman web. Kredit bagi ML Studio dan Nur Shamira.


Bagi saya penerangannya cukup jelas dan perbezaan dengan sumpahan mahsuri dengan hanya tujuh keturunan, manakala Sumpahan Tok Kadok adalah selamanya. Tak kiralah terdapat sedikit perbezaan fakta yang diterangkan tapi 95% dari keterangan adalah sama dari mana-mana cerita yang diterangkan oleh keturunan kami turun temurun. Terdapat juga fakta yang disorok atau tetap tersimpan kerana ada pantang larang yang harus disimpan.

Isnin, 16 Disember 2019

HIMPUNAN WARIS KULOP ISMAIL - TELOK BAKONG.


Tepat pada tarikh dan masa yang dijanjikan, maka semua waris-waris dari keturunan Tok Kadok ini berhimpun di Dewan Orang Ramai Kampung Telok Bakong Hulu . Pada tarikh 30hb.November 2019 bersamaan hari Sabtu jam 11.00 hingga 5.00petang semua puak waris berhimpun untuk merapatkan saf dan silaturrahim,yang mana julung-julung kali perhimpunan diadakan. Majlis telah dirasmikan oleh Dato'Tarmizi Mohd Jam - Penyelaras Parlimen Parit. Turut memberikan sokongan kerjasama ialah Nor Azmi Halim, Tok Sidang Kg Teluk Bakong Hulu. Semoga pemerkasaan jurai-jurai keluarga ini dapat terus diperkukuhkan - Yeop Abdul Rahman Hashim.



Yeop Abdul Rahman Hashim.


Dato' Tarmizi Mohd Jam & Yeop Abdul Rahman Hashim
(di bahagian tengah - bersongkok).




Turut hadir Tuan Haji Yeop Din (Alias) bin Mat Selidin.
(Kerusi Roda)


Tahniah diucapkan kepada Encik Abdul Rahman hashim serta puak waris kerana dapat bersama meraikan silaturrahim dan menghimpunkan semua keturunan Kulop Ismail dalam satu majlis Himpunan Waris .

Isnin, 9 Disember 2019

HIMPUNAN WARIS KULOP ISMAIL BIN ALANG MAT YEN BIN KULOP MAT SHAH BIN BUSU MAMAT





Salasilah Kulop Ismail bin Alang Mat Yen




Hari ini Kampung Teluk Bakong yg berada dlm mukim Lambor, Perak akan dikunjungi oleh waris keluarga Kulop Ismail bin Alang Mat Yen. Mereka datang dari segenap pelusuk berkampung di sini utk merapatkan lagi ikatan kekeluargaan yg sedia terjalin. Saya salah seorang daripada 44 cucu Kulop Ismail yg sudah pun berada di Kg Teluk Bakong sejak semalam. 1 September lepas saya juga cucu kpd Yeop Majlis turut serta di dlm Himpunan Waris Pandak Mohid di Bota. Dato Tarmizi Mohd Jam, Penyelaras Kawasan Parlimen Parit akan merasmikan Himpunan Waris Kulop Ismail ini.

(Yeop Abdul Rahman Hashim).



* Kulop Ismail adalah merupakan jiran sekampung penulis.Selamat berkumpul kepada semua keturunan Tok Kadok dari Jurai Kulop Mat Shah.