Selasa, 15 Januari 2019

EMAS KANCIN TAPAH - TOK KADOK.



Kancing Emas Tapah.




Ikan Tapah.


Teman tertarik dengan cerita sahabat ni didalam Face book dari Saudara "Nazrin Suhaimi" tentang Tok Kadok dan beliau telah menerangkan susur galur Tok Kadok.


Mengikut cerita lisan dan catatan ahli keluarga terdahulu "Tok Kadok" atau nama sebenarnya ialah Seri Agar Diraja Maharaja Lambor Tun Malim bin Seri Agar Diraja Tun Bangsawan Seri ialah Dato Sagor ke-2 Negeri Perak pembesar yang berkuasa memerintah kawasan Daerah Perak Tengah dan Hilir Perak setelah kalah ditipu menyabung ayam kawasan jajahannya telah dirampas oleh baginda Sultan.Emas kancing ikan tapah ini telah digunakan untuk menebus kembali kawasan Mukim Lambor,ahli keluarga,anak-anak serta isteri.
Emas Kancing Ikan Tapah ini pada mula dipertanggungjawabkan dibawah jagaan keluarga Allahyarham Alang Kontin bin Uda Katab abang kepada Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek bin Uda Katab pembesar Orang Besar Enam Belas Mukim Lambor pada zaman sebelum penjajahan British.
Allahyarham Alang Kontin bin Uda Katab merupakan piat kepada Seri Agar Diraja Maharaja Lambor Tun Malim dari susurgalur ibunya iaitu Ngah Mariam binti Andak Majiwa anak perempuan hasil perkahwinan Toh Andak Majiwa bin Toh Lamit,kerabat diraja Jambi,Sumatera dengan Alang Ghayam binti Orang Kaya Besar Penghulu Bendahari Seri Nara Diraja Tun Besar Toha yang merupakan anak perempuan kepada Toh Ngah Bakal binti Seri Agar Diraja Maharaja Lambor Tun Malim dengan Orang Kaya Besar Penghulu Bendahari Seri Nara Diraja Tun Besar Toha bin Tun Abdul Samad
Hasil perkahwinan Alang Kontin dengan Halimah binti Uda Jaafar yang juga dua pupu dengannya iaitu cucu kepada Toh Paduka Raja Busu Ayan bin Orang Kaya Besar Penghulu Bendahari Seri Nara Diraja Tun Besar Toha telah dikurniakan 6 orang anak antaranya ialah Kulop Ismail,Ngah Yop,Alang Hassan,Uda Ragam,Pandak Aman dan Teh Nyawa.
Anak perempuannya iaitu Teh Nyawa binti Alang Kontin telah berkahwin dengan keluarga dari susurgalur Long Puasa anak Andak Majiwa iaitu Pandak Demat bin Busu Mamat.Hasil dari perkahwinan ini telah dikurniakan 8 orang anak iaitu Kulop Mat Jelah,Ngah Rasiah,Alang Ghasiah,Uda Tiram,Pandak Logam,Hindun,Itam Loden dan Busu Mat Baki.
Selepas Allahyarham Alang Kontin meninggal dunia tugas penjagaan emas kancing ikan tapah ini diserahkan kepada anaknya Uda Ragam bin Alang Kontin.
Apabila Allahyarham Uda Ragam meninggal dunia emas kacing ikan tapah diserahkan kepada anaknya untuk dijaga namun begitu disebabkan hal yang tidak dapat dielakkan tanggungjawab menjaga emas kancing ikan tapah ini kemudiannya diserahkan kepada keluarga disebelah sepupu mereka iaitu Pandak Logam bin Pandak Demat pada tahun 1950 sehinggalah ke masa sekarang dijaga oleh waris keluarga Pandak Logam bin Pandak Demat di Kampung Tua,Lambor Kanan.Perak.

Ulasan dari penulis blog : Saya kira tulisan ini mengambil kira cerita yang asal di pihak Lambor Kiri dan tempat Tok Kadok mula-mula singgah dari Siak adalah di Lambor Kiri.

Khamis, 30 Ogos 2018

BELAT.

Sebagaimana penulis janjikan untuk menerbitkan cerita belat yang menjadi salah satu cara tradisi menangkap ikan di Tasik Air Mati, Padang Marhom Telok Bakong.


Tebing Sungai Perak

Pengenalan "Belat".

Di Kampung Telok Bakong suatu ketika dulu diawal 50an sehingga awal 80an cara penangkapan ikan sungai adalah dengan cara belat. Selain cara penangkapan tradisi seperti serkap, jala, rawai, taut dan sebagainya.Pada ketika ini cara penangkapan ikan tradisi cara belat telah pupus dan tiada sesiapa yang berkebolehan dan berkemahiran bagi menyalin belat bagi kegunaan menangkap ikan. Penulis juga tak berkemampuan untuk menyalin belat sepertimana ayah penulis dahulu kerana dah berpuluh tahun meninggalkan lapangan tersebut. Tasik Air Mati pun sudah benar-benar kelihatan mati dan tiada arus air sungai Perak masuk kedalam kawasan tasik untuk suasana air sebak atau surut berlaku lagi.

Pada masa itu tidak kurang 5 orang atau kumpulan yang menjalankan penangkapan ikan menggunakan belat secara aktif dan sudah tentu setiap keluarga yang terlibat berkemahiran untuk menjalin belat dengan kemas.

Makna "Belat".

Difinisi atau istilah belat dari segi bahasa yang biasa dipertuturkan di Telok Bakong dahulu, semasa Tasik Air Mati masih berair dan penangkapan dijalankan secara aktif.

Belat atau Kelong adalah jalinan (anyaman) bilah-bilah buluh yang dijalin bersama tali sabut atau akar atau pun rotan dan dipasang (mengempang) di anak sungai yang mengalir airnya samaada air sebak (air pasang) atau air surut untuk memerangkap ikan dengan menggunakan "Magun".

Ukuran setiap satu bidang belat adalah setinggi 5kaki, 6kaki, 7kaki serta 9kaki dan ada juga yang 12kaki tapi jarang-jarang pembuatan sedemikian kerana untuk menjalin bilah-bilah belat agak sukar serta memerlukan buluh yang tahan serta ringan. Kelebaran setiap bidang belat bergantung kepada pembuat atau penjalinan belat dan kegunaan kawasan pembelatan. Pendek kata saiz atau kelebaran sesebidang belat tidak ada ukuran standard atau khas terpulang kepada pembuatnya. Ketahan atau usia sesuatu bidang belat agak cepat mereput iaitu dari setahun atau dua tahun dan ada juga sampai tiga tahun. Jika belat tersebut masih terpasang didalam sungai dan usia nya mencapai setahun atau lebih, biasanya jika boleh dipakai pun terpaksa disulam dengan bilah-bilah yang baru dan kerja-kerja sedemikian memakan masa dan berbeza dari membuat yang baru lagi mudah dan cepat.

Buluh atau alat kelengkapan seperti buluh boleh didapati dengan mudah di hutan darat Telok Bakong dan tali sabut yang boleh didapati Telok Intan atau pekan Parit.


Pokok Buluh.

Buluh yang telah siap dipotong.

Dimasa sekarang atas tinjauan rambang penulis, semua bahan-bahan untuk membuat belat tersebut agak sukar didapati kerana arus pembangunan telah melenyapkan banyak jenis-jenis buluh yang telah ditebang dan dimusnahkan untuk laluan tanaman ladang-ladang kelapa sawit dan getah. Tali sabut juga masih ada dijual di Telok Intan tapi tidak mudah untuk diperolehi lagi. Semua belat-belat diTelok Bakong dijalin dengan tali sabut kerana ketahanan tali sabut didalam air serta tidak keras untuk dianyam bersama bilah-bilah buluh.


Pokok Bemban.
Selain tali sabut, tali atau kulit bemban juga digunakan untuk mengikat belat diantara kayu turus. Ianya digunakan bagi mengikat antara bilah belat dengan kayu-kayu turus atau juga bilah bilah penghadang yang dibina sebelum belat dibentang dan diikat keturus kayu.Bemban cukup tahan dengan air serta jangka hayatnya juga boleh mencapai berbulan-bulan.




*Dijalin -bilah-bilah buluh di susun dan dianyam mengikut setiap bilah dengan tali sabut.
*Sebidang Belat - saiz belat ( contoh : Tinggi 5kaki x Panjang bukaan 10kaki)
*Mengempang - memasang/hadangan belat dari kiri tebing sungai/tali air ke kanan tebing.
*Air sebak - air sungai Perak yang mengalami paras air yang naik akibat hujan di hulu dan memasuki  aliran kedalam tasik melalui sungai air mati.
*Magun - magun adalah sebahagian dari belat dan ianya diguna untuk memerangkap ikan-ikan sungai. Ianya berfungsi seperti bubu tapi magun,ikan ikan boleh keluar balik apabila arus sungai surut atau pasang. Oleh itu artikal akan datang akan penulis terangkan fungsi "magun"dengan jelas.
*Turus - diperbuat dari anak-anak kayu yang terdapat disekitar hutan tebing sungai dan berfungsi sebagai kerangka menahan belat yang dipasang.


*Sambungan Artikal akan datang - cara pembuatan Belat.




Selasa, 24 April 2018

MAJLIS KENDURI SEBELUM PUASA - KANCING EMAS TAPAH.


Pada 22April 2018 telah berlangsungnya majlis kenduri Tahlil dan doa selamat yang dilakukan dari turun temurun oleh sesiapa yang memegang/menyimpan emas Kancing Tapah.


Emas kancing Tapah.

Kenduri ini adalah merupakan adat resam turun temurun yang menyimpan emas berkenaan dan mereka percaya majlis ini perlu dilakukan sebelum bulan puasa pada setiap tahun. Moyang penulis (Alang Sumat ) adalah antara yang pernah menyimpang atau memegang emas kancing ini, beliau adalah orang yang tidak begitu berminat untuk menyimpannya dan ditambah pula perlu diadakan kenduri saban tahun sebelum puasa, Berbagai aspek yang difikirkan oleh moyang saya dan akhirnya beliau memutuskan adik beliau (Pandak Demat) untuk menyimpan emas tersebut, sehinggalah pada hari ini .

Khamis, 4 Januari 2018

MENZIARAH MAKAM PUTERI LIMAU PURUT.


Pada 29hb.Disember 2017 penulis berkesempatan untuk menziarahi makam Puteri Limau Purut yang berada kira-kira 2 km dari simpang Jalan Pulau Tiga ke Tanjung Tualang. Kira-kira 500meter dari jalan besar pula menuju ke makam dan dipenuhi dengan juntaian pelepah kelapa sawit dikiri kanan jalan, ianya berbeza dengan zaman dulu dengan makam ini sukar dikunjungi kerana berada didalam hutan serta jalan masuk yang berlopak.


Simpang Tiga ke Tunjung Tualang dari Telok Sareh (Pulau Tiga).


Makam ini yang diambil foto oleh Allahyarham Nor Halim - Muzium Negara - atas dan disebelah bawah penulis ambil semasa kunjungan kesini. 



Jalan masuk dari Tanjung Tualang.


Jalan masuk yang selesa terus kemakam.

Pada pengamatan saya hanya satu makam sahaja yang ada di sekitar permakaman ini dan kenapa begitu jauh ke darat makam ini. kebiasaannya makam-makam orang kenamaan dizaman dulu terletak berhampiran sungai atau tepi tebing.

Rabu, 15 November 2017

SUMPAHAN IKAN TAPAH.


Ikutilah video yang diusahakan oleh Pusat Kebudayaan UPSI tentang cerita Sumpahan Tok Kadok dan Sumpahan Ikan Tapah.


Ikan Tapah.








Khamis, 4 Februari 2016

SALASILAH JURAI KULOB ABDUL SAMAD (TOK NOJEH - TOK TEH ASMARA) SUSUNAN ARFAH ABDULLAH.



Kota Bahru, Gopeng Perak.

Dari kiriman puan Arfah Abdullah dipaparkan salasilah yang berpunca dari jurai Kulob Abdul Samad dan Kulop Resat serta terus ke Yeop Ahmad. Susunan ini disambung dari Salasilah Tok Nojeh dan Tok Teh Asmara.


Salasilah Tok Teh Asmara.

Tuan-tuan juga boleh terus melawat keblog Puan Arfah dan mengikuti cerita susur galur beliau disini 

http://arfahabdullah.blogspot.my/  

Isnin, 4 Januari 2016

MAWAS DIHUTAN LAMBOR.

Blog Sumpahan Tok Kadok pada kali ini ingin berkongsi cerita dengan semua pelayar blog tentang kewujudannya binatang bernama "Mawas" di hutan Mukim Lambor di suatu ketika dahulu. Mungkin generasi sekarang tidak pernah mendengar cerita ini dikampong kita kerana kebanyakan hutan sudah ditanami oleh kelapa sawit atau bendang (Sawah Padi). Marilah kita ikuti cerita ini.



Foto bendang dan dibelakangnya kelapa sawit
 beribu ekar di Seberang Perak (dulu hutan Mengkuang rubai).


MAWAS.

Di daerah Lambor suatu ketika dulu dilaporkan wujudnya suatu kehidupan binatang bernama "Mawas". Mungkin sekarang dipanggil "Big Foot", ada perbezaan dari segi fizikal dan cara kehidupan kedua-dua binatang ini. Mawas di daerah Kampong Lambor Kiri ini, iaitu disebelah darat menghala ke laut, terdapatnya tanah berpaya dan pamah atau rata. Mawas yang wujud suatu ketika dulu disini adalah menyerupai bentuk fizikal manusia yang tinggi sekitar 5 kaki 3inci atau lebih rendah sedikit,badan berbulu dan tidak begitu tebal, dikepalanya terdapat damar atau lilin dan warna kulit agak kehitaman. Tapak kakinya terbalik,iaitu berjalan menggunakan tumit kedepan,oleh itu pergerakannya agak perlahan kalau dibandingkan dengan kita manusia. 

Cara binatang ini berjalan sebagaimana manusia, cuma nampak terbalik kerana tumit disebelah depan dan seolah-olah seperti manusia berjalan kebelakang.Dia tidak berjalan sepertimana orang hutan atau beruk,kera apabila berjalan diatas tanah tapi menyerupai berjalannya seperti kita.Dia tidak ada ekor sebagaimana kera atau beruk. Aktiviti memanjat pokok terutama pokok bayas agak kurang kerana dia sering menggunakan lengan yang bertulangkan besi untuk menebang pokok-pokok kegemarannya. Mungkin binatang ini Allah jadikan tulang lengan dan kirinya dari besi dan kepupusan binatang ini juga hasil dari pemburuan manusia kepada besi tulang lengan mawas ini, lihat foto lembing yang dibuat dari besi tulang mawas dibawah.

Umbut pokok adalah makanan utamanya, umbut pokok bayas,pucuk daun kayu serta beberapa pokok hutan yang berada dihutan paya. Dilengan kiri dan kanannya bertulangkan besi.Bersuara seperti suara manusia (cuma tidak boleh bertutur atau bercakap seperti manusia). Kehidupan dihutan paya bakau atau dikelilingi dengan pokok bayas,mengkuang rubai serta hutan belukar yang agak sederhana dan sering bersendirian menerokai hutan-hutan berkenaan adalah kegemarannya serta hidup dengan selesa.


Pokok Bayas.

Terdapat tabiat buruk pada kehidupan binatang mawas ini,iaitu kehidupan mereka tidak membiak kerana mawas betina seringkali memakan anaknya sendiri.Mungkin disebabkan sedemikian binatang ini telah pupus dan disamping kitaran kehidupannya telah berubah dan punca makananya sudah tidak ada lagi. Kehidupan sering bersendirian terutama mawas betina, jadi diwaktu itu amatlah susahnya untuk menemui ianya sepasang atau tidak langsung berkumpulan, mungkin masa mengawan boleh ditemui sepasang jantan dan betina. tapi pula siapakah yang berani menemui mawas ini kerana khabarnya binatang ini buas dan ganas.


Gambaran penulis rupa mawas sepertimana yang digambarkan orang yang pernah menemuinya dihutan Lambor Kiri.Damar atau lilin yang diatas kepala mawas ini menurut mereka sepertimana sangai (tudung saji) terbalik.Manakala gigi taringnya tidak begitu menonjol keluar dari mulutnya tapi ianya kelihatan apabila ia melihat manusia dan menyeringai. Faktor damar atau lilin inilah yang mawas ini takut jika terdapatnya api atau unggun api berdekatan dengannya dan dah pastinya binatang ini lari dari unggun api tersebut kerana takutkan damar diatas kepalanya mencair.



Besi Mata Lembing yang dibuat dari Tulang Mawas.


Cerita Mawas - dari Pengalaman orang yang menemuinya.

Nama           -  Allahyarhamah Ngah Meah dan Allahyarhamah Alang Mani & suaminya.
Pekerjaan             -  Pencari Mengkuang Rubai dan kerja-kerja kampong.
Tempat Tinggal     -  Kampong Kuchai Lambor Kiri.
Hubungan             -  Kedua-duanya Emak Saudara sebelah bapa kepada penulis.
Menemui Mawas   -  Hutan sebelah darat Lambor Kiri.
Tahun Kejadian     -  Awal 1960an.

Sebagaimana kebiasaan kedua-dua beradik ini, puan Ngah dan Alang mengemaskan peralatan untuk mencari mengkuang rubai yang banyak terdapat berhampiran hutan menghampiri tanah lembah dan berpaya.Pisau parang,golok,mencapi,suluh,raga,bujam makanan dan air minuman. Seawal pagi kedua-keduanya telah siap untuk mencari mengkuang rubai.Mengkuang rubai kebanyakannya banyak terdapat berhampiran dengan laut atau lembah dan adakalanya mereka kena bermalam didalam hutan tersebut kerana tempat pencarian agak jauh.

Setelah sampai ketempat yang dituju,masing-masing melakukan kerja-kerja mencantas daun rubai dan disusun mengikut pelepahnya sebagai mana menyusun mengkuang air juga untuk disisip bagi memudahkan membawanya balik. Hari dah makin petang,sedang puan Alang aksyik dengan kerjanya terdengar ditelinganya bunyi orang memanggil...Ooooi....Ooooi...Ooooi dengan nada sayup dikejauhan. Dalam benak fikirannya mungkin kakaknya memanggil dia agar tidak terlalu jauh dengannya sambil membuat kerja. Tak pa lah disahut je lah, maka beliau pun berteriak...Ooooi..Ooooi dekat sinilah. Puan Meah berada tidak jauh dari Puan Alang dan berasa pelik pulak siapa yang disahut oleh Alang tu, dalam hatinya berkata, setahu dia tadi mereka bertiga sahaja yang datang mencari rubai ni.Puan Meah kembali membuat kerjanya dan tidak begitu menghiraukan panggilan berkenaan.

Ooooi....Ooooi.........Ooooiii... terdengar lagi teriakan atau laungan. Tanpa rasa ada apa-apa yang mencurigakan pada laungan itu, puan Alang tetap juga melaungkan Ooooiii....disini. Ooooii...Oooii sekali lagi laungan itu terdengar oleh puan Alang. Kali ini laungan itu sudah hampir bunyinya dengan tempat beliau mengambil mengkuang rubai.Perasaan hatinya dah tak berapa sedap dan memerhatikan suasana disekelilingnya. Oooi...Oooiii terdengar laungan itu dan kali ini tubuh yang memanggil terlihat dan terdengar dengan suaranya sekali dan jarak antara kedua kini kira-kira serantai saja. Dengan mencampakkan pisau ditangan serta mengkuang rubai puan Alang seperti hilang akal melompat belari memanggil kakanya Ngah Meah. Meah...meah...tolong..tolong..tolong dengan pekekan yang kuat serta cemas, dan binatang mawas tadi menampakan wajahnya dengan menyeringai serta menjuehkan bibirnya sambil tangan kiri mawas ini memegang kemaluan menunjukan kepada puan Alang (dalam bahasa badannya yang bermaksud mawas jantan berkenaan nak mengawan).

Oleh kerana suara pekekan dari puan Alang begitu kuat dan cemas maka suaminya juga turut berlari mendapatkannya dan terkejut apabila milihat mawas yang kini tidak pernah dilihatnya menuju kearah mereka. Cepat Meah ambil mencapi, hintu dan perunkan api, teriak suami puan Alang.Dalam kekecohan itu dengan segera puan Meah mengambil mencapi dan mencucuh suluh (daun kelapa kering diikat & anyam) yang memang ada dibawa apabila mereka keluar mengambil rubai dan mengumpulkan kayu-kayu kecil yang kering untuk menjadikan perun api yang besar menyala. Dengan berbuat demikian mawas akan lari kerana takut akan damar atau lilin diatas kepalanya terbakar. Sementara ketiga-tiga mereka berlindung mendekati perun api berkenaan sambil memerhatikan tindakan mawas dari unggun api tersebut.

Mawas berkenaan amat marah apabila melihat api dan cuba mengacah-ngacah dari jauh dengan gaya menerkam serta menghampiri unggun api. Ketiga-tiga mereka naik cemas dan panik apabila melihat mawas menghampiri mereka bertiga ditepi unggun api. Cubalah kita bertahan disini,suara puan Meah menyeru adik dan adik iparnya dan mengikut orang tua-tua dahulu dengan api sahaja yang boleh menakutkan binatang mawas ini dan kita jangan berpecah atau lari, saranan dan kata-kata yang keluar dari mulutnya. Unggun api berjaya di hidupkan dengan turut membakar kayu-kayu kecil disekitar yang mampu dicapai oleh puan Meah yang dicampakan kedalam unggun api, nampaknya mawas semakin panas dan mula berundur sedikit demi sedikit kebelakang, ini kerana bahang unggun api telah terasa dikulit badannya. Tak lama kemudian dilihat mawas berkenaan mula menghilangkan diri kedalam hutan dan tak dapat dilihat lagi oleh mereka. Marilah kita balik kata puan Meah sambil mengarahkan adiknya menyusun daun-daun rubai yang telah dipotong untuk dibawa balik.

1.Mencapi - bermaksud Mancis api.
2.Hintu - menghidupkan api.
3.Suluh - daun-daun kelapa kering dianyam untuk menjadi penyuluh apabila dibakar.
4.Bujam - menyerupai beg yang dianyam dari mengkuang rubai atau mengkuang air.
5.Golok - pisau bersarung dan diikat dipinggang.
6.Parang - Pisau parang.
7.Perun api - unggun api.
8.Menyeringai - menyengih.


Komen Penulis.

Dengan jarak yang begitu dekat ketiga-tiga mereka yang melihat "mawas" ini dapat melihat fizikal dan bentuk badan binatang ini dengan jelas. Dalam penceritaan ini sebanyak dua kali mereka bertemu dengan "mawas" berkenaan dan yang pasti kali kedua mereka boleh bertenang kerana melihat pergerakan yang lambat dari binatang ini dengan tumit kedepan dan mereka segera menghidupkan unggun api.Walaupun kekerapan mereka ini mencari mengkuang rubai didaerah yang berpenghuni dengan binatang mawas ini tapi hanya dua kali sahaja mereka bertemu. Kedua-dua pertemuan ini adalah dengan mawas jantan sahaja. Generasi kita dizaman ini tidak dapat melihat lagi binatang seperti manusia ini lantaran kepupusan kehidupannya,namun penulis mengajak tuan-tuan menyelami peristiwa penemuan mawas ini pada zaman yang ia pernah ditemui.