Suatu ketika dahulu sebelah darat
Telok Bakong terdapat hutan tebal yang ditumbuhi oleh pokok-pokok kayu balak
dan didiami banyak binatang-binatang liar seperti pelandok, kijang, rusa, napuh
serta binatang liar yang lain termasuk la binatang buas seperti harimau, ular
sawa , mawas dan sebagainya. Pada hari ini tidak terdapatnya binatang-binatang
seperti itu lagi malah yang banyak hanya kera dan babi hutan. Dulu babi hutan
ni tak akan berani nak menghampiri kawasan kampong pun, kini apabila suasana
makin berubah yang berusia telah pun tersimpan di Changkat Melintang serta
generasi muda merantau meninggalkan kampong (seperti penulis) maka kesunyian
kampong makin terserlah dan kerbau pendek ni pun bebas merayau di waktu malam
dikawasan kampong kerana banyak rumah-rumah dipersekitaran telah tiadanya
berpenghuni. Ada peristiwa atok balik
dari surau dan masjid terlanggar babi dengan motor dan meninggal dunia
kerananya, penulis juga pernah terserempak dengan kenderaan melanggar mahluk ini
dan penulis sempat mengelak dari melanggarnya.Kalau dulu peristiwa begitu tidak
kedengaran,kalau ada pun melanggar kerbau dan kambing saja tidak pula binatang
tersebut dan ianya perkara biasa ketika itu lantaran binatang ternakan
orang-orang kampong tidak dikandangkan atau terlepas dari pagar padang “Koba”(Padang
Kerbau). Penulis ingin membawa tuan-tuan kesuatu peristiwa dizaman tuan bad
(zaman J.W.W Birch) tapi bukan soal kepahlawan Maharaja Lela atau Tok Sagor
tapi kehebatan seorang Opah atau nenek dengan peranannya pada ketika itu.
Teh Linggam binti Uda Nahu.
Teh Linggam bt Uda Nahu adalah
isteri kepada Uda Malak dan mempunyai enam cahaya mata, lima lelaki dan seorang
perempuan. Uda Malak merupakan seorang pandai besi dan membuka sebuah “Apo”
(bengkel besi)yang tapaknya disebelah belakang rumah penulis atau didaerah Telok
Bakong Tengah. Ramai orang kampong-kampong berdekatan seperti dari Pulau Tiga
,Kampong Gajah serta dari luar negeri Perak sendiri iaitu dari Kampar Indonesia
dan sempadan Siam menempah peralatan seperti keris,lembing dan pedang,
disamping peralatan kegunaan harian. Suasana Kampong Telok Bakong waktu itu begitu
tenang dan damai walau pun ada ancaman peperangan dan kekecohan suasana,
tiba-tiba riuh rendah penghuni desa ini dengan serangan seekor Helang yang
besar terhadap binatang ternakan khususnya ayam belaan dirumah masing-masing.
Helang ini cukup bijak, menyerang binatang ternakan orang-orang kampong tanpa
disedari oleh pemiliknya, berbagai ikhtiar dilakukan untuk menangkap helang
berkenaan dengan menahan jerat serta perangkap berumpan ayam tapi tidak juga berhasil.Umpan
habis disambarnya tapi jerat tak mengena juga.
Foto hiasan - Bengkel "Apo"
Peralatan yang ditempah didalam "Apo".
Inilah bekas tapak "Apo"
ditepi tali air (dah jadi jalan tar sekarang)
Dengan kerjasama orang-orang
kampong yang mempunyai senapang, mereka telah mengumpulkan pasukan penembak
yang mahir menunggu helang ini bagi memusnahkannya dan banyak helang gugur
ditembak, tapi helang yang mengganas tidak juga berjaya ditembak.Seolah olah
peluru yang ditembak tidak lut dibadan helang berkenaan kerana tembakan tepat
pun ianya tidak mencederakan binatang berkenaan. Saiz helang ini cukup besar
dan selera makannya juga cukup banyak. Berbulan lamanya pasukan penembak ini
mengintai laluan dan sarangnya tapi tidak juga menemui tempat persembunyiannya,
mungkin diatas gunung atau bukan didaerah sini. Maka makin hari makin pupusnya
ayam ternakan orang kampong kerana habis dibedal oleh helang tersebut, “teh ….ape
pikior nye dengan helang yang mengganas ni ” kata Tok Uda Malak kepada
isterinya pada suatu petang didalam aponya, “aye pikior bior le aye pulak
mencobe nembak helang tu” sapa isteri kepadanya.
Ala…munkalu helang tu nengok Teh dengan senapang,guling pering ianye ketawa…..sahut
Tok Uda Malak melawak dengan isterinya. Ate kalau puak (lelaki)mike pun tak dapat
menembaknye, ce tengok teman nanti…luroh ke idak helang tu…..Teh Linggam
menyahut cabaran suaminya. Suke mike le…….teman nak nengok …..kata Tok Uda Malak.
Foto hiasan - Anjang Bee & Puan Hjh Rahmah.
(mungkin beginilah senapang waktu itu).
Setelah keesokan harinya kira-kira
selepas waktu Asar Opah Teh Linggam pun bersiap dengan kain batik kelubung
menutup badan menghindari panas matahari dan mencapai senapang “oncoi” dua
laras yang tersimpan dirumah beliau dan mengisi peluru serta turun menuju rumah
“Apo”. Tok Uda Malak tak terkata apa apabila melihat isterinya dalam keadaan
memegang senapang berkenaan dan dari gerak hatinya waktu begini lah helang
berkenaan mencari mangsa dipesekitaran kampong. Kebetulan orang kampong ramai lagi didalam
apo dan masing-masing memandang sinis sahaja terhadap kemampuan opah Teh Linggam,apakah
mampu helang berkenaan ditawan atau terpelantingkah opah dihentak laras
senapang berkenaan bila melepaskan tembakan nanti dan bermacam lagi sangkaan didalam
benak fikiran masing-masing terhadap perempuan kecil molek dan berusia ini.
Dengan memikul senapang berkenaan
beliau melangkah keluar dari apo milik suaminya dan kira-kira beberapa ela
sahaja dari sudut apo itu, Teh Linggam telah pun melepaskan satu das tembakan
keudara setelah melihat seekor helang besar merayap rendah, lalu berdebab bunyi
benda jatuh dan semua orang didalam apo berkenaan keluar melihat Opah Teh Linggam
telah berjaya menembak helang yang banyak menyusahkan binatang ternakan
orang-orang kampong. Mereka bersorak kegembiraan kerana seorang perempuan yang
berusia mampu menembak dengan tepat memusnahkan seekor helang yang amat sukar
ditewaskan.
*Cerita ini memberi pengajaran kepada
kita bahawa seorang perempuan telah dipandang rendah,bukan sahaja dikalangan
manusia tapi oleh seekor binatang buas seperti helang berkenaan. Jadi oleh
kerana sifat memandang rendah inilah helang berkenaan telah jatuh ketanah dibaham
oleh peluru senapang “Oncoi”.Bila seorang lelaki memikul senapang atau kayu
panjang dipikul dibahu, maka kebanyakan binatang menyangka ianya adalah senapang
tapi apabila seorang perempuan memikul senapang sekali pun (bukan kayu panjang)
binatang berkenaan tidak menyangka ianya adalah sepucuk senapang. Faktor kedua,
orang melayu dulu terkenal dengan pandai menembak walau pun tidak selalu
melakukannya kerana ilmu yang mereka miliki iaitu “ilmu penunang” . mungkin
ramai dikalangan tuan-tuan yang mengetahui ilmu-ilmu berkenaan.
- · Senapang “Oncoi” – senapang buatan sendiri dan apa sebab dinamakan oncoi tidak diketahui oleh penulis.
- · Apo – merupakan sebuah bengkel tukang besi atau pandai besi, perkataan apo ni pula tidak diketahui berasal dari mana kerana dizaman ini perkataan berkenaan tidak digunakan lagi malah bengkel berkenaan pun sudah tak wujud.
· * “teh ….ape pikior nye dengan helang yang
mengganas ni ” – bermaksud “ apa fikiran isterinya iaitu teh terhadap helang
yang mengganas”.
· * “aye pikior bior le aye pulak mencobe nembak
helang tu” – Pada padangan saya biarlah saya yang mencuba menembak helang
tersebut.
· * Ala…munkalu helang tu nengok Teh dengan
senapang,guling pering ianye ketawa – bermaksud jika helang berkenaan melihat Teh
Linggam (perempuan)dengan senapang, helang berkenaan akan ketawa sahaja atau
mamandang rendah keupayaan seorang wanita.(ketawa bergulingan)
· * Ate kalau puak (lelaki)mike pun tak dapat
menembaknye, ce tengok teman nanti…luroh ke idak helang tu (Jika lelaki pun gagal menembaknya,cuba lihat
saya menembaknya nanti jatuh ketanah ke tidak)
· * Suke mike le…….teman nak nengok …..( Suka
awaklah saya nak lihat).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan