Selasa, 6 September 2011

MAKAM TOK TAJUK.


Allahyarham Ki'ai Arshad bin Ahmad Gamat 
( bersongkok disebelah kiri )

Negeri Pahang adalah antara negeri yang sering dikaitkan juga dengan cerita Sumpahan Tok Kadok selain Mukim Lambor di Negeri Perak Darul Ridzuan. Saya tak pasti kenapa negeri Pahang sering dikaitkan atau ada kena mengena dengan kisah Tok Kadok, mungkin penghijrahan sejak dulu lagi atau ada kaitan dengan salasilah keturunan akibat peperangan serta peneroka penempatan baru seperti perlombongan dan Tanah Rancangan. Dari pengalaman penulis daerah Pekan dan daerah Temerloh adalah berkaitan dengan kisah tersebut selain di daerah Bentong dan Kuala Lipis. Dalam mencari salasilah keturunan Tok Kadok mungkinkah makamnya berada di sekitar semenanjung Tanah Melayu ? pihak kami cuba menyingkap kisah lampau. Setelah merujuk kepada orang tertua di Kampong Sungai Duri daerah Penyor Pekan Pahang iaitu Allahyarham Tuan Haji Mat mengenai wujudnya satu makam di daratan sungai Mentagan yang dikesahkan bernama Tok Tajuk ketika itu. Adakah ianya Tok Kadok, apakah orang-orang didaerah ini tersalah sebut dengan lohgat kedaerahan mereka iaitu Tok Kadok disebut Tok Tajuk.

Bersama Kiai Arshad kami cuba meleraikan persoalan makam Tok Tajuk tersebut, kisah ini berlaku disekitar tahun 1980an, lokasi tempat yang dinamakan Pulau Mentagan ini terletak kira-kira 20km dari Pekan kecil Sri Jaya, Maran Pahang atau 4km dari Kampong Belimbing (jeti bot penambang untuk ke Tasik Chini) dan kira-kira 3km dari Sri Makmur. Dengan kebolehan beliau sebagai Tok Kiai maka beliau pun berkunjung ke Makam tersebut dengan tatacara bertafakur serta berwirid dan menurutnya makam ini bukan milik moyang kita "Tok Kadok". Memang nama hampir sama tetapi bukan milik Tok Kadok. Beliau pernah bertanya kepada bapanya iaitu Ahmad Gamat bin Alang Sumat, adakah makam Tok Kadok berada di Semenanjung Tanah Melayu atau di daerah Kampar, Siak Sumatera Indonesia ? kalau mengikut cerita Alang Sumat memang makam Tok Kadok berada disana. Pihak kami mencari kepastian sahaja lantaran kebolehan Tok Ki'ai yang sememangnya diakui diwaktu itu.




Gambaran penulis Makam Tok Tajuk pada 1980an.

Kedudukan makam Tok Tajuk ini adalah kira-kira 150meter ke hulu dua pulau yang menjadi batu didaratan tepian sungai Pahang. Panjang makam ini dianggarkan 40kaki antara batu nisan dikepala dan kaki, pada penghujung 1980an jentolak pekerja-pekerja kayu balak telah terlanggar batu dikepalanya dan orang-orang kampong telah membetulkannya kembali tapi dengan kedudukan yang lebih pendek diantara batu nisan tersebut. Penulis cuba masuk semasa lawatan ke kawasan Mentagan ini tapi makam ini dah 20 tahun lebih tidak diselenggara dan amat sukar untuk kesana. Oleh kerana dibimbangi keselamatan rombongan maka kami terpaksa mengambil keputusan untuk tidak melawat kekawasan makam. Pihak kami terasa terkilan tak dapat mengunjungi makam berkenaan tetapi demi mementingkan keselamatan yang lebih utama terpaksalah kami mengalah. Insyaalah jika berkesempatan kami akan mengambil foto-foto makam tersebut dilain masa.

Pada zaman 80an dulu, batu-batu diatas pulau ini berupa sebagaimana kain-kain bersusun (sekayu) dan dikala air sungai Pahang kering kelihatan pula batu-batu seperti "Le'che" bahasa tempatan iaitu bermaksud "Tilam" atau alas tempat tidur. Semasa kunjungan kami kesini baru-baru ini, kami tidak dapat menghampiri atau mendarat diatas pulau ini kerana tidak terdapatnya bot atau perahu untuk disewa.



Pulau Mentagan arah selatan hilir sungai.



Pulau Mentagan arah hulu sungai.


Dihujung Pulau kelihatan batu-batu 
mengunjur ke hulu sungai pahang.


Foto ini diambil dalam tahun 1970an
diatas pulau utama (hulu) Mentagan.



Foto encik Rahim ini juga diatas pulau utama  (hulu)
Mentagan di awal tahun 1970an.

Antara kedua buah pulau ini terdapat satu aliran anak sungai yang mengalir kedalam sungai Pahang, ianya dipanggil Sungai Mentagan dan aliran anak sungai ini terus dikaki gunung di hulu sungai tersebut. Dibawah adalah foto anak sungai Mentagan yang mengalir diantara dua buah pulau.


Aliran anak sungai Mentagan.

Mungkin zaman telah berubah sealiran dengan cuaca dunia dan aliran sungai Mentagan juga telah berubah jadi kering tidak seperti 20 tahun dahulu yang banyak dihuni oleh kehidupan ikan-ikan sungai. 

Sila ikuti kisah Pulau Mentagan ini dan cerita Tok Tajuk dan Tok Sunting isterinya di entry selanjutnya.

Tiada ulasan: