Ahad, 30 Januari 2011

BULUH APA (CERITA LAGENDA RAKYAT)


Gambar hiasan "Pohon Buluh"

Setelah kita diperlihatkan dengan beberapa salasilah keturunan Tok Kadok dan marilah kita melihat pula cerita lagenda rakyat yang diwarisi dari turun temurun oleh penduduk setempat serta kawasan sekitarnya yang diceritakan oleh orang-orang terdahulu.

BULUH APA.

Pelbagai cerita tentang “buluh apa” (buloh ape) yang berdekatan dengan Makam Sultan Perak yang pertama ini yang terletak di Padang Marhom Telok Bakong . Dizaman penulis masih kecil lagi telah dihidangkan dengan cerita-cerita rakyat tentang keagungan persekitaran kawasan Makam berkenaan, seperti Kolam Naga Emas , Kolam Itek, Buloh ape, pohon Langsat yang dibahagian pangkalnya ditumbuhi mirip kelamin lelaki, Parit Siam, kubu dan parit yang dalam, buaya emas dan terowong lome.  Penulis juga telah menemui beberapa orang lama di kampong Telok bakong untuk bertanya cerita “buluh apa” dan sebenarnya tak banyak berubah dari apa yang nak saya ceritakan dengan yang sudah sedia dikarang oleh beberapa penulis di internate. Marilah kita lihat cerita-cerita berkenaan yang telah diceritakan kepada kita dan bukan niat penulis untuk membandingkan antaranya tapi kita sama-sama menilai betapa popularnya cerita tersebut dengan beberapa versi yang diceritakan dari mulut kemulut dan pihak Inggeris dulu pun telah mencatatkan cerita berkenaan didalam buku mereka. Untuk pengetahuan semua pohon buluh berkenaan sudah lama pupus serta tebing tempat pohon buluh itu tumbuh pun telah rebak kesungai dan tiada pula pohon buluh baru tumbuh. Sewaktu penulis masih kecil dan sering bertaut (menajor) buluh berkenaan masih ada tapi pohonnya pun hidup meragan sahaja.


Berhadapan makam ini lah terletaknya buloh apa
dan makam anak Bentara, ditepi tebing sungai Air Mati Tanah Abang.

As the founder of Perak travelled up-river he said to have met a youth mourning over the body of his dead brother. The boy had been asking the name of a bamboo, the buloh apa or "which bamboo"
"What, brother, is the name of this bamboo?"
"Which bamboo."
"This bamboo."
"Which bamboo."
And the younger slew the elder in a rage before he discovered that "which" was the name of the bamboo.
(Petikan dari Papers on Malay Subjects, By Richard James Wilkinson)

Perangkatan itu mudik ke hulu seberapa yang boleh hingga sampai ke satu tempat di atas tebing sungai di mana didapati atau dijumpai mayat seorang pemuda dengan pemuda yang lain sedang menangis disisinya dan di tempat itu tidak ada orang duduk di situ.
Setelah melihat keadaan itu, maka Raja Muzaffar serta pengiring-pengiringnya dan orang-orang yang bersama langsung singgah di situ dan Raja Mudzaffar Shah lalu bertanya kepada pemuda yang menagis bagaimana kejadian itu berlaku dan orang muda itu menceritakan lebih kurang seperti berikut:-
Mereka berdua adalah adik-beradik. Mereka mudik dengan sampan pada hari itu dan singgah di situ di mana mereka berjumpa dengan serumpun buluh yang adiknya tidak tahu nama buluh itu. Adiknya bertanya Abang:-
Adik – “Apa nama buluh itu Abang?”
Abang Menjawab – “Buluh apa Adik.”
Adik bertanya lagi – “Buluh apa ini abang.”
Abang menjawab – “Buluh apalah adik.”
Tidak juga mengerti adiknya, lalu ia bertanya lagi.
Adik bertanya - “ Buluh ini apa namanya abang.”
Abang menjawab – “Buluh apa adik,”
Demikianlah mereka kedua adik-beradik bersoal-jawab dan diakhirnya adik memikirkan yang abangnya itu mengolok-olokkan adiknya lalu ia meradang atau marah yamg amat sangat serta ditikamnya abangnya terus mati. Kebetulan pula Raja Mudzaffar Shah serta pengiring dan orang-orang ramai yang bersamanya sampai ke situ. Setelah itu Raja Mudzaffar lalu menerangkan yang pemuda itu telah membunuh abangnya dengan teraniaya dan dengan tidak cukup usul-periksa. Tambahnya lagi maksud abangnya ialah nama buluh itu ialah “Buluh Apa”. Dengan itu pemuda itu terus pengsan dengan tidak sedarkan diri lagi oleh memikirkan perbuatannya yang kejam dan kehilangan saudara tuanya sendiri yang ia amat kasih dan tempat berharap. Mayat pemuda itupun terus dikuburkan di situ jua

http://malayarchipelago.fotopages.com/?entry=356662



Makam Sultan Muzaffar Shah 1, Tanah Abang.

Setelah kita melihat cerita berkenaan marilah kita juga menilai cerita dari sahabat kita ini yang saya percaya beliau juga berasal dari daerah Perak Tengah dan tidak boleh menyentuh ikan tapah. Cerita beliau ini lebih mirip kepada cerita yang saya salin dan dengar melalui orang tua-tua di Telok Bakong .



Aha.....ini pun boleh di klaskan juga "Buluh Ape???" "Which bamboo"



Buluh Apa
Kisah Buluh Apa...

Zaman dahulu di Tanah Abang (pusat pemerintah Perak Tua) terdapat dua orang putera raja yang sama bentuk fizikalnya. Sama cantik, sama gagah, sama dari segi kesantunannya. Cuma sifat mereka berdua ini sahaja yang membezakan mereka berdua. Si Abang lebih lembut, lebih penyayang dan manakala Si Adik agak sedikit kasar, pemanas dan juga agak gopoh di dalam tindakannya.

Seperti kebanyakannya permainan anak raja dulu-dulu, masa lapang mereka akan diisi dengan pemburuan di hutan, persilatan dan permainan senjata sebagai lambang dan status kegagahan seorang anak raja.

Pada suatu hari, kedua anak raja ini bermain senjata seolah-olah seperti pertempuran yang sebenar. Oleh kerana masing-masing terlalu gagah, tiada pihak yang menang atau kalah. Di akhir sayembara itu mereka menggunakan buluh sebagai medium pertarungan. Buluh tersebut tersangat keras dan membahayakan sehinggakan si adik merasa amat berpuas hati dengan penggunaan buluh itu. Lantas ditanyakan kepada abangnya.
Adik : Cukup keras buluh ini ya Kanda. Apakah namanya buluh ini..??
Abang : Buluh Apa, Dinda.
Adik : (Ketawa) Kanda memang suka bergurau. Adinda bertanya buluh apakah ini Kanda?
Abang : Buluh Apa, Dinda.
Adik : Kanda, Dinda bertanya ini. Kanda sebagai seorang bijak laksana tentu tahu akan nama buluh ini.
Abang : Buluh Apa, Dinda.

Akibat rasa seolah dipermainkan, sewaktu berangkat pulang ke istana, si adik menikam belakang abangnya sehingga mangkat. Puas sudah hati si adik kerana berjaya menghapuskan seorang abang yang suka mempermainkan adiknya.

Kepada ayahanda dan bonda serta menteri pembesar dikhabar, kematian abang disebabkan kemalangan sewaktu bersilat dan tiada niat tersembunyi di sebaliknya. Memikirkan sudah suratan takdir bahawa kematian itu tidak mungkin dapat mengembalikan mereka yang telah pergi, kesemua pihak pasrah dan redha kepada ketetapan ilahi.

Istiadat permakaman pun dilaksanakan dengan penuh kebesaran selayaknya seperti mana kemangkatan seorang raja yang berdaulat. Si Abang dimakamkan di Tanah Abang tidak jauh dari rumpun Buluh Apa yang bersejarah. Selesai sahaja, istiadat permakaman itu, sewaktu perjalanan pulang, si adik merapati Datuk Bendahara yang budiman. Datuk Bendahara berjalan tunduk kesedihan berkabung atas kemangkatan putera yang sangat rapat dengan beliau.
Adik : Ayahanda Bendahara.
Bendahara : Patik, Tuanku.
Adik : Bolehlah beta bertanya suatu perkara??
Bendahara : Tanyalah Tuanku. Mana yang patik tahu, akan patik jawab. Mana yang patik tidak tahu, akan patik tanyakan kepada mana-mana jauhari yang mengetahui..
Adik : Tahukah Ayahanda Bendahara, apakah nama rumpun buluh yang tumbuh berhampiran dengan gelanggang persilatan milik beta dan juga kekanda itu. Rumpun yang sama yang tumbuh dekat dengan makam kekanda?
Bendahara : Oh, itu.. nama buluh itu BULUH APA, Tuanku..

Apakala mendengar nama buluh itu, mengeletarlah seluruh badan putera itu. Rasa roh melayang meninggalkan jasad rasanya. Wajah putera itu pucat laksana kertas kertas yang putih. Melihatkan perubahan sikap putera itu, Datuk Bendahara seperti dapat menangkap maksud kejadian. Lantas Datuk Bendahara bermadah..

Bayu berpuput di Tanjung Jati
Orang belayar ke Inderagiri
Jangan diturut rasa di hati
Kelak jadi binasa diri

Kekabu diisi di dalam tilam
Untuk hiasi majlis kenduri
Usah ditangisi perkara silam
Tuan yang pergi tidakkan kembali
Sejak dari hari itu si adik menangisi pemergian abangnya di bawah rumpun Buluh Apa. Tidak lama sesudah itu si adik menghilangkan diri dari istana dan tidak diketahui di manakah jejaknya. Putera yang masih berusia 6 tahun terpaksa diisytiharkan seagai Putera Mahkota kerajaan negeri.

Indera :
Sejak kehilangan kedua-dua putera raja itu rumpun Buluh Apa semakin mengecil dan akhirnya kini menjadi rumpun buluh yang bantut. Ada pendapat mengatakan si adik membawa dirinya ke hutan rimba di belakang kampung kami dan meninggal dunia dalam kerajaan bunian (bunian??). Ini kerana terdapat beberapa orang penduduk kampung saya yang mendakwa bertemu dengan makam si adik di dalam hutan yang dikelilingi dengan rumpun Buluh Apa. Mereka kemudian menandakan lokasi makam itu dengan apa sahaja tanda seperti kayu atau kain. Tetapi keesokan harinya mereka ke lokasi berkenaan, makam tersebut tiada lagi. Yang tinggal cuma tanda yang mereka tinggalkan.


Wallahua'lam. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Sesekali mengunjungi Tanah Abang, terasa bayu yang berpuput amat segar. Sewaktu saya kecil-kecil dahulu, tempat kegemaran saya bermain adalah Kolam Buaya Emas walaupun dilarang keras oleh ayah saya bermain di dalamnya.

Ditinta emas oleh INDERA KENCANA  (indera-kencana.blogspot.com)


Sedikit ulasan dari Penulis blog (aisbatu)..............................

Cerita tuan Indera ini mengenai orang kampong telah menemui makam si adik ini, salah seorang yang dimaksudkan beliau adalah Tuan Haji Mohd Ali bin Kulop Ali atau pun lebih dikenali di Telok Bakong sebagai Tuan Haji Selangor. Tuan Haji Selangaor ini telah menemui Makam Tersebut disempadan dengan tanah rancangan Nasirruddin di Changkat Piatu. Nama yang dinyatakan oleh Tuan Haji Selangor adalah makam Mahkota Alam dan nama sebenarnya penulis tak berapa ingat. Beliau telah menandakan makam berkenaan dan sempat mengambil buah-buah rambutan disekeliling makam berkenaan. Perkhabaran makam berkenaan telah dipanjangkan ke pihak atasan dan mereka cuba menjejaki makam berkenaan tetapi bila sampai ditempat berkenaan,kelihatan makamnya diatas bukit dan bila sampai diatas kelihatan pula makam berkenaan dibawah bukit. Oleh yang demikian rombongan berkenaan pun fahamlah duduk perkara , Mahkota Alam ini tidak mahu dirinya atau pun makamnya diperlihatkan sebagaimana makam-makam yang lain.

Cerita Mahkota Alam ini juga ada beberapa versi dan saling kait mengait dengan Sultan Muzafar Shah 1.Soal Bunian dan Alam Ghaib tuan-tuan boleh tafsir sendiri dan mahklok berkenaan memang wujud dan ada dunia mereka sendiri.


Tiada ulasan: