Ahad, 20 Februari 2011

MASJID AIR MATI, BOTA.





MASJID BARU KAMPONG AIR MATI.




Jalan Masuk Ke Kampong Air Mati dan 
Makam Sultan Muzaffar Shah 2.


MASJID AIR MATI

.
Masjid ini pada asalnya dibina dari kayu yang dipindahkan dari Masjid Bota Kiri ke Kampong Air Mati, masjid ini mempunyai empat batang tiang utama yang dibuat dari teras kayu nangka. Teras ini dibuat semasa Masjid berkenaan mula dibina di Bota Kiri, orang yang membina tiang teras kayu nangka ini menebang dan memotongnya sendiri serta menyiapkannya khas untuk masjid ini. Tidak diketahui bila masjid ini dibina atau dipindahkan ke Kampong Air Mati, kemungkinan semasa kerajaan Perak di perintah oleh Sultan Perak yang ke 10 iaitu dibawah Sultan Muzaffar Shah 2. Jaraknya Masjid ini dengan makam Sultan Muzaffar Shah 2 adalah kira-kira 250 meter dari masjid ini.



Makam Sultan Muzaffar Shah 2.


Papan Tanda Makam ..

Masjid lama ini terkenal dengan karomahnya serta “Tempayan Bedene”dikalangan penduduk mukim Bota dan Mukim Lambor pada era sebelum merdeka dan pemerintahan Sultan Muzaffar Shah 2 sebagai Sultan perak ke 10.



Tuan Haji Shuib - Setiausaha Masjid Air Mati menunjukkan 
Empat Tiang Teras Nangka yang dikekalkan 
binaannya didalam masjid baru.


Marilah kita selami dulu ayat suci ini dan doa menuju ke Masjid.

Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang.
(QS. An Nuur, 24 : 36)

Doa Menuju ke Masjid

اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا وَفِي بَصَرِي نُورًا وَفِي سَمْعِي نُورًا وَعَنْ يَمِينِي نُورًا وَعَنْ يَسَارِي نُورًا وَفَوْقِي نُورًا وَتَحْتِي نُورًا وَأَمَامِي نُورًا وَخَلْفِي نُورًا وَعَظِّمْ لِي نُورًا

“Ya Allah! Jadikanlah dalam hatiku suatu cahaya, dalam pandanganku suatu cahaya, dalam pendengaranku suatu cahaya, dari arah kananku suatu cahaya, dari arah kiriku suatu cahaya, di atasku suatu cahaya, di bawahku suatu cahaya, di depanku suatu cahaya, di belakangku suatu cahaya dan limpahkanlah kepadaku dengan cahaya.   (H.R.Bukhari- Muslim)


SEJARAH PEMBINAAN MASJID AIR MATI.


Masjid asal di Bota Kiri terletak ditepi sungai dan pemunggahan kayu-kayu masjid telah dilaksanakan secara bergotong royong oleh orang-orang kampong serta kariah masjid Bota Kiri dan pihak Kampong Air Mati. Setelah disiapkan rakit yang besar maka di isilah semua ramu kayu-kayan masjid ke atas rakit untuk dibawa menghilir sungai perak. Setelah semuanya siap berlaku kejadian yang aneh iaitu rakit yang dipenuhi dengan kayu kayan tadi tidak mahu menghilir, bahkan berpusing-pusing sahaja dan didapati rakit berkenaan yang tadi kelihatan elok sahaja telah tenggelam paras lantai rakit. Keadaan ini mencemaskan anak-anak kariah dikedua-dua kampong. Sepatutnya tiada masalah kerana air sungai ketika itu amat deras dan laju serta keadaan rakit yang amat selesa, “tiadakah barang-barang masjid yang utama ditinggalkan disini soal imam” anak kariah menjawab hanya tinggal tempayan “Bedene” sahaja imam, rasanya perlu ke kita bawa bersama tempayan ini !!! marilahlah kita sama-sama berdoa kehadrat Allah supaya kerja-kerja kita pada hari ini dimudahkanNya. Oleh itu bawalah apa sahaja semua barang-barang masjid ini kedalam rakit termasuklah tempayan bedene tadi, sahut imam dengan nada suara yang lembut.



Foto gambaran penulis - 
Raket, kayu-kayan Masjid dan Tempayan Bedene.

Setelah tempayan “Bedene” tadi dinaikan diatas rakit dengan tak semena-mena rakit yang tenggelam paras lantai terus ternaik sebagaimana keadaan asal serta meluncur laju menghilir sebagaimana yang dirancang oleh semua anak-anak kariah.

Setelah pemunggahan kayu kayan kedaratan di Kampong Air Mati selesai bermulalah kerja-kerja gotong royong memasang kembali Masjid di tempat baru. Dan setelah siap sepenuhnya kelihatan Tersergam indahlah Masjid ditempat baru iaitu di Kampong Air Mati.


TEMPAYAN BEDENE.



Disudut inilah Tempayan Bedene diletakan. 



Tin Biskut atau Tin Minyak Tanah = 16 x. 
Sukatan muatan air didalam Bedene. 



Buah Remenia yang muda.

Pengertian Tempayan “Bedene” ini adalah bermaksud bekas atau tempat yang berisi emas karun yang didapati atau yang berasal dari alam ghaib. Masa dulu tempayan inilah digunakan untuk meyimpan air bagi semua jemaah mengambil wuduk. Mengikut ceritanya tempayan tersebut diletakan disudut kanan masjid dibawah pokok remenia (semenia – bahasa tempatan) atau pun bahasa yang mudah pokok kundang. Muatan air didalam tempayan ini bersamaan dengan 16 tin minyak gas/tanah atau kira-kira  256 liter air atau 64 gelen air. Tempayan berkenaan telah pecah disebabkan ditimpa oleh dahan remenia yang patah lalu jatuh diatas tempayan berkenaan, kejadian ini berlaku kira-kira diakhir tahun 1890an. Bagi mengekalkan tempayan bedene ini dimasjid tersebut semua pecehan-pecahan tempayan berkenaan diletakan dibawah kolah air tempat mengambil air sembahyang (wuduk) semasa pembinaan kolah tersebut.



Buah Remenia atau menia.


Menurut cerita Tuan Haji Shuib pernah suatu ketika dahulu sepasang suami isteri mengalami masalah kerumitan rumah tangga dengan perhubungan suami isteri yang tidak bertegur sapa serta selalu bermusuhan. Setelah puas berubat hingga ke Johor serta sampai ke utara iaitu Perlis penyakit atau masalah suami isteri ini tetap juga begitu tanpa ada jalan penyelesaian. Maka setelah dinasihatkan supaya mengambil wuduk dengan air tempayan “Bedene” ini serta bersembahyang sunat bermohon didalam masjid ini supaya segala masalah rumahtangga mereka akan menemui hidayah dari Allah, si isteri telah bersembahyang sunat didalam masjid dengan ditemani oleh suami dan anak-anaknya dan ketika dalam sembahyang sunat tersebut isteri telah jatuh pengsan dan sempat di pangku oleh si suami diribaannya. Apabila si isteri tersedar maka berpelukanlah anak-anak serta suami isteri tersebut sesama mereka dan dari situlah masalah rumah tangga pasangan tersebut terus selesai dan tidak lagi bergaduh dan aman damai hingga ke akhir hayat. Begitulah karomah masjid kampong Air mati ini yang begitu sinonim dengan cerita tersebut dari generasi ke generasi sehinggalah sekarang. Cerita ini merupakan salah satu cerita yang berlaku didalam masjid ini dan banyak lagi cerita berkenaan masjid ini, hanya generasi yang lahir sebelum merdeka yang banyak menyimpan cerita tentang masjid ini.


PEMBINAAN MASJID BARU.


Masjid baru dibina pada tahun 2008 dan kini masjid lama telah menjadi sejarah dan kenangan sahaja pada generasi baru. Penulis tak dapat merakam gambar masjid lama kerana tiada foto yang disimpan didalam masjid. Walaubagaimana pun tiang teras nangka didalam masjid lama masih dikekalkan dengan menanamnya didalam kerangka batu dikeempat-empat tiang didalam masjid baru. Dengan RM50,000 sumbangan dari kerajaan serta selebihnya dari 200 penderma maka terbinalah masjid baru di Kampong Air Mati ini dengan kerja kuat yang diketuai oleh Setiausahanya Tuan Haji Shuib bin Ahmad serta barisan Ahli Jawatankuasanya yang dipimpin oleh Pengerusi Masjid iaitu Tuan Haji Abdul Shukur bin Haji Khalid dan hanya Allah sahaja akan membalas segala amal jariah yang dilaksanakan oleh kesemua Ajk-ajk yang mendirikan rumah Allah ini.



Laluan pintu masuk utama untuk kedalam masjid.



Senarai AhliJawatanKuasa Masjid.



Mimbar.



Ruang Pejabat Masjid.



Bilik Mesyuarat Masjid.



Dewan masjid.


Kerantong-Beduk (Nakuih)


Pihak Jawatankuasa Masjid Air Mati ini masih mengekalkan kehadiran Tempayan di sekitar kawasan tangga masjid dan kaki limanya. Walau pun tiada lagi kehadiran Bedene tapi kehadiran tempayan-tempayan berkenaan adalah bagi mewujudkan ingatan kepada suatu masa dahulu bahawa Masjid Air Mati ini pernah mempunyai Tempayan Bedene yang cantik serta besar untuk menampung semua jemaah  mengambil wuduk bagi menunaikan sembahyang waktu di Masjid Air Mati ini.



Kelihatan tempayan biasa di letakan dikaki lima masjid.



Takungan air masih diwujudkan didalam tempayan.




Tempayan yang muatannya mungkin 3 tin minyak 
tanah sahaja berbanding "Bedene" 16 tin.


Kediaman Setiausaha Masjid Air Mati ini tidak jauh dari kawasan masjid, rumah kediaman Tuan Haji Shuib  hanya berhadapan atau seberang jalan masjid ini sahaja dan beliau merupakan menantu kepada Hajjah Nobah dan isterinya Allahyarhamah Hajjah Che'Ah merupakan piut Ngah Pidup (rujuk salasilah Ngah Pidup).




 Tuan Haji Shuib bin Ahmad didepan rumahnya.




Kereta Datsun kesayangan beliau yang masih beroperasi dengan baik untuk meluncur kemana-mana destinasi yang diarahkan oleh Tuan Haji Shuib.Kelihatan juga bangunan masjid dibelakang gambar ini.




Rumah kediaman Tuan Haji Shuib berhadapan dengan masjid.


Marilah kita lihat dan dalami doa untuk ke rumah ibadat ini serta mengamalkannya .


DOA UNTUK KE MASJID.


Rabu, 16 Februari 2011

SALASILAH TOK KADOK (ANDAK MUNDAM 7)




SURAU AL-MAKBULLAH
KAMPONG PADANG MARHOM TELOK BAKONG HULU.





SALASILAH ANDAK MUNDAM 7


Dari makulumat salasilah iaitu keturunan jurai ini berada dimerata tempat iaitu di Klang, Kroh, Ipoh, Kuala Lumpur serta ditempat-tempat lain.Penulis hanya mengenali Tuan Haji Yeop Majlis dan isterinya sahaja dari jurai keturunan Andak Mundam 7 ini kerana bekas guru Besar Sekolah Menengah Sultan Muzaffar Shah 1 adalah Dato' Ahmad Hambal bin Yeop Majlis iaitu anak kepada pasangan tersebut. Seorang lagi sahabat saya dari  anak Tuan Haji Yeop Majlis adalah Encik Jamaluddin, sekolah SMDRY Cawangan Telok Bakong sehingga tingkatan 3 (1977). Marilah kita sama-sama menyusun kembali salasilah berkenaan untuk tatapan serta rujukan generasi akan datang. Berilah info sekiranya ada penambahan atau ada kekurangan dari jurai ini untuk sama-sama kita betulkan serta jelaskan untuk faedah kita bersama. 



IKAN TAPAH.





Tuan Haji Yeop Majlis.



    Puan Che'Mi (MAI).




Rumah Kediaman Tuan Haji Yeop Majlis
di Telok Pedayung Lambor Kanan.




Tuan Haji Hashim dan Puan Hajjah Arbain


Tuan Haji Hashim adalah dari jurai Salasilah Tok Kadok (Andak Mundam 1 Salasilah Alang Sumat dan Pandak Demat- Jurai Long Rakta) dibawah Jurai Kulop Mat Shah iaitu anak Alang Mayen (Yen) manakala Puan Hajjah Arbain dari Salasilah Tok Kadok (Andak Mundam 7) dibawah jurai Alang Sumun.



Gambar Hiasan - Istana Alam Shah 1905.



Tugu Keris - Klang selangor.


 .
 Pelabuhan Klang.



Masjid Baru di Klang.



Bandaraya Kuala Lumpur .



Stesyen Kereta Api - Ipoh.




Selasa, 15 Februari 2011

ADAT " NIKAH PANJAT RUMAH".DI MUKIM LAMBOR.


GAMBAR HIASAN BAGI ADAT MEMANJAT.


"ADAT NIKAH PANJAT RUMAH"


Masyarakat di Lembah Sungai Yalong didaerah Yajiang di Negara China sememangnya mengamalkan “Adat nikah panjat rumah” sehingga kehari ini dan yang dimaksudkan dengan adat panjat Rumah tu ialah lelaki atau pemuda dan perempuan yang telah dewasa (gadis atau anak dara) boleh mencari jodoh dengan pilihan sendiri. Pada hari yang telah dijanjikan pihak gadis akan menemu janji jejaka idamannya dan pada sebelah malamnya pula  jejaka atau pemuda tersebut akan menemui gadis berkenaan. Pemuda tersebut hendaklah masuk dengan melalui tingkap yang dipanjat melalui dinding rumah sigadis yang telah sedia membuka tingkap. Setelah bermalam di bilik sigadis sebagai suami isteri,sang jejaka haruslah keluar dari rumah itu melalui tingkap tadi sebelum hari siang. Maka sahlah perkahwinan antara pemuda dan gadis tersebut,mungkin selepas itu diadakan majlis rasmi perkahwinan tersebut mengikut tradisi kedaerahan. Terdapat juga pantang larang adat-adat ini disana.


 Kelihatan seorang pemuda di China sedang
menjalankan adat "Nikah Panjat Rumah"




Rumah Adat di Kampar Indonesia
(Lancang - Pencalang)


Di daerah Kampar Indonesia juga ada adat dipanggil “panjat adat” dan “Panjat Angkara” (Adat-adat Perkahwinan didaerah tersebut) selain dari adat perkahwinan yang lazim dijalankan oleh orang-orang melayu disana..


Rumah kediaman di Kampar.


Panjat adat adalah dengan si pemuda ini yang berasa kecewa peminangannya ditolak oleh orang tua atau keluarga gadis berkenaan dan si pemuda  mengirim sebilah keris melalui wakilnya kepada keluarga gadis serta sanggup membayar dua kaliganda emas kahwinan mengikut kadar adat yang ditetapkan. Jika keluarga gadis menolak maka keluarga gadis berkenaan kena bayar dua kali ganda mas kahwinnya pula kepada pemuda tersebut.Ini merupakan adat lama yang hanya tinggal sebagai catatan warisan budaya masyarakat dahulu didaerah ini.



Ini panjat Angkara yang merbahaya.

Panjat Angkara pula bermaksud seorang pemuda yang sangat kecewa kerana peminangannya ditolak oleh keluarga sigadis dan membawa keris ke rumah gadis dengan maksud ingin mengambil gadis berkenaan secara paksa bagi memperisterikannya. Tidak diketahui adakah adat ini dimasa dahulu dipakai atau hanya dicatat sebagai peninggalan adat sahaja dan tidak dipakai.

Sumber : http://www.butang-emas.net/search?q=panjat+angkara


CARA ADAT "NIKAH PANJAT RUMAH" DI MUKIM LAMBOR.


Keris dihunus cara beradat dan bersopan.

Selain dari adat biasa amalan perkahwinan didalam masyarakat Lambor ini seperti merisik,meminang dan seterusnya majlis perkahwinan, sebegitu adalah adat yang lumrah yang kita ketahui didaerah Lambor ini. Tahukah anda bahawa di daerah Lambor atau Mukim Lambor juga suatu ketika dahulu terdapatnya “Adat perkahwinan atau menikah dengan memanjat rumah” caranya agak berbeza dengan adat-adat nikah panjat rumah yang penulis terangkan diatas.

Setelah proses biasa merisik dan seterusnya meminang dilakukan dan keputusan peminangan ditolak atau terus saja seorang pemuda inginkan pada sigadis untuk menjadi calon isterinya tanpa risikan atau meminang lantaran kekurangan kewangan dan berbagai sebab lagi,maka kebiasaannya dengan diketuai oleh seseorang yang berpengaruh didalam masyarakat akan mengetuai adat memanjat ini. Ketua tersebut akan mengetuai risikan keadaan dirumah bakal bapa mertua si pemuda, samaada dari segi keselamatan, persekitaran dan selok belok rumah berkenaan. Setelah semuanya difikirkan bersedia dan lengkap oleh seseorang ketua berkenaan, hasrat memanjat rumah berkenaan pun dilaksanakan dengan didahului memberi salam oleh rombongan (hanya ketua sahaja muncul dahulu dan ahli rombongan menyorok dibawah rumah seketika, terutama bakal pengantin) tersebut maka terbuka luaslah pintu rumah berkenaan untuk ketua rombongan masuk. Dan dengan kesempatan pintu terbuka luas si pemuda pun meluru masuk dengan menaiki tangga (memanjat ) dan proses “Adat Nikah Panjat Rumah” pun bermula.



Dengan menghunus keris dan menyerahkannya kepada bakal pak mertua secara sopan dan dengan ayat sebagaimana berikut , “Ayah mentua, saya serahkan keris ini kepada ayah dan saya umpama kain nan putih, buatlah corak mana yang ayah inginkan dan saya serahkan diri saya kepada ayah” keadaan ini lebih kepada penyerahan diri untuk dijadikan menantu kepada anak gadis tuan rumah atau bakal pak mertua. Adat memanjat ini biasanya diterima begitu sahaja dan diikuti pula dengan rundingan antara ketua rombongan dengan bapa atau ayah si gadis. Ini termasuk rundingan kadar emas kahwin,hantaran dan tarikh majlis perkahwinan untuk ditentukan pada masa itu juga. Kadar emas kahwin yang ditetapkan oleh bapa si perempuan biasanya tinggi kerana cara memanjat ini lebih kepada memaksa persetujuan dari keluarga disebelah perempuan dan peluang meletakan kadar emas kahwin yang tinggi adalah biasa. Tarikh perkahwinan yang ditetapkan adalah dalam lingkungan seminggu atau dua minggu sahaja dari tarikh memanjat tadi dan tiada beza dari adat merisik, meminang dan hari berlangsungnya perkahwinan tersebut yang lumrah sebagai tradisi perkahwinan melayu dizaman itu dan dizaman ini. Ramai juga bilangan masyarakat waktu itu memakai adat “Nikah Panjat Rumah” ini dan mereka kekal sehingga ke akhir hayat. Waktu atau masanya adat ini berbagai waktu, ada yang lepas Isyak, Maghrib dan tak ketinggalan selepas atau sewaktu Subuh. Kelazimannya adat ini dilakukan sebelah malam kerana majlis adat ini macam serangan hendap (ambush) jika didalam askar.



 Gambar Hiasan - Sebuah Majlis Rundingan Pertunangan
di Kampong Telok bakong sewaktu masa dahulu.




 Gambar Hiasan - Majlis Perkahwinan Anak Puan Embang Ngah Man 
dan Kamaruddin (Munai) di Kampong Telok Bakong.


Kini adat tersebut telah pun pupus ditelan di zaman dengan perubahan zaman serta minda masyarakat yang lebih terbuka untuk generasi sekarang memilih calon suami atau pun isteri dan tiada lagi adat tersebut di lakukan ketika zaman kemerdekaan Negara. Di Mukim Lambor ini adat “Nikah Panjat Rumah” mungkin dibawa dari tanah seberang dengan disesuaikan mengikut perpindahan serta resam kehidupan dizaman Tok Kadok dan Maharaja Lambor dahulu.

Wallahualam.

Ahad, 13 Februari 2011

ZIARAH KERUMAH HAJJAH ASMAH BT PANDAK LOGAM (PEMEGANG KANCING EMAS TAPAH)



EMAS KANCING TAPAH.




PUAN HAJJAH ASMAH BT PANDAK LOGAM BIN PANDAK DEMAT.



Encik Ahmad dan Encik Daud bersama Hajjah Asmah.

Untuk makluman tuan puan pemegang atau penyimpan emas tapah (Emas Kancing) puan Hajjah Asmah berada dirumah anak saudaranya kerana telah uzur dan ketika ini beliau menyatakan berusia awal 90 tahun berbanding encik Ahmad yang berpangkat anak saudara beliau yang berumur 85 tahun dan kedua-duanya  didalam jurai Pandak Demat. Kunjungan ke  kediaman anak saudara Hajjah Asmah dilakukan pada 13/2/2011 Ahad di Selayang. Encik Ahmad adalah anak nombor 2 kepada Anjang Jariah (Anjang Jariah dan Hajjah Asmah adalah adik beradik sedatuk (sepupu) dan disebelahnya adalah encik Daud bin Tuan Haji Sulaiman iaitu anak kepada pemegang emas berkenaan sebelum ini (Tuan Haji Sulaiman bin Pandak logam). Waris mereka di Kampung Tua masih menyimpan air rendaman emas tapah dan pesanan beliau sesiapa pihak waris Tok Kadok yang terkena sumpahan ikan tapah masih boleh mengambil air rendaman tersebut yang disediakan dikampong.Beliau merasakan amat rindu kepada rumah dan kampong halaman di bt 16 tapi apakan daya usia dan kesihatan adalah penghalang kepada tujuan dan hasrat tersebut.Semoga puan Hajjah Asmah sihat selalu dan dalam lindungan Allah jua.



Gambar Puan Hajjah Hasmah beberapa tahun yang lalu. 



Rumah Hajjah Hasmah di Kg Tua Bt 16 Lambor Kanan.






Ahad, 6 Februari 2011

SERANGAN SIAM KE TANAH ABANG (CERITA LAGENDA RAKYAT)





BUAH SUKUN. 


BUAH SUKUN SEDANG DIMASAK.


Sebagai selingan dalam pencarian salasilah keturunan Tok kadok marilah kita ikuti cerita ini yang melibatkan buah sukun dan jelatang gajah serta kehebatan orang Perak dalam menyelamatkan kerajaan mereka dari serangan bala tentera siam atau negeri Gajah Putih sebagaimana disebut oleh orang dahulu dimukim Lambor ini.

Sebenarnya banyak cerita-cerita lagenda rakyat yang diceritakan oleh orang tua-tua dahulu tentang peristiwa serangan tentera siam keatas Tanah Abang dan Padang Marhom serta semasa kerajaan Perak berada di Kampong Tua Lambor Kanan. Sesetengah orang menceritakan makam Toh Maharaja Lambor dan pengikut-pengikutnya berada di sekitar Kampong Tua, kemungkinan juga betul tapi oleh kerana semakan dan kajian tidak dibuat,maka cerita dan sejarah tidak dapat dibuktikan untuk tatapan generasi akan datang dan kini..Sejarah tersebut amat berharga untuk diketahui oleh generasi sekarang, agar semangat dan jasa orang terdahulu dikenang disepanjang zaman oleh anak cucunya.

Sebuah catatan menyatakan Kerajaan Kedah dan Siam telah menyerang Tanah Abang. Kenapa Tanah Abang dan Padang Marhom diserang oleh kedua-dua Kerajaan tersebut. Catatan sedemikian seharusnya dibaca oleh pihak yang berwajib berkenaan melakukan serangan terhadap Kerajaan Negeri Perak yang pada masa itu berada di Tanah Abang. Jika tidak, tiada sebab kenapa Tanah Abang seharusnya diserang oleh mereka.

Maka setelah terdengar khabar ke Negeri Siam iaitu setelah Sultan Muzzafar Shah ditabalkan sebagai Sultan yang pertama negeri Perak maka askar-askar daripada negeri Siam telah dihantar untuk melanggar dan menakluk negeri Perak yang baru sahaja berkerajaan sendiri. Mereka datang dengan angkatan yang besar dan Sultan Muzzafar Shah 1 serta orang-orang Perak telah menyambut mereka cara damai dan bermuslihat. Mereka sediakan makan minum dan tempat-tempat bagi askar-askar siam berehat dan melepaskan lelah setelah belayar jauh dari Negeri Siam . 


Pokok dan Daun Jelatang Gajah 


Orang-orang Perak telah masakkan berkawah-kawah nasi dengan bertungkukan buah-buah sukun yang besar yang dipetik daripada pokok-pokok buah itu yang banyak disekeliling Kampong Padang Marhom. Buah sukun yang dijadikan tungku itu sudah masak dan sedap dimakan, maka tentera Siam yang memerhatikannya hairan melihat perkara itu yang mereka anggap ganjil kerana mereka menyangkakan ubi yang biasanya jadi di dalam tanah telah berpokok pula. Selepas tentera Siam itu dijamukan makan-minum maka disediakan pula tempat mereka hendak tidur. Oleh itu, telah disediakan satu tempat yang lapang dengan bertikarkan daun jelatang gajah yang banyak tumbuh disekitar Padang Marhom. 




Sungai Perak yang deras dan dalam. 


Apatah lagi apabila mereka tidur di malam itu maka masing-masing mereka telah terkena rasa yang amat gatal  dari daun jelatang gajah tersebut,oleh kerana tubuh mereka bersentuh kepada tikar-tikar jelatang gajah itu sehingga mereka masing-masing tidak tertahan lagi lalu terjun ke Sungai Perak yang berhampiran yang terlalu deras airnya dan setengah daripada mereka telah hanyut dibawa arus yang deras itu dan langsung mati. Mana-mana tentera Siam yang masih tinggal lagi terus cabut lari pada malam itu juga kerana mereka telah memikirkan iaitu alangkan daun kayu kayan yang tumbuh di negeri itupun lalu melawan mereka dan tungku-tungku tempat mereka memasak nasi pun boleh dimakan apatah lagi orangnya melawan berperang. Tentulah mereka tewas, maka selamatlah kerajaan Perak ini dari bijak pandai dari seorang Sultan  yang berketurunan dari Melaka ini. Turutan dengan peristiwa ini Sultan ketika itu telah mengarahkan supaya mengorek parit dan tanah dari korekan parit tersebut dibina binaan kubu yang tinggi lagi kukuh untuk mempertahankan Tanah Abang dari serangan musuh-musuh khususnya serangan dari tentera Siam atau Gajah Putih. 



Parit Siam. 

Parit tersebut dibina dengan mengatur rakyat jelata beramai ramai dari Air Mati hingga ke Tanah Abang bagi menghulur tanah-tanah yang dikorek dari parit tersebut dari tangan ke tangan sehinggalah binaan kubu tersebut siap. Parit berkenaan dikorek sehingga dari muka (muara) Air Mati sehingga lah ke Kampong Sedingka. Air dari aliran parit ini digunakan oleh penduduk setempat untuk mengairi bendang-bendang yang luas di Kampong Sedingka dan Padang Pak Beruk (Padang Changkat). Parit tersebut telah dinamakan dengan nama Parit Siam, sehinggalah ke hari ini parit tersebut telah mengecil sebesar sebagaimana foto diatas..Menurut ceritanya disebelah hilir Padang marhom ditepi sungai merupakan kawasan lapang atau padang dan disitulah ditempatkan semua bala tentera siam berkenaan.



Bendang Padi. 


* Cerita ini diambil dari cerita-cerita orang tua yang terdahulu dan dari mulut kemulut dah jadi macam-macam cerita dan penulis blog mengatur dan menyusun kembali kesemua cerita tersebut dan dipadankan dengan beberapa cerita yang lain pula tetapi ianya tidak lari dari cerita asal iaitu Siam menyerang Tanah Abang serta cerita kepandaian bermuslihat oleh seorang Sultan serta orang-orang Besar Perak ketika itu.Wallahualam.


Khamis, 3 Februari 2011

SALASILAH TOK KADOK (ANDAK MUNDAM 6).


MASJID JABARIAH LAMBOR KIRI.




SALASILAH ANDAK MUNDAM 6

Dari jurai Andak Mundam 6 ini jika mengikut catatan salasilah kebanyakannya terdapat di Lambor Kanan dan Kiri. Marilah kita sama-sama mencari susur galur keturunan ini supaya bertemu kembali mereka-mereka yang mencari salasilah keluarga Tok Kadok ini dengan memberi info sedikit sebanyak kepada penulis blog untuk mengatur kembali salasilah dari generasi terdahulu hingga ke generasi terkini.

Ada pihak waris atau keturunan Tok kadok ini masih ragu-ragu dan bertanyakan soalan yang berbunyi begini :-
dizaman moden ini adakah lagi sumpahan ini ? dan mereka rasakan hanya pantang larang ini masih boleh dipakai pada peringkat yang tua-tua sahaja, manakala diperingkat sekarang sudah tidak berkesan lagi. Penulis tidak mengulas banyak tentang persoalan sumpahan ini, sesiapa yang merasakan mereka telah terkeluar dengan pantang larang ini boleh lah membuat keputusan mereka sendiri dan tak siapa pun yang melarang untuk menjamah ikan tapah serta akibat darinya. Bagi kami bukan sumpahan itu yang perlu dipertahankan tapi pesanan atau akibat dari sumpahan itu kepada kita dan belum tentu penyakit gatal tu boleh sembuh sepenuhnya jika kita sengaja melanggar pantang larang berkenaan serta meminum penawar air emas tersebut.  Banyak pertanyaan dan persoalan diajukan kepada penulis blog tentang pantang larang tersebut dan mereka telah pun berpendapat pantang larang menjamah ikan tapah telah pun berakhir. Terpulang pada pandangan masing-masing dan penulis blog hanya memberi pandangan sendiri sahaja dan mengutamakan pencarian salasilah keturunan Tok Kadok disamping sumpahan atau pesanan orang tua-tua yang lebih dahulu dari kita.

Berdasarkan perkembangan semasa masih ada keturunan Tok Kadok ini kembali ke Kampong Tua Batu 16 bagi mencari penawar air rendaman emas tapah ini, kerana termakan ikan tapah dimerata tempat di Malaysia. Pihak waris yang menyimpan emas ini telah menyediakan air kerongsang emas tersebut didalam bekas bagi sesiapa sahaja yang memerlukannya, silalah bertemu pihak waris di Batu 16 jika memerlukan air rendaman emas berkenaan. Adat kenduri arwah doa selamat sebelum bulan puasa pun masih berjalan sebagaimana penyimpan-penyimpan emas berkenaan yang terdahulu sehingga kini.

Cuba lihat keindahan rumah kediaman di Mukim Lambor ini........................................................



Rumah Lama yang patut dikekalkan .



Rumah Kediaman di Lambor Kanan.



Rumah Pusaka yang cantik - di Lambor Kanan.



Rumah Tuan Haji Sufian Lambor Kanan.



 Di Kampong Tanjung bt 16.



Rumah yang terdapat di Tanjung Bt 16



Rumah Kediaman di Bt 16.



Laluan Ke Changkat Kulop Mali



Rumah Kediaman yang sangat indah dan menarik.



Sungai Perak.



Sungai Perak yang Indah



 Bendang Padi



Sungai Perak yang Bersejarah.