Khamis, 30 Ogos 2018

BELAT.

Sebagaimana penulis janjikan untuk menerbitkan cerita belat yang menjadi salah satu cara tradisi menangkap ikan di Tasik Air Mati, Padang Marhom Telok Bakong.


Tebing Sungai Perak

Pengenalan "Belat".

Di Kampung Telok Bakong suatu ketika dulu diawal 50an sehingga awal 80an cara penangkapan ikan sungai adalah dengan cara belat. Selain cara penangkapan tradisi seperti serkap, jala, rawai, taut dan sebagainya.Pada ketika ini cara penangkapan ikan tradisi cara belat telah pupus dan tiada sesiapa yang berkebolehan dan berkemahiran bagi menyalin belat bagi kegunaan menangkap ikan. Penulis juga tak berkemampuan untuk menyalin belat sepertimana ayah penulis dahulu kerana dah berpuluh tahun meninggalkan lapangan tersebut. Tasik Air Mati pun sudah benar-benar kelihatan mati dan tiada arus air sungai Perak masuk kedalam kawasan tasik untuk suasana air sebak atau surut berlaku lagi.

Pada masa itu tidak kurang 5 orang atau kumpulan yang menjalankan penangkapan ikan menggunakan belat secara aktif dan sudah tentu setiap keluarga yang terlibat berkemahiran untuk menjalin belat dengan kemas.

Makna "Belat".

Difinisi atau istilah belat dari segi bahasa yang biasa dipertuturkan di Telok Bakong dahulu, semasa Tasik Air Mati masih berair dan penangkapan dijalankan secara aktif.

Belat atau Kelong adalah jalinan (anyaman) bilah-bilah buluh yang dijalin bersama tali sabut atau akar atau pun rotan dan dipasang (mengempang) di anak sungai yang mengalir airnya samaada air sebak (air pasang) atau air surut untuk memerangkap ikan dengan menggunakan "Magun".

Ukuran setiap satu bidang belat adalah setinggi 5kaki, 6kaki, 7kaki serta 9kaki dan ada juga yang 12kaki tapi jarang-jarang pembuatan sedemikian kerana untuk menjalin bilah-bilah belat agak sukar serta memerlukan buluh yang tahan serta ringan. Kelebaran setiap bidang belat bergantung kepada pembuat atau penjalinan belat dan kegunaan kawasan pembelatan. Pendek kata saiz atau kelebaran sesebidang belat tidak ada ukuran standard atau khas terpulang kepada pembuatnya. Ketahan atau usia sesuatu bidang belat agak cepat mereput iaitu dari setahun atau dua tahun dan ada juga sampai tiga tahun. Jika belat tersebut masih terpasang didalam sungai dan usia nya mencapai setahun atau lebih, biasanya jika boleh dipakai pun terpaksa disulam dengan bilah-bilah yang baru dan kerja-kerja sedemikian memakan masa dan berbeza dari membuat yang baru lagi mudah dan cepat.

Buluh atau alat kelengkapan seperti buluh boleh didapati dengan mudah di hutan darat Telok Bakong dan tali sabut yang boleh didapati Telok Intan atau pekan Parit.


Pokok Buluh.

Buluh yang telah siap dipotong.

Dimasa sekarang atas tinjauan rambang penulis, semua bahan-bahan untuk membuat belat tersebut agak sukar didapati kerana arus pembangunan telah melenyapkan banyak jenis-jenis buluh yang telah ditebang dan dimusnahkan untuk laluan tanaman ladang-ladang kelapa sawit dan getah. Tali sabut juga masih ada dijual di Telok Intan tapi tidak mudah untuk diperolehi lagi. Semua belat-belat diTelok Bakong dijalin dengan tali sabut kerana ketahanan tali sabut didalam air serta tidak keras untuk dianyam bersama bilah-bilah buluh.


Pokok Bemban.
Selain tali sabut, tali atau kulit bemban juga digunakan untuk mengikat belat diantara kayu turus. Ianya digunakan bagi mengikat antara bilah belat dengan kayu-kayu turus atau juga bilah bilah penghadang yang dibina sebelum belat dibentang dan diikat keturus kayu.Bemban cukup tahan dengan air serta jangka hayatnya juga boleh mencapai berbulan-bulan.




*Dijalin -bilah-bilah buluh di susun dan dianyam mengikut setiap bilah dengan tali sabut.
*Sebidang Belat - saiz belat ( contoh : Tinggi 5kaki x Panjang bukaan 10kaki)
*Mengempang - memasang/hadangan belat dari kiri tebing sungai/tali air ke kanan tebing.
*Air sebak - air sungai Perak yang mengalami paras air yang naik akibat hujan di hulu dan memasuki  aliran kedalam tasik melalui sungai air mati.
*Magun - magun adalah sebahagian dari belat dan ianya diguna untuk memerangkap ikan-ikan sungai. Ianya berfungsi seperti bubu tapi magun,ikan ikan boleh keluar balik apabila arus sungai surut atau pasang. Oleh itu artikal akan datang akan penulis terangkan fungsi "magun"dengan jelas.
*Turus - diperbuat dari anak-anak kayu yang terdapat disekitar hutan tebing sungai dan berfungsi sebagai kerangka menahan belat yang dipasang.


*Sambungan Artikal akan datang - cara pembuatan Belat.




Tiada ulasan: