Rabu, 18 Januari 2012

CERITA LAGENDA GAJAH PUTIH - MAHKOTA ALAM.





Foto hiasan - Gajah Putih.

Marilah tuan-tuan mendengar cerita penglipur lara yang diceritakan oleh orang tua-tua dahulu di Telok Bakong mengenai Gajah Putih - Mahkota Alam.

Diceritakan kisah gajah putih ini semasa kakak dan abang saya berehat di Gunung Tunggal (bukit tunggal) di Kampong Gajah oleh opah saya iaitu Teh Linggam bt Uda Nahu setelah mendaki gunung berkenaan dari awal pagi lagi di hujung tahun 1960an. Oh nampak macam tak tinggi gunung ni opah !!! kata abang saya sambil menyandarkan belakangnya ke salah satu pohon besar diatas gunung tersebut. Kamu tengok le kalau tak tinggi masakan nampak sungai perak tu ha !!! balas opah saya sambil mengunyah sirihnya yang dibekalkan dari rumah lagi. “Kome jangan ingke sangat disini nanti keluor gajah putih tu karang !!! “ menampakkan mulut merahnya akibat memakan sirih dan opah bersuara memecah suasana sunyi setelah kesemuanya kepenatan akibat mendaki serta berjalan agak jauh. Apakah keistimewaan gajah putih ni opah kata abang saya setelah mendengar kata-kata opah tadi. Dulu-dulu ianya adalah tunggangan para raja-raja dan termasuklah digunakan oleh Mahkota Alam yang didarat Changkat Piatu tempat kita tu, sahut opah dengan nada lembut setelah melihat cucunya keletihan. Gajah tu mempunyai kesaktian yang luar biasa serta bukan sebarang orang yang boleh menaiki belakangnya, apa tah lagi nak menangkapnya.



 Puan Teh Linggam bt Uda Nahu.


Kenderaan utama waktu itu adalah gajah dan Mahkota Alam telah pun mempunyai beberapa ekor gajah yang dimilikinya untuk kegunaan di darat serta perahu dan sampan besar yang digunakan disungai perak serta di Air Mati Telok Bakong. Suatu ketika Mahkota Alam telah bermimpi yang wujudnya seekor gajah putih bergading perak di gunung tunggal . Sesedarnya beliau dari mimpi tersebut beliau telah memanggil pawang diraja untuk mentafsir mimpi tersebut, maka segeralah pawang diraja mengadap baginda.

“Adapun Tuanku pada tilikan dan firasat hamba, gajah yang dalam mimpi Tuanku tersebut adalah milik tuanku dan seharusnya tuanku bersegeralah menangkapnya kerana ianya memang berada dialam nyata dan memang wujud, gajah ini mempunyai kesaktian yang luar biasa serta tidak lut oleh semua senjata dan amat sesuai menggempur musuh ketika berperang serta amat ampuh bertahan “ terang pawang diraja kepada Mahkota Alam.

Tuanku Mahkota Alam bangkit dari persemayamnya, lantas bertitah supaya segera kumpulkan bijak pandai gembala gajah bagi menangkap gajah tersebut.

“Ampun, Tuanku beribu ampun. Sembah pacal hina ini memohon keampunan ke Bawah Duli Tuanku. Adapun laskar-laskar, para hulu balang serta para gembala gajah tidak mampu menangkap gajah ini Tuanku. Pada pandangan patik, Tuanku gajah ini hendaklah ditangkap oleh Tuanku sendiri dengan memikatnya sehingga gajah tersebut berada di antara kedua-dua pokok talang dua beradik yang dikelilingi carak disekitarnya dan tidak jauh dari gunung tunggal tersebut”.

“Ampun, Tuanku beribu ampun, sembah pacal yang hina ini memohon keampunan sekali lagi ke Bawah Duli Tuanku, ada pun untuk menjinakkan gajah tersebut Tuanku mestilah mencabut bulu perak naik minyak yang berada dihujung ekor gajah tersebut “ apabila Tuanku berjaya menjinakkan serta menunggangnya, maka Tuanku juga turut kebal dari sebarang senjata ketika berada diatas belakang gajah tersebut” sembah pawang diraja kepada Mahkota Alam.



Bukit Tunggal - dilihat dari Jalan Tanjung Tualang Telok Sareh.

Pawang diraja pun memohon kepada Mahkota Alam untuk memulakan upacara “berancak kemian berasap kendiri” bagi petua syarat menjejak, mengesan dan mengawal hala tuju gajah putih di gunung tunggal.Sementara itu Mahkota Alam juga menyiapkan diri untuk bertolak ke gunung tunggal dengan busar panah gegak gempita serta keris simanja diselit dipinggang. “Datuk Bendahara, siapkan segala peralatan untuk ke gunung tunggal” titah baginda kepada datuk bendahara.

Maka gegak gempitalah suara orang memalu gendang dan bersorak sorai didalam hutan gunung tunggal untuk menghalau gajah ke kawasan carak dan pokok talang dua beradik. Amat lah kuat dan gagahnya si gajah putih, maka ramailah juga yang terkorban kerana berangnya gajah ini dipaksa ke kaki gunung tunggal. Ada yang terpijak, terlambung dek belitan belalainya dan rempuhan menggila sigajah putih ini diatas carak sebelum sampai dicelahan pokok talang dua beradik.



 Foto hiasan - Pokok Talang Dua Beradik.

Tak siapa yang berani menghampiri gajah tersebut setelah binatang yang luar biasa ini berada dicelahan pokok tersebut, dengan menadah tangan kehadrat Ilahi. Mahkota Alam berdoa dengan takdir Allah turunlah hujan panas dan bertempiklah sigajah putih seolah-olah dalam kesakitan yang amat sangat serta memohon keampunan untuk mendatang sembah bagi berkhidmat kebawah duli tuanku Mahkota Alam. Dengan segera Mahkota Alam menghampiri gajah tersebut lalu mencabut bulu perak dihujung ekor gajah tersebut dan lalu gajah putih tunduk duduk menjemput Mahkota Alam menaiki belakangnya.

Foto hiasan .

Maka Mahkota Alam pun teruslah ke baroh menuju ke istana bersama gajah putih yang baru dimilikinya.……………………………wallahualam..


“Haaa….itulah ceritanya sigajah putih tu, jangan kome tak tau” sapa opah pada abang dan kakak saya sambil beliau bangun untuk meneruskan perjalanan melihat-lihat serta menikmati keindahan Gunung Tunggal bersama rombongan dari Telok Bakong. “Bangkit deras moh kite…moh kite “ opah menyeru cucu-cucunya yang berumur 7 dan 9 tahun untuk bingkas bangun.



  • Ingke – bermakna perbuatan atau kelakuan yang melebih-lebih dari biasa – contoh bergurau senda yang melampau dan sepatutnya ditempat itu menjaga kelakuan.
  • Berancak berkemian berasap berkendiri – upacara pawang yang dilakukan untuk menilik kekuatan dan kelemahan si gajah putih tersebut.
  • Carak – bermaksud sesuatu tempat yang ditumbuhi oleh sedikit hutan dan terdapat padang (kawasan lapang).
  • Pokok Talang Dua Beradik – pokok hutan (balak) yang selalu terdapat sarang lebah-lebah hutan (madu) bersarang didahannya tapi disini diceritakan pokok tersebut adalah jelmaan jin islam.
  • Jika dari keterangan datuk sebelah ibu saya bahawa Mahkota Alam yang diceritakan disini adalah seorang raja dan merupakan abang kepada Sultan yang dibaroh (ada yang kata seorang pembesar sebelum Sultan datang ke Kg Tua). Jadi bukan lah niat saya nak mengubah sejarah dan entry ini merupakan cerita dongeng orang tua-tua dahulu dan tiada kena mengena dengan sejarah.
  • Gunung Tunggal biasa disebut di Telok Bakong adalah berstatus gunung dan ada pula yang menyebut bukit tunggal. Ianya terletak dibelah darat Kampong Gajah.
  • Dulu-dulu kalau berjalan kaki dari Telok Bakong batu 14 ¾  ke Lambor Kanan dari awal pagi (pukul 8.00pagi) untuk bersembahyang Jumaat di masjid tepi tebing tu akan sampai seelok-elok masuk waktu sahaja. Ianya melalui jalan tanah dan hutan-hutan tebal dikiri kanan jalan. Cuba bayangkan perjalanan dari Gunung Tunggal ke Padang Marhom, berapa lama kah ?
  • Saya mohon maaf kalau jalan cerita kurang tersusun kerana saya bukanlah pengarang cerita dongeng yang baik.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Vet-RMAF salam pak aisbatu.
tknak nmbah emende nama pun lagenda. cuma tokok sikit2 je, mmang pn gnung tunggal tu kegemaran saya dan kwan2 mendaki hjung tahun 60an, cuma disitu terdapat 2 gnung, yg rendah tu jrang2 orang mendaki sbab tmpat tu agak "keras" kcuali pengamal2 silat bertapa tmasuk leh maharaguru silat gayung. tdpat gua dan "berop" peninggalan tentera british dsitu dulu. situ banyak pokok berbau sarsi. kali terakhir saya mendaki dalam acara Larian Gunung Tunggal 1994 dulu, terdapat wakaf di puncak tu, jalan pn dh cantik dn dipasang tali sampai ke puncak.

aisbatu berkata...

Waalaikumsalam,

Tuan Vet-RMAF,terima kasih banyak atas makluman dan jika ada foto-foto kembara gunung tunggal sila lah kirimkan kat saya untuk kita kongsi bersama diblog ini. Gambar-gambar pada tahun kunjungan kami diatas waktu itu dah hilang, itulah tiada foto dipaparkan rupa bentuk diatas gunung tersebut. Saya tak pernah kesana maklumlah waktu itu saya kecil lagi.

Unknown berkata...

Sejarah pak kadok samar2